Pengikut

Isnin, 5 November 2012

Abang King Control Ke? - bab 7



Irdina terdengar ketukan di pintu bilik. Dia bangun untuk membuka pintu. Mak Cik Sopiah terjengul di pintu dengan senyuman. 
“Macam mana Irdina?” tanya Mak Cik Sopiah.
“Dah rasa kurang sikit demam dan pening,” jawab Irdina.
Mak Cik Sopiah meletakkan tangannya di dahi Irdina untuk merasa suhu badan Irdina. “Alhamdulillah. Dah rasa kurang panas badan Irdina. Marilah keluar, minum air.”
Irdina menurut langkah Mak Cik Sopiah menuju ke meja makan. Di atas meja terdapat beberapa jenis kuih dan bubur gandum. Mak Cik Sopiah menyuruh Irdina duduk dan mengambil mangkuk untuk Irdina. Di ruang hadapan, Ustaz Azmi masih mengajar Rosnah dan kawannya.
 “Azmi, marilah makan dulu. Tinggalkan sekejap mereka tu.” Mak Cik Sopiah memanggil Ustaz Azmi.
“Baiklah mak cik,” jawab Ustaz Azmi.
 Ustaz Azmi meninggalkan Rosnah dan Aween setelah memberi latihan kepada mereka. Dia duduk di meja makan menghadap Irdina. Mak Cik Sopiah menyendukkan bubur untuk Irdina dan juga Ustaz Azmi. Dia juga menuang air untuk mereka berdua.
“Jemputlah minum,” pelawa Mak Cik Sopiah.
“Terima kasih. Mak cik pun minumlah sekali,” balas Ustaz Azmi.
Mak Cik Sopiah turut menyendukkan bubur ke mangkuknya sendiri. Irdina menyuap bubur sedikit demi sedikit. Sesekali matanya mencuri pandang Ustaz Azmi.
 “Apa nama penuh Irdina?” soal Ustaz Azmi memecahkan kebisuan.
“Irdina Ilmuna binti Idris.” Irdina tersenyum senang.
“Cantik nama tu. Maksudnya kehormatan kami atau pengetahuan kami.” Ustaz Azmi turut tersenyum.
“Terima kasih.”
“Irdina berasal dari mana?” tanya Ustaz Azmi, sopan.
“Saya dari Perlis.”
“Jauh ke utara. Saya tak pernah sampai ke sana lagi. Ada apa yang menarik di sana?”
“Banyak. Kalau di Kajang terkenal dengan sate, di sana terkenal dengan laksa Perlis. Ada ladang anggur, harum manis, Gua Kelam, Padang Besar, Wang Klian dan banyak lagilah. Kalau ustaz nak pergi, nanti boleh saya tunjukkan tempat yang menarik.”
“Bagus juga. Insya ALLAH kalau ada kesempatan saya nak ke sana.”
“Tapi kalau nak pergi ke sana jangan kamu berdua saja. Silap-silap nanti kena tangkap basah,” Mak Cik Sopiah mencelah sambil ketawa kecil.
“Ya, saya pun tahu tu. Kalau boleh biarlah ada orang lain sama. Mak cik dan Razif sekali.” Ustaz Azmi tersenyum penuh makna.
Berbunga hati Irdina mendengar pengakuan Ustaz Azmi yang mahu ke kampungnya.
“Ustaz orang sini ke?”
“Ya. Rasanya saya tak perlu kenalkan tempat menarik di sini lagi. Mungkin Irdina dah tahu.”
“Ustaz mengajar di mana?”
“Di Sekolah Rendah Islam ABIM, Sungai Ramal.”
Irdina hanya menganggukkan kepalanya. Mak Cik Sopiah menyuruh mereka menambah bubur lagi tetapi Irdina menolak.
“Makan sikit sangat Irdina ni,” tegur Mak Cik Sopiah.
“Makanlah lagi. Janganlah segan dengan saya.”
“Tak. Cuma rasa dah kenyang.”
“Kenyang apa? Sikit sangat makan tu. Irdina jaga badan ke?” tanya Ustaz Azmi.
“Taklah.”
“Kalau begitu, makanlah lagi supaya cepat sembuh,” ujar Ustaz Azmi.
“Betul tu! Irdina perlu makan sampai habis semua kuih yang ada di meja ni,” kata Razif yang tiba-tiba muncul dari arah belakang Irdina.
 Irdina yang terkejut dengan kehadiran Razif mengurut dadanya.
“Kenapa? Terkejut?” tanya Razif sambil duduk di sebelah Irdina.
“Kenapa tak beri salam dulu. Main sergah saja. Nasib baik saya tak ada lemah jantung. Kalau tak…” ujar Irdina.
“Kalau tak apa? Awak nak pengsan depan saya? Kalau awak pengsan depan saya, jangan menyesal.” Razif sekadar mengusik.
Irdina menjeling geram ke arah Razif dan menjarakkan sedikit kerusinya daripada Razif.
“Razif, jangan usik Irdina macam tu. Dia baru nak baik demam. Takut nanti demam balik, mak suruh Razif jaga dia,” ujar Mak Cik Sopiah turut bergurau.
“Mak tak takut Razif ambil kesempatan macam Abang Burn tu?” tanya Razif sambil ketawa.
“Mak percaya anak mak takkan buat macam tu.”
Razif menganggukkan kepalanya sambil tangannya mengambil kuih yang ada di hadapannya.
“Makanlah lagi Azmi,” pelawa Razif setelah melihat Azmi bangun daripada kerusinya.
“Aku nak ke depan, tengok Rosnah dan Aween. Takut nanti terlena pula.”
“Baiklah,” jawab Razif lalu menyambung makannya.
Irdina juga ingin meminta diri tetapi dihalang oleh Razif.
“Duduk dulu. Saya nak tanya awak sikit.”
“Eh! Mak terlupa nak hantar bubur pada Mak Cik Siah. Razif temankanlah Irdina. Mak nak keluar sekejap.” Mak Cik Sopiah memberi alasan. Dia segera bangun menuju ke dapur dan keluar melalui pintu belakang, ke rumah Mak Cik Siah yang terdapat di belakang rumahnya.
Irdina terperasan telah dua kali Mak Cik Sopiah membiarkan dia dan Razif berduaan. Adakah Mak Cik Sopiah sengaja berbuat begitu? Hatinya berteka teki.
“Apa yang doktor nak tanya?”
“Jangan panggil saya doktor sewaktu di rumah. Panggil Abang Razif.”
“Kenapa nak panggil Abang Razif sedangkan panggilan doktor lebih menunjukkan hormat saya?” Irdina ingin membantah.
“Itu secara formal. Kita berjiran, jadi macam saudara. Sebab tu lebih elok panggil Abang Razif. Kalau tak mahu panggil Abang Razif, panggil abang cukuplah. Ingat, Irdina muda daripada abang,” ujar Razif sambil tersenyum.
“Maaf. Saya tak nak dengan panggilan tu orang salah anggap.”
“Salah anggap macam mana pula? Kalau Abang Burn, Irdina boleh sebut abang, pada saya takkan tak boleh? Lagipun panggilan tu adalah pangkat bagi orang yang lebih berusia daripada Irdina. Tak gitu?”
Terdiam Irdina dibuatnya. Ada rasa tidak selesa jika dia memanggil Razif dengan panggilan abang. Dia sendiri tidak pasti. Orang lain dia boleh membahasakan dengan panggilan abang tetapi dengan Razif terasa amat payah sekali.
“Baiklah. Apa yang Abang Razif nak tanya saya?” tanya Irdina antara dengar dan tidak.
“Gusi awak masih sakit tak?”
“Rasanya dah tak sakit.” Irdina  memegang pipinya.
“Cuba awak buka mulut. Abang nak tengok bengkak tu ada lagi tak.”
Irdina membuka mulut dan Razif mendekatkan mukanya hampir ke wajah Irdina agar dapat melihat dengan lebih jelas. Dia dapat melihat kesan bengkak di gusi Irdina telah berkurangan.
“Dah makin surut bengkak tu. Awak minum air kosong tak?”
“Tengah hari tadi.”
“Berapa kali?”
“Sekali.”
“Awak patut minum banyak air sehingga panas badan dapat keluar. Badan awak masih panas. Awak perlu minum air paling sedikit seliter sehari. Kalau awak nak tahu, kehilangan 4% air daripada tubuh, boleh mengakibatkan penurunan tahap kerja kita sebanyak 22%. Kalau kehilangan 7% air, tubuh akan mulai merasa lemah dan lesu seperti yang awak alami sekarang,” ujar Razif.
‘Dia mula dah,’ bisik hati Irdina. Irdina ingin bangun tetapi ditegah oleh Razif.
“Awak nak ke mana? Abang belum habis cakap.”
“Saya nak minum air kosong sehingga seliter,” jawab Irdina, geram.
“Baiklah.”
Razif mengajak Irdina masuk ke dapur. Sebotol air mineral diunjukkan kepada Irdina. Irdina menyambut botol air mineral itu dan meletakkannya di atas meja. Sebenarnya dia memang tidak gemar meminum air kosong. Lambat-lambat dia menuangkan air ke dalam gelas.
“Apa tunggu lagi? Habiskanlah,” cabar Razif.
 Dia rasa seronok mengusik Irdina. Wajah cemberut Irdina membuatkan dia tahu, Irdina tidak menyukai air itu. Perlahan-lahan Irdina menyisip air hingga habis segelas. Razif menuang lagi air ke gelas Irdina dan menunggu Irdina meminumnya.
“Er… saya rasa Laila dah baliklah. Biarlah saya balik dahulu. Nanti saya minum lagi di rumah,” Irdina memberi alasan.
“Biarlah dia balik. Awak habiskan dulu air seliter ni.”
“Nanti saya terkencing sebab minum banyak sangat.”
“Tak apa. Memang elok bila awak kencing. Boleh keluar panas badan melaluinya. Sekarang ni minum dulu,” Razif menyua gelas kepada Irdina.
Irdina menarik muka masam dan mengambil gelas itu. Dia minum hingga habis lalu meletakkan gelas di hadapan Razif. Razif menuangkan lagi air ke dalam gelas itu.
“Sudahlah. Saya tak larat nak minum dah,” akui Irdina.
“Baru dua gelas. Mana cukup seliter lagi.” Razif merasa agak lucu melihat wajah masam Irdina.
‘Tolonglah jangan paksa saya minum lagi. Saya memang tak suka minum air kosong. Kalau air manis tak apalah juga.”
“Itu tak bagus. Sepatutnya kurangkan air manis. Kena lebihkan air kosong. Awak kena habiskan air ni dulu baru boleh balik ke rumah. Kalau tak habis, malam ni tidur di sini.” Razif buat muka serius.
Irdina agak kecut melihat wajah Razif yang nampak serius. Dia perlu menghabiskan air yang tinggal separuh botol itu. Perlahan-lahan dia mengambil air yang terdapat di dalam gelas lalu meminumnya. Setelah habis dia menuang lagi air ke gelas itu dan meminumnya. Akhirnya dia dapat menghabiskan seliter air mineral. Sebaik sahaja gelas terakhir diteguknya, dia cepat-cepat masuk ke bilik tamu untuk ke bilik air. Razif hanya ketawa melihat langkah Irdina.
“Geramnya! Tak mengapa. Hari ni kau mainkan aku. Lain kali aku akan kenakan kau cukup-cukup,” luah Irdina setelah keluar daripada bilik air. Irdina mencapai telefonnya dan mendail nombor Laila.
 “Laila, kau nak balik ke tidak?”
“Aku rasa lambat lagilah. Kenapa?”
“Baliklah cepat. Aku dah tak tahan duduk di rumah Mak Cik Sopiah ni.”
“Kak Irdina ni macam budak-budaklah. Kalau dah tak tahan, balik saja ke rumah kita dan kemudian kunci semua pintu dan tingkap. Jangan buka pintu hingga kami balik,” kata Laila.
“Ya, tak ya juga. Kenapa aku jadi bodoh sangat. Tak terfikir yang Abang Burn tu bukan ada kunci rumah kita.” Irdina ketawa sendiri.
“Okeylah. Aku nak sambung makan. Nanti jumpa di rumah,” ujar Laila.
Irdina mematikan talian telefonnya. Dia mengemaskan katil dan bilik tamu tersebut. Setelah memastikan bilik itu kembali tersusun kemas, Irdina mencapai beg tangannya untuk pulang ke rumah. Razif dan Ustaz Azmi sedang berbual-bual di kerusi taman. Ustaz Azmi telah pun selesai mengajar Rosnah dan Aween. Rosnah telah naik ke tingkat atas rumah, manakala Aween telah pulang ke rumahnya. Irdina yang sedang menuju ke luar terhenti langkahnya. Dia mencuri dengar perbualan Razif dan Ustaz Azmi.
“Apa yang lucu sangat Razif ?” tanya Ustaz Azmi.
“Aku tak sangka mudah betul dia ikut cakap aku. Kalau aku suruh dia masuk bilik aku pun, rasanya dia ikut,” ujar Razif sambil ketawa.
“Kau tak patut layan tamu begitu. Kesian dia. Dah la sakit, kena buli pula tu.”
“Bukan aku buat benda tak senonoh. Aku cuma nak ajar dia sikit. Hari tu bukan main dia marahkan aku, sampai nak langgar kereta kesayangan aku.”
“Kau pun salah juga. Tak patutlah kau balas dendam pada dia.”
“Siapa suruh dia bergaduh dengan aku? Kan dah kena. Nasib baik dia demam, kalau tak aku nak kenakan lagi teruk tadi.”
“Dia tu perempuan. Jangan kerana benda sikit boleh jadi permusuhan pula. Kau dan dia hidup berjiran patut saling memaafkan jika ada kesalahan.” Nasihat Ustaz Azmi.
No way! Walaupun dia perempuan, tak bermakna aku patut berlembut dengan dia. Perempuan macam tu tak boleh buat kawan apatah lagi buat isteri. Lelaki malang manalah yang akan kahwin dengan dia?” Razif ketawa terbahak-bahak.
“Astaghfirullah! Jangan cakap macam tu. Siapa pun suami dia nanti, bukanlah lelaki malang. Tapi aku rasa lelaki tu paling bertuah.”
“Kau ni asyik bela dia dari tadi. Kau ada hati dengan dia ke?” tanya Razif, menghentikan tawanya.
Ustaz Azmi hanya tersenyum. Hati Irdina mendongkol marah. Dia menyumpah Razif kerana mempermainkannya. Irdina melangkah keluar dan menuju ke arah pintu pagar. Razif yang melihat Irdina terus berlari dan menghalangnya dari keluar.
“Awak nak ke mana?”
“Balik!”
“Awak tak takut Abang Burn? Dia ada di hadapan rumah dia sekarang. Setahu abang, Kak Zetty tak ada di rumah sebab pergi kursus. Anak-anak dia ada di rumah mak dia,” kata Razif sambil tangannya memegang pintu pagar.
“Apa pun alasan awak, saya tak terima. Abang Burn pun saya tak takut. Dia bukan boleh masuk ke rumah kalau saya kunci pintu dan tingkap. Tepilah saya nak lalu,” kata Irdina dengan nada yang marah.
“Memanglah dia tak masuk ikut pintu. Dia boleh masuk ikut siling rumah. Rumah awak dengan dia bersambung siling. Tak takut ke tiba-tiba dia ‘ngap’ awak?” usik Razif lagi.
“Biarlah. Ada di sini pun sama juga. Silap-silap awak yang nak ‘ngap’ saya.” Irdina cuba untuk keluar, tetapi tidak berjaya kerana Razif memegang kukuh pintu tersebut.
“Tolong sikit! Orang dah tolong dia, bukan nak ucap terima kasih. Main tuduh-tuduh pula nak ‘ngap’ dia. Kalau bagi free pun belum tentu aku ‘ngap’ kau.” Razif sengaja menyakitkan hati Irdina.
“Terima kasih sajalah. Saya pun tak ingin lelaki hipokrit macam awak. Lelaki macam awak, di pasar malam pun berlambak. Selonggok seringgit!” selar Irdina sambil menolak badan Razif.
“Huh! Seringgit?” Dengus Razif, marah.
 Irdina telah meletakkan harga dirinya begitu murah. Takkan seorang doktor pergigian yang kacak bergaya sepertinya hanya bernilai seringgit? Penyataan yang melampau. Selonggok pula tu! Razif cuba menghalang pergerakan Irdina tetapi Irdina pantas meloloskan dirinya.
Irdina berjalan pulang ke rumahnya secara tergesa-gesa. Dia melihat Bakar asyik merenungnya. Ada rasa tidak selesa bertandang di hatinya.
“Irdina buat apa di rumah Razif?” tanya Bakar yang berdiri di sebalik tembok pembahagi antara rumahnya dengan rumah sewaan Irdina.
“Tak ada apa-apa,” jawab Irdina sambil tangannya mencari kunci rumah.
“Irdina demam, ya? Dah ke klinik?” tanya Bakar lagi.
“Dah. Terima kasih. Minta maaf, Abang Burn saya masuk dulu.” Irdina berjaya membuka kunci rumahnya.
Dia mengunci semula pintu rumah tersebut dan kemudian memeriksa semua tingkap dan pintu. Setelah pasti semua pintu dan tingkap berkunci, barulah dia melangkah masuk ke biliknya. Irdina mencari-cari telefonnya tetapi tidak berjumpa. Habis semua isi beg tangannya dilambakkan di atas katil, tetapi telefonnya tetap tiada. Dia mengingati kembali kali terakhir dia memegang telefon itu.
“Aduh! Macam mana boleh tertinggal pula telefon tu? Kalau betul Abang Burn ceroboh masuk, susah aku nanti. Nak jerit pun belum tentu orang dengar. Kalau ada telefon boleh terus panggil polis.” Irdina rasa cemas.

10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

wah best, sangat, aduh siapa ya suami irdina kelak, aduh kasian mak razif berharap sangat,,

Tanpa Nama berkata...

mcam mana ni akak, takut pula ntar jika si doktor dngan ustad jd berebut irdina, penasaran tau! Cepat2 sambung lah.terima kasih akak.

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Siapa suami Irdina...kena tunggu bab seterusnya. Tp org itulah King Controlnya. Akak sendiri pun penasaran sbb dlm penulisan2u ada komen kata tak ada mainan emosi, tak ada fill. Ada fill tak baca bab ni?

Tanpa Nama berkata...

tp ,q suka ada hal lucunya kak,,kalau mainan emosi memang kalah dari ANKA,ANKA best sangat lah,

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Tq. Memang cerita ni mainan emosi byk masa mrk dah kawin. Tp pd akak cerita I Love You cikgu plg byk mainan emosi. Cuba ikuti ILYC sampai habis, pasti tak cukup tisu sekotak..

Tanpa Nama berkata...

Best la citer nie..x sabar tunggu sambungan...harap2 razif la husbnd irdina....*byzuera*

Imanisa riana @ sarimah berkata...

TQ byzuera. Nak buat Razif atau Ustaz Azmi pasangan Irdina? Mana yg sesuai jd King Control?

Tanpa Nama berkata...

wah best sangat la kisah ni, suka razif,kayak na king controlnya ya! (nany)

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Thanks Nany. Kayaknya...hrmm tengah mikirin cowok mana lagi cocok.

Tanpa Nama berkata...

Tak kisahlah siapa yg jadi suami Irdina asalkan bukan si Burn tu... Hihihi....