Bab 2.
Indahnya
pemandangan di tempat itu. Udara yang segar dan nyaman begitu mengasyikkan.
Pelangi diwaktu petang kelihatan di ufuk barat menambahkan seri suasana di
situ. Terasa damai di sanubari. Kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang asyik
bermain sambil ketawa gembira. Mereka berlari-lari di celah pohon-pohon yang
lebat buahnya. Di suatu sudut kelihatan beberapa orang dewasa asyik
memerhatikan gelagat mereka.
Izzat
Hafis memandang sekeliling dengan senyuman. Dia belum pernah melihat tempat
setenang itu. Sangat mengujakan. Itulah perasaannya ketika itu. Seketika
kemudian dia mengerutkan dahinya. Terlintas di fikiran, di manakah dia berada?
Tempat itu terasa asing. Bagaimana dia boleh berada di situ sedangkan tadi dia
masih berada di biliknya?
“Izzat,”
suatu suara memanggil namanya.
Izzat
Hafis berpaling ke arah suara tersebut dan dia melihat seorang lelaki berjubah
panjang serba putih. Janggut dan keningnya kelihatan keputih-putihan juga.
Wajah itu begitu tenang dan mendamaikan. Bibirnya mengukir senyuman. Izzat
Hafis kenal akan lelaki itu.
“Mari
ikut atuk ke sana.” Lelaki itu menunjukkan ke arah sekumpulan lelaki yang lain.
Baru Izzat Hafis terperasan, kesemua mereka berpakaian serba putih termasuk
dirinya. Dia makin keliru. Perlukah dia mengikut lelaki itu?
Tiba-tiba
kedengaran azan sayup-sayup berkumandang. Izzat Hafis cuba membuka matanya.
Matanya digosok berkali-kali. Segera dia bangun dan duduk di birai katil.
Dipandang sekeliling, baru dia terperasan yang dia berada di dalam biliknya
sendiri. Tapi ke manakah datuknya menghilang? Izzat Hafis mencapai tuala di
hujung katil dan serentak dengan itu ada sesuatu yang terjatuh. Diangkatnya
bingkai gambar yang terjatuh itu.
‘Nasib
baik tak pecah,’ bisik hatinya. Gambar tunangnya itu ditenung lama. Tidak
sampai sebulan lagi mereka akan disatukan di dalam ikatan perkahwinan. Ada
kerinduan yang bertamu. Spontan dia mengucup gambar tersebut dan meletakkan
kembali gambar tersebut di atas meja. Segera dia melangkah ke bilik air untuk
membersihkan diri.
Setelah
selesai menunaikan Solat Subuh, Izzat Hafis bersiap-siap untuk ke tempat
kerjanya. Sudah dua hari dia bertugas di salah sebuah sekolah menengah di
daerah Muar, Johor. Jarak telah memisahkan dia dengan tunangannya, Sara
Raihana. Tapi dia bersyukur kepada Allah kerana tempat bertugas Sara Raihana
tidak jauh dari rumah ibu bapanya di Assam Kumbang, Perak. Tangannya mencapai
telefon lalu mendail nombor telefon Sara Raihana.
“
Assalamualaikum,” riang terdengar suara Sara Raihana.
“Waalaikumusalam.
Sara apa khabar? Macam mana sekolah, okey tak?”
“Alhamdulillah,
baik. Sekolah ni pun okey. Kawan-kawan di sini baik-baik belaka dan banyak
membantu.”
“Alhamdulillah…senang
hati abang mendengarnya.”
“Sara
dah dapat kawan serumah. Norita namanya, cikgu baru yang sama-sama bertugas di
sini. Dia kongsi menyewa dengan Sara.”
“Baguslah
tu. Adalah kawan buat teman Sara nanti, taklah risau hati abang.” Ada rasa sayu
di hati Izzat Hafis.
“Maaf,
abang. Sara tengah memandu ni. Insya Allah nanti Sara telefon lain. Err…Norita
kirim salam. Dia ada di sebelah Sara.” Terdengar ketawa kecil di hujung talian sebelum
talian dimatikan. Izzat Hafis hanya menghela nafas yang panjang. Hajat hati
untuk berbual lebih lama terbantut. Mungkin Sara Raihana malu dengan Norita.
Sepanjang
hari itu Sara Raihana tidak menelefon Izzat Hafis. Ini menyebabkan Izzat Hafis agak
resah menanti. Malam, baru Sara Raihana menghubunginya.
“Maafkan
Sara, bang. Hari ini Sara sibuk sangat. Itu yang tak dapat telefon siang tadi.”
“Tak
apa. Asalkan Sara sentiasa ingat dan doakan abang, dah cukup bermakna hidup
abang.”
“Insya
Allah, Sara akan sentiasa doakan.”
“Kalau
suatu hari nanti abang tiada lagi di sisi Sara, tolong tengok-tengokkan mak
abang, ya.”
“Insya
Allah. Tapi kenapa abang kata begitu?”
“Entahlah…Sara,
abang masih mimpikan arwah datuk yang berpakaian serba putih. Dia nak abang
ikut dia.”
“Abang
rindukan dia agaknya. Sebaik-baiknya bila kita ingatkan orang yang telah tiada,
kita bacakan Al-Fatihah dan Al-Ikhlas sebanyak tiga kali. Niatkan sedekah pahala bacaan
tersebut kepada arwah. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat-Nya. Janganlah
risau.” Sara Raihana cuba menenangkan Izzat Hafis. Tangannya mencapai buku yang
baru dibelinya. Muka surat yang ditandanya terlebih dahulu di buka.
“Abang
sendiri tak pasti, Sara,” jawab Izzat Hafis, lemah.
“Abang dengar ni. Hadis yang
diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, sabda Rasulullah s.a.w yang
bermaksud, ‘Mimpi yang baik adalah dari Allah, sedangkan mimpi yang menakutkan
berasal dari syaitan. Barangsiapa bermimpi yang tidak menyenangkan, hendaklah
dia meludah ke sebelah kirinya tiga kali dan berlindung diri kepada Allah dari
syaitan, sehingga mimpi tersebut tidak membahayakannya.’ Jadi, jika abang rasa mimpi itu dari syaitan cubalah buat apa yang
Rasulullah s.a.w sabdakan tu.” Sara Raihana membacakan petikan hadis daripada
buku Himpunan Hadis yang berada ditangannya.
“Insya
Allah. Terima kasih Sara. Bila abang bercakap dengan Sara, rasa bersemangat dan
kuat untuk menempuhi hidup ini. Abang harap Sara boleh memberikan semangat dan
dorongan untuk abang diwaktu susah mahupun senang.”
“Insya
Allah, Sara akan sentiasa menyokong abang selagi tidak menyalahi Allah dan
Rasul-Nya.”
Ada
senyuman di wajah Izzat Hafis. Tidak sia-sia dia memilih Sara Raihana sebagai
teman hidup. Dia yakin Sara Raihana mampu menjadi isteri yang solehah.
“Sara,
abang minta diri dulu. Nak ikut kawan pergi makan. Mereka dah tunggu di luar.”
“Baiklah.
Nanti bila lapang Sara telefon lagi.”
“Okey…assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam.
Semoga malam ini mimpi yang indah,” kata Sara Raihana sambil ketawa manja.
“Insya
Allah…bye.” Talian dimatikan dan Izzat Hafis tersenyum lebar sambil melangkah
mendapatkan kawan-kawannya yang sedang menanti di luar.
Bab 3
Sara
Raihana tekun menulis di mejanya di
dalam bilik guru. Hampir kesemua nama guru dan staf, ditulis di atas kad
undangan perkahwinannya. Dia ingin memastikan semua mendapat undangan tersebut.
Ustazah Habsah yang berada selang dua meja hanya memerhati tingkah laku Sara
Raihana menyusun kad undangan tersebut.
“Kad
Kak Habsah tak ada ke?”
“Ada.
Ini untuk Kak Habsah.” Sara Raihana menghampirinya. “Nanti jemputlah hadir
seisi keluarga ke rumah saya di Bukit Mertajam.”
Kad
bertukar tangan. Ustazah Habsah membuka sampul kad tersebut dan meneliti isi
kandungannya. Berkali-kali dia mencium kad tersebut kerana baunya yang wangi.
“Terima
kasih. Kalau tiada aral, Insya Allah Kak Habsah pergi.”
“Kad
untuk saya tak ada ke Cikgu?” tiba-tiba saja Chan Chee Hong muncul di situ
mengejutkan Sara Raihana.
“Kamu
ni Chan buat saya terkejut saja,” ujar Sara Raihana.
“Maaf…maaf.
Saya bukan sengaja nak mengejutkan Cikgu.” Ada riak cemas di wajah Chan Chee
Hong. Mungkin rasa bersalah.
“Tak
apa. Jemputlah nanti ke rumah saya, Sabtu depan. Ini kad untuk Chan.”
Gembira
sungguh Chan Chee Hong mendapat undangan itu. Paling tidak, cikgu kesayangannya
tetap mengingatinya. “Ustazah Habsah nak pergikah kenduri ni nanti? Kalau
ustazah pergi, boleh saya ikut sekali.” ujar Chan Chee Hong.
“Boleh.
Nanti Ustazah beritahu lain,” kata Ustazah Habsah.
Pengakuan
itu cukup menyeronokkan Chan Chee Hong. Dia memang teringin melihat bakal suami
cikgu yang disukainya itu. Bertuah sungguh lelaki yang dapat berkahwin dengan
Cikgu Sara Raihana, bisik hati kecilnya.
‘Teringin lihat Cikgu Sara bersanding,” Chan
Chee Hong bersuara lagi.
“Saya
tak bersanding, Chan.”
“Kenapa?
Bukan ke orang Melayu selalu bersanding pada hari perkahwinan mereka?”
“Mungkin
bagi orang lain tapi bagi saya, tak. Bersanding tu hanyalah satu adat sahaja.
Tak kena gaya berdosa pula.”
“Berdosa?
Maksud Cikgu?” tanya Chan Chee Hong lagi.
Dia memang berminat jika dapat bersoal jawab
dengan Sara Raihana tentang Islam walaupun Ustazah Habsah yang mengajarnya mata
pelajaran Pendidikan Islam. Dia sendiri tak pasti perasaannya, tapi dia tahu
yang dia suka cara Sara Raihana menerangkan sesuatu perkara. Malah apa sahaja
tutur kata cikgu itu amat disenanginya.
“Terdapat
unsur-unsur khurafat dan syirik dalam persandingan seperti penggunaan beras
kunyit untuk memberi semangat kepada pengantin dan penggunaan jampi mentera
untuk menghalau hantu syaitan yang mungkin mengganggu majlis itu,” terang Sara
Raihana.
“Oh…begitu
rupanya. Betul ke lepas kenduri nanti cikgu nak pergi Mekah? Honeymoon?”
“Hai,
Chan! Mengalahkan pemberita TV3 awak ni. Mana awak tahu? Ustazah yang duduk tak
jauh dari Cikgu Sara pun tak tahu,” soal Ustazah Habsah kehairanan.
“Cikgu
Maimunah yang beritahu,” jawab Chan Chee Hong jujur.
“Amboi!
Cikgu Maimunah ni tak boleh sorokkan apa-apa maklumat pada awak. Saya nak ke
Mekah buat umrah tapi bukanlah lepas kenduri. Mungkin masa cuti pertengahan
penggal nanti,” jawab Sara Raihana.
“Kalau
saya nak melawat ke Mekah boleh tak ustazah? Bila Ustazah Habsah cerita tentang
Sirah Nabi, teringin rasa nak tengok sendiri.”
“Kalau
Chan nak pergi, ustazah sudi temankan,” jawab Ustazah Habsah sambil tersenyum.
“Betul
ke? Seronoknya. Tapi lebih seronok kalau Cikgu Sara ikut sekali,” Chan Chee
Hong cuba berseloroh walaupun jauh di sudut hati, itulah harapannya.
Sara
Raihana hanya ketawa kecil. “Ada-ada sajalah Chan ni.”
“Ustazah,
sebenarnya saya nak tanya tentang…” Sebelum sempat Chan Chee Hong menghabiskan
ayat tersebut, tiba-tiba telefon Sara Raihana berbunyi.
Sara
Raihana segera menjawab dengan ceria. Dia terus berlalu ke mejanya meninggalkan
Chan Chee Hong yang termangu-mangu di hadapan Ustazah Habsah. Chan Chee Hong
terasa resah. Bagai ada sembilu menusuk kalbu apabila melihat Sara Raihana
berbual mesra di telefon. ‘Tentu tunang Cikgu Sara yang telefon, sebab tu ceria
semacam,’ bisik hatinya. Cemburukah dia?
“Chan
nak tanya apa tadi?” soalan Ustazah Habsah mengejutkannya dari lamunan.
“Err…saya
nak masuk Islam. Macam mana caranya?” jawab Chan Chee Hong teragak-agak tapi
cukup untuk mengejutkan Ustazah Habsah.
“Mari
duduk di sini.” Ustazah Habsah menunjukkan kerusi yang kosong di hadapannya. Chan
Chee Hong duduk di kerusi itu tetapi tidak terlalu dekat dengan Ustazah Habsah.
Dia tahu batas-batas yang perlu dijaga.
“Chan,
betul ke kamu nak memeluk Islam?”
Chan
Chee Hong mengangguk yakin.
“Bapa
kamu dah tahu?”
Geleng.
“Saya
takut kalau saya beritahu dia akan menghalang niat saya. Walaupun dia benarkan
saya belajar Pendidikan Islam tapi tak bererti dia akan benarkan saya memeluk
agama Islam dengan mudah. Dulu dia pernah berpesan, belajar Pendidikan Islam
bukan bermakna kamu akan masuk agama mereka. Dia bagi belajar Pendidikan Islam
pun hanya kerana dia ingin buktikan kepada Nazir dan pengetua sekolahnya yang
pernah menolak kaedah dia dulu,” terang Chan Chee Hong panjang lebar.
“Alhamdulillah.
Ustazah amat gembira dengan keputusan kamu. Kamu tunggu di sini sekejap.
Ustazah nak panggil Ustaz Hadi untuk bincangkan apa yang perlu kita lakukan
seterusnya.”
Ustazah
Habsah melangkah ke arah meja Ustaz Hadi yang terletak di bahagian kanan bilik
guru tersebut. Walaupun bilik guru tersebut tiada dinding pemisah, tetapi
bahagian kiri bilik guru diduduki guru perempuan yang bilangannya lebih ramai
dan di sebelah kanan bilik didiami guru lelaki.
Chan
Chee Hong memerhatikan Ustazah Habsah yang tampak sungguh gembira dari
kejauhan. Ekor matanya masih dapat memerhatikan gelagat Sara Raihana yang
sedang leka berbual di telefon. Butir-butir percakapan tidak jelas tetapi
telinganya dapat menangkap beberapa patah perkataan. Dia tahu Sara Raihana
sedang berbincang tentang majlis pernikahan yang akan diadakan pada hari Jumaat
akan datang.
‘Semoga
Cikgu berbahagia,’ bisik hatinya. Dia pasrah. Sara Raihana tidak mungkin
menjadi miliknya. Dari kejauhan dia melihat Ustazah Habsah melambaikan tangan
memberi isyarat agar dia bergerak ke arah mereka. Chan Chee Hong segera mengatur
langkah. Dia pasti Ustaz Hadi dan Ustazah Habsah akan memberi khabar gembira
kepadanya.
“Chan,
Ustaz Hadi boleh bantu kamu. Disebabkan kamu masih di bawah umur, kita
rahsiakan dahulu pengislaman kamu daripada pengetahuan bapa kamu,” kata Ustazah
Habsah.
“Chan, kita tak perlu mendaftarkan pengislaman kamu buat seketika
sehingga umur kamu mencapai 18 tahun.
Kamu boleh mengamalkan Islam secara senyap-senyap dan jangan menimbulkan
kecurigaan keluarga,” sambung pula Ustaz Hadi.
Ustaz Hadi tahu implikasi yang
bakal ditempuhi oleh saudara Muslim yang memeluk Islam semasa berumur 18 tahun
ke bawah kerana tidak ada pertubuhan kerajaan atau individu yang berani menjaga
kebajikan mereka. Oleh itu ahli keluarga boleh menuntut mereka di mahkamah atas
alasan melanggar Perlembagaan Persekutuan. Ibu bapa atau penjaga mempunyai hak
memaksa saudara Muslim tersebut untuk kembali kepada agama asal tanpa ada
perlindungan undang-undang terhadap mereka untuk mengekalkan agama mereka.
Mereka
amat maklum yang Chan Chee Hong tidak akan pulang setiap hari ke rumahnya
kerana semua pelajar sekolah berasrama penuh perlu tinggal di asrama sepenuh
masa. Dia hanya akan pulang bila cuti persekolahan atau pulang bermalam. Jadi,
untuk merahsiakan hal ini mungkin akan berjaya.
“Saya
pun rasa begitu Ustaz,” Chan Chee Hong berkata penuh yakin.
Kali
ini dia akan tetap dengan pendiriannya. Dia tidak mahu berpaling lagi. Islam
yang dipelajarinya amat sempurna. Dia amat kagum akan keperibadian Rasulullah
s.a.w. Hatinya sentiasa tenang bila mendengar pengajaran Ustazah Habsah sewaktu
pelajaran Pendidikan Islam. Ketenangan yang tidak dapat digambarkan dengan
kata-kata. Ustazah Habsah pernah meminjamkan sebuah buku agama tentang Islam.
Hatinya tersentuh apabila membaca terjemahan ayat Al-Quran dalam Surah Muhamad
ayat 19 yang bermaksud; ‘Ketahuilah sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan
Allah dan mintalah ampun atas dosa-dosa kamu dan dosa-dosa orang Islam.’ Pada
ketika itu dia tahu yang cahaya iman telah tumbuh di hatinya.
Ustaz
Hadi menepuk bahu Chan Chee Hong dengan penuh mesra seraya berdoa, “Semoga
segala urusan dipermudahkan Allah dan moga kamu mendapat petunjuk dan hidayah
ke jalan yang lurus, jalan yang diredhai Allah.”
“Insya
Allah” jawab Chan Chee Hong dan disambut dengan senyuman yang lebar daripada
kedua-dua ustaz dan ustazah tersebut.
2 ulasan:
kak, ni bukankah cahaya iman tajuknya knapa jd i love cik gu. Tpi mcam best lah
Ya ni Cahaya Iman tapi editor tukar tajuk jd ILYC. Cerita ni penuh emosi suka, sedih, cemas dan kasih sayang, dlm bab2 mendatang.
p/s sediakan tisu selepas bab 6.
Catat Ulasan