Pengikut

Jumaat, 19 Julai 2013

KIES 9 - BAB 2


Ku Sha
 
 Is menghentikan motorsikalnya di tepi belukar. Dia menanggalkan topi keledar setelah turun daripada motorsikal. Mukanya tampak serius dan bengis.
 “Turun sekarang!” jerkahnya.
Aku yang terkulat-kulat hanya menurut dengan rasa takut. Kecut perut aku melihat pandangan matanya yang menikam ke wajahku.
“Kau ingat aku ni apa? Tak bolehkah kau disiplinkan sikit diri tu dan jangan nak goda aku waktu aku menunggang.”
“Eh! Bila masa pula aku goda kau? Aku cuma kesatkan tangan ke baju kau aje. Jangan nak perasan sangat. Muka macam kau, bagi free pun aku tak mahu. Kau ingat badan kau cukup hebat buat aku tergoda? Tolong sikit, ya. Mamak jual nasi kandar lagi handsome dan macho daripada kau. You are not my type!” luahku dengan geram.
Apa yang keluar adalah spontan dan sekadar untuk menyakitkan hatinya. Hilang sudah ganti nama awak dan saya. Malah hilang juga rasa takut kepadanya.
“Dan lagi satu, ambil balik jaket busuk kau ni.”
Aku membuka jaket tersebut lalu kulempar ke arahnya. Sebenarnya jaket itu tidak berbau busuk sebaliknya hanya berbau minyak wangi lelaki. Keras dan menusuk hidung. Aku suka bau itu. Sungguh lelaki!
Dia dapat menangkap jaket yang kubaling. Keningnya dijongketkan sedikit. Senyuman sinis terukir di bibirnya.
“Jangan menyesal nanti jika sejuk.”
“Biar aku sejuk dan beku. Jangan harap nak pakai jaket kau yang berbau hapak tu. Berapa tahun kau tak basuh jaket tu? Kalau campak dalam kolam tentu semua ikan mati.”
Sengaja aku jual mahal. Dia mencium jaketnya dengan selamba. Mulutnya tersenyum lebar.
“Wangi! Kau ni memang ada masalah hidung gamaknya. Tapi tak apa. Kalau kau tak nak pakai, aku pakai balik. Tapi aku tak mahu kau lekatkan badan kau ke belakang aku, faham! Jangan goda aku. Aku lelaki normal,” ujarnya dengan wajah yang serius.
“Apa masalah kau hah? Aku dah kata yang aku pening. Kau bawa motor pun macam mat rempit. Aku takut terjatuh. Itu aje. Tak ada niat aku nak goda kau, bodoh!”
Mulutku makin menjadi lancang. Pada hal aku terhutang nyawa padanya tadi. Malah tidak ucap terima kasih pun kerana menyelamatkan aku. Sombong betulkan aku?
Aku lihat dia membuka kotak barang yang terdapat di hujung tempat duduk motorsikal. Sebotol air mineral dikeluarkan dan dia mencampakkan kepadaku. Nasib baik aku sempat menyambutnya. Jika tidak, mungkin terkena mukaku. Hatiku mengerutu, marah.
“Basuh muka kau.”
Aku mengikut arahannya dengan hati yang mendongkol geram. Darah yang terlekat di mukaku tanggal bersama aliran air. Mataku sempat melirik ke arah bajunya yang mempunyai kesan darah. Tempat yang aku terpegang tadi. Dia menanggalkan baju dan mengesat tubuhnya bagi menghilangkan kesan darah itu. Tiada luka di situ. Mungkin kesan darah itu berpunca dari percikan darah orang yang berdekatan dengannya.
Mataku asyik melihat ketul-ketulan di badannya. Cantik, sungguh cantik dan tegap. Tentu dia rajin bersenam dan rajin mengangkat berat. Aku membuat penilaian sendiri. Naluri kewanitaanku terasa bangkit semula. Ah! Kalaulah aku dapat memegang otot-otot itu...
“Apa yang kau pandang? Jangan ingat aku sama macam lelaki yang selalu kau berkepit tu.”  
Aku terkejut. Khayal yang ingin menjengah ke mindaku terbang melayang. Dia tahukah kehidupan aku sebelum ni? Cara dia menuduhku seolah dia tahu kegemaranku selama ini. Berkepit dengan lelaki bertubuh sasa dan kacak. Tapi bukan semua lelaki, tahu! Hanya yang terpilih dan penuh sifat kelakian. ‘Sotong’ atau separa ‘sotong’ tak mainlah. Dan yang paling penting, bukan lelaki Melayu. Citarasaku cukup tinggi!
Aku mencebik dan melarikan pandangan. Tetapi ekor mataku tetap melirik ketika dia mengambil sehelai baju T hitam dalam beg yang terletak dalam kotak tadi. Baju itu dipakainya. Sendat dan melekat di badan. Ah, sengaja nak menggoncang hatiku! Aku tak kuat untuk menepis godaan mata ini. Eh! Nanti. Dia Melayukan? Rejected him!
“Salin baju kau tu. Aku tak mahu nanti orang syak sesuatu bila nampak baju kau penuh darah.”  
Tegurannya membuatkan aku meneliti diri sendiri. Betul katanya. Blausku terkena darah Inspektor Azni. Hamis dan memualkan. Kepalaku mulai terasa pening.
“Kau ada baju salin tak?” soalnya sambil memandang tepat ke wajahku.
Aku terduduk lesu, tidak memperdulikan soalannya. Pening sudah menguasai diri. Dia mencapai beg sandangku lalu mengambil sehelai baju biru gelap berlengan pendek. Tanpa amaran, dia menarik blausku ke atas. Aku hanya membiarkan blausku ditanggalkan kerana aku tahu badanku tidak terdedah pada pandangan matanya. Vest kalis peluru masih terlekat kemas di badanku. Baju T disarungkan ke tubuhku.
“Dah! Kita bertolak sekarang.”
Aku memandangnya dan perlahan-lahan aku bangun mengekori langkahnya. Jaketnya disua kepadaku tetapi aku menggeleng. Dia mengangkat bahu dan kemudian menyarung jaket ke tubuhnya. Aku duduk di belakangnya sambil memeluk beg sandang. Kesejukan mulai terasa. Menggigil tubuhku menahan deruan angin sejuk. Makin kemas pelukanku pada beg sandang. Sejak tadi, aku berusaha tidak memeluk tubuhnya. Aku masih teringatkan kata-katanya yang menjengkelkan hatiku.
Jangan goda aku. Aku lelaki normal, aku meniru kata-katanya dengan mulut mencebik tanpa mengeluarkan suara. Suara hanya bergema dalam hati.
Ingat bagus sangatkah? Tak ingin aku dekat dengan kau, mawas! Apatah lagi nak goda. Kirim salam! Tapi betulkah begitu? Bukankah tadi mataku asyik melihat otot-otot di badannya? Ah! Hati dan fikiranku tak sehaluan rupanya.
Is menambah kelajuan motorsikalnya. Aku kecut perut sekarang ini. Tubuh yang sengaja aku tegak dan jarakkan kini makin rapat ke tubuhnya. Tiba di selekoh, dia membelok dan merendahkan motorsikal seperti pelumba di litar lumba. Pantas tanganku memaut tubuhnya dengan erat bagi mengimbangi tubuhku. Aku terpaksa mengikut arah ‘baringan’ yang dibuat olehnya. Ke kiri dan ke kanan. Ah! Dia memang sengaja.
Rasa takut dan kesejukan mencengkam tubuhku. Tetapi aku meyakinkan diri agar bertahan. Terketar-ketar tanganku menepuk bahunya setelah terasa diri hampir kekejangan. Dia memusing sekilas untuk melihat. Aku memberi isyarat agar berhenti kerana suaraku tidak mampu terlontar keluar.
Memahami isyarat yang diberikan, dia memperlahankan motorsikal dan berhenti di bahu jalan. Aku segera turun dan duduk di atas batu besar. Tangan yang sejuk dan hampir membeku, aku gosok berkali-kali. Aku menghembus udara dari mulut agar dapat memberi sedikit kepanasan.
“Hah! Itulah sombong sangat. Orang bagi jaket tak mahu. Pakai baju pendek malam-malam macam ni memanglah tak cerdik,” ejek Is, sengaja memanas hatiku.
 “Habis tu, baju ni aje yang ada. Nak buat macam mana?” Aku menjeling geram.
“Dah tahu baju pendek, pakailah jaket ni. Yang berlagak lawa pasal apa? Ingat aku nak tergoda dengan kau?” kutuk dia lagi.
“Berapa kali aku nak cakap? Jangan tuduh aku nak goda kau. You are not my type!”
You are not my type, konon! Yang asyik renung dan peluk aku tu siapa? Polong?” Dia mengajuk cakapku dengan aksi sekali.
“Eee... perasannya!” Dalam menahan sejuk, aku berbalas kata dengannya.
Dia membuka jaket di tubuhnya lalu dihulur kepadaku.
“Pakai dan jangan banyak songeh,” arah Is, tegas. Mungkin dia kasihan melihat diriku yang menggigil.
Tanpa malu, aku mengambil jaket itu dan menyarung ke tubuhku. Zip ditarik hingga ke atas untuk mendapatkan kepanasan. Gasaklah, asal aku tak kesejukan.
“Jom, kita gerak. Aku rasa di depan sana ada kedai makan. Harap mereka buka lagi.”
Menonong sahaja aku menurut ajakan dia. Perut aku cepat lapar jika sejuk. Tetapi belum sempat aku menaiki motorsikal, pundi kencingku terasa ingin terburai.
 “Awak, saya nak buang air. Tolong cari tandas sekejap.”
Aku ubah kembali kata ganti diri dan bersuara sehabis lembut. Aku terdesak. Nak minta tolong orang mesti cakap baik-baik.
 “Pergilah sebalik belukar tu. Buanglah sebanyak mana nak buang.”
Bulat mataku memandangnya. Dia dah buat aku marah. Sanggup dia suruh aku buang air di dalam belukar yang gelap? Tak ada sifat gentleman langsung!
“Huh! Gila apa? Aku ni perempuan. Takkan nak buang air di tempat terbuka? Gelap pula tu.”
Mukaku merah padam menahan kencing dan juga marah. Ganti nama pun sudah bertukar.
“Bukan ada siapa yang nampak. Tempat tu tersorok. Kalau kau takut gelap, aku temankan.”
 Dia angkat kening untuk melihat reaksiku.
Amboi! Nak skodeng aku. Dasar lelaki Melayu! “Janganlah buat lawak bodoh sekarang. Cepatlah cari tandas. Aku dah tak tahan ni.”
Mukaku berkerut-kerut menahan kencing.  Aku bimbang akan terkencing di dalam seluar, kalau berlama-lama lagi. Geram betul rasa hati kerana dia masih boleh ketawa. Ingat aku tengah buat lawak senariokah?
“Jom cepat! Jangan kencing atas motorsikal aku.”
Sambil menjeling aku naik ke atas motorsikalnya. Dia memecut laju dan sekejap sahaja kami telah tiba di kedai makan. Setelah menanggalkan topi keledar, aku segera berlari ke belakang kedai makan. Mencari tandas sudah pasti.
Ah! Leganya dapat membuang air. Terasa nikmat selepas menanggung siksa menahannya. Nikmat ALLAH yang selalu dipandang remeh. Bayangkan ALLAH menarik nikmat ini. Nak buang air kecil macam mana?
“Ee...selekehnya. Jatuh saham aku macam ni,” ujarku sambil membelek wajah di cermin.
Solekanku telah cair kerana aku telah membasuh muka dengan menggunakan air mineral sebelum ini. Pantas jari jemariku membuka beg sandang dan mengeluarkan krim pencuci muka. Aku mencuci wajahku walaupun terasa air paip dingin membeku.
Telingaku terdengar deringan telefon. Pastinya telefon aku kerana hanya aku seorang berada di dalam bilik air ketika itu. Segera aku menekan butang jawab apabila mengenalpasti pemanggilnya. Aku menceritakan serba sedikit tentang kejadian yang menimpa aku sebentar tadi.
“Sha selamat. Ayah Bad jangan risau. Is dah selamatkan Sha tadi.”
“Siapa Is? Ayah Bad tak kenal dia pun. Jangan-jangan orang jahat.”
“Dia kata dia kawan Azni. Sebelum tertembak, Azni ada minta bantuan.”
“Baguslah jika begitu. Sha ada di mana sekarang? Dah sampai tempat tujuan?”
“Sha berhenti makan sekejap di kedai makanan laut Idaman. Tadi kami baru keluar dari lebuh raya dan masuk jalan bandaran.”
“Kawasan mana? Kuala Kangsarkah?”
“Ya. Nasib baik kedai ni buka sampai lewat malam. Jika tak, tentu Sha kelaparan.”
“Baiklah, Sha. Nanti bila Sha sampai, beritahu Ayah Bad.”
“Baiklah. Bye, Ayah Bad.”
 Talianku matikan dan telefon tersebut aku masukkan ke dalam beg sandang. Setelah merapikan wajahku, aku keluar mendapatkan Is. Aku lihat dia duduk di meja makan dan di hadapannya terdapat dua pinggan nasi goreng serta minuman panas. Tanpa berlengah aku duduk menghadap Is dan memegang cawan yang berisi air panas, cuba memanaskan tangan. Kemudian aku mencapai pinggan nasi goreng. Perut telah berkeroncong minta diisi. Sebelum sempat nasi kusuap ke mulut, Is menegur.
“Kita baca doa dulu.”
Aku menadah tangan sambil membuang pandang keluar kedai. Malu dengan tegurannya. Selama ini aku tidak pernah membaca doa makan apatah lagi BISMILLAH. Bila Is selesai membacakan doa, aku aminkan sahaja. Nasi kusuap tanpa bunyi.
 “Kau telefon siapa tadi?”
 “Kenapa?” tanya aku kehairanan. Macam tahu-tahu  aku berbual di telefon sebentar tadi.
“Betullah kau telefon seseorang.” Renungan tajam diberikan kepadaku.
“Aku tak telefon tapi Ayah Bad yang telefon. Ayah Bad bimbang lepas tahu kejadian serangan tadi.”
Aku pamer wajah bersahaja. Apa yang perlu digusarkan? Ayah Bad, bapa saudaraku. Bukan musuhku.
“Kau beritahu tak lokasi kita?”
“Aku laparlah. Boleh kita makan dulu sebelum bercakap?”
Aku sengaja tidak mahu menjawab soalannya. Selepas menyuap beberapa mulut, aku mencapai cawan air lalu memegangnya dengan kedua-dua tanganku. Cuba memanaskan tanganku yang masih menggigil. Aku masih kesejukan. Tambahan tadi aku membasuh muka menggunakan air yang sememangnya sejuk.
“Kau rasa sejuk sangatkah?” tanya dia dengan nada yang lebih lembut.
Aku mengangguk lemah.
“Bukankah kau pernah tinggal di England dulu? Kan lebih sejuk di situ?”
“Memanglah sejuk. Malah lebih sejuk daripada sekarang. Tapi di musim tu, aku sentiasa berpakaian tebal dan cari sumber yang boleh memanaskan badan.”
“Termasuk lelaki dan arak?” tanya Is tanpa selindung.
“Apa kau peduli? Hidup aku, akulah yang tentukan. Tak kiralah aku nak cari kepanasan daripada tubuh lelaki atau daripada arak. Ayahanda aku pun tak sekepoh kau, tahu tak?” Aku menjeling tajam ke arahnya. Benci bila ada orang yang menegur hala tuju hidupku.
“Sebab aku bukan ayahanda kaulah aku kepoh. Aku tak mahu kau terus hidup dalam dosa dan maksiat. Bawalah bertaubat. Tadi pun nyawa kau dah hampir melayang. Takkan tak serik lagi? Kalau dah mati dan tak sempat bertaubat, miskin kau nanti di akhirat. Silap-silap terpanggang dalam api neraka. Kau nak begitu?” Mulut dia begitu lancang.
Aku mengetap bibir menahan marah. Tetapi lidahku seolah kelu untuk berkata. Terbayang kematian yang hampir mengamit diriku sebentar tadi. Betulkah aku akan terpanggang di dalam neraka? Jika difikirkan dosaku, itu semua tidak mustahil. Aku memang berdosa. Sangat-sangat berdosa. Adakah Is tahu apa yang telah aku lakukan sebelum ini? Aku mulai menundukkan pandangan. Kenapa ALLAH masih memanjangkan usiaku?
“Cepatlah makan. Aku takut ada orang ekori kita lepas kau dedahkan lokasi kita.”
Aku memanggungkan mukaku. Terkejut dengan kenyataannya.
“Kenapa terkejut? Kau dah dedahkan lokasi kitakan?”
Kepalaku angguk, perlahan. Dia menghela nafas menahan amarah. Jelas kelihatan wajahnya serius kembali. Pandangan matanya menikam. Aku tertunduk menahan debar dan rasa bersalah. Kami makan tanpa bicara. Seboleh mungkin dia ingin cepat pergi dari situ. Selepas beberapa minit, dia bangun ke kaunter bayaran.

Tiada ulasan: