Perhimpunan
rasmi di Dewan Besar pagi itu terasa sungguh meriah. Setelah bercuti panjang, sesi
persekolahan bermula semula untuk tahun itu. Masing-masing begitu gembira
bercerita sehinggakan suasana menjadi agak bising. Sara Raihana hanya memerhati
keadaan sekitar dengan debaran di hati. Itulah hari pertamanya ditugaskan di
sekolah itu.
“Mai!”
Telinga Sara Raihana dapat mendengar seorang guru lelaki memanggil nama guru perempuan
yang baru mengambil tempat di sebelahnya. Guru yang berbadan sederhana besar
itu berpaling ke arah guru lelaki tersebut.
“Tukar
tempat boleh?” Guru lelaki tersebut bersuara.
“Kenapa
nak tukar tempat?” soal Cikgu Maimunah walaupun dia dapat mengagak maksud Cikgu
Mustafa.
“View kat situ lebih menarik. Sejuk mata
memandang,” katanya dengan sengihan panjang.
“Hai!
Dah ada dua tak cukup-cukup lagi ke?” Sindir Cikgu Maimunah.
“Mana
tahu, boleh jadi ke tiga.”
Cikgu
Maimunah mencebikkan mulutnya. Beberapa orang guru lelaki bergalak ketawa.
Mungkin menyokong kenyataan Cikgu Mustafa. ‘Dasar lelaki! Menyampah,’ bisik
hati Cikgu Maimunah.
Ada guru perempuan yang menjeling geram. Sara
Raihana telan liur yang mulai terasa kesat. Dia tahu kedua-dua orang guru itu
sedang membicarakan tentang dirinya. Cuak rasa hatinya.
“Sudah!
Duduk jauh-jauh. Tempat cikgu di sana. Jangan nak jual minyak urat di sini.”
Sinis kata-kata Cikgu Maimunah.
Cikgu
Mustafa terus tersengih dan mengambil tempat duduk di sebelah seorang guru
lelaki. Matanya masih melihat ke arah Sara Raihana.
‘Gatal!’
getus hati Sara Raihana. Rasa geram kerana lelaki tersebut tidak menjaga
pandangan mata. Tidak takutkah dosa pada ALLAH?
‘Tengok
rupa macam anak mami,’ bisik hati Cikgu Maimunah setelah mengamati wajah Sara
Raihana. Sara Raihana mengangkat mukanya melihat Cikgu Maimunah. Dia
menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Saya
Sara Raihana.” Sara Raihana memperkenalkan dirinya.
“Saya
Maimunah…tapi kawan-kawan panggil Kak Mai. Asal dari mana?”
“
Pulau Pinang,” jawab Sara Raihana penuh sopan.
“Patut
la macam anak mami,” kata Cikgu Maimunah sambil tersenyum lebar.
“Lebih
kurang, begitulah.” Sara Raihana membalas senyuman Cikgu Maimunah.
“SUBHANALLAH…
cantiknya mata. Warna coklat keperangan-perangan, lentik pula bulu matanya. Ini
kalau padankan dengan Amir sesuai ni. Amir pun handsome,” bisik hati Cikgu Maimunah, gembira. Terbayang di mata
wajah anak saudaranya yang baru bekerja di Putrajaya.
Sebelum
sempat Cikgu Maimunah menyoal lagi, guru bertugas telah mengarahkan para
pelajar meluruskan barisan untuk menyanyikan lagu-lagu rasmi. Semua yang ada di
dewan berdiri menghormati lagu-lagu tersebut. Setelah selesai menyanyikan
lagu-lagu, para pelajar diminta duduk di dalam barisan mengikut kelas
masing-masing. Cikgu Maimunah memberikan tumpuannya kepada ucapan pengetua.
Pengetua memperkenalkan guru-guru baru yang bakal mengajar di situ. Seorang
demi seorang diperkenalkan dan akhirnya tiba giliran Sara Raihana.
“Cik
Sara Raihana akan mengajar mata pelajaran Geografi dan berasal dari Pulau
Pinang. Sekolah ini adalah posting
pertamanya.” Pengetua memperkenalkan secara ringkas tetapi cukup untuk menarik
perhatian terutama guru lelaki dan guru senior yang ingin mencari menantu.
“Hai…Sara,
ramai yang dah berminat tu. Ingatkan Cikgu Mustafa saja.” Separuh berbisik
Cikgu Maimunah mengusik. Dilihatnya banyak mata yang bertumpu ke arah Sara
Raihana. Ada sedikit resah terlihat di wajah Sara Raihana. Sara Raihana hanya
tersenyum tanpa memberikan sebarang komen. Kepalanya menunduk sambil mengenggam
jari jemarinya sendiri. Cikgu Maimunah turut memandang sekilas ke arah jari
Sara Raihana. Ada cincin emas belah rotan di jari manis tersebut.
“Macam
baru je cincin tu. Berkilat. Dah ada yang punya ke?” soal Cikgu Maimunah lagi,
agak perlahan sambil mendekatkan dirinya kepada Sara Raihana. Seboleh mungkin
dia tidak mahu suaranya itu kedengaran oleh orang lain. Takut pula mengganggu
majlis perhimpunan yang masih berlangsung. Sara Raihana hanya tersenyum sambil
mengangguk malu. Senyuman di bibir Cikgu Maimunah menjadi tawar.
“
Bila nak langsung?” Tanya Cikgu Maimunah setelah lama mendiamkan diri.
“Insya
ALLAH, cuti Tahun Baru Cina nanti.”
“Hai...
bisik-bisik apa tu Kak Mai? Dok adjust
nak bagi kat sapa pulak? Amir ke?” tanya Cikgu Amirah sambil mengangkat
keningnya. Agak pekat loghat utaranya. Dia tahu Cikgu Maimunah seringkali
menjadi tetangkai untuk guru-guru di situ. Tidak termasuk Cikgu Mustafa. Itu
adalah ‘musuh’ tradisinya.
“Tak
boleh dah… dah ada yang punya.”
Cikgu
Maimunah buat-buat muka sedih. Serentak mereka tertawa kecil, tetapi cukup
membuatkan beberapa orang guru yang berada di barisan hadapan berpaling ke arah
mereka, termasuklah Penolong Kanan HEM yang terkenal dengan sikap tegasnya. Ketawa
dimatikan segera dan wajah mereka dialihkan ke arah pengetua yang masih
memberikan ucapannya.
“Tahu
takut!” bisik Cikgu Siti Aminah sambil menahan tawa.
“Aku
bukan takut. Tapi dia yang tak takut kat aku.” Cikgu Amirah tersengih.
Cikgu
Maimunah ketawa tanpa bunyi. Tubuhnya terhinggut-hinggut menahan gegaran
tawanya. Sara Raihana hanya mampu tersenyum melihat ragam teman-teman barunya.
Hatinya terasa senang dengan penerimaan mereka semua. Setelah selesai
perhimpunan, Sara Raihana menyalami guru-guru perempuan yang berada di situ.
“
Sara tinggal kat mana?” tanya Cikgu Maimunah.
“
Saya menyewa kat Taman Marisa.”
“Tinggal
seorang?” tanya pula Cikgu Siti Aminah.
“Ya.”
“Cikgu
baru yang seorang lagi tu kata nak cari rumah sewa. Mungkin cikgu boleh kongsi
sewa dengan dia,” beritahu Cikgu Siti Aminah. Lantas tangannya menunjukkan ke
arah seorang guru yang berpakaian hijau sedondon. Sara Raihana segera
mendapatkan guru tersebut setelah mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Siti Aminah.
“Maafkan
saya.” Sara Raihana memulakan kata untuk berbicara dengan guru tersebut.
“Awak
tengah cari rumah sewa ke Norita?” tanya Sara Raihana. Sara Raihana tahu nama
guru tersebut melalui tanda nama yang tersemat ditudungnya. Malah namanya juga
pasti diketahui oleh mereka yang lain berdasarkan tanda namanya.
“Ya.”
“Saya
menyewa seorang diri kat Taman Marisa. Kalau awak nak kita boleh kongsi
menyewa.”
“Bagus
la. Saya memang nak cari rumah sewa. Segan saya menumpang rumah sepupu saya.
Dia dah berkeluarga,” Ujar Norita dengan gembira. Setelah berbincang, Norita
bersetuju untuk menyewa bersama-sama Sara Raihana. Sara Raihana gembira kerana
dia tidak perlu rasa takut tinggal seorang diri.
Tanpa
sedar, sepasang mata leka memerhati ke arah guru-guru baru tersebut. Hatinya
bagai diruntun-runtun untuk mengenali guru perempuan bertubuh langsing berketinggian
sederhana yang memakai baju kurung berwarna ungu gelap dan bertudung ungu cerah.
Wajah guru itu pula ada iras-iras Priyanka Chopra pelakon Bollywood.
‘Cantik!
Sungguh cantik. Kalau aku dapat, alangkah indahnya hidup aku. Pasti anak-anak
aku nanti cantik-cantik dan handsome
belaka,’ bisik hati remajanya.
“Hoi! Jalanlah. Berangan apa pula tu
Chan?” Satu teguran dari arah belakang mengejutkan lamunan Chan Chee Hong. Dia
hanya tersengih dan terus melangkah mengikut barisan yang lain menuju ke kelas.
Perasaan Chan Chee Hong terasa
gembira bertemu kawan-kawan sekelasnya. Semangatnya untuk belajar tahun ini menjadi
berkobar-kobar. Pada akhir tahun ini dia akan menduduki peperiksaan SPM. Dia
perlu merealisasikan impiannya dan harapan bapanya. Sebagai anak sulung
daripada dua orang adik beradik, dia perlu menunjukkan contoh yang terbaik.
“
Chan,” panggil Cikgu Siti Aminah.
Chan
Chee Hong segera mendapatkannya.
“Tolong
ke bilik guru dan ambilkan buku pendaftaran pelajar di atas meja cikgu. Kamu
tahukan meja cikgu?”
“Ya,
cikgu. Saya pergi ambil sekarang.”
Cikgu
Siti Aminah menganggukkan kepalanya. Sepantas kilat Chan Chee Hong bergerak
menuruni anak tangga untuk ke bilik guru. Bilik guru terletak di aras dua dan
kelasnya terletak di aras tiga bangunan yang bertentangan. Chan Chee Hong
memberikan ucapan selamat pagi untuk semua guru yang ditemuinya di dalam bilik
guru. Dia segera bergerak ke meja Cikgu Siti Aminah.
“Chan,
mari sini sekejap,” panggil Cikgu Maimunah.
Chan
Chee Hong segera mendapatkan Cikgu Maimunah sambil memberikan senyuman. Cikgu
Maimunah adalah cikgu yang paling rapat dengannya dan dia sering membantu cikgu
tersebut di koperasi sekolah. Chan Chee Hong merupakan salah seorang ALP (ahli
lembaga pengarah) koperasi sekolah.
“Chan,
nanti kamu buat pengumuman panggil semua ALP tahun lepas. Kita buat perjumpaan
selepas tamat waktu sekolah. Tolong bacakan pengumuman rehat nanti, ya.”
“Baik
cikgu,” jawab Chan Chee Hong sambil matanya asyik memandang Sara Raihana yang
sedang mengelap meja di sebelah Cikgu Maimunah.
“Cikgu
tak mahu kenalkan saya dengan cikgu baru tu?” tanya Chan Chee Hong dengan
senyum meleret.
“Bukan
tadi pengetua dah perkenalkan. Kamu dah lupa ya?” Cikgu Maimunah agak hairan.
“Tadi
kurang jelas.”
“Okeylah.
Sara Raihana, ini Kak Mai perkenalkan Chan Chee Hong pelajar tingkatan 5 Arif.
Chan ni seorang pelajar yang rajin dan suka menolong orang.”
Kembang
kempis hidung Chan Chee Hong menerima pujian Cikgu Maimunah. Sengihannya makin
melebar. Hati berbunga bagai Taman Firdausi. Sara Raihana memberhentikan kerja
membersih mejanya dan memandang ke arah Chan Chee Hong.
“Selamat
pagi cikgu.” Senyuman semanis gula diberikan. Getaran di hati makin rancak
terasa.
“Selamat
pagi. Nanti bolehlah cikgu minta tolong Chan juga, ya?” kata Sara Raihana
sambil tersenyum. Manis dan ikhlas senyuman yang diberikan.
Chan
Chee Hong menganggukkan kepala. Senyuman sentiasa terukir di bibirnya. “Cikgu
punya pasal sampai ke tengah malam pun saya sanggup tolong!”.
“Amboi!
Mentang-mentang Cikgu Sara cantik, nak tolong sampai ke malam pun tak apa, ya. Kalau
cikgu minta tolong, silap-silap kamu lari pula nanti,” Cikgu Maimunah bercanda.
“Tak
ada la cikgu. Mana pernah saya lari kalau cikgu minta tolong,” jawab Chan Chee
Hong ikhlas.
“Ya,
cikgu tahu kamu memang baik.”
“Cikgu
tinggal kat mana?” tanya Chan Chee Hong pula.
“Hai,
Chan! Sampai rumah Cikgu Sara pun kamu nak tahu. Ada apa-apa ke ni? Jangan kata
kamu dah jatuh hati pada Cikgu Sara,” Cikgu Maimunah makin seronok mengusik.
“Eh…
saja tanya. Mungkin Cikgu Sara perlukan pertolongan saya untuk mengangkat
barang.” Merona merah wajah Chan Chee Hong ketika itu. ‘Ketara sangatkah?’
Tanya Chan Chee Hong di dalam hati.
“Tak
apalah Chan, bukan banyak sangat barang saya. Sebenarnya saya tinggal katTaman
Marisa,” jawab Sara Raihana tanpa curiga. Pelajar hendak menolong, apa
salahnya?
“Saya
minta diri dulu cikgu. Nanti Cikgu Siti hairan pula kalau saya lambat ambil
buku pendaftaran dia.”
“
Baiklah Chan. Jangan lupa apa yang cikgu pesan tadi.”
Chan
Chee Hong hanya menganggukkan kepalanya sambil tergesa-gesa mengambil buku pendaftaran
pelajar Cikgu Siti Aminah.
“Sara
nak tahu tak?”
“Tahu
apa?”
“Chan
Chee Hong belajar Pendidikan Islam dan akan ambil kertas tu masa SPM nanti,” kata
Cikgu Maimunah berbangga.
Sara
Raihana agak terkejut.
“Haa…boleh
ke?”
“Boleh!
Dia dapat markah yang tinggi tahun lepas. Malangnya ada budak Melayu kita yang
gagal.”
“Bapa
dia tak marah dia belajar Pendidikan Islam?”
“Bapa
dia yang suruh. Dia gunakan anaknya bagi menguji kaedah pembelajaran mengunakan
kad imbasan.”
“Macam
mana tu?” Sara Raihana makin tertarik mendengar cerita Cikgu Maimunah.
Kerusinya ditarik hampir ke kerusi Cikgu Maimunah. Suasana di dalam bilik guru
ketika itu agak lengang kerana kebanyakan guru telah bergerak ke kelas
masing-masing.
“Bapa
dia pun seorang guru. Dia guna kaedah tu untuk mengajar pelajarnya, tapi Nazir
yang menyelia menyatakan kaedah tu salah kerana lambat dan silibus tak habis. Jadi
untuk membuktikan keberkesanan kaedah pengajarannya yang direka sendiri,
kedua-dua anak dia belajar Pendidikan Islam. Orang Cina belajar sesuatu yang
berbeza daripada kebiasaan. Tentu sukarkan? Tapi dengan kaedah kad imbasan,
Chan dapat mengingati semua fakta dan menghafal hampir keseluruhan isi
pelajaran yang diajarkan,” panjang penerangan Cikgu Maimunah.
Cikgu
Maimunah menyambung lagi, “Kad imbasan tu dibuat sendiri oleh Chan dan
mempunyai dua permukaan. Permukaan atas dituliskan perkataan dan di bahagian
bawah permukaan kad tersebut ditulis penerangan tentang perkataan tersebut.
Kad-kad ini akan dihafal berulang kali bagi mengingati setiap apa yang
ditulisnya. Berkotak-kotak dah Chan buat kad imbasannya.”
“Rajinnya.
Nanti saya nak tengok kad-kad imbasan dia.” Sara Raihana teruja.
“Sara
tanyalah dia nanti. Kaedah bapa Chan ni bagus tapi banyak pihak tak menyukainya.”
“Kenapa?
Kalau dah terbukti berkesan, sepatutnya kaedah tu boleh di ketengahkan.”
“Siapa nak yakin pada kaki botol?”
Agak
terperanjat Sara Raihana dengan kenyataan itu.
“Macam
mana dia mengajar kalau kaki botol?”
“Itu
Kak Mai tak pasti tapi sampai sekarang dia masih mengajar di sana. Eh! Asyik
bersembang je kita. Sara free tak? Kalau free
jom ke kantin.”
“Sekejap!
Sara tengok jadual dulu,” kata Sara Raihana lalu menatap jadual waktu.
“Free la... Sara pun dah lapar, jom.”
Sara Raihana mencapai beg tangannya lalu mengekori Cikgu Maimunah dari
belakang.
Sambil
berjalan ke kantin, Cikgu Maimunah menceritakan serba sedikit kedudukan
bangunan dan bilik-bilik khas di sekolah tersebut. Mungkin semua penerangan
Cikgu Maimunah tidak dapat diingati oleh Sara Raihana, tapi dia pasti akan
mengenali sekolah tersebut dan warganya secara perlahan-lahan.
1 ulasan:
Dah lama saya cuba untuk mendapat buku ini. Akhirnya terima kasih puan. Selepas beberapa tahun saya dapat peluang untuk baca novel Melayu. Rinduinya buku ini.
Catat Ulasan