Tanganku
menolak daun pintu bilik. Aku telah sediakan segala sumpah seranah untuk dihamburkan kepada Iskandar. Tetapi aku agak
terkejut melihat Iskandar yang tidur dengan lena. Mulutnya ternganga sedikit
dan mengeluarkan dengkuran kasar. Pasti tidurnya telah nyenyak. Mana mungkin
dia yang membuka tingkap itu? Hatiku dibaluti kebingungan. Siapa yang membuka
tingkap tadi? Mungkinkah Mak Cik Melur yang tolong membukanya?
Aku duduk di birai katil sambil menatap wajah
Iskandar. Kalau jambang dan misai dia dibuang, bagaimana rupanya? Tentu kacak.
Walaupun sedikit gelap tapi hidung dia mancung. Hatiku mula membayangkan rupa
sebenar Iskandar. Asyik aku meneliti raut wajahnya hingga terlupa pesanan yang
dibuatnya sebelum ini. Apabila teringat, aku segera merapatkan diri ke sisi
Iskandar. Tubuhnya kusentuh.
“Abang, bangun.”
Aku menggoncang-goncang lengannya. Sepantas kilat
dia menyambar tanganku dan menarik aku ke katil. Aku terjatuh di atas katil dengan
tanganku dikilas ke belakang. Lulutnya menekan belakang badanku.
“Abang! Ini Sha,” jeritku.
Aku pasti dia tidak sengaja berbuat begitu kepadaku.
Mungkin tindakan refleks akibat terkejut. Iskandar segera melepaskan tangannya
dan membantu aku untuk bangun.
“Maafkan abang, Sha. Abang terkejut. Bukan sengaja
nak cederakan Sha. Terasa macam musuh yang cuba nak serang abang. Sha tak
apa-apakan?”
Cemas
Iskandar memeriksa tanganku. Mukanya beriak seperti orang bersalah. Tanganku
digosoknya, berkali-kali. Malah dia turut menggosok belakangku yang ditekan
dengan lututnya tadi.
“Sha tak apa-apa. Abang jangan cemas sangat.” Aku
mengorak senyum melihat sikapnya yang sangat mengambil berat tentang diriku.
“Betul Sha tak apa-apa? Abang takut Sha cedera.
Maafkan abang, ya.” Iskandar menggenggam tanganku dan merenung mataku ketika
mengucapkan kata maaf.
“Sha maafkan abang,” ujarku sambil membalas
genggaman tangannya.
Iskandar menarik tanganku dan menciumnya. Kemudian dia
bangun dan mencium dahiku penuh syahdu. Terasa aku benar-benar isterinya saat
itu. Perasaanku terbuai-buai. Tanpa sedar aku mencium tangannya. Tindakan
spontan. Seperti sepasang suami isteri yang baru selesai menjalani adat
menyarung cincin selepas akad nikah.
Iskandar tersenyum lebar. Mungkin juga dia
terperasan yang aku terbawa-bawa dengan watak seorang isteri. Malu menerpa
kalbu. Iskandar bangun dan mengambil begnya. Dia mengeluarkan kotak kecil dari dalam beg. Mulutnya masih
tersungging senyuman. Aku seperti terpukau, hanya memerhati tindak tanduknya
tanpa soal.
Dia duduk di sebelahku dan membuka kotak kecil itu. Cincin
yang terdapat di dalamnya, diambil. Tangan kananku ditarik perlahan. Aku hanya
menurut dan membiarkan perlakuannya.
“Sha, abang harap Sha sudi pakai cincin ini sebagai
tanda Sha isteri abang.” Iskandar menyarungkan cincin ke jari manisku.
Hatiku rasa gembira walaupun sedikit pelik. Mungkin
jari jemariku yang kosong membuatkan dia terfikir untuk memberikanku cincin itu.
Aku mengingatkan diri bahawa aku perlu pulangkan cincin itu selepas semua ini
berakhir. Mungkin dengan adanya cincin ini, orang akan lebih mempercayai
lakonan kami.
Aku melihat cincin emas putih bertatahkan berlian
pemberian Iskandar. Bibirku mengorak senyum. Spontan aku memberikan ciuman di
pipi Iskandar tanda terima kasih. Dia agak terkejut tetapi tetap tersenyum
gembira. Mungkin kerana aku tidak banyak kerenah bila menerima cincin itu.
Nak kisah
apa? Cincin ini hanya sementara. Sekadar melengkapkan lakonan kami. Tapi kenapa
aku bersungguh-sungguh seperti aku isteri sebenarnya? Hingga aku mencium tangan
dan pipinya. Sedangkan tiada siapa yang melihat lakonan kami berdua. Hati aku
keliru dengan diri sendiri. Perasaanku terbuai-buai gembira di saat itu.
“Sha dah mandi?”
Pertanyaan Iskandar mengejutkan aku dari alunan
rasa. Segera aku kembali ke alam nyata. Alam yang menyedarkan aku bahawa aku
dan Iskandar bukan siapa-siapa. Bukan kekasih jauh sekali suami isteri. Mungkin
hubungan kami sekadar pekerja dan anak majikan. Ya, dia bodyguardku. Hatiku berbisik mengingatkan status tersebut.
“Sha dah mandi. Err... siapa yang buka tingkap tu?”
Aku menyoal Iskandar setelah terlihat tingkap yang terbuka.
“Bukankah Sha yang buka?”
“Bukan,” jawabku lemah.
Hati dipagut hairan. Kalau bukan Iskandar yang buka
siapa yang membukanya?
“Betul abang tak buka? Abang tak lihat Sha mandikan?”
Soalku tidak berpuas hati. Cuak juga jika dia mengaku melakukannya. Malu siot!
“Sha nampakkan abang tidur tadi. Tapi kenapa Sha
tanya? Ada orang intai Sha?” soal Iskandar sambil matanya merenung wajahku.
Tajam dan menikam ke dasar kalbu.
“Err...tak. Hmm...lupakanlah.” Aku tergagap-gagap. Tidak
tahu bagaimana hendak bereaksi bila dia merenung sebegitu. Terasa cair dan
lemah seluruh anggota.
“Sha rehatlah dulu. Abang nak mandi sekejap dan
solat. Lepas abang solat, kita gerak semula.”
Aku mengangguk dan memerhati langkahnya keluar daripada
bilik.
“Huh! Lega. Lama-lama duduk dengan dia, boleh cair
aku nanti.”
Aku meneliti cincin pemberian Iskandar. Memang
cincin perkahwinan. Iskandar macam tahu aku tiada cincin. Jadi disediakannya. Tetapi
mahal juga cincin ini. Mungkin dia belikan untuk isterinya dan dia pinjamkan
sekejap untukku. Aku membuat andaian.
Aku baringkan tubuhku di atas katil, cuba memejamkan
mata tetapi tidak mahu terlena. Panas terasa walaupun kipas ligat memusing di
siling. Aku menanggalkan butang jubah dan membiarkan badanku terdedah. Terasa
lebih selesa apabila terkena angin. Lama kelamaan mataku terpejam dengan
sendirinya.
“Sha.”
Aku terasa tubuhku digoncang kecil. Pantas aku
membuka mata. Iskandar kulihat sedang tersengih memandangku. Aku segera bangun
dan terpandang jubahku yang terbuka. Pasti Iskandar puas melihat tubuhku
sebentar tadi. Malu terasa membahang tetapi aku berlagak biasa. Aku
membutangkan semula jubahku walaupun aku tahu tidak berkelip mata Iskandar
memandangku. Senyum simpulnya terukir di bibir. Tentu seronok melihat ‘tayangan
percuma’. Aku mengutuk diri sendiri yang alpa.
“Kita dah nak bertolakkah?” soalku tanpa memandang
wajahnya.
“ Sha, abang rasa kita kena tukar rancangan. Sebentar
tadi Kapten Meor telefon. Dia beritahu ada orang yang tak dikenali cari abang
di rumah arwah mak.”
“Maksud abang?” soalku mulai cemas tetapi wajah Iskandar
tetap tenang.
“Mungkin musuh kita dah tahu abang bersama-sama Sha.
Mereka dapat teka kita akan ke sana. Jadi, Kapten cadangkan abang bawa Sha ke
tempat lain. Tapi sebelum tu, abang rasa elok kita tinggal di sini buat
sementara waktu dan cari pakaian untuk Sha. Tentu Sha tak selesa pakai pakaian
dalam dan baju yang sama.”
Aku telan air liur kelat. Kenapa perkataan ‘pakaian
dalam’ yang disebutnya begitu memalukan aku? Sedangkan selama ini aku berbikini
di pantai dengan rasa tidak malu. Kalau dilihat dari segi saiz, bikini dan
pakaian dalamku sama sahaja saiznya. Kenapa perlu malu dengan Iskandar?
“Sha malu, ya? Muka dah merah.”
Teguran Iskandar membuatkan tanganku melayang
menampar lengannya. Malu dan geram. Iskandar hanya ketawa.
Gatal...gatal...gatal, gerutu hatiku.
Mataku memandang tepat ke wajah Iskandar. Baru aku
perasan, mukanya nampak berlainan sekali. Tiada jambang dan rupa yang selekeh.
Sekarang rupa Iskandar tampak kemas dan bersih. Iskandar menjongketkan kening
kepadaku dengan senyuman.
“Sha terpesona tengok abang?” tanya Iskandar sambil
memegang dagunya yang licin.
Aku telan air liur dan melarikan pandangan. Jika
lama-lama aku merenungnya takut hatiku makin bertambah cair. Mana perginya sumpahku
untuk tidak jatuh hati pada lelaki Melayu? Aku perlu pertahankan. Hati! Jangan
jatuh padanya. Aku memperingatkan diri sendiri.
“Err... jomlah kita pergi. Tadi kata nak cari
pakaian untuk Sha.”
Aku bingkas
bangun dan mencapai tudung. Aku berdiri di hadapan cermin untuk mengenakannya.
Terkial-kial aku dibuatnya.
“Sha tahu tak cara nak pakai tudung dan niqab ni?”
tanya Iskandar sambil menghampiriku dari belakang.
“Abang tahukah?” tanyaku sambil memusingkan badan
menghadapnya.
Iskandar tersenyum dan mengambil tudung di tanganku.
Dia mengarahkan aku duduk di birai katil. Tangannya mencapai anak tudung lalu
memakaikannya di kepalaku. Selesai memastikan tiada rambutku yang terkeluar,
disarungkan pula tudung ke kepalaku. Dia membetulkan tudung dengan melalukan
jari jemarinya di tepi pipi dan daguku.Wajahnya yang begitu hampir ke wajahku
membuatkan aku keresahan.
Kenapa setiap perlakuannya seperti menggoda hatiku?
Hati! Fokus. Jangan jatuh.
Iskandar mengenakan niqab ke wajahku. Kini yang
kelihatan hanyalah sepasang mataku. Aku suka keadaan ini. Lebih baik jika aku
ada sepasang cermin mata hitam. Pasti apa yang aku lihat tidak akan disedari
oleh orang lain. Jika aku ingin merenung Iskandar sepuasnya, pasti dia tidak
akan tahu. Aku tersenyum sendiri. Gatal juga, aku ni.
“Okey. Dah siap. Sha tunggu sekejap. Abang nak salin
baju.”
Aku hanya mengangguk. Mataku tetap memandang
perlakuannya. Dia hanya tersenyum kepadaku. Sehelai jubah mini dan baju T putih
dikeluarkan daripada begnya. Dia menanggalkan baju T lalu dihulurkan kepadaku.
Aku menyambut walaupun tidak tahu untuk apa. Mataku cepat menangkap otot-otot
pejal milik Iskandar. Mindaku khayal lagi.
Iskandar mengenakan baju T putih dan kemudian jubah.
Dia mengemaskan butang jubah dan kemudian mengambil sehelai serban serta kopiah
putih. Aku hanya meneliti cara dia mengikat serban. Cantik dan kemas. Hatiku
berdebar saat dia memalingkan mukanya menghadapku. Wajahnya begitu tenang dan
kelihatan sangat memukau kalbu. Lebih memukau daripada sebelum ini. Cik hati!
Jangan jatuh!
“Jom Sha, kita keluar.”
Huluran tangannya membuat aku termalu sendiri. Leka
memerhati hingga lupa diri. Tangannya kusambut dan kami keluar daripada bilik
berpegangan tangan, seperti sepasang suami isteri sebenar. Suami isteri yang sedang
hangat bercinta. Tetapi hakikatnya, tidak.
“Adli, aku pinjam sekejap kereta kau,” beritahu
Iskandar.
Adli yang berada di sofa bangun untuk mengambil
kunci kereta. Mak Cik Melur tidak kelihatan di situ.
“Is, kalau kau nak tinggal sini terus pun aku rasa
tak apa. Musuh kau tentu tak tahu rumah mak aku. Lagipun hubungan baik kita
bukan semua orang tahu. Kebanyakannya anggap kita bermusuhan. Pandai juga
Kapten Meor suruh kau ke sini,” kata Adli sambil memberi kunci kepada Iskandar.
“Iyalah. Siapa nak sangka kalau aku sembunyi di
rumah musuh lamaku,” balas Iskandar sambil ketawa.
Aku hanya memerhati dua sahabat berbual. Mak Cik
Melur kulihat baru keluar daripada biliknya dan menuju ke arah kami.
“Ya, Is. Tinggallah terus di sini. Di rumah ni bukan
ada sesiapa. Sekejap lagi Adli balik ke rumah dia, mak cik tinggal seorang
diri. Kalau ada Is dan Tengku tentu lebih meriah rumah mak cik.”
Tinggal di sini terus? Oh! Tidak, bisik hatiku tidak
bersetuju.
“Terima kasih mak cik. Mungkin kami tinggal di sini
sehari dua lagi. Lepas ni saya nak bawa Sha tinggal di tempat Mak Engku,” ujar Iskandar,
memberi alasan.
Aku lega. Kalau sehari dua, mungkin aku boleh
bertahan. Aku tidak betah hidup di kampung. Tidak selesa dengan keadaan panas
dan nyamuk.
“Mak Engku?” tanya Adli sambil matanya memandang ke
arahku.
“Ya. Kapten
yang suruh,” jawab Iskandar sambil mengangguk.
Siapa pula Mak Engku? Kenapa Iskandar dan Adli seolah
merahsiakan sesuatu? bisik hatiku. Pandangan mata Adli dan anggukan Iskandar membuat
aku tertanya-tanya.
“Kami pergi dulu.”
Iskandar menarik tanganku dan aku hanya menurut
langkahnya keluar daripada rumah. Iskandar membuka pintu kereta My Vi putih
untukku dan dia masuk ke tempat memandu. Dia mengenakan tali pinggang keledar
dan menyuruhku turut berbuat begitu. Selama ini aku selalu mengabaikannya. Apatah
lagi selama aku memandu tidak pernah lagi disaman atas kesalahan itu. Disebabkan
Iskandar yang menyuruh, aku hanya patuh walaupun tidak selesa.
“Abang, siapa
Mak Engku?” Aku bertanya setelah berada di jalan raya.
“Mak Engku tu kenalan Kapten Meor. Dia pemilik rumah
anak-anak yatim dan miskin Darul Durrani. Di situ anak-anak yatim dan miskin diajar
menghafal al-Quran serta cara hidup Islam. Ada juga tempat pengajian al-Quran
dan agama yang hanya terbuka untuk orang-orang tertentu saja. Nanti Sha lihat
sendiri. Tempat tu aman dan tertutup. Sha lebih selamat di situ.”
“Abang nak tinggalkan Sha di situ?”
Aku terasa resah. Takut jika Iskandar meninggalkan
aku keseorangan sedangkan aku tidak kenal sesiapa di situ. Tetapi selebihnya,
aku mulai senang dengan dirinya. Dirinya seolah kekuatan hidupku kini.
“Sha jangan bimbang. Abang tak akan tinggalkan Sha.
Sha amanah buat abang. Di mana ada Sha, di situ ada abang.” Iskandar tersenyum
manis.
Hatiku melonjak gembira. Bermakna Iskandar akan
sentiasa ada untukku. Melayani dan memanjakan aku. Aku suka perasaan ini. Ah!
Cik hati, kau dah jatuhkah?
Mobile - Ilham Grup Buku Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan