Aku
memandang sekeliling. Begitu asing tempat ini. Panas membahang terasa membakar
diri. Mataku terpaku di suatu sudut. Ayahanda berdiri lemah di situ. Wajahnya
penuh penderitaan dan kekesalan. Tanpa kata, tetapi aku tahu dia sedang
menanggung azab yang tidak terperi.
Aku baru menyedari aku sedang membawa sedulang bara
api ke arah ayahanda. Walaupun aku cuba menahan diri agar tidak bergerak,
tetapi aku tak berjaya. Kakiku melangkah dengan sendiri tanpa dapat kukawal. Aku
seolah-olah hilang kawalan terhadap diriku sendiri. Seolah ada kuasa lain yang
mengawalnya.
Dulang berisi bara api yang panas tidak terperi,
kuhulur kepada ayahanda. Ayahanda menyambut dulang itu dan memamah bara-bara
api dengan rakus. Jeritan kesakitan memenuhi ruang. Habis terbakar wajah
ayahanda. Tetapi seketika kemudian wajah ayahanda pulih kembali walaupun
kelihatan kehitaman.
Tanganku mengambil dulang bara api kedua lalu aku
menghulurkannya kepada ayahanda. Aku melihat ayahanda terpaksa menerima dan
memakannya seperti tadi. Berulang-ulangkali kulihat seksaan yang ayahanda
alami. Hancur luluh hatiku mendengar jeritan dan lolongannya meminta bantuan.
Aku tidak mampu menolong malah aku yang menambah seksaan buatnya.
“Sha, tolong ayahanda! Ayahanda tak tahan disiksa
begini,” jeritan ayahanda bergema.
“Ayahanda kenapa jadi begini? Kenapa ayahanda makan
bara-bara api tu?” soalku dalam tangisan.
“Ini semua salah ayahanda sebab tak tegur atau
marahkan Sha bila Sha tinggalkan solat lima waktu. Tiap solat yang Sha tinggal
sewaktu Sha di bawah tanggungjawab ayahanda, ayahanda turut menanggung
azabnya.”
Terkejut aku mendengar kata-kata ayahanda. Setiap
dosa yang kulakukan sewaktu aku masih di dalam tanggungjawab ayahanda akan
ditanggung oleh ayahanda. Sangkaku, aku menanggung sendiri segala dosaku.
Rupanya apa sahaja yang kulakukan telah membabitkan ayahanda juga. Aku hanya
mampu menangis dan terus menangis. Tanganku hulur untuk menyentuh tubuh
ayahanda tetapi terhalang.
Beberapa ekor ular bersaiz sebesar tengkuk unta dan
amat panjang menantiku dengan ghairah. Terjelir-jelir lidahnya dengan bunyi
berdesis yang kuat. Amat kuat sebenarnya hingga membingitkan telinga. Dengan
pantas ular-ular itu menyambar dan menggigit seorang wanita di hadapanku. Aku
terpaku melihatnya.
Terpekik terlolong wanita itu menahan bisa ular yang
kulihat menjalar ke seluruh tubuhnya. Bisa ular itu menggelegak dan
menghancurkan tubuhnya. Sekeping demi sekeping tubuh wanita itu luruh. Ngeri
aku melihatnya. Aku cuba menutup mata tetapi tidak berjaya. Seolah apa yang
berlaku adalah untuk tontonanku. Kemudian tubuh itu kembali seperti sediakala.
Ketika wanita itu berpaling, hatiku amat terkejut. Rupa-rupanya wanita itu
adalah bondaku. Aku cuba menjerit memanggilnya tetapi suaraku tiada. Seolah aku
bisu.
Tubuhku menggeletar melihat ular-ular yang semakin
menghampiriku. Aku cuba larikan diri tetapi kakiku seperti terpasak di situ.
Air mata meluncur membasahi pipi. Aku tahu aku juga akan mengalami azab seperti
mana yang bonda alami sebentar tadi. Ini semua kerana aku meninggalkan solat
lima waktu. Seluruh tubuhku menggigil. Takut yang amat sangat menerpa ke hati.
Aku melihat ular tersebut membuka mulutnya seluas-luasnya. Aku tahu dalam
sekelip mata pasti tubuhku akan merasakan azab bisa ular itu.
“Tolong! Tolong! Jangan gigit Sha.”
Aku menepis ‘ular’ yang ingin menyentuh tubuhku.
“Sha!”
“Pergi! Pergi! Jangan gigit Sha.”
Aku terjerit-jerit ketakutan. Kaki dan tanganku
menepis dan menendang sesuka hati. Dapat kurasakan tangan-tangan kasar memegang
tanganku dan kemudian merebahkan badanku secara meniarap. Badanku ditekan
hingga tidak dapat bergerak. Aku bertempik, keras.
“Sha! Mengucap.”
Hujung telingaku mendengar suruhan itu tetapi
lidahku bagaikan digam, enggan mengucap. Tiba-tiba telingaku terasa panas.
Terdengar ayat-ayat suci al-Quran dibacakan ke telingaku. Bagaikan terpukau,
aku diam dan tidak meronta. Terasa sedikit ketenangan. Aku dapat rasakan air
disapu ke mukaku.
“Macam mana Is?” terdengar suara Mak Cik Melur
menyoal.
“Dia dah sedar,” kata Iskandar.
“Alhamdullillah. Kasihan Tengku. Tentu dia masih
sedih dan tak dapat terima kematian kedua-dua ibu bapa dia. Is kena jaga dia
baik-baik. Nanti sampai di tempat tu,
mintalah Mak Engku ubatkan dia. Jiwa dia lemah sangat ni,” ujar Mak Cik
Melur.
Tubuhku dialihkan oleh Iskandar. Perlahan-lahan aku
didudukkan oleh Iskandar. Aku lihat Mak Cik Melur sedang memandangku dengan
senyuman. Aku cuba tersenyum tetapi terasa payah.
“Minum ni Tengku,” ujar Mak Cik Melur sambil
menyuakan air kepadaku.
Aku menyambut hulurannya. Iskandar turut memegang
gelas yang berada di tanganku. Mungkin juga dia tahu, tenagaku seperti
kehabisan hinggakan memegang gelas pun agak goyah.
“Minum perlahan-lahan,” ujar Iskandar apabila mendapati
aku meneguk air dengan agak rakus.
Tekakku terasa perit dan kering. Air yang kuminum
terasa tidak mencukupi bagi membasahkannya. Aku meminta air lagi dan Iskandar
menuangkan segelas lagi buatku. Setelah aku selesai minum buat kali kedua, baru
terasa lega tekakku. Aku hulurkan gelas kepada Iskandar dan dia menyambutnya.
Aku menyandarkan badan di almari pakaian. Baru jelas di mataku keadaan bilik
yang seperti tongkang pecah. Adakah aku yang sepahkannya?
Mak Cik Melur yang berpuas hati dengan keadaanku,
meminta diri untuk masuk tidur. Aku memandang Iskandar yang menutup dan
mengunci pintu setelah Mak Cik Melur keluar. Iskandar membetulkan cadar dan
mengangkat bantal yang berselerak di lantai. Aku hanya melihat tanpa mahu
menolong.
“Sayang, jom baring di katil.”
Aku cuba untuk bangun tetapi terasa tidak berdaya.
Iskandar menunduk lalu mengangkatku ke katil.
“Abang, apa yang terjadi tadi?”
“Sha mengamuk secara tiba-tiba. Mak Cik Melur kata,
Sha masuk tidur lebih awal tadi.
Aku cuba mengingati kembali apa yang aku lakukan
sebelumnya. Selepas makan malam, Iskandar telah keluar untuk ke bengkel kereta
Adli. Aku pula masuk ke bilik dan membaca majalah yang dibelikan oleh Adli. Aku
membaca artikel berkaitan seksaan di akhirat bagi orang yang meninggalkan solat.
“Tadi Sha mimpi ayahanda diseksa kerana Sha
tinggalkan solat. Azab betul Sha tengok keadaan ayahanda. Paling Sha kesal, Sha
sendiri yang beri ayahanda makan bara api. Sha tahu ayahanda tak pernah tegur atau
halang perbuatan Sha. Lepas Sha pulang ke Malaysia enam bulan yang lepas,
ayahanda dan bonda ajak Sha supaya berubah. Tapi Sha tetap dengan ego Sha.”
Aku menangis lagi. Pantas Iskandar menarikku ke
dalam pelukannya. Iskandar mengusap lembut rambutku sambil memujukku.
“Sha, itu semua hanyalah mimpi. Jangan terlalu
fikirkan sangat soal tu. Sha sekarang bawah tanggungjawab abang dan bukan lagi
ayahanda. Abang akan bantu Sha untuk berubah. Kalau Sha sayangkan ayahanda dan
bonda, Sha banyakkan berdoa untuk mereka. Tingkatkan amalan Sha dan mohon
keampunan ALLAH.”
“Sha nak bertaubat. Adakah ALLAH akan ampunkan
segala dosa-dosa Sha?”
“Insya-ALLAH Sha. ALLAH Maha Pengampun dan Maha
Pemurah. Kita kena berharap hanya kepada ALLAH. Semoga ALLAH mengampunkan
dosa kita dan dosa-dosa ayahanda serta bonda.”
Aku tersenyum
sambil mendongak memandang wajah Iskandar. Dia turut memandangku dengan
senyuman.
“Jangan
tinggalkan Sha.”
“Abang takkan
tinggalkan Sha.”
“Janji?”
“Ya, abang
janji,” ujar Iskandar lalu ketawa.
“Kenapa
ketawa?”
“Sebab
abang suka bila Sha tanya begitu. Terasa abang dihargai dan diperlukan oleh
Sha.”
“Memang
Sha perlukan abang. Tanpa abang, Sha mungkin tak terselamat dalam serangan
dulu.”
“Dah
tanggungjawab abang, Sha. Suami memang wajib melindungi isteri. Mungkin lepas
ni anak-anak kita juga,” ujar Iskandar sambil mencuit hidungku.
Aku
tersenyum mendengar pengakuan Iskandar. Pelukan di tubuhku makin erat. Terasa
damai dan menenangkan jiwa. Aku memejam mata bersama azam baru. Azam untuk
berhijrah. Meninggalkan kesesatan dan mencari cahaya kebenaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan