“Sha,
ada road block di hadapan. Sha duduk
diam-diam dan jangan bergerak,” kata Iskandar sambil memperlahankan van kami.
Aku segera mengenakan niqab dan duduk bersandar di
bangku. Dalam hatiku berdoa agar tidak timbul sebarang masalah. Kedudukanku
agak terlindung daripada pandangan luar. Kotak-kotak barang yang tersusun juga
membantuku menyembunyikan diri. Aku mendiamkan diri apabila van kami berhenti
di sekatan yang dibuat oleh pegawai JPJ. Iskandar memberi salam kepada anggota JPJ
yang bertugas. Salam Iskandar dijawab.
“Minta lesen, encik.”
Pegawai JPJ itu meminta lesen memandu Iskandar dan
Iskandar memberikannya. Setelah meneliti buat seketika, pegawai JPJ itu
memulangkannya kepada Iskandar. Iskandar mengucapkan terima kasih. Pemanduan diteruskan
setelah pegawai JPJ itu memberi isyarat membenarkannya meneruskan perjalanan.
Aku menarik nafas lega setelah van bergerak. Niqab dan tudung aku tanggalkan. Aku
menurunkan kembali kotak yang di letak bagi melindungi pandangan luar. Cermin
gelangsar di belakang Iskandar, kutolak agar terbuka. Ini untuk memudahkan aku
berbual dengan Iskandar.
“Syukur, dia tak periksa van pun,” ujarku.
“Ya, syukur. Tak perlu nak bersoal jawab dengan mereka.
Kalau tak, tentu dia tanya kenapa Sha duduk di belakang?”
“Kalau dia tanya tadi, abang nak jawab apa?” aku
menduga Iskandar.
“Abang jawab, Sha tengah alami alahan mengandung
anak sulung. Asyik pening dan tak boleh duduk depan sebab nampak cahaya
matahari. Nak kena duduk di tempat gelap baru tak pening,” ujar Iskandar lalu
ketawa.
Aku tersenyum sambil menggelengkan kepala.
“Abang ni macam ada pengalaman aje. Abang dah pernah
beristerikah sebelum ni?”
“Benda macam tu tak perlu beristeri pun boleh tahu. Iffah
alami masalah tu masa mula mengandung dulu. Teruk juga Muhayat nak biasakan
diri dengan keadaan tu. Iffah tak boleh bau benda wangi, terus muntah. Tapi
kalau benda busuk, tak apa pula. Pelik betul orang mengandung ni.”
“Siapa Iffah dan Muhayat?”
“Iffah tu, adik abang dan Muhayat pula suami dia. Sekarang mereka
tinggal di New Zealand sebab Muhayat kerja di sana. Iffah baru aje lahirkan
bayi perempuan. Sebab tu ibu dan abah pergi ke sana. Alang-alang dah pergi, ibu
dan abah nak tinggal lama sikit. Nak main-main dengan cucu sulung.”
“Abang ada berapa beradik?” soalku untuk mengetahui
latar belakang Iskandar dengan lebih lagi.
“Abang, dua beradik aje dengan adik abang.”
“Untung abang ada adik. Sha anak tunggal dan tak ada
sesiapa dah.”
“Adik abang, adik Sha juga. Nanti abang kenalkan Sha
dengan mereka.”
Aku tersenyum gembira mendengar pengakuan Iskandar.
Paling tidak, aku masih mempunyai keluarga dan ibu bapa mentua. Tidaklah terasa
hidup sebatang kara.
Keadaan berbukit menyebabkan siaran radio yang
terpasang mengalami gangguan. Iskandar kemudiannya memasang lagu daripada CD
yang terdapat di dalam van. Lagu dapat menghilangkan kebosanan semasa memandu.
Itu yang diberitahunya kepadaku sebelum ini. Iskandar turut menyanyi mengikut
rentak lagu Gangnam Style. Badannya terhinggut-hinggut dan sesekali jarinya
diketuk-ketuk di stereng kereta.
Aku tertawa kecil melihat aksinya. Tanpa sedar
tubuhku juga terikut-ikut rentak lagu itu. Riuh rendah van tersebut dengan
suara sumbang kami berdua. Tiba-tiba Iskandar memperlahankan van dan memberi
isyarat untuk berhenti di tepi jalan.
“Kenapa bang?” soalku agak hairan.
“Tayar pancit.”
Aku melihat Iskandar turun dari van. Cepat-cepat aku
memakai semula tudung dan niqab. Aku turun dan memerhatikan tayar belakang yang
hampir kempis.
“Bukankah abang dah periksa keadaan van ni sebelum
bertolak?”
“Ya, semuanya okey termasuk tayar ni. Mungkin tadi
waktu berhenti di masjid terkena paku,” ujar Iskandar sambil menunjukkan paku
yang terbenam di tayar.
Terdapat sedikit pembinaan di masjid yang kami
singgah tadi. Mungkin paku daripada kawasan pembinaan itu terjatuh hingga
ke petak parkir.
“Abang nak tukar tayar ni. Sayang duduklah dulu di
tempat teduh.”
Iskandar menunjukkan pokok berhampiran untukku
berteduh. Aku mengikut saranan Iskandar dan bergerak ke bawah pokok itu.
Iskandar mengeluarkan alatan untuk menukar tayar. Aku hanya mampu memerhati
kerana aku tidak tahu cara untuk menggantikan tayar. Iskandar mengeluarkan
tayar simpanan dan dibawa ke sisi van. Dia duduk bertinggung untuk melonggarkan
nat.
Mataku cepat menangkap kelibat beberapa orang lelaki
yang menunggang motorsikal. Pelbagai aksi dibuat oleh mereka termasukkan aksi
superman. Aku hanya tersenyum sinis melihat gelagat mereka.
“Nak tunjuk lagak tak kena tempat. Kalau jatuh,
padan muka,” omelku perlahan.
Sedang asyik aku memerhati gelagat mereka, salah
seorang yang membuat lagak mengangkat tayar hadapan, hilang kawalan.
Motorsikalnya terbabas ke dalam belukar di tepi jalan. Dia jatuh tergolek
bersama-sama pemboncengnya. Kawan-kawannya yang lain berpatah balik untuk
melihat keadaannya.
“Bro! Lu tak apa-apa ke?” tanya pemuda berbaju T
hitam gambar tengkorak.
“Wa okey! Small
matter ni,” sahut pemuda yang terjatuh.
Aku hanya melihat pemuda yang terjatuh tadi
mengangkat motorsikalnya. Iskandar masih tekun menukar tayar van. Mungkin
kerana kedudukan Iskandar yang terlindung dari arah jalan, membuatkannya tidak
menghiraukan situasi itu. Tentu pemuda-pemuda itu juga tidak mengetahui
kewujudan Iskandar di situ.
“Hey! Tengok tu. Hantu purdah,” jerit pemuda
berjaket gelap sambil menundingkan jari ke arahku.
Cis! Aku yang lawa macam ni, dia kata hantu purdah.
Ini memang kurang ajar, bisik hatiku.
Pemuda-pemuda yang lain turut memandangku. Kemudian
mereka saling memberi isyarat mata dan gerakan kepala antara mereka.
“Hantu kom-kom! Seorang pula tu,” sahut seorang yang
lain sambil ketawa.
Mereka turun daripada motorsikal dan mula melangkah
ke arahku. Aku telan air liur. Terasa kecut perutku memikirkan kemungkinan
mereka berniat buruk.
“Abang!” Aku memanggil Iskandar setelah kumpulan
lelaki itu kian dekat.
“Abang datang sayang!” sahut lelaki berbaju T hitam
gambar tengkorak.
“Rupanya hantu ni boleh bercakap,” sahut seorang
lagi.
“Walaupun nampak
mata aje, tapi rasanya cantik. Yang bertutup ni mesti barang baik punya. Jom
kita kendurikan dia,” sampuk lelaki berjaket gelap.
Kawan-kawannya bersorak dan berbunyi seperti
serigala yang sedang melolong. Aku cuba untuk mendapatkan Iskandar tetapi
terhalang oleh mereka. Makin seronok mereka ketawa.
“Hoi!” jerkah Iskandar dari arah belakang mereka.
Mereka berpusing ke arah Iskandar. Jelas kelihatan
mereka terkejut dengan sergahan itu. Tambahan pula di tangan Iskandar terdapat
spanar yang digunakannya untuk mengetatkan nat. Pemuda yang seramai enam orang
itu segera mengelilingi Iskandar. Dua orang pemuda mengeluarkan pisau lipat
daripada jaket masing-masing. Iskandar menunggu mereka membuat serangan.
Hatiku resah gelisah. Tidak henti aku berdoa agar
Iskandar selamat. Takut juga kerana Iskandar seorang diri berhadapan dengan
mereka. Aku lihat Iskandar menepis setiap serangan. Lagak gayanya begitu
tangkas, menepis dan menendang lelaki-lelaki itu. Spanar di tangannya tidak
digunakan untuk memukul mereka. Dia hanya menggunakan spanar itu untuk
menghalang tusukan pisau. Pisau di tangan lelaki itu terjatuh apabila Iskandar
menendangnya.
Lelaki itu cuba menyerang lagi dan dengan
menggunakan kekuatan kaki, Iskandar menendang ala-ala peninju Tomoi. Tersungkur
lelaki itu menyembam bumi. Lelaki berbaju T hitam cuba menyerang. Nasibnya juga
seperti lelaki tadi, tersembam ke bumi. Dua orang lelaki cuba menyerang secara
serentak. Iskandar mengelak dan mereka berdua berlaga sesama sendiri.
Aku tergelak kecil melihat keadaan itu. Terasa lucu
melihat mereka menyerang secara membabi buta sedangkan Iskandar punya skil yang
baik dalam serangan dan mempertahankan diri. Begitu jelas perbezaan antara
orang yang belajar seni mempertahankan diri dan yang tidak. Tidak lama masa
yang diambil oleh Iskandar untuk menumpaskan mereka. Hatiku mengucap syukur dan
bertambah kekagumanku terhadap Iskandar.
“Bangun!”
Iskandar menarik telinga pemuda berjaket gelap yang
ingin ‘kendurikan’ aku sebentar tadi. Pemuda itu mengadui sakit tetapi tetap
bangun mengikut arahan Iskandar. Iskandar berhenti di hadapan aku.
“Kau ada niat nak kendurikan isteri aku tadikan?
Cepat minta maaf pada dia,” arah Iskandar sambil melepaskan telinga pemuda itu.
Pemuda itu menggosok-gosok telinganya dan kemudian
meminta maaf padaku.
“Maafkan saya, kak.”
“Maaf aje?” soalku sekadar menambah ‘perisa’.
Berdesing juga telinga kerana pemuda itu memanggilku, ‘kak’. Terasa tua dengan
panggilan itu.
“Saya minta maaf dan saya janji tak akan buat lagi,”
ujarnya sambil mengangkat sebelah tangan seolah berikrar. Mukanya menunjukkan
kesungguhan.
“Baiklah. Saya maafkan kamu,” ujarku sambil
tersenyum.
“Maafkan saya, abang.”
Lelaki itu meminta maaf daripada Iskandar sambil
menyuakan tangan untuk bersalam. Iskandar menyambut salamnya dan menyatakan
kesudiannya untuk memaafkan kesalahan pemuda itu. Dia kemudian memanggil
kawan-kawannya yang lain untuk meminta maaf kepada kami berdua.
“Tentu umur kamu semua dalam belasan tahun lagikan?”
soal Iskandar setelah dia habis menyalami mereka.
“Umur kami antara lapan belas ke dua puluh tahun,”
ujar lelaki berjaket gelap.
“Muda sangat lagi. Sepatutnya kamu semua menghormati
wanita tak kira tua atau muda. Bayangkan jika adik atau kakak kamu yang
diganggu dan hendak dikendurikan. Tentu kamu rasa marahkan? Rasa nak pecahkan
kepala lelaki yang sanggup buat begitu,” ujar Iskandar sambil memandang tepat
ke arah pemuda-pemuda itu.
Mereka semua tertunduk mendengar kata-kata Iskandar.
Masing-masing mengakui kebenaran kata-kata Iskandar dan meminta maaf.
“Kamu semua tak ada kerja yang lebih berfaedah untuk
dibuatkah? Dah habis belajar?” soal Iskandar lagi.
“Kami semua dah lama berhenti belajar dan masih cari
kerja,” jawab lelaki berbaju T hitam.
“Oh! Cari kerja. Hari ni hari bertuah kamu semua. Abang
baik hati dan nak beri kamu semua kerja hari ni. Pasangkan tayar van tu sebagai
denda kerana ganggu isteri abang,” arah Iskandar.
Pemuda-pemuda itu memerhati tayar van yang masih
belum terpasang. Tayar yang pancit telah ditanggalkan oleh Iskandar. Tanpa
banyak soal, mereka menghampiri van dan mulai memasang tayar.
“Sayang okey tak?” soal Iskandar sambil duduk di
sebelahku.
“Okey,” jawabku sambil menyandarkan kepala ke
bahunya.
“Sha hairanlah kenapa budak-budak lelaki tu masih
nak ganggu Sha sedangkan Sha pakai macam ni.”
“Budak-budak tu mungkin sangka Sha seorang diri di
kawasan yang sunyi ni dan nak cuba nasib. Mereka ni nak berlagak samseng tapi
tak cukup ilmu nak jadi samseng. Sekadar samseng taik minyak, hampeh!” ujar
Iskandar lalu ketawa.
“Samseng pun
kena ada ilmu? Ilmu samseng?” Aku ketawa dengan soalan sendiri.
Iskandar sekadar tersenyum tanpa mahu menjawab
soalanku. Dia kemudiannya bangun setelah melihat pemuda-pemuda itu selesai
memasang tayar. Aku melihat Iskandar menghulurkan wang kertas kepada
pemuda-pemuda itu. Pemuda-pemuda itu mengucapkan terima kasih dan kemudian
kembali ke motorsikal mereka. Mereka berlalu pergi setelah mengangkat tangan
kepada Iskandar.
“Kenapa abang bagi mereka duit sedangkan mereka dah
buat jahat pada kita?”
“Duit tu sebagai upah mereka pasang tayar. Lagipun
mereka tu bukanlah jahat sangat. Mungkin kerana kurang didikan agama sebab tu
mereka jadi begitu,” ujar Iskandar sambil membuka pintu van untukku.
Aku masuk ke dalam van dan terus menanggalkan jubah
serta niqabku. Panas terasa membahang di dalam van. Iskandar menghidupkan enjin
dan aku segera membuka pendingin udara ke tahap maksimum. Sempat jua terfikir
di fikiranku. Ini baru panas dunia.
Bagaimana nanti panas di Padang Mahsyar? Matahari sejengkal atas kepala. Adakah
aku mampu menahan panas itu sedangkan dosaku belum tentu diampun ALLAH?
Perlahan-lahan aku menyandarkan badan sambil beristighfar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan