Iskandar
membawaku ke pasaraya yang terdapat di Bandar kecil tidak jauh dari kampung
Adli. Aku memilih beberapa helai pakaian kasual dan pakaian dalam walaupun aku
tidak suka. Tiada pakaian berjenama seperti yang selalu aku pakai. Di sini
hanya terdapat pakaian berjenama tempatan. Mahu tidak mahu, aku terpaksa
membeli kerana tiada pilihan. Iskandar tidak mahu ke bandar yang lebih besar.
Bimbang akan musuh, katanya. Tetapi aku tidak berapa setuju dengannya.
Musuh mana yang dapat mengecam aku jika seluruh
tubuhku tertutup? Hanya mata yang kelihatan. Iskandar sendiri juga agak berbeza
penampilannya. Dia kelihatan seperti seorang ustaz. Malah sepanjang aku memilih
pakaian, aku dipanggil ustazah dan Iskandar dipanggil ustaz. Aku iyakan sahaja
walaupun dalam hati, ketawaku menggeletek. Atas desakan Iskandar, aku turut
membeli beberapa helai jubah untuk kupakai sepanjang penyamaranku. Iskandar
turut memilih pakaian untuknya.
“Ada apa-apa yang Sha nak beli lagi?” tanya Iskandar
sambil melihat jarum jam.
“Rasanya dah cukup. Sha dah letihlah abang. Jom kita
balik.”
Aku paut lengannya. Dia hanya membiarkan dan kami
berjalan menuju kereta. Barang-barang di masukkan ke dalam but kereta. Aku turut
meletakkan barang yang kubeli.
“Sha tunggu sekejap. Abang nak beli air,” beritahu
Iskandar setelah memanaskan enjin.
Tanpa menunggu jawapanku, Iskandar melintas jalan
dan menuju ke gerai menjual air dan buah-buahan. Berkerut dahiku melihat
Iskandar membeli di situ.
“Hisy! Kotorlah. Kenapa tak beli di restoran? Tepi
jalan ni belum tentu bersih.” Aku mengumam sendirian. Terbayang habuk dan asap
kenderaan mencemari air serta buah yang dijual di situ.
Iskandar datang semula dengan tangannya memegang
bungkusan air serta buah-buahan yang telah dipotong. Aku membukakan pintu dari dalam. Iskandar menyua kepadaku gelas
plastik berisi cendol serta bungkus buah-buahan. Aku mengambil dan meletaknya
di tengah-tengah. Iskandar mencapai gelas cendol dan menyisip penuh nikmat. Aku
hanya melihat dengan rasa loya.
“Ah! Leganya. Sedap cendol ni. Sha minumlah.”
Iskandar
memperlawa tanpa menyedari mimik mukaku yang sedang mencebik. Mana mungkin dia
nampak kerana wajahku terlindung dengan niqab.
“Sha tak dahaga.” Aku beralasan.
“Tak dahaga atau tak sudi? Jangan jual mahal sangat.
Abang tahu Sha dahaga. Ingat, sekarang Sha terpaksa lalui semua kesusahan. Tak
boleh lagi nak bermewah-mewah. Jadi belajarlah menerima apa yang ada. Rezeki
jangan di tolak.” Iskandar seperti dapat membaca fikiranku.
Aku yang kehilangan kata, mencapai gelas plastik
yang dihulur oleh Iskandar. Niqab kuselak sedikit dan perlahan-lahan aku
menyisip air cendol.
Pergh! Sedapnya. Tanpa malu, berterusan aku menyisip
air tersebut. Iskandar tersenyum lebar dan memulakan pemanduannya.
Aku mencapai bungkusan buah-buahan yang dipotong
serta ditabur sedikit asam, Sepotong jambu berasam kumasukkan ke mulut. Selepas
itu sepotong demi sepotong masuk ke mulutku. Rasanya aku lebih banyak
menghabiskan buah-buah itu berbanding Iskandar. Hilang segala loya dan segala
fikiranku tentang habuk dan asap. Dah masuk perut, semua tidak terasa.
Kami tiba di rumah Mak Cik Melur setelah hari
menginjak senja. Aku menolong Iskandar mengangkat barangan yang dibeli masuk ke
bilik.
“Sha nak mandi tak?” tanya Iskandar sambil
menanggalkan jubahnya.
Aku turut menanggalkan tudung dan niqab lalu duduk
di atas katil.
“Gelaplah di luar. Sha salin baju ajelah.”
Aku beralasan
padahal aku memang malas untuk mandi. Cukup sekali sehari. Mungkin kebiasaanku
di luar Negara terbawa-bawa hingga aku pulang ke Malaysia.
“Kalau Sha takut, abang boleh temankan. Kalau nak
mandi sekali pun abang tak kisah. Mak Cik Melur tentu tak kata apa-apa.
Maklumlah kitakan pengantin baru.” Iskandar tersenyum lebar.
Terkejut beruk aku dengan kenyataannya. Mana mungkin
aku berbuat begitu dengannya? Dia bukan suamiku. Walaupun hidup aku agak lepas
bebas, tetapi aku tidak pernah berbuat begitu.
Nak mandi dengan perempuan pun tak, inikan pula lelaki.
Nak cari nahas?
“Err... terima kasihlah. Sha tak rasa nak mandi.
Abang pergilah. Sha nak salin baju.” Aku beralasan sehabis baik. Bimbang jika
aku berkasar dengannya, dia tidak mahu lagi menemaniku.
“Baiklah. Abang keluar dulu. Kalau Sha rasa nak
mandi, turunlah ke bawah,” pelawa Iskandar sambil tangannya mencapai tuala.
Aku hanya tersenyum dan setelah dia keluar, aku
segera menanggalkan jubahku. Terasa lega bila tubuhku yang berpeluh terkena
angin kipas. Sejuk dan selesa. Aku mengambil bungkusan pakaian yang baru
dibeli. Pakaian dalam dan baju T aku keluarkan. Pakaian dalam yang telah
melekit dengan peluh aku gantikan dengan yang baru. Walaupun bukan jenis
berjenama luar Negara, tetapi tetap terasa selesa. Rupanya buatan tempatan pun
bermutu juga.
Aku sarung baju T longgar paras paha. Iskandar tidak
membenarkan aku membeli baju T tanpa lengan atau ketat. Oleh itu kebanyakan baju
T yang dibeli agak labuh melepasi punggung. Aku hanya menurut lebih-lebih lagi
aku memakai jubah dan niqab ketika itu. Mana mungkin seseorang berwatak ustazah
memakai pakaian tidak cukup kain!
Telingaku terdengar bunyi air dari arah bilik air.
Perlahan-lahan aku menghampiri tingkap yang masih terbuka. Aku berdiri di
tingkap itu dan menghalakan mataku ke arah bilik air. Sengaja aku berdiri di
situ untuk memastikan setakat mana seseorang itu boleh nampak orang yang berada
di dalam bilik air. Aku nampak Iskandar yang sedang mandi tetapi hanya bahagian
atas sahaja.
Sedang aku asyik memikirkan orang yang telah membuka
tingkap itu, Iskandar terpandang ke arahku. Dia melambaikan tangan kepadaku
sambil tersenyum.
“Sha! Marilah mandi. Sejuk air ni,” laung Iskandar.
Aku menggeleng dengan senyuman di bibir. Iskandar
terus mandi tanpa memperdulikan aku yang memerhatinya.
Kenapa dia tak rasa malu pun? bisik hatiku, hairan.
Mungkin dia dah biasa. Aku membuat andaian. Tapi peluang dah terbentang depan
mata, apalagi? Skodenglah sepuasnya! Bibirku mengorak senyum. Memang sah, aku
gatal!
Aku melihat Iskandar mencapai tualanya dan mengelap
badan. Setelah itu dia membelitkan tuala ke pinggang. Dia membongkok seketika
dan kemudian menyidai sehelai kain yang basah.
“Hmm...patutlah. Dia pakai kain basah rupanya,” gumam
aku sendirian.
Setelah Iskandar keluar daripada bilik air, aku
menutup tingkap. Aku duduk di katil menantikan Iskandar. Iskandar masuk ke
dalam bilik dan mencapai beg pakaiannya. Dia mengeluarkan kain pelikat dan baju
T. Aku asyik melihat dia mengenakan pakaian dan hanya tersedar ketika dia
menghulurkan tuala lembab kepadaku.
“Sha tolong sidai sekejap.”
Aku menyambut hulurannya dan menyidai tuala di
palang besi. Iskandar membentang sejadah untuk menunaikan solat.
“Sha tak nak solatkah? Marilah ikut abang.”
“Err...abang solatlah. Sha nak tengok dulu. Nanti
bila lapang, abang ajar Sha.” Aku beralasan lagi.
Iskandar tersenyum dan kemudian memakai kopiah. Dia
menunaikan solat. Aku hanya memerhati. Bacaan surah yang dibaca Iskandar
menarik hatiku. Terasa merdu suaranya membaca ayat-ayat yang tidak aku fahami.
Selesai Iskandar menunaikan solat, dia mengangkat sejadah dan menyimpannya.
“Abang buat solat apa tadi? Bukankah lepas bagi
salam dah selesai solat tu?” Aku menyoal Iskandar kerana tidak memahami apa
yang dilakukan oleh Iskandar.
Iskandar duduk di sebelahku sambil tersenyum.
“Abang buat solat Jamak dan Qasar. Itu yang Sha
nampak dua kali abang bagi salam. Nanti bila kita tinggal di tempat Mak Engku,
Sha boleh belajar semua tu.”
Aku mengangguk lemah. Terasa begitu jahilnya diriku.
Asas agama pun aku tidak tahu.
“Sha tak sejukkah pakai baju tanpa seluar?” Iskandar
memandang pahaku yang terdedah.
“Sha rasa panas. Tadi nak beli seluar pendek, abang
tak bagi. Seluar panjang buat Sha berpeluh.” Aku beralasan lagi.
“Dalam bilik Sha boleh pakai macam ni. Nanti Sha nak
keluar, kena pakai seluar panjang atau kain. Kena hormat Mak Cik Melur. Sha
fahamkan?”
“Ya. Nanti kalau Sha nak keluar, Sha pakailah. Abang
tak kisahkan Sha pakai macam ni depan abang?”
“Abang tak kisah. Sha boleh pakai apa aje depan
abang. Tapi jangan depan orang lain, tau.” Iskandar mencuit hidungku.
“Kenapa depan abang aje yang boleh?” soalku seperti
orang bodoh.
“Sha tahu sebabnyakan?” Iskandar sengaja membuat aku
berteka-teki.
Sebelum sempat aku menyoalnya dengan lebih lanjut,
dia mengajakku keluar untuk menolong Mak Cik Melur menyediakan makan malam. Aku
mengambil seluar panjang dan memakainya sebelum melangkah keluar bersama-sama
Iskandar.
Mak Cik Melur baru sahaja keluar daripada biliknya
untuk ke dapur. Iskandar membantu Mak Cik Melur menyediakan makan malam. Aku
hanya menjadi pemerhati setia. Tidak membuat apa-apa kerja sekadar melayan Iskandar
dan Mak Cik Melur bercerita.
“Tengku makan budu tak?” tanya Mak Cik Melur.
“Budu? Apa tu?” Aku tertanya-tanya makanan apa yang
dimaksudkan oleh Mak Cik Melur.
“Ini.” Iskandar meletakkan sebotol budu di
hadapanku. Aku meneliti kandungannya.
“Makan macam kicapkah? Letak atas nasi,” soalku
lagi.
Mak Cik Melur dan Iskandar ketawa mendengar
soalanku. Aku terpinga-pinga tetapi hati kecilku agak terasa bila melihat
Iskandar ketawa. Sentap sekejap.
“Sorry,
sayang. Abang tak sengaja nak ketawa. Soalan sayang tu agak lucu.” Iskandar
mengusap lembut kepalaku.
Aku menolak tangannya bila menyedari rambutku telah
kusut akibat perbuatannya itu. Aku membetulkan rambutku dan memberi jelingan
marah kepadanya.
“Mak cik selalu buat sambal budu cicah dengan ulam.
Mak cik potong cili padi, cili besar, tomato dan bawang merah. Lepas tu perah
sikit air limau nipis dan masukkan budu.” Mak Cik Melur menunjukkan sambal
budunya yang telah siap.
Aku menganggukkan kepala walaupun tidak berapa
faham. Aku tidak tahu memasak. Walaupun bonda ingin mengajarku, tetapi aku
sering menolak. Padaku, kerja-kerja memasak boleh diuruskan oleh pembantu
rumah.
Selesai memasak, Iskandar membantu Mak Cik Melur
menghidang makanan. Aku sekadar menyendukkan nasi buat kami bertiga. Kerja yang
lain dilakukan oleh Iskandar. Iskandar membaca doa makan dan kami
mengaminkannya. Aku mencuba sambal budu. Sekali, dua kali dan kemudian
berkali-kali aku mencicah ulam dan isi ikan ke dalam sambal budu. Berselera aku
makan malam itu.
Aku menolong Iskandar mengemas pinggan makan dan
membawanya ke singki. Seperti biasa, aku hanya melihat Iskandar melakukan semua
kerja. Aku berbual dengan Iskandar
sehingga kerja-kerjanya selesai. Mak Cik Melur telah meminta diri untuk
menunaikan solat Isyak.
“Abang, temankan Sha ke tandas.”
Aku menarik tangan Iskandar apabila pundi kencingku
mulai bergelora. Iskandar menurut langkahku tanpa soal. Aku mengarahkan agar
Iskandar menantiku di hadapan tandas. Dia menurut kehendakku. Selesai membuang
air, aku menapak keluar. Mataku cepat menangkap kelibat lipas tidak jauh dari kakiku.
Aku terjerit kecil dan melompat ke arah Iskandar. Tangannya kupaut.
“Hisy! Lipas pun takut. Pijaklah dengan kaki.”
“Gelilah bukan takut. Kalau pijak lagi geli,” jawabku
sambil mata memerhati lipas itu.
“Hmm...yalah tu. Kalau setakat geli kenapa pegang
tangan abang kuat-kuat?” tanya Iskandar sambil tersengih.
Aku mencebikkan bibir kerana sememangnya aku takut
dengan lipas. Lipas pernah masuk ke dalam bajuku sewaktu aku kecil menyebabkan
aku terpekik terlolong. Tengku Budriz datang dan menolongku mengeluarkan lipas
itu. Aku memeluk tengkuk Tengku Budriz sekuat-kuatnya hingga Tengku Budriz
hampir sesak nafas. Selepas kejadian itu aku sering ketakutan jika terlihat
lipas. Tetapi bila aku telah dewasa, perasaan takut itu dapatku kawal.
Iskandar mengajakku naik ke atas dan menutup pintu. Kami
berjalan beriringan menuju ke bilik. Sebaik sahaja masuk ke bilik, aku menanggalkan
seluar panjangku lalu kucampak sesuka hati. Aku melabuhkan punggung di atas
katil. Iskandar mengunci pintu dan mencapai seluar panjangku. Dia mengambil
penyangkut dan menyangkut seluarku.
“Abang, siapa agaknya yang rancang pembunuhan bonda
dan ayahanda? Betulkah ayahanda berhutang dengan lintah darat dan tak dapat
jelaskan bayaran hingga menyebabkan mereka dibunuh?” soalku sambil memandang
tepat ke arahnya.
Iskandar duduk di sebelahku. Aku menanti tutur kata
daripadanya. Dia mencapai tanganku lalu digenggamnya.
“Jangan fikirkan sangat. Yang penting sekarang Sha
selamat. Soal siapa yang terlibat, abang tak dapat maklumat yang tepat. Mungkin
ya dan mungkin juga tidak. Apa pun, kita tunggu aje arahan Kapten Meor.”
Aku menyandarkan tubuhku ke tubuh Iskandar. Beban
perasaan yang kutanggung menyebabkan otakku seolah tumpul dan tidak mampu
berfikir dengan jelas. Segalanya kabur dan aku seolah berada di dalam teka-teki
yang tiada jawapannya.
Tanpa sedar aku menangis apabila teringatkan bonda
dan ayahanda. Kematian mereka membuat aku terumbang ambing. Terasa separuh
jiwaku dibawa pergi. Tergambar diingatan tubuh bonda dan ayahanda yang berlumuran
darah. Begitu kejamnya pembunuh itu menembak bertubi-tubi ke tubuh ayahanda dan
bonda. Tentu sakit kematian mereka. Tidak dapat aku bayangkan kesakitan yang
mereka alami.
“Bonda.”
Makin deras airmataku mengalir. Iskandar menarikku
ke dalam pelukannya. Memujuk dan mengusap belakangku, lembut. Aku membenamkan
wajah ke dada Iskandar. Menangis sepuas hati. Hampir dua minggu kematian bonda
dan ayahanda tetapi keadaanku tetap sama. Menangis apabila malam menjelma. Menyesali
diri serta merindui ayahanda dan bonda.
“Bonda.
Jangan tinggalkan Sha.”
“Shh! Jangan sedih. Abang ada untuk sayang.”
Terasa tubuhku dibaringkan. Aku memeluk tubuh yang
berbaring di sebelahku. Memanggil-manggil bonda dan ayahanda. Aku karam dalam
tangisan. Airmataku diseka. Wajahku diusap lembut dan sesekali terasa pipiku
dicium. Pelukan di tubuhku makin lama makin erat. Terasa ketenangan di dalam
pelukan itu. Setenang semalam. Sewaktu aku tidur di dalam pelukan Iskandar.
“Abang, jangan tinggalkan Sha.” Aku berbisik di
telinga Iskandar.
“Abang tak akan tinggalkan sayang. Sha isteri abang
buat selamanya.”
Ucapannya amat menyenangkan hatiku. Terasa aku
benar-benar isterinya. Perlahan-lahan aku memejamkan mata dan cuba melupakan
masalah yang membelenggu hatiku. Terdengar Iskandar membacakan doa. Aku tak
tahu untuk apa tetapi aku amat menyenangi perlakuannya itu.
Mobile - Ilham Grup Buku Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan