Pengikut

Khamis, 1 November 2012

I LOVE YOU CIKGU - Bab 1



Perhimpunan rasmi di Dewan Besar pagi itu terasa sungguh meriah. Setelah bercuti panjang, sesi persekolahan bermula semula untuk tahun itu. Masing-masing begitu gembira bercerita sehinggakan suasana menjadi agak bising. Sara Raihana hanya memerhati keadaan sekitar dengan debaran di hati. Itulah hari pertamanya ditugaskan di sekolah itu.
“Mai!” Telinga Sara Raihana dapat mendengar seorang guru lelaki memanggil nama guru perempuan yang baru mengambil tempat di sebelahnya. Guru yang berbadan sederhana besar itu berpaling ke arah guru lelaki tersebut.
“Tukar tempat boleh?” Guru lelaki tersebut bersuara.
“Kenapa nak tukar tempat?” soal Cikgu Maimunah walaupun dia dapat mengagak maksud Cikgu Mustafa.
View kat situ lebih menarik. Sejuk mata memandang,” katanya dengan sengihan panjang.
“Hai! Dah ada dua tak cukup-cukup lagi ke?” Sindir Cikgu Maimunah.
“Mana tahu, boleh jadi ke tiga.”
Cikgu Maimunah mencebikkan mulutnya. Beberapa orang guru lelaki bergalak ketawa. Mungkin menyokong kenyataan Cikgu Mustafa. ‘Dasar lelaki! Menyampah,’ bisik hati Cikgu Maimunah.
 Ada guru perempuan yang menjeling geram. Sara Raihana telan liur yang mulai terasa kesat. Dia tahu kedua-dua orang guru itu sedang membicarakan tentang dirinya. Cuak rasa hatinya.
“Sudah! Duduk jauh-jauh. Tempat cikgu di sana. Jangan nak jual minyak urat di sini.” Sinis kata-kata Cikgu Maimunah.
Cikgu Mustafa terus tersengih dan mengambil tempat duduk di sebelah seorang guru lelaki. Matanya masih melihat ke arah Sara Raihana.
‘Gatal!’ getus hati Sara Raihana. Rasa geram kerana lelaki tersebut tidak menjaga pandangan mata. Tidak takutkah dosa pada ALLAH?
‘Tengok rupa macam anak mami,’ bisik hati Cikgu Maimunah setelah mengamati wajah Sara Raihana. Sara Raihana mengangkat mukanya melihat Cikgu Maimunah. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Saya Sara Raihana.” Sara Raihana memperkenalkan dirinya.
“Saya Maimunah…tapi kawan-kawan panggil Kak Mai. Asal dari mana?”
“ Pulau Pinang,” jawab Sara Raihana penuh sopan.
“Patut la macam anak mami,” kata Cikgu Maimunah sambil tersenyum lebar.
“Lebih kurang, begitulah.” Sara Raihana membalas senyuman Cikgu Maimunah.
“SUBHANALLAH… cantiknya mata. Warna coklat keperangan-perangan, lentik pula bulu matanya. Ini kalau padankan dengan Amir sesuai ni. Amir pun handsome,” bisik hati Cikgu Maimunah, gembira. Terbayang di mata wajah anak saudaranya yang baru bekerja di Putrajaya.
Sebelum sempat Cikgu Maimunah menyoal lagi, guru bertugas telah mengarahkan para pelajar meluruskan barisan untuk menyanyikan lagu-lagu rasmi. Semua yang ada di dewan berdiri menghormati lagu-lagu tersebut. Setelah selesai menyanyikan lagu-lagu, para pelajar diminta duduk di dalam barisan mengikut kelas masing-masing. Cikgu Maimunah memberikan tumpuannya kepada ucapan pengetua. Pengetua memperkenalkan guru-guru baru yang bakal mengajar di situ. Seorang demi seorang diperkenalkan dan akhirnya tiba giliran Sara Raihana.
“Cik Sara Raihana akan mengajar mata pelajaran Geografi dan berasal dari Pulau Pinang. Sekolah ini adalah posting pertamanya.” Pengetua memperkenalkan secara ringkas tetapi cukup untuk menarik perhatian terutama guru lelaki dan guru senior yang ingin mencari menantu.
“Hai…Sara, ramai yang dah berminat tu. Ingatkan Cikgu Mustafa saja.” Separuh berbisik Cikgu Maimunah mengusik. Dilihatnya banyak mata yang bertumpu ke arah Sara Raihana. Ada sedikit resah terlihat di wajah Sara Raihana. Sara Raihana hanya tersenyum tanpa memberikan sebarang komen. Kepalanya menunduk sambil mengenggam jari jemarinya sendiri. Cikgu Maimunah turut memandang sekilas ke arah jari Sara Raihana. Ada cincin emas belah rotan di jari manis tersebut.
“Macam baru je cincin tu. Berkilat. Dah ada yang punya ke?” soal Cikgu Maimunah lagi, agak perlahan sambil mendekatkan dirinya kepada Sara Raihana. Seboleh mungkin dia tidak mahu suaranya itu kedengaran oleh orang lain. Takut pula mengganggu majlis perhimpunan yang masih berlangsung. Sara Raihana hanya tersenyum sambil mengangguk malu. Senyuman di bibir Cikgu Maimunah menjadi tawar.
“ Bila nak langsung?” Tanya Cikgu Maimunah setelah lama mendiamkan diri.
“Insya ALLAH, cuti Tahun Baru Cina nanti.”
“Hai... bisik-bisik apa tu Kak Mai? Dok adjust nak bagi kat sapa pulak? Amir ke?” tanya Cikgu Amirah sambil mengangkat keningnya. Agak pekat loghat utaranya. Dia tahu Cikgu Maimunah seringkali menjadi tetangkai untuk guru-guru di situ. Tidak termasuk Cikgu Mustafa. Itu adalah ‘musuh’ tradisinya.
“Tak boleh dah… dah ada yang punya.”
Cikgu Maimunah buat-buat muka sedih. Serentak mereka tertawa kecil, tetapi cukup membuatkan beberapa orang guru yang berada di barisan hadapan berpaling ke arah mereka, termasuklah Penolong Kanan HEM yang terkenal dengan sikap tegasnya. Ketawa dimatikan segera dan wajah mereka dialihkan ke arah pengetua yang masih memberikan ucapannya.
“Tahu takut!” bisik Cikgu Siti Aminah sambil menahan tawa.
“Aku bukan takut. Tapi dia yang tak takut kat aku.” Cikgu Amirah tersengih.
Cikgu Maimunah ketawa tanpa bunyi. Tubuhnya terhinggut-hinggut menahan gegaran tawanya. Sara Raihana hanya mampu tersenyum melihat ragam teman-teman barunya. Hatinya terasa senang dengan penerimaan mereka semua. Setelah selesai perhimpunan, Sara Raihana menyalami guru-guru perempuan yang berada di situ.
“ Sara tinggal kat mana?” tanya Cikgu Maimunah.
“ Saya menyewa kat Taman Marisa.”
“Tinggal seorang?” tanya pula Cikgu Siti Aminah.
“Ya.”
“Cikgu baru yang seorang lagi tu kata nak cari rumah sewa. Mungkin cikgu boleh kongsi sewa dengan dia,” beritahu Cikgu Siti Aminah. Lantas tangannya menunjukkan ke arah seorang guru yang berpakaian hijau sedondon. Sara Raihana segera mendapatkan guru tersebut setelah mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Siti Aminah.
“Maafkan saya.” Sara Raihana memulakan kata untuk berbicara dengan guru tersebut.
“Awak tengah cari rumah sewa ke Norita?” tanya Sara Raihana. Sara Raihana tahu nama guru tersebut melalui tanda nama yang tersemat ditudungnya. Malah namanya juga pasti diketahui oleh mereka yang lain berdasarkan tanda namanya.
“Ya.”
“Saya menyewa seorang diri kat Taman Marisa. Kalau awak nak kita boleh kongsi menyewa.”
“Bagus la. Saya memang nak cari rumah sewa. Segan saya menumpang rumah sepupu saya. Dia dah berkeluarga,” Ujar Norita dengan gembira. Setelah berbincang, Norita bersetuju untuk menyewa bersama-sama Sara Raihana. Sara Raihana gembira kerana dia tidak perlu rasa takut tinggal seorang diri.
             Tanpa sedar, sepasang mata leka memerhati ke arah guru-guru baru tersebut. Hatinya bagai diruntun-runtun untuk mengenali guru perempuan bertubuh langsing berketinggian sederhana yang memakai baju kurung berwarna ungu gelap dan bertudung ungu cerah. Wajah guru itu pula ada iras-iras Priyanka Chopra pelakon Bollywood.
‘Cantik! Sungguh cantik. Kalau aku dapat, alangkah indahnya hidup aku. Pasti anak-anak aku nanti cantik-cantik dan handsome belaka,’ bisik hati remajanya.
           “Hoi! Jalanlah. Berangan apa pula tu Chan?” Satu teguran dari arah belakang mengejutkan lamunan Chan Chee Hong. Dia hanya tersengih dan terus melangkah mengikut barisan yang lain  menuju ke kelas.
           Perasaan Chan Chee Hong terasa gembira bertemu kawan-kawan sekelasnya. Semangatnya untuk belajar tahun ini menjadi berkobar-kobar. Pada akhir tahun ini dia akan menduduki peperiksaan SPM. Dia perlu merealisasikan impiannya dan harapan bapanya. Sebagai anak sulung daripada dua orang adik beradik, dia perlu menunjukkan contoh yang terbaik.
“ Chan,” panggil Cikgu Siti Aminah.
Chan Chee Hong segera mendapatkannya.
“Tolong ke bilik guru dan ambilkan buku pendaftaran pelajar di atas meja cikgu. Kamu tahukan meja cikgu?”
“Ya, cikgu. Saya pergi ambil sekarang.”
Cikgu Siti Aminah menganggukkan kepalanya. Sepantas kilat Chan Chee Hong bergerak menuruni anak tangga untuk ke bilik guru. Bilik guru terletak di aras dua dan kelasnya terletak di aras tiga bangunan yang bertentangan. Chan Chee Hong memberikan ucapan selamat pagi untuk semua guru yang ditemuinya di dalam bilik guru. Dia segera bergerak ke meja Cikgu Siti Aminah.
“Chan, mari sini sekejap,” panggil Cikgu Maimunah.
Chan Chee Hong segera mendapatkan Cikgu Maimunah sambil memberikan senyuman. Cikgu Maimunah adalah cikgu yang paling rapat dengannya dan dia sering membantu cikgu tersebut di koperasi sekolah. Chan Chee Hong merupakan salah seorang ALP (ahli lembaga pengarah) koperasi sekolah.
“Chan, nanti kamu buat pengumuman panggil semua ALP tahun lepas. Kita buat perjumpaan selepas tamat waktu sekolah. Tolong bacakan pengumuman rehat nanti, ya.”
“Baik cikgu,” jawab Chan Chee Hong sambil matanya asyik memandang Sara Raihana yang sedang mengelap meja di sebelah Cikgu Maimunah.
“Cikgu tak mahu kenalkan saya dengan cikgu baru tu?” tanya Chan Chee Hong dengan senyum meleret.
“Bukan tadi pengetua dah perkenalkan. Kamu dah lupa ya?” Cikgu Maimunah agak hairan.
“Tadi kurang jelas.”
“Okeylah. Sara Raihana, ini Kak Mai perkenalkan Chan Chee Hong pelajar tingkatan 5 Arif. Chan ni seorang pelajar yang rajin dan suka menolong orang.”
Kembang kempis hidung Chan Chee Hong menerima pujian Cikgu Maimunah. Sengihannya makin melebar. Hati berbunga bagai Taman Firdausi. Sara Raihana memberhentikan kerja membersih mejanya dan memandang ke arah Chan Chee Hong.
“Selamat pagi cikgu.” Senyuman semanis gula diberikan. Getaran di hati makin rancak terasa.
“Selamat pagi. Nanti bolehlah cikgu minta tolong Chan juga, ya?” kata Sara Raihana sambil tersenyum. Manis dan ikhlas senyuman yang diberikan.
Chan Chee Hong menganggukkan kepala. Senyuman sentiasa terukir di bibirnya. “Cikgu punya pasal sampai ke tengah malam pun saya sanggup tolong!”.
“Amboi! Mentang-mentang Cikgu Sara cantik, nak tolong sampai ke malam pun tak apa, ya. Kalau cikgu minta tolong, silap-silap kamu lari pula nanti,” Cikgu Maimunah bercanda.
“Tak ada la cikgu. Mana pernah saya lari kalau cikgu minta tolong,” jawab Chan Chee Hong ikhlas.
“Ya, cikgu tahu kamu memang baik.”
“Cikgu tinggal kat mana?” tanya Chan Chee Hong pula.
“Hai, Chan! Sampai rumah Cikgu Sara pun kamu nak tahu. Ada apa-apa ke ni? Jangan kata kamu dah jatuh hati pada Cikgu Sara,” Cikgu Maimunah makin seronok mengusik.
“Eh… saja tanya. Mungkin Cikgu Sara perlukan pertolongan saya untuk mengangkat barang.” Merona merah wajah Chan Chee Hong ketika itu. ‘Ketara sangatkah?’ Tanya Chan Chee Hong di dalam hati.
“Tak apalah Chan, bukan banyak sangat barang saya. Sebenarnya saya tinggal katTaman Marisa,” jawab Sara Raihana tanpa curiga. Pelajar hendak menolong, apa salahnya?
“Saya minta diri dulu cikgu. Nanti Cikgu Siti hairan pula kalau saya lambat ambil buku pendaftaran dia.”
“ Baiklah Chan. Jangan lupa apa yang cikgu pesan tadi.”
Chan Chee Hong hanya menganggukkan kepalanya sambil tergesa-gesa mengambil buku pendaftaran pelajar Cikgu Siti Aminah.
“Sara nak tahu tak?”
“Tahu apa?”
“Chan Chee Hong belajar Pendidikan Islam dan akan ambil kertas tu masa SPM nanti,” kata Cikgu Maimunah berbangga.
Sara Raihana agak terkejut.
“Haa…boleh ke?”
“Boleh! Dia dapat markah yang tinggi tahun lepas. Malangnya ada budak Melayu kita yang gagal.”
“Bapa dia tak marah dia belajar Pendidikan Islam?”
“Bapa dia yang suruh. Dia gunakan anaknya bagi menguji kaedah pembelajaran mengunakan kad imbasan.”
“Macam mana tu?” Sara Raihana makin tertarik mendengar cerita Cikgu Maimunah. Kerusinya ditarik hampir ke kerusi Cikgu Maimunah. Suasana di dalam bilik guru ketika itu agak lengang kerana kebanyakan guru telah bergerak ke kelas masing-masing.
“Bapa dia pun seorang guru. Dia guna kaedah tu untuk mengajar pelajarnya, tapi Nazir yang menyelia menyatakan kaedah tu salah kerana lambat dan silibus tak habis. Jadi untuk membuktikan keberkesanan kaedah pengajarannya yang direka sendiri, kedua-dua anak dia belajar Pendidikan Islam. Orang Cina belajar sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan. Tentu sukarkan? Tapi dengan kaedah kad imbasan, Chan dapat mengingati semua fakta dan menghafal hampir keseluruhan isi pelajaran yang diajarkan,” panjang penerangan Cikgu Maimunah.
Cikgu Maimunah menyambung lagi, “Kad imbasan tu dibuat sendiri oleh Chan dan mempunyai dua permukaan. Permukaan atas dituliskan perkataan dan di bahagian bawah permukaan kad tersebut ditulis penerangan tentang perkataan tersebut. Kad-kad ini akan dihafal berulang kali bagi mengingati setiap apa yang ditulisnya. Berkotak-kotak dah Chan buat kad imbasannya.”
“Rajinnya. Nanti saya nak tengok kad-kad imbasan dia.” Sara Raihana teruja.
“Sara tanyalah dia nanti. Kaedah bapa Chan ni bagus tapi banyak pihak tak menyukainya.”
“Kenapa? Kalau dah terbukti berkesan, sepatutnya kaedah tu boleh di ketengahkan.”
 “Siapa nak yakin pada kaki botol?”
Agak terperanjat Sara Raihana dengan kenyataan itu.
“Macam mana dia mengajar kalau kaki botol?”
“Itu Kak Mai tak pasti tapi sampai sekarang dia masih mengajar di sana. Eh! Asyik bersembang je kita. Sara free tak? Kalau free jom ke kantin.”
“Sekejap! Sara tengok jadual dulu,” kata Sara Raihana lalu menatap jadual waktu.
Free la... Sara pun dah lapar, jom.” Sara Raihana mencapai beg tangannya lalu mengekori Cikgu Maimunah dari belakang.
Sambil berjalan ke kantin, Cikgu Maimunah menceritakan serba sedikit kedudukan bangunan dan bilik-bilik khas di sekolah tersebut. Mungkin semua penerangan Cikgu Maimunah tidak dapat diingati oleh Sara Raihana, tapi dia pasti akan mengenali sekolah tersebut dan warganya secara perlahan-lahan.

1 ulasan:

Pikachu27 berkata...

Dah lama saya cuba untuk mendapat buku ini. Akhirnya terima kasih puan. Selepas beberapa tahun saya dapat peluang untuk baca novel Melayu. Rinduinya buku ini.