Aku
membantu Iskandar mengelap rambutnya dengan tuala setelah dia membersihkan diri.
Aku turut menyikat rambutnya yang kusut. Iskandar membiarkan aku memanjakan
dirinya sebagai tanda aku meminta maaf.
“Sha, abang nak ikut Adli ke bengkel dia. Nak tengok
van yang dia sediakan untuk kita. Dia kata dia ada buat ubah suai sikit
bahagian dalam van tu. Sha duduk di rumah dan jangan hubungi sesiapa pun.
Selagi tak jelas siapa yang terlibat, Sha jangan hubungi mereka.”
“Baiklah. Sha janji tak akan hubungi sesiapa. Boleh
tak kalau Sha keluar jalan-jalan dalam kawasan kampung ni?”
“Jangan. Kita tak tahu musuh ada di mana. Sha boleh
tengok TV atau baca buku. Tadi abang dah pesan pada Adli belikan buku untuk
Sha.”
Aku anggukkan sahaja dan melabuhkan punggung di
sebelah Iskandar.
“Kalau van tu dah siap, esok bolehlah kita bertolak
ke Kelantan,” ujar Iskandar dengan senyuman.
“Tempat Mak Engku tu di Kelantan rupanya. Rumah mak
abang di mana?” aku menyoal setelah teringat yang aku tidak tahu lokasi rumah
ibunya.
“Rumah mak di Kuala Kedah. Nanti bila semua ni dah
selesai, abang akan bawa Sha melawat ke situ.”
Aku terdengar suara Adli memanggil Iskandar. Tanpa
kami sedar, Adli dan Mak Cik Melur telah pulang. Iskandar segera membuka pintu
dan keluar mengikut Adli. Aku pula menuju ke dapur bagi membantu Mak Cik Melur.
Aku dapat melihat Mak Cik Melur sedang membuka pintu peti sejuk. Tangannya
ligat menyimpan barang yang dibeli.
“Pergilah rehat Tengku. Bukan ada kerja yang nak
dibuat di sini,” kata Mak Cik Melur setelah aku memperlawa diri untuk
menolongnya.
“Boringlah,
tak tahu nak buat apa.”
“Pergilah tengok TV atau baca buku. Tadi Adli ada
beli majalah dan buku untuk Tengku. Ada di depan sana, atas meja.”
Aku mengikut saranan Mak Cik Melur dan bergerak ke
ruang hadapan. Bungkusan majalah dan buku aku buka. Setelah membelek
tajuk-tajuknya aku letak ke tepi. Tiada mood
untuk membaca ketika itu. Alat kawalan TV kutekan. Berita terkini sedang
tersiar di skrin.
Mataku
terpaku mendengar berita tentang Inspektor Azni. Berita menyatakan bahawa
pasukan polis yang diketuai Inspektor Azni bertembung dengan penjenayah
bersenjata yang amat dikehendaki polis. Dua orang polis terbunuh manakala
Inspektor Azni cedera parah dan masih koma. Pemandu kereta juga tercedera
tetapi sudah sedarkan diri. Enam orang penjenayah terbunuh di tempat kejadian.
Hatiku memanjatkan kesyukuran ke hadrat ILAHI kerana
Inspektor Azni masih hidup. Aku berdoa agar dia selamat. Menitis air mataku
mengingatkan kecekalan dan keberaniannya melindungiku. Tiada berita yang
menyebut tentang diriku. Mungkin pihak polis mahu merahsiakan kejadian sebenar.
Aku tahu, itu semua untuk keselamatanku juga.
“Kesian polis tu. Muda lagi umur dia. Mudah-mudahan
dia selamat,” kata Mak Cik Melur yang mengambil tempat di sebelahku.
“Ya, mudah-mudahan dia selamat dan pulih seperti
biasa.”
Aku mengulas tanpa mahu memberitahu Mak Cik Melur
kejadian sebenar. Aku tahu Iskandar tidak menceritakan hal tersebut kepadanya.
“Dulu masa Adli jadi bodyguard, mak cik selalu risau. Takut dia terkena tembakan macam
polis tu. Tapi syukurlah sekarang ni dia dah berhenti dan buka bengkel kereta.”
“Adli pun pernah jadi bodyguard? Ingatkan Is sahaja.”
“Dah lama Adli buat kerja tu. Kali terakhir dia
kerja di England, jadi bodyguard anak
Tengku yang belajar di sana. Lepas balik dari sanalah dia minta berhenti.”
“Anak Tengku? Mak cik tahu tak nama dia? Saya dulu
pun belajar di England.” Aku cuba mengorek rahsia Adli dan sekali gus Iskandar.
“Mak cik tak tahu tapi dia kata anak Tengku tu
perempuan. Bapa dia suruh Adli ikut sebab bimbang keselamatan anak dia. Duduk
di tempat orang tentu banyak cabarannya. Silap-silap boleh sesat jika ikut
perangai orang barat,” ujar Mak Cik Melur.
“Is ikut sekali tak mak cik?”
“Entah, mak cik tak tahu. Tapi masa Adli di sana, Is
ada juga datang ke sini jenguk mak cik dengan ibunya. Masa tu dia kata nak ke
Kuala Kedah.”
Air mukaku mulai berubah. Terdetik di hati, siapa
sebenarnya Iskandar?
“Bukankah ibu Is dah meninggal dua minggu lepas?”
“Eh! Taklah. Ibu dia masih hidup dan tinggal di
Kuala Lumpur. Bapa dia pun ada lagi. Kenapa Tengku tanya? Tengku tak pernah
jumpa merekakah?” tanya Mak Cik Melur dengan muka berkerut. Mungkin hairan
menantu tidak mengenal mentua sendiri.
“Ya, saya tak pernah jumpa. Masa akad nikah tu,
ayahanda saya yang jadi wakil saya. Saya tak kenal Is sebelum ni. Perkahwinan
saya pun ayahanda yang atur. Kenduri kami pun belum ditentukan tarikhnya lagi.”
“Oh! Begitu rupanya. Patutlah Is tak banyak cerita tentang
Tengku. Masa mak cik tanya bila nak kenduri, dia kata lambat lagi. Dia kata ada
masalah sikit dengan keluarga Tengku. Nanti bila dah selesai, baru dia nak
fikirkan soal kenduri tu. Mak cik tak tahu apa masalah keluarga Tengku tapi
harap Tengku dapat bersabar,” jelas Mak Cik Melur, jujur.
Aku mengangguk lemah. Mendengar cara Mak Cik Melur
bercakap, mungkin dia tidak tahu apa sebenarnya terjadi kepada ayahanda dan
bondaku. Aku kemudian mencapai bungkusan buku dan majalah lalu meminta diri.
Alasanku hendak membaca di bilik.
Siapa yang aku nak percaya sekarang? Aku tak kenal
siapa Is yang sebenarnya. Dia kata mak dia dah meninggal tapi Mak Cik Melur
kata mak dia masih hidup. Kenapa Is nak tipu aku? Betulkah dia suami aku? Otakku
ligat memikirkan persoalan itu.
Aku kena ikut rentak Is. Bila ada peluang, aku akan
telefon Shila. Aku rasa semua ni ada kaitan dengan syarikat ayahanda dan harta
peninggalannya. Menurut wasiat, sesiapa yang menjadi suamiku, boleh mewarisi
harta bendaku. Kini aku mempunyai saham tertinggi di dalam syarikat. Rakan
kongsi ayahanda yang berada di Madinah memiliki saham sebanyak tiga puluh
peratus sahaja.
Aku sebenarnya tidak mengenali rakan kongsi itu
kerana dia tidak pernah muncul dan kerap kali menghantar wakil untuk urusan
perniagaan. Ayahanda Bad pula hanya memiliki sepuluh peratus saham. Jadi, Is
ada motif yang kuat untuk merebut hartaku.
Tapi, kenapa dia bertungkus lumus selamatkan aku? Kalau
difikirkan, boleh jadi juga itu semua angkara dia. Dia boleh berpakat dengan
penjenayah atau mungkin dialah ketua mereka. Hisy! Makin bingung aku dibuatnya.
Aku merebahkan diri di atas katil. Tangan diletakkan di atas dahi. Otakku ligat
merangka strategi untuk membongkar misteri yang melingkari hidupku kini.
Iskandar pulang lewat petang itu. Sengaja aku
memerap di dalam bilik sambil membaca majalah yang dibeli oleh Adli. Walaupun
majalah berkenaan keluarga kurang menarik minatku sebelum ini, tetapi aku
terpaksa membacanya untuk menghilangkan bosan. Buku-buku agama, aku biarkan
sepi. Belum masanya untuk kubaca.
Iskandar menolak pintu bilik dan memberi salam
kepadaku. Aku menjawab sambil tersenyum kepadanya. Matlamatku kini, buat baik
padanya di samping mendapatkan maklumat sebanyak mungkin.
“Sha tak mandikah?” soal Iskandar sambil duduk di
sebelahku.
Aku masih berbaring dengan buku di tangan.
Konon-konon membaca padahal, otak merawang entah ke mana.
“Sha dah mandi pagi tadi.”
“Itu pagi. Petang ni tak mandi?”
“Tak. Sejuk,” jawabku acuh tak acuh.
“Abang nak mandi. Sha nak ikut?”
Aku mencebikkan mulut. Iskandar ketawa sambil
menanggalkan baju T.
“Abang, kalau Sha tanya abang boleh berterus terang
tak?”
“Terpulang atas apa yang Sha nak tanya.”
“Bapa abang masih hidup atau dah meninggal?”
“Kenapa Sha tanya?” Iskandar memandang tepat ke
wajahku.
“Sha nak kenal siapa mentua Sha. Kalau dia masih
hidup, Sha nak jumpa dia satu hari nanti.”
“Abah abang masih hidup tapi kita tak boleh jumpa
dia buat masa ni. Insya-ALLAH lepas semua ni selesai, kita jumpa ibu dan abah
abang. Nak pergi pun jauh sangat sebab mereka ada di New Zealand sekarang ni.”
Aku kerutkan dahi. Mulai pening dengan maklumat
terbaru ini. Mak Cik Melur kata ibu dan bapa Iskandar ada di Kuala Lumpur, tapi
Iskandar kata di New Zealand.
“Mak tu siapa pula? Bapa abang kahwin duakah?”
soalku dengan wajah yang keliru.
“Mak yang abang maksudkan tu sebenarnya pengasuh
abang sejak kecil. Dia yang jaga abang sepenuh masa sebab ibu abang agak sibuk.
Ibu selalu keluar negara ikut abah. Abang rapat dengan pengasuh abang sampai
abang panggil dia, mak.”
“Oo...begitu rupanya.”
“Kenapa? Sha syak abang bohongkan Sha?”
Iskandar seolah dapat membaca fikiranku.
“Bukan begitu. Sha cuma keliru dan nak kenal abang
dengan lebih dekat.”
Iskandar duduk di sebelahku. Dia menarik tanganku ke
dalam genggamannya.
“Sha kena percayakan abang. Apa pun tindakan abang,
itu adalah untuk lindungi Sha.”
“Ya, Sha percayakan abang,” Aku menceriakan wajah.
Hatiku masih tidak mempercayainya. Aku perlu
berhati-hati selagi tidak tahu siapa dirinya yang sebenar.
“Dah nak Maghrib. Abang nak mandi dulu. Sha nak
solat tak? Tadi Adli belikan buku panduan solat, Sha dah baca belum?”
“Tak berapa nak fahamlah. Abang solatlah. Sha tengok
dulu,” jawabku malas.
“Hisy! Nak nanti apa lagi? Jom ikut abang ke bilik
mandi. Abang nak ajar Sha berwuduk. Nanti kita solat sama-sama. Jangan asyik
bertangguh. Ajal takkan bertangguh bila sampai masanya.”
Aku terkelu. Perlahan-lahan aku mencapai tuala dan
mengikut langkah Iskandar ke bilik mandi. Iskandar mengajarku dengan
bersungguh-sungguh cara berwuduk. Aku menurut segala suruhannya dalam
keterpaksaan.
“Sha naik dulu dan pakai telekung siap-siap. Lepas
abang mandi, kita solat berjemaah.”
Aku melangkah ke bilik dan mengeluarkan telekung
yang masih berlipat kemas di dalam bungkusan. Pertama kali mengenakan telekung,
aku rasa agak janggal dan rimas. Tanganku pantas menyelak buku panduan solat
yang masih belum kusentuh. Mataku terpaku pada bait-bait yang tertera.
Orang yang tidak
solat akan diseksa dengan lima belas seksaan, enam daripadanya akan diterima di
dunia, tiga daripadanya tatkala hendak mati, tiga seksaan ketika berada di
dalam kubur dan tiga lagi di hari kiamat.
Aku telan air liur kelat. Tidak mahu terus berada
dalam kalangan orang yang meninggalkan solat. Segera aku meneliti gambar di
muka surat berikutnya dan ayat yang patut di baca. Nasib baik ada tulisan rumi
yang disertakan bersama-sama ayat al-Quran. Tulisan rumi itu memudahkan sesiapa
yang buta al-Quran sepertiku untuk membacanya. Aku membaca ayat dalam tulisan
rumi tersebut. Merangkak-rangkak bacaanku.
Iskandar masuk ke dalam bilik dan kemudian
berpakaian untuk bersolat. Dia membentangkan sejadah untukku dan dirinya. Aku
diarahkan mengikut sahaja apa yang Iskandar buat. Buat pertama kalinya aku
bersolat dengan membaca ayat yang begitu asing buat diriku. Sedikit sebanyak, terasa
juga ketenangan menerpa ke sudut kalbu.
Mobile - Ilham Grup Buku Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan