Irdina
terdengar ketukan di pintu bilik. Dia bangun untuk membuka pintu. Mak Cik
Sopiah terjengul di pintu dengan senyuman.
“Macam mana Irdina?” tanya Mak Cik
Sopiah.
“Dah
rasa kurang sikit demam dan pening,” jawab Irdina.
Mak
Cik Sopiah meletakkan tangannya di dahi Irdina untuk merasa suhu badan Irdina.
“Alhamdulillah. Dah rasa kurang panas badan Irdina. Marilah keluar, minum air.”
Irdina
menurut langkah Mak Cik Sopiah menuju ke meja makan. Di atas meja terdapat beberapa
jenis kuih dan bubur gandum. Mak Cik Sopiah menyuruh Irdina duduk dan mengambil
mangkuk untuk Irdina. Di ruang hadapan, Ustaz Azmi masih mengajar Rosnah dan
kawannya.
“Azmi, marilah makan dulu. Tinggalkan sekejap
mereka tu.” Mak Cik Sopiah memanggil Ustaz Azmi.
“Baiklah
mak cik,” jawab Ustaz Azmi.
Ustaz Azmi meninggalkan Rosnah dan Aween
setelah memberi latihan kepada mereka. Dia duduk di meja makan menghadap
Irdina. Mak Cik Sopiah menyendukkan bubur untuk Irdina dan juga Ustaz Azmi. Dia
juga menuang air untuk mereka berdua.
“Jemputlah
minum,” pelawa Mak Cik Sopiah.
“Terima
kasih. Mak cik pun minumlah sekali,” balas Ustaz Azmi.
Mak
Cik Sopiah turut menyendukkan bubur ke mangkuknya sendiri. Irdina menyuap bubur
sedikit demi sedikit. Sesekali matanya mencuri pandang Ustaz Azmi.
“Apa nama penuh Irdina?” soal Ustaz Azmi
memecahkan kebisuan.
“Irdina
Ilmuna binti Idris.” Irdina tersenyum senang.
“Cantik
nama tu. Maksudnya kehormatan kami atau pengetahuan kami.” Ustaz Azmi turut tersenyum.
“Terima
kasih.”
“Irdina
berasal dari mana?” tanya Ustaz Azmi, sopan.
“Saya
dari Perlis.”
“Jauh
ke utara. Saya tak pernah sampai ke sana lagi. Ada apa yang menarik di sana?”
“Banyak.
Kalau di Kajang terkenal dengan sate, di sana terkenal dengan laksa Perlis. Ada
ladang anggur, harum manis, Gua Kelam, Padang Besar, Wang Klian dan banyak
lagilah. Kalau ustaz nak pergi, nanti boleh saya tunjukkan tempat yang
menarik.”
“Bagus
juga. Insya ALLAH kalau ada kesempatan saya nak ke sana.”
“Tapi
kalau nak pergi ke sana jangan kamu berdua saja. Silap-silap nanti kena tangkap
basah,” Mak Cik Sopiah mencelah sambil ketawa kecil.
“Ya,
saya pun tahu tu. Kalau boleh biarlah ada orang lain sama. Mak cik dan Razif
sekali.” Ustaz Azmi tersenyum penuh makna.
Berbunga
hati Irdina mendengar pengakuan Ustaz Azmi yang mahu ke kampungnya.
“Ustaz
orang sini ke?”
“Ya.
Rasanya saya tak perlu kenalkan tempat menarik di sini lagi. Mungkin Irdina dah
tahu.”
“Ustaz
mengajar di mana?”
“Di
Sekolah Rendah Islam ABIM, Sungai Ramal.”
Irdina
hanya menganggukkan kepalanya. Mak Cik Sopiah menyuruh mereka menambah bubur
lagi tetapi Irdina menolak.
“Makan
sikit sangat Irdina ni,” tegur Mak Cik Sopiah.
“Makanlah
lagi. Janganlah segan dengan saya.”
“Tak.
Cuma rasa dah kenyang.”
“Kenyang
apa? Sikit sangat makan tu. Irdina jaga badan ke?” tanya Ustaz Azmi.
“Taklah.”
“Kalau
begitu, makanlah lagi supaya cepat sembuh,” ujar Ustaz Azmi.
“Betul
tu! Irdina perlu makan sampai habis semua kuih yang ada di meja ni,” kata Razif
yang tiba-tiba muncul dari arah belakang Irdina.
Irdina yang terkejut dengan kehadiran Razif
mengurut dadanya.
“Kenapa?
Terkejut?” tanya Razif sambil duduk di sebelah Irdina.
“Kenapa
tak beri salam dulu. Main sergah saja. Nasib baik saya tak ada lemah jantung.
Kalau tak…” ujar Irdina.
“Kalau
tak apa? Awak nak pengsan depan saya? Kalau awak pengsan depan saya, jangan
menyesal.” Razif sekadar mengusik.
Irdina
menjeling geram ke arah Razif dan menjarakkan sedikit kerusinya daripada Razif.
“Razif,
jangan usik Irdina macam tu. Dia baru nak baik demam. Takut nanti demam balik, mak
suruh Razif jaga dia,” ujar Mak Cik Sopiah turut bergurau.
“Mak
tak takut Razif ambil kesempatan macam Abang Burn tu?” tanya Razif sambil
ketawa.
“Mak
percaya anak mak takkan buat macam tu.”
Razif
menganggukkan kepalanya sambil tangannya mengambil kuih yang ada di hadapannya.
“Makanlah
lagi Azmi,” pelawa Razif setelah melihat Azmi bangun daripada kerusinya.
“Aku
nak ke depan, tengok Rosnah dan Aween. Takut nanti terlena pula.”
“Baiklah,”
jawab Razif lalu menyambung makannya.
Irdina
juga ingin meminta diri tetapi dihalang oleh Razif.
“Duduk
dulu. Saya nak tanya awak sikit.”
“Eh!
Mak terlupa nak hantar bubur pada Mak Cik Siah. Razif temankanlah Irdina. Mak nak
keluar sekejap.” Mak Cik Sopiah memberi alasan. Dia segera bangun menuju ke
dapur dan keluar melalui pintu belakang, ke rumah Mak Cik Siah yang terdapat di
belakang rumahnya.
Irdina
terperasan telah dua kali Mak Cik Sopiah membiarkan dia dan Razif berduaan.
Adakah Mak Cik Sopiah sengaja berbuat begitu? Hatinya berteka teki.
“Apa
yang doktor nak tanya?”
“Jangan
panggil saya doktor sewaktu di rumah. Panggil Abang Razif.”
“Kenapa
nak panggil Abang Razif sedangkan panggilan doktor lebih menunjukkan hormat
saya?” Irdina ingin membantah.
“Itu
secara formal. Kita berjiran, jadi macam saudara. Sebab tu lebih elok panggil
Abang Razif. Kalau tak mahu panggil Abang Razif, panggil abang cukuplah. Ingat,
Irdina muda daripada abang,” ujar Razif sambil tersenyum.
“Maaf.
Saya tak nak dengan panggilan tu orang salah anggap.”
“Salah
anggap macam mana pula? Kalau Abang Burn, Irdina boleh sebut abang, pada saya
takkan tak boleh? Lagipun panggilan tu adalah pangkat bagi orang yang lebih
berusia daripada Irdina. Tak gitu?”
Terdiam
Irdina dibuatnya. Ada rasa tidak selesa jika dia memanggil Razif dengan
panggilan abang. Dia sendiri tidak pasti. Orang lain dia boleh membahasakan
dengan panggilan abang tetapi dengan Razif terasa amat payah sekali.
“Baiklah.
Apa yang Abang Razif nak tanya saya?” tanya Irdina antara dengar dan tidak.
“Gusi
awak masih sakit tak?”
“Rasanya
dah tak sakit.” Irdina memegang pipinya.
“Cuba
awak buka mulut. Abang nak tengok bengkak tu ada lagi tak.”
Irdina
membuka mulut dan Razif mendekatkan mukanya hampir ke wajah Irdina agar dapat
melihat dengan lebih jelas. Dia dapat melihat kesan bengkak di gusi Irdina
telah berkurangan.
“Dah
makin surut bengkak tu. Awak minum air kosong tak?”
“Tengah
hari tadi.”
“Berapa
kali?”
“Sekali.”
“Awak
patut minum banyak air sehingga panas badan dapat keluar. Badan awak masih
panas. Awak perlu minum air paling sedikit seliter sehari. Kalau awak nak tahu,
kehilangan 4% air daripada tubuh, boleh mengakibatkan penurunan tahap kerja
kita sebanyak 22%. Kalau kehilangan 7% air, tubuh akan mulai merasa lemah dan
lesu seperti yang awak alami sekarang,” ujar Razif.
‘Dia
mula dah,’ bisik hati Irdina. Irdina ingin bangun tetapi ditegah oleh Razif.
“Awak
nak ke mana? Abang belum habis cakap.”
“Saya
nak minum air kosong sehingga seliter,” jawab Irdina, geram.
“Baiklah.”
Razif
mengajak Irdina masuk ke dapur. Sebotol air mineral diunjukkan kepada Irdina.
Irdina menyambut botol air mineral itu dan meletakkannya di atas meja.
Sebenarnya dia memang tidak gemar meminum air kosong. Lambat-lambat dia
menuangkan air ke dalam gelas.
“Apa
tunggu lagi? Habiskanlah,” cabar Razif.
Dia rasa seronok mengusik Irdina. Wajah
cemberut Irdina membuatkan dia tahu, Irdina tidak menyukai air itu.
Perlahan-lahan Irdina menyisip air hingga habis segelas. Razif menuang lagi air
ke gelas Irdina dan menunggu Irdina meminumnya.
“Er…
saya rasa Laila dah baliklah. Biarlah saya balik dahulu. Nanti saya minum lagi
di rumah,” Irdina memberi alasan.
“Biarlah
dia balik. Awak habiskan dulu air seliter ni.”
“Nanti
saya terkencing sebab minum banyak sangat.”
“Tak
apa. Memang elok bila awak kencing. Boleh keluar panas badan melaluinya.
Sekarang ni minum dulu,” Razif menyua gelas kepada Irdina.
Irdina
menarik muka masam dan mengambil gelas itu. Dia minum hingga habis lalu
meletakkan gelas di hadapan Razif. Razif menuangkan lagi air ke dalam gelas
itu.
“Sudahlah.
Saya tak larat nak minum dah,” akui Irdina.
“Baru
dua gelas. Mana cukup seliter lagi.” Razif merasa agak lucu melihat wajah masam
Irdina.
‘Tolonglah
jangan paksa saya minum lagi. Saya memang tak suka minum air kosong. Kalau air
manis tak apalah juga.”
“Itu
tak bagus. Sepatutnya kurangkan air manis. Kena lebihkan air kosong. Awak kena
habiskan air ni dulu baru boleh balik ke rumah. Kalau tak habis, malam ni tidur
di sini.” Razif buat muka serius.
Irdina
agak kecut melihat wajah Razif yang nampak serius. Dia perlu menghabiskan air
yang tinggal separuh botol itu. Perlahan-lahan dia mengambil air yang terdapat
di dalam gelas lalu meminumnya. Setelah habis dia menuang lagi air ke gelas itu
dan meminumnya. Akhirnya dia dapat menghabiskan seliter air mineral. Sebaik
sahaja gelas terakhir diteguknya, dia cepat-cepat masuk ke bilik tamu untuk ke
bilik air. Razif hanya ketawa melihat langkah Irdina.
“Geramnya!
Tak mengapa. Hari ni kau mainkan aku. Lain kali aku akan kenakan kau
cukup-cukup,” luah Irdina setelah keluar daripada bilik air. Irdina mencapai
telefonnya dan mendail nombor Laila.
“Laila, kau nak balik ke tidak?”
“Aku
rasa lambat lagilah. Kenapa?”
“Baliklah
cepat. Aku dah tak tahan duduk di rumah Mak Cik Sopiah ni.”
“Kak
Irdina ni macam budak-budaklah. Kalau dah tak tahan, balik saja ke rumah kita
dan kemudian kunci semua pintu dan tingkap. Jangan buka pintu hingga kami
balik,” kata Laila.
“Ya,
tak ya juga. Kenapa aku jadi bodoh sangat. Tak terfikir yang Abang Burn tu bukan
ada kunci rumah kita.” Irdina ketawa sendiri.
“Okeylah.
Aku nak sambung makan. Nanti jumpa di rumah,” ujar Laila.
Irdina
mematikan talian telefonnya. Dia mengemaskan katil dan bilik tamu tersebut.
Setelah memastikan bilik itu kembali tersusun kemas, Irdina mencapai beg
tangannya untuk pulang ke rumah. Razif dan Ustaz Azmi sedang berbual-bual di
kerusi taman. Ustaz Azmi telah pun selesai mengajar Rosnah dan Aween. Rosnah
telah naik ke tingkat atas rumah, manakala Aween telah pulang ke rumahnya. Irdina
yang sedang menuju ke luar terhenti langkahnya. Dia mencuri dengar perbualan Razif
dan Ustaz Azmi.
“Apa
yang lucu sangat Razif ?” tanya Ustaz Azmi.
“Aku
tak sangka mudah betul dia ikut cakap aku. Kalau aku suruh dia masuk bilik aku
pun, rasanya dia ikut,” ujar Razif sambil ketawa.
“Kau
tak patut layan tamu begitu. Kesian dia. Dah la sakit, kena buli pula tu.”
“Bukan
aku buat benda tak senonoh. Aku cuma nak ajar dia sikit. Hari tu bukan main dia
marahkan aku, sampai nak langgar kereta kesayangan aku.”
“Kau
pun salah juga. Tak patutlah kau balas dendam pada dia.”
“Siapa
suruh dia bergaduh dengan aku? Kan dah kena. Nasib baik dia demam, kalau tak
aku nak kenakan lagi teruk tadi.”
“Dia
tu perempuan. Jangan kerana benda sikit boleh jadi permusuhan pula. Kau dan dia
hidup berjiran patut saling memaafkan jika ada kesalahan.” Nasihat Ustaz Azmi.
“No way! Walaupun dia perempuan, tak
bermakna aku patut berlembut dengan dia. Perempuan macam tu tak boleh buat
kawan apatah lagi buat isteri. Lelaki malang manalah yang akan kahwin dengan
dia?” Razif ketawa terbahak-bahak.
“Astaghfirullah!
Jangan cakap macam tu. Siapa pun suami dia nanti, bukanlah lelaki malang. Tapi
aku rasa lelaki tu paling bertuah.”
“Kau
ni asyik bela dia dari tadi. Kau ada hati dengan dia ke?” tanya Razif,
menghentikan tawanya.
Ustaz
Azmi hanya tersenyum. Hati Irdina mendongkol marah. Dia menyumpah Razif kerana
mempermainkannya. Irdina melangkah keluar dan menuju ke arah pintu pagar. Razif
yang melihat Irdina terus berlari dan menghalangnya dari keluar.
“Awak
nak ke mana?”
“Balik!”
“Awak
tak takut Abang Burn? Dia ada di hadapan rumah dia sekarang. Setahu abang, Kak
Zetty tak ada di rumah sebab pergi kursus. Anak-anak dia ada di rumah mak dia,”
kata Razif sambil tangannya memegang pintu pagar.
“Apa
pun alasan awak, saya tak terima. Abang Burn pun saya tak takut. Dia bukan
boleh masuk ke rumah kalau saya kunci pintu dan tingkap. Tepilah saya nak
lalu,” kata Irdina dengan nada yang marah.
“Memanglah
dia tak masuk ikut pintu. Dia boleh masuk ikut siling rumah. Rumah awak dengan
dia bersambung siling. Tak takut ke tiba-tiba dia ‘ngap’ awak?” usik Razif
lagi.
“Biarlah.
Ada di sini pun sama juga. Silap-silap awak yang nak ‘ngap’ saya.” Irdina cuba
untuk keluar, tetapi tidak berjaya kerana Razif memegang kukuh pintu tersebut.
“Tolong
sikit! Orang dah tolong dia, bukan nak ucap terima kasih. Main tuduh-tuduh pula
nak ‘ngap’ dia. Kalau bagi free pun
belum tentu aku ‘ngap’ kau.” Razif sengaja menyakitkan hati Irdina.
“Terima
kasih sajalah. Saya pun tak ingin lelaki hipokrit macam awak. Lelaki macam awak,
di pasar malam pun berlambak. Selonggok seringgit!” selar Irdina sambil menolak
badan Razif.
“Huh!
Seringgit?” Dengus Razif, marah.
Irdina telah meletakkan harga dirinya begitu
murah. Takkan seorang doktor pergigian yang kacak bergaya sepertinya hanya
bernilai seringgit? Penyataan yang melampau. Selonggok pula tu! Razif cuba
menghalang pergerakan Irdina tetapi Irdina pantas meloloskan dirinya.
Irdina
berjalan pulang ke rumahnya secara tergesa-gesa. Dia melihat Bakar asyik
merenungnya. Ada rasa tidak selesa bertandang di hatinya.
“Irdina
buat apa di rumah Razif?” tanya Bakar yang berdiri di sebalik tembok pembahagi
antara rumahnya dengan rumah sewaan Irdina.
“Tak
ada apa-apa,” jawab Irdina sambil tangannya mencari kunci rumah.
“Irdina
demam, ya? Dah ke klinik?” tanya Bakar lagi.
“Dah.
Terima kasih. Minta maaf, Abang Burn saya masuk dulu.” Irdina berjaya membuka
kunci rumahnya.
Dia
mengunci semula pintu rumah tersebut dan kemudian memeriksa semua tingkap dan
pintu. Setelah pasti semua pintu dan tingkap berkunci, barulah dia melangkah
masuk ke biliknya. Irdina mencari-cari telefonnya tetapi tidak berjumpa. Habis
semua isi beg tangannya dilambakkan di atas katil, tetapi telefonnya tetap
tiada. Dia mengingati kembali kali terakhir dia memegang telefon itu.
“Aduh!
Macam mana boleh tertinggal pula telefon tu? Kalau betul Abang Burn ceroboh
masuk, susah aku nanti. Nak jerit pun belum tentu orang dengar. Kalau ada telefon
boleh terus panggil polis.” Irdina rasa cemas.
10 ulasan:
wah best, sangat, aduh siapa ya suami irdina kelak, aduh kasian mak razif berharap sangat,,
mcam mana ni akak, takut pula ntar jika si doktor dngan ustad jd berebut irdina, penasaran tau! Cepat2 sambung lah.terima kasih akak.
Siapa suami Irdina...kena tunggu bab seterusnya. Tp org itulah King Controlnya. Akak sendiri pun penasaran sbb dlm penulisan2u ada komen kata tak ada mainan emosi, tak ada fill. Ada fill tak baca bab ni?
tp ,q suka ada hal lucunya kak,,kalau mainan emosi memang kalah dari ANKA,ANKA best sangat lah,
Tq. Memang cerita ni mainan emosi byk masa mrk dah kawin. Tp pd akak cerita I Love You cikgu plg byk mainan emosi. Cuba ikuti ILYC sampai habis, pasti tak cukup tisu sekotak..
Best la citer nie..x sabar tunggu sambungan...harap2 razif la husbnd irdina....*byzuera*
TQ byzuera. Nak buat Razif atau Ustaz Azmi pasangan Irdina? Mana yg sesuai jd King Control?
wah best sangat la kisah ni, suka razif,kayak na king controlnya ya! (nany)
Thanks Nany. Kayaknya...hrmm tengah mikirin cowok mana lagi cocok.
Tak kisahlah siapa yg jadi suami Irdina asalkan bukan si Burn tu... Hihihi....
Catat Ulasan