Pengikut

Sabtu, 27 Julai 2013

KIES 9 - Bab 4 dan 5


Bab 4

 “Assalamualaikum!” Salam yang diberi, mengejutkan aku dan Is dari lena. Mataku celik luas untuk melihat lelaki yang berdiri di hadapan kami. Is menjawab salam sambil membetulkan duduknya. Pelukan di tubuhku dileraikannya.
“Saudara buat apa di sini?” tanya lelaki yang berbaju Melayu dan berkopiah.
“Maafkan kami. Kami dalam perjalanan balik ke kampung. Sebab letih, kami tumpang rehat di sini sekejap. Cadangnya nak bertolak lepas solat Subuh,” terang Is sambil bangun untuk bersalaman dengan lelaki itu.
“Tak mengapa. Ini rumah ALLAH. Sesiapa pun boleh tumpang berehat.”
“Terima kasih. Boleh tak saya dan isteri tumpang mandi di sini?”
“Boleh. Dipersilakan.”  
Is mengambil beberapa keping wang kertas lalu diberi kepada lelaki tersebut sebagai sumbangan untuk masjid. Lelaki yang merupakan Siak Masjid mengucapkan terima kasih dan berlalu dari situ.
“Kenapa awak asyik mengaku saya isteri awak?”
 “Bukankah Ku Sha tahu sebabnya? Kenapa tanya lagi?” Is tersenyum.
“Oh, Lupa! Jika awak mengaku saya isteri awak, orang akan kasihan dan sudi membantu. Jika mereka tahu awak tak ada apa-apa hubungan dengan saya, tentu pandangan mereka berbeza. Silap-silap awak dianggap nak larikan saya pula.” Aku cuba tersenyum tetapi terasa hambar.
“Pergilah mandi. Lepas siap nanti sertai jemaah lain solat Subuh,” arah Is, lembut.
Aku tunduk melihat kakiku. Malu bila perlu berterus terang.
“Awak kata tahu semua tentang sayakan?”
“Ya.” Is mengerutkan dahinya, hairan.
“Jadi awak tahu yang saya tidak pernah solat dan tak tahu bagaimana nak lakukannya.”
“Abang tahu dan abang harap Ku Sha mahu belajar. Peringkat mula, ikut sahaja apa yang imam buat. Lihat sama makmum sebelah menyebelah. Kalau mereka sujud, Ku Sha sujudlah. Kalau tak tahu nak baca apa, ikut sahaja bacaan imam. Buat macam budak-budak yang baru belajar.” Is tersenyum sambil memandang wajahku yang nampak serba salah.
“Boleh ke macam tu? Saya takut berdosa kerana macam saya main-main pula. Saya malu dengan ALLAH kerana tak pernah sujud kepada-Nya.”
“Ku Sha baru nak belajar, jadi kalau salah tu dimaafkan. Bila Ku Sha takut dosa bermakna hati Ku Sha dah mula nak berubah. Jangan fikirkan sangat soal lain. Buat dulu, nanti bila kita dah sampai ke tempat selamat, abang akan ajar Ku Sha”
Hatiku tersentuh dengan kata-katanya.
 “Awak, saya minta maaf kerana berkasar dengan awak semalam. Saya juga nak ucapkan terima kasih kerana selamatkan nyawa saya.”
“Dah kewajipan abang. Pergilah mandi. Tak lama lagi dah nak masuk Subuh. Nanti tak sempat pula Ku Sha nak siap.”
“Baiklah.”
Aku mengambil beg sandang dan berlalu ke tandas wanita. Aku agak terkejut melihat keadaan di situ. Kotor dan menjijikkan. Hampir termuntah aku dibuatnya apabila pintu tandas pertama kutolak. Mangkuk tandas dipenuhi najis. Segera pintu tandas tersebut aku tutup. Aku keluar dari situ dengan menekup mulut dan hidung. Hairan aku dengan sikap orang yang mengaku Islam. Islam menitik beratkan kebersihan tetapi tandas masjid pun kotor. Belum lagi di tempat lain. Mana penghayatan tentang kebersihan di dalam Islam? Tidak seperti di negara Barat. Tandas mereka bersih, padahal mereka bukan Islam.
“Kenapa Ku Sha?”
Aku menoleh dan terlihat Is yang sudah berkain pelikat sedang memandangku dengan kehairanan.
“Err... tandas tu kotor sangat. Rasa nak termuntah. Kalau saya tak mandi, boleh tak? Lagipun saya tak ada tuala. Semua pakaian saya ada dalam kereta Azni. Dalam beg sandang ni pun hanya ada barang peribadi dan penjagaan diri.” Aku beralasan.
“Seeloknya, Ku Sha mandi sebab nanti tak tahu lagi kita nak singgah di mana. Lambat lagi nak sampai ke sana. Mungkin malam baru sampai. Kalau tak ada tuala, Ku Sha ambil ni.” Is memberi tuala di tangannya.
“Tak mengapalah. Saya tak biasa guna tuala orang lain. Biar saya basuh apa yang patut. Bila sampai destinasi kita, baru saya mandi.”
“Ikut suka Ku Sha. Abang hanya nasihat.”
 Is bergegas ke tandas lelaki untuk membersihkan dirinya meninggalkan aku yang masih teragak-agak di situ. Perlahan-lahan aku memasuki tandas itu semula dan menghampiri tandas kedua. Aku nekad, jika tandas itu pun tidak boleh digunakan aku akan keluar tanpa membersihkan diri. Apabila pintu tandas terbuka, tandas tersebut boleh digunakan dan agak bersih. Walaupun ada rasa tidak selesa, aku memasukinya juga kerana air di dalam pundi kencingku sudah mulai memberi isyarat untuk keluar.
Selesai membersihkan diri secara ala kadar, aku cuba berwuduk. Tetapi aku gagal mengingati langkah berwuduk yang pernah dilakukan oleh Inspektor Azni sewaktu aku tinggal selama dua hari di rumahnya sebelum ini. Ketika itu aku hanya memerhati. Walaupun ada keinginan untuk bertanya, tetapi aku pendamkan sahaja. Malah ajakan Inspektor Azni untuk bersolat, kupandang sepi.
Lama aku merenung paip air di ruang berwuduk. Aku gagal mengingati langkah untuk berwuduk.
Ah! Kenapa aku perlu ikut cakap dia? Aku tak kenal siapa dia. Dia mengaku kerja dengan ayahanda tapi ayahanda tak pernah kata apa-apa pun. Nama penuh dia pun aku tak tahu. Jangan-jangan dia orang jahat yang menyamar. Hatiku mula dipengaruhi bisikan syaitan. Tapi, dia dah bersusah payah menyelamatkan aku. Tak mungkin dia berniat jahat. Dia pun nampak baik dan lakukan solat. Orang jahat mana nak solat? Akalku berperang dengan hati.
Akhirnya aku keluar dari tandas setelah azan berkumandang. Aku teragak-agak untuk memasuki ruang solat untuk wanita. Separuh hatiku terasa ingin menurut saranan Is. Belajar solat walaupun lebih kepada mengikut perlakuan imam. Separuh lagi melarang dengan alasan wudukku tidak sempurna kerana tidak pasti turutan berwuduk yang betul.
“Masuklah kalau nak solat,” terdengar suara perempuan menegurku dari belakang.
Aku menoleh dan memberikan senyuman kepada dua orang wanita yang lengkap bertelekung. Aku menggelengkan kepalaku. Mereka membalas senyumanku dan masuk ke dalam masjid. Mungkin pada anggapan mereka, aku uzur syaraie.
Aku berjalan menuju motorsikal Is. Vest kalis peluru serta jaket kulit terletak elok di atas motorsikat. Vest tersebut berlubang tetapi tidak tembus. Jari jemariku menyentuh bahagian yang berlubang itu.
“Jika aku ikut keras kepalaku tak mahu pakai vest ni masa Azni suruh, tentu aku dah arwah. Nasib baik Azni bertegas. Aku dah kehilangan bodyguard dan kawan yang baik. Jika aku tahu siapa dalang di sebalik semua ni, aku tak akan lepaskan. Malah aku tak akan maafkan dia. Dia dah buat aku hilang orang-orang yang aku sayang.” Aku bermonolog. Wajahku sugul sesugulnya.
Aku duduk di bangku batu berhampiran motorsikal. Mataku pandang ke arah pintu masuk ruang solat. Mendengar bacaan yang dialunkan oleh imam membuat hatiku sayu. Tanpa sedar air mata mengalir di pipi. Ingatanku mengimbau hari terakhir aku melihat ayahanda dan bonda.
“Sha, ayahanda harap Sha berubahlah. Janganlah pergi ke parti dan bergaul dengan orang-orang yang bukan Islam. Hiduplah sebagai seorang Islam yang patuh pada suruhan ALLAH. Hidup kita hanya sementara. Bertaubatlah selagi belum sampai ajal.”
“Ayahanda, Sha muda lagilah ayahanda. Belum masa nak mati. Nanti bila Sha dah tua, Sha bertaubatlah. Pada Sha, kawan dengan orang bukan Islam lebih baik dari yang Islam. Ramai Melayu yang Sha jumpa, hipokrit dan suka mengambil kesempatan atas status dan kekayaan kita. Ayahanda pun tahukan, apa yang lelaki Melayu tu dah buat pada Sha? Kawan-kawan Sha yang bukan Islam lebih jujur dan tak mengambil kesempatan. Malah sentiasa ada waktu untuk Sha.”
“Sha, bonda tak mahu Sha terus sesat dan terpengaruh dengan mereka. Sha boleh berkawan tapi berpada-padalah. Jangan ikut kesesatan mereka. Jangan kerana marahkan Raja Azrin, Sha musnahkan diri. Ramai lagi lelaki Islam yang sesuai buat Sha.” Bonda memegang tanganku bagi memujukku.
“Bonda, Sha dah besar dan tahu mana yang baik buat Sha. Bonda tak payah risaukan Sha. Sha tahu jaga diri.” Nadaku tetap keras.
“Jaga diri dengan berpeleseran bersama-sama lelaki bukan Islam? Itu yang Sha kata tahu jaga diri? Ayahanda takut suatu hari Sha dirosakkan oleh mereka pula. Paling ayahanda takut jika Sha terpengaruh dengan agama mereka. Nauzubillahiminzalik.” Ayahanda menggeleng-geleng kepala bimbang dengan kenyataan tersebut.
“Apa ayahanda merepek ni? Sha hanya nak ke parti Jenny. Bukan nak masuk agama mereka. Sejahil-jahil Sha, Sha tak akan ikut agama mereka. Pada kami, urusan agama bukan perkara pokok. Ikut agama atau tidak sama sahaja. Bukan Sha seorang yang minum arak, ramai lagi yang buat macam tu. Sha pun tak berzina dengan mereka walaupun Sha sedar ada antara mereka yang buat.” Suaraku mulai meninggi.
“Sha, tolonglah dengar nasihat ayahanda dan bonda. Sha seorang sahaja anak kami. Sha adalah amanah buat ayahanda dan bonda. Ayahanda tahu selama ni, ayahanda dan bonda terlalu memanjakan Sha. Segala kemahuan Sha kami ikut. Kami takut nak tegur Sha bila Sha buat salah. Ayahanda sedar, hidup kita selama ini pun jauh dari agama. Kita lalai dalam melaksanakan perintah dan larangan ALLAH. Tapi ayahanda bersyukur, hidayah ALLAH tiba juga. Ayahanda harap Sha juga mahu berubah. Kembalilah kepada agama kita, Sha. Kembalilah sebelum terlambat,” pujuk ayahandaku, lembut.
“Sha tak mahu! Kalau ayahanda dan bonda nak berubah, silakan. Jangan libatkan Sha jika ayahanda dan bonda tak mahu kehilangan Sha,” ujarku separuh mengugut. Aku berdiri untuk berlalu dari situ.
“Kiesha! Kenapa kurang ajar sangat ni? Bonda dan ayahanda tak pernah ajar Sha tinggikan suara bila bercakap. Sejak Sha belajar di luar Negara, sikap Sha makin teruk. Bila tegur, terus mengamuk dan tinggikan suara. Sha nak jadi apa hah?” Bonda tidak dapat mengawal kemarahannya.
Siapa yang suka jika anak kesayangan mulai bersikap biadap? Tentu bonda dan ayahanda tidak boleh menerimanya.
“Bonda pun sama dengan ayahanda. Suka mengongkong Sha dan larang yang bukan-bukan. Sha nak pergi dari sini. Sha tak mahu tengok bonda dan ayahanda lagi. Sha harap bonda dan ayahanda tak cari Sha.”
“Sha!”
Ayahanda yang marah menampar pipiku. Aku tergamam. Tidakku sangka ayahanda kesayangan akan berbuat begitu. Selama ini ayahanda tidak pernah mencuit apatah lagi menjentikku. Tetapi hari ini ayahanda telah menampar mukaku. Pipiku terasa pijar. Sakit di pipi tidak sesakit rasa di hati.
“Sha benci ayahanda dan bonda! Sha tak akan balik lagi ke sini. Selamat tinggal buat selamanya.”
Aku mencapai kunci kereta lalu berlari keluar. Pintu kereta kubuka kasar. Aku memasuki kereta dan menghidupkan enjin. Tiada air mata yang mengalir di pipiku. Hatiku keraskan sekeras tembok batu. Enggan kalah dengan ayahanda dan bonda.
Pantas aku mengundurkan keretaku. Melalui cermin pandang belakang, aku dapat melihat bonda dan ayahanda sedang memanggil dan melambai ke arahku. Bonda jatuh tersepuk dengan linangan air mata ketika keretaku melepasi pagar rumah. Ayahanda juga mengesat air mata yang berjurai.
“Ku Sha!” Sentuhan di bahu mengejutkan aku daripada kenangan itu. Aku melihat wajah tenang di hadapanku. Mungkin kesan wuduk.
“Ku Sha tak solat?”
Aku menggeleng.
“Hmm... tak mengapalah. Lepas ni, abang nak Ku Sha belajar. Jangan malu jika tak tahu. Yang penting, Ku Sha kena bertaubat dan berubah.”
“Ya, Sha nak bertaubat dan berubah. Sha berdosa pada bonda dan ayahanda. Adakah bonda dan ayahanda maafkan Sha? Sha kesal sebab berkasar dan lari keluar rumah hari tu. Jika semua ni tak terjadi pada Sha, tentu Sha terus hanyut. Betul kata ayahanda, bila bercampur gaul dengan mereka sikit sebanyak mereka cuba pengaruhi Sha. Benjy pernah ajak Sha ke gereja kerana katanya Sha akan tenang bila di sana. Tapi Sha tolak sebab pada Sha agama bukan penting. Orang tak ada agama pun hidup macam orang lain. Makan pakai, kahwin, hidup senang dan tak perlu fikir soal haram halal. Semuanya boleh dibuat.”
Is melihat aku menangis. Dia hanya membiarkan aku meluahkan apa yang terbuku di hati.
“Sha begitu bodoh dan hanyut dalam keseronokan dunia. Sha fikir umur muda untuk berhibur. Bila dah tua nanti, baru bertaubat. Tapi Sha lupa ajal maut di tangan TUHAN. Bila-bila masa ALLAH boleh ambil. Inspektor Azni pun muda lagi. Tapi ALLAH ambil nyawa dia ketika dia ada di atas badan Sha. Pasti amat sakit kematian dia sedangkan dia tak tinggal solat. Sha pula derhaka pada ALLAH, pada bonda dan ayahanda. Tentu lebih dahsyat kematian Sha. Sha tak nak mati lagi, Is. Sha nak bertaubat. Tolonglah Sha, Is.”
 Tanpa sedar aku menggenggam tangan Is. Is tersenyum dan menganggukkan kepala.
“Ku Sha jangan bimbang. Itu dah tugas abang.”
Is mengusap belakangku seperti memujuk. Tanpa paksa, aku menukar ganti nama diri kepada yang lebih sopan. Mungkin kerana aku telah selesa dengan Is. Cuma aku masih tidak mampu memanggilnya, abang.
“Jom kita gerak sekarang. Lagi cepat kita keluar dari sini, lagi cepat kita sampai.”
Aku mengangguk dan berdiri untuk mengambil topi keledar. Is menghulur vest kalis peluru kepadaku.
“Kalau Sha tak pakai, boleh tak?”
“Pakailah. Untuk keselamatan Ku Sha juga. Kalau Ku Sha tak nak buka baju T tu, sarungkan sahaja di atas. Lepas tu, Ku Sha pakai jaket ni.” Is menunjukkan jaket kulitnya.
Aku mengikut saranan Is. Is membutangkan vestku dan kemudian menyarungkan jaket ke tubuhku. Zip ditarik hingga ke atas. Aku hanya membiar segala perbuatan Is. Hatiku seolah senang dengan layanan Is. Tangan Is pantas mengambil topi keledar lalu diletakkan di kepalaku. Mataku asyik merenung Is ketika Is mengikat tali topi keledar di daguku. Terlintas di minda, aku pernah melihat Is sebelum ini. Tapi di mana aku tidak pasti. Is menjongketkan keningnya kepadaku.
“Kenapa renung abang macam tu? Ada apa-apa yang Ku Sha nak kata?”
Aku yang tersedar segera melarikan anak mataku. Malu menerpa ke muka apabila tertangkap sedang khayal memerhati raut wajahnya.
“Err... tak ada apa-apa. Sha cuma tertanya, siapa awak yang sebenarnya?”
“Ku Sha akan tahu juga nanti. Sabarlah, ya sayang.”
 Is mengusap lembut pipiku sambil berbisik ke telingaku. Tergamam aku mendengar panggilan sayang yang diucapkan Is. Hatiku bergetar mendengar lantunan suara Is yang seakan menggoda. Aku sentuh pipi yang diusap oleh Is. Terasa seolah ada aliran air mengalir di hatiku. Segar dan menyamankan. Seperti air terjun di Lata Iskandar. Perasaan yang pernah aku rasa suatu ketika dulu ketika bersama Raja Azrin.
“Naiklah. Takkan abang nak dukung Ku Sha pula.”
Teguran Is yang telah berada di atas motorsikal membuatkan aku tersipu malu. Segera aku menaiki motorsikal dengan senyuman di bibir.


Bab 5

Is memberhentikan motorsikal di sebuah kedai makan setelah beberapa jam merentasi jalan bandaran. Sengaja dia tidak memilih lebuh raya bagi mengelak dikesan musuh. Aku turun daripada motorsikal dan menanggalkan topi keleder. Kami bergerak masuk ke dalam kedai makan lalu membuat pesanan.
“Awak, boleh Sha tahu nama penuh awak? Tak adillah jika awak tahu semua hal Sha, tapi Sha tak tahu hal awak. Paling tidak, awak ceritakan sedikit latar belakang awak.” Aku tersenyum kepadanya.
“Kalau Ku Sha tahu pun, Ku Sha nak buat apa? Nak beri jawatan CEO pada abang?”
Dia tersenyum. Aku menjeling geram.
“Paling tidak kalau orang tanya siapa nama suami Sha, Sha tahulah nak jawab.” Sengajaku tekankan perkataan suami dengan nada marah. Aku berharap dengan alasan itu, dia akan berterus terang.
“Abang boleh beritahu dengan syarat, Ku Sha panggil abang dengan panggilan abang, bukan awak.”
Dia menjongketkan kening bersama senyuman yang manis. Aku berfikir sejenak.
“Baiklah. Sha akan panggil abang memandangkan abang lebih tua daripada Sha. Bukan sebab abang, suami Sha. Suami olok-olok bukannya suami betul.”
Panjang muncungku tanda tidak suka tetapi terpaksa. Setakat panggilan abang, rasanya tidak menjadi hal. Panggilan itu pun umum. Bukannya bersayang, darling atau seangkatan dengannya. Dia ketawa melihat wajah cemberutku, kemudian terhenti kerana makanan yang dipesan telah tiba. Setelah menyisip sedikit air, dia mulai bercerita.
“Nama penuh abang, Iskandar Zulkarnain bin Isman Zaim. Kawan-kawan panggil abang, Is tapi keluarga abang panggil Nain. Bonda Ku Sha panggil Is Nain. Hanya dia yang panggil begitu. Panggilan yang istimewa buat abang.”
“Bonda memang suka panggil nama seseorang lain daripada yang lain. Sengaja nak cari kelainan katanya.” Perlahan suaraku menahan sebak di dada.
Mengingati bonda, membuat aku sedih. Air mata yang menitis, aku seka. Sejak beberapa hari ini airmataku begitu mudah untuk menitis. Tidak seperti dahulu. Ketika itu airmata begitu mahal untuk mengalir di pipi.
“Maafkan abang kerana buat Ku Sha sedih. Abang pun rindukan bonda Ku Sha. Kami selalu berbual bila berjumpa,” ujar Iskandar cuba memujukku.
“Tak perlulah abang panggil Ku Sha. Panggil Sha dah memadai,” ujarku perlahan.
Aku cuba mengorak senyum. Tidak mahu terus menunjukkan rasa sedihku. Tidak mahu dilihat lemah. Aku ingin kembali bersikap tegas dan berani seperti dahulu. Dia menganggukkan kepala.
 “Nama yang bonda panggil untuk abang, menarikkan?”
“Ya. Abang pun panggil bonda?” tanyaku bila menyedari hal itu.
“Bonda yang suruh panggil begitu. Dia anggap abang macam anak dia.”
“Tapi kenapa Sha tak pernah lihat abang sebelum ni? Malah bonda tak pernah cerita tentang abang. Begitu juga dengan ayahanda.”
“Sha pernah lihat abang tapi mungkin Sha tak ingat sebab abang selalu menyamar. Lagi pun abang tak pergi ke rumah bonda jika Sha ada. Waktu awasi Sha di luar negara pun Sha tak perasan sedangkan abang tinggal di blok yang berhadapan dengan blok Sha.”
“Menyamar? Jadi rupa selekeh ni pun menyamarlah, ya?” Walaupun berada dalam kesedihan, mulutku tetap berbisa. Salah satu sifatku. Berterus terang tanpa memikirkan perasaan orang lain.
“Abang tak sempat nak urus. Sibuk sangat.” Dia memberi alasan sambil memegang jambang liar di pipinya.
“Sibuk? Abang buat apa? Kata kerja dengan ayahanda. Jawatan apa yang ayahanda beri selain jadi bodyguard Sha?” bertalu-talu soalanku.
“Maafkan abang. Sebenarnya mak abang meninggal sehari sebelum kejadian tu. Sebab tu abang tak ada untuk bantu Tengku Kamarul. Pengawal keselamatan yang patut bertugas malam tu pun lambat datang. Tinggal Muluk seorang yang jaga. Nampak gayanya mereka dah rancang dengan teliti. Malah kejadian black out tu pun mereka yang buat. Bila semua kawasan bergelap, mudah mereka menyusup masuk. Soal jawatan, memang tugas abang awasi Sha dan tolong Tengku Kamarul,” jelasnya dengan wajah yang sugul.
“Dah berapa lama abang awasi Sha?”
“Sejak tahun lepas. Tengku Kamarul risau dengan perubahan sikap Sha yang makin liar, sebab tu dia hantar abang ke sana. Tapi dia suruh abang awasi Sha dari jauh. Dia bimbang jika Sha tahu, Sha larikan diri atau bertindak di luar jangkaan. Abang kena pastikan Sha selamat dan yang penting tidak murtad. ALHAMDULILLAH, abang dapati Sha masih kekal Islam. Walaupun ada ketika mabuk dan suka berpeleseran.”
Aku menyambung makan tanpa memberi respon. Ada resah yang bertandang tetapi aku cuba berlagak biasa. Aku ingin bertanya sesuatu tetapi kupendamkan sahaja. Adakah dia tahu apa yang menyebabkan diriku berubah? Adakah bonda menceritakan kisahku dengan Raja Azrin Shah kepadanya?
 Ah! Raja Azrin... sakit bila terkenang, sedangkan aku telah berusaha melupakan kesakitan itu.
Kami terus makan tanpa bicara. Selesai makan, Iskandar membawaku ke kedai menjual jubah dan tudung wanita. Aku agak hairan.
“Kenapa kita ke sini? Abang nak beli pakaian untuk penyamarankah?”
 “Hmm... lebih kurang. Tempat yang kita nak pergi ni tak terima pakaian macam yang Sha pakai. Di situ mesti menutup aurat.”
“Hah! Kena pakai jubah yang rupa macam karung guni ni?”
Dia mengangguk dengan senyuman di bibir. Wajah kelatku terpamer.
“Sha tak nak pakai. Tempat apa yang abang nak bawa Sha ni?”
“Nak tak nak, Sha kena pakai untuk elak diri kita dikesan musuh. Tapi jangan risau. Pakai masa di luar rumah sahaja. Dalam rumah, Sha bebas nak pakai apa. Tak pakai apa pun tak apa.” Dia tergelak sedikit.
Aku menjeling geram. Boleh tahan gatalnya. Tetapi aku tetap mengambil pakaian yang diberi lalu masuk ke bilik persalinan. Selesai mencuba dan memilih pakaian, Iskandar membayar walaupun berkali-kali aku ingin membayarnya. Kami kemudian menyambung kembali perjalanan. Iskandar membelok masuk ke kawasan kampung dan menghentikan motorsikal di sebuah rumah papan.
“Kita di mana?” tanyaku setelah turun daripada motorsikal.
 Mataku meninjau sawah padi yang luas terbentang. Suasana yang tenang dan mendamaikan.
“Ini rumah kawan abang, Adli. Kita singgah sekejap di sini. Rehat dan kemudian tukar pakaian. Sha kena pakai jubah tadi.”
Iskandar mencapai beg dan bungkusan pakaian yang baru dibeli. Aku menyambut bungkusan pakaian yang dihulurkan oleh Iskandar.
“Macam mana nak naik motor pakai jubah? Rasa macam tak sesuai aje.” Aku tayang muka cemberut lagi.
Don’t worry, sayang. Nanti kita naik kereta bukan naik motosikal. Jom kita masuk,” jawab Iskandar sambil memegang tanganku.
Aku hanya menurut langkah Iskandar. Mataku meliar melihat keadaan sekeliling yang sunyi. Iskandar memberi salam dan salamnya dijawab dari arah belakang rumah. Muncul perempuan separuh umur diikuti seorang lelaki yang sebaya Iskandar. Lelaki itu bersalaman dengan Iskandar manakala aku bersalaman dengan perempuan itu.
“Is, lawa isteri kamu.” Puji perempuan itu dengan tangannya masih memeluk tubuhku.
Iskandar tersengih mendengar pujian itu. Aku agak hairan kerana perempuan itu turut beranggapan begitu. Tetapi mulutku terkunci kerana yakin Iskandar sedang menjayakan penyamaran kami. Mungkin Iskandar telah memberitahu Adli akan kehadiran kami dan memperkenalkan aku sebagai isterinya. Aku membuat andaian sendiri.
Baik! Jika mereka beranggapan begitu, maka aku perlu melakonkan sebaik mungkin. Aku isteri Iskandar, bisik hatiku.
Iskandar memperkenalkan aku kepada Mak Cik Melur dan anaknya Adli. Aku meramahkan mulut menjawab semua pertanyaan Mak Cik Melur, walaupun sebenarnya aku tidak suka.
 “Is, bawa isteri kamu berehat. Sekejap lagi mak cik siapkan makan.”
“Kami dah makan tadi mak cik. Tak payah susah-susah. Kami nak salin pakaian dan tumpang solat saja,” terang Iskandar.
Aku mengangguk laju menyetujui Iskandar. Tidak mahu aku berlama-lama di rumah ini. Seboleh mungkin aku mahu cepat sampai ke destinasi dan berehat sepuas-puasnya.
“Kalau begitu, pergilah masuk ke bilik dan rehat,” arah Mak Cik Melur.
Iskandar yang kelihatan tidak kekok berada di situ, dengan selamba menarik tanganku masuk ke bilik yang dimaksudkan. Aku memandang sekitar bilik yang dilengkapi katil kayu kelamin dan almari pakaian. Iskandar menutup pintu dan meletakkan begnya di tepi almari. Dia merebahkan badan di katil.
“Berapa lama abang nak rehat di sini?” tanyaku sambil melabuhkan punggung di birai katil.
“Sejam jadilah. Sha boleh mandi dan salin baju. Abang nak tidur sekejap. Lepas Sha mandi, kejutkan abang,” arah Iskandar sambil memejamkan matanya.
Aku meneliti pakaian yang terdapat di dalam bungkusan tadi. Sehelai jubah hitam, tudung dan niqab. Aku membuka jaket dan vest kalis peluru. Beg sandang kucapai lalu aku menuju ke dapur. Mak Cik Melur sedang sibuk menjerang air. Adli tidak kelihatan di situ. Mungkin dia berada di luar.
“Mak cik, saya nak mandi. Bilik air di mana?” Soalku sambil mata memerhati sekitar ruang dapur.
“Bilik air di luar. Kalau Tengku nak mandi, Tengku kena turun ikut pintu tu,” jelas Mak Cik Melur sambil menunjuk arah pintu dapur.
Aku melangkah menuju ke pintu.
“Tengku, maaflah jika Tengku tak selesa. Rumah mak cik ni serba kekurangan. Mandi pun kena turun ke bawah.”
“Eh! Tak mengapa mak cik. Saya tak kisah. Janji boleh mandi dan salin pakaian. Dah berbau satu badan,” jawabku berbasa basi. Padahal ada rasa tidak selesa di hatiku sejak aku masuk ke rumah ini. Tetapi aku menahan sahaja sedaya upaya. Maklumlah aku hanya menumpang.
“Pergilah mandi. Nanti mak cik buatkan air untuk Tengku dan Is.”
Aku hanya tersenyum dan melangkah menuruni anak tangga. Berhati-hati aku melangkah kerana anak tangga itu terlalu kecil pada pendapatku. Mataku terpaku melihat bilik air yang berdinding separuh. Bahagian atas dinding terbuka dan aku yakin sesiapa yang berdiri di jendela bilik dapat melihat dengan jelas orang yang berada di dalam bilik mandi itu.
Teragak-agak aku menanggalkan pakaian. Mataku asyik memandang ke arah jendela bilik. Takut jika Iskandar atau Adli yang berdiri di situ. Pasti mereka akan melihat ‘wayang percuma’. Setelah yakin tiada siapa yang melihat, aku mulai mandi dan membersihkan badan menggunakan bahan penjagaan diri yang kubawa bersama. Selesai mandi, mataku terpandang tingkap bilik yang didiami Iskandar telah terbuka. Padahal sebelum ini, tingkap itu tertutup.
Hatiku mulai memikirkan pelbagai andaian. Dan andaian yang paling aku tidak suka, Iskandar telah melihat ‘tayangan percumaku’. Aku cuba bertenang dan meyakinkan diri yang Iskandar telah tertidur. Tidak mungkin dia melihat. Tetapi siapa yang membuka tingkap itu? Tidak mahu memikirkan sangat soal itu, aku mencapai bungkusan pakaian.
“Alamak! Terlupa nak beli pakaian dalam. Nampak gayanya kena pakai baju masam ni sekali lagi,” ujarku, perlahan.
Aku mengelap badan menggunakan baju T dan kemudian mengenakan jubah yang terdapat di dalam bungkusan. Baju T lembab aku masukkan ke dalam beg plastik. Aku melangkah keluar dan menaiki anak tangga. Ekor mataku sempat melihat Adli yang sedang memeriksa enjin kereta di bawah pokok mangga.
Hatiku terasa lega. Pasti bukan Adli yang membuka tingkap itu. Tapi kalau bukan Adli, siapa ya? Iskandar?
Aku segera melangkah ke bilik selepas menyapa Mak Cik Melur yang masih berada di dapur. Hati terasa panas memikirkan kemungkinan Iskandar yang membuka tingkap dan melihat aku mandi. Suatu yang tidak boleh aku maafkan.
 

Tiada ulasan: