Aku
mengambil beg sandang dan bergerak ke arah motorsikal. Ketika aku memakai topi
keledar, hujung mataku terlihat sebuah motorsikal berkuasa tinggi sedang
bergerak laju dari arah kiriku. Aku hanya memandang motorsikal itu dan
tiba-tiba aku terdengar suara Is menjerit.
“Ku Sha!! Meniarap.”
Aku menoleh dan melihat Is berlari ke arahku. Serentak
dengan itu beberapa das tembakan mengenai tubuhku sebelum sempat aku berbuat
apa-apa. Aku jatuh terlentang. Is cuba mengejar dan menembak penunggang
motorsikal yang melepaskan tembakan itu. Tetapi mereka sempat melarikan diri.
Keadaan di situ menjadi gempar seketika. Is menyimpan pistol dan mendekati diriku
yang masih terbaring.
Mataku terpejam rapat. Pemikiranku terawang-awang.
Realiti dan fantasi seolah bergabung ketika itu. Terlihat cahaya terang di
penjuru kananku. Suasana sepi seolah tiada sesiapa di sisi. Terlihat
wajah-wajah kaku bonda dan ayahandaku di hujung cahaya itu. Pucat tanpa senyum
memandang tepat ke wajahku. Tanpa bicara, tetapi aku tahu mereka kecewa. Aku
melihat keadaan ayahanda paling menyedihkan. Pakaiannya compang-camping, kotor
dan buruk. Luluh terasa hatiku. Aku berlari sambil menghulurkan tangan, cuba
mencapai tubuh mereka. Tetapi mereka makin menjauh.
“Bonda! Ayahanda!”
Aku ingin mengejar tetapi tubuhku tidak mampu
digerakkan. Seolah sistem tubuhku telah lumpuh. Lemah dan tidak berdaya.
“Ku Sha!”
Terasa tubuhku digoncang berkali-kali serta
panggilan kuat di telingaku. Perlahan-lahan
aku membuka kelopak mataku. Aku dapat melihat Is memeluk tubuhku. Terasa tangannya
mengusap rambutku.
“Syhh!
Tenangkan diri. Ku Sha selamat.”
Aku masih kebingungan tetapi aku tahu, aku sedang
menangis teresak-esak. Air mata berjuraian di pipi. Tubuhku terasa menggigil. Aku
terus memeluk tubuh Is apabila kewarasan fikiranku, kembali.
“Sha takut.” Terlontar kata-kata itu dari mulutku.
Ya, benar aku memang takut. Takut jika aku mati dan
tidak sempat bertaubat. Bayangan bonda dan ayahanda sebentar tadi amat terkesan
di hatiku. Adakah ayahanda paling ‘miskin’ berbanding bonda di sana? Mungkin
juga kerana ayahanda adalah ketua keluarga. Ketua yang menanggung dosa anak
perempuan dan isterinya. Apatah lagi ayahanda tidak pernah melarang aku dan
bonda melakukan perkara-perkara yang menentang hukum agama. Malangnya
ayahandaku.
“Jangan takut. Abang janji akan lindungi Ku Sha,
walau nyawa abang melayang.”
Aku terdengar Is membahasakan dirinya sebagai abang.
Tetapi aku tidak perduli. Mungkin dia menganggap aku sebagai adiknya yang perlu
dilindungi.
“Encik, perlu tak kami hubungi polis atau ambulan?”
tanya tuan punya kedai makan.
Aku baru sedar yang kami sedang di kelilingi oleh
beberapa orang pelanggan dan tuan punya kedai makan. Mereka memerhatikan kami
dengan penuh tanda tanya.
“Err... tak mengapa. Isteri saya selamat.”
Tangan Is pantas membantu aku untuk bangun. Aku
terkejut mendengar pengakuan Is tetapi aku berlagak biasa. Tidak mahu
pembohongan itu terkesan oleh mereka yang sedang melihat aksi kami berdua.
“Bukankah
tadi orang tu tembak kena tubuh dia? Jaket tu pun berlubang,” kata salah
seorang dari pelanggan.
“Dia pakai vest kalis peluru. Tak mengapalah semua.
Kami minta diri dulu. Tolong jangan beritahu arah mana kami pergi sebab takut
orang yang berniat nak bunuh isteri saya ni datang balik.” Is cuba meyakinkan
mereka semua.
“Kenapa nak bunuh? Ini mesti anak orang kaya yang
penjahat tengah kejar macam dalam wayang gambar tu.” Teka tuan punya kedai
makan.
Is hanya tersenyum tanpa komen. Dia menolongku menaiki
motorsikal dan segera menghidupkan enjin.
“Eh! Encik. Lebih baik encik guna jalan kampung tu.
Encik jalan aje terus ikut tepi sungai dan kemudian masuk ke jalan pintas dekat
jalan kereta api. Jalan tu boleh tembus ke lebuh raya,” beritahu tuan punya
kedai makan sambil menunjuk arah belakang kedainya.
Is mengucapkan terima kasih dan mengikut saranannya.
Berhati-hati Is menunggang di lorong yang kecil. Setelah melepasi pintasan yang
diberitahu, Is tidak memasuki lebuh raya sebaliknya mengikut jalan kampung. Aku
hanya diam dan memeluk tubuh Is dengan erat. Rasa takut masih bersisa di hatiku.
Kami memasuki kawasan masjid dan Is memarkirkan
motorsikal di bahagian belakang masjid yang agak tersorok. Aku turun dan duduk
di atas tar. Semangatku terasa terbang dengan apa yang berlaku sebentar tadi.
“Ku Sha, kita rehat dulu di sini. Esok seawal pagi
kita bergerak keluar.”
Aku hanya mengangguk lemah. Dia memegang tanganku
dan mencari tempat yang lebih sesuai untuk tidur. Aku merentap tangannya bila
teringatkan sesuatu. Dia terduduk betul-betul di hadapanku.
“Kenapa awak kata saya isteri awak? Apa maksud awak
sebenarnya?”
“Jangan marah, Ku Sha. Saya nak yakinkan orang yang
ada di kedai makan tu tadi. Kalau mereka percaya kita suami isteri, tentu
mereka simpati pada kita dan tak dedahkan lokasi kita pada orang yang sedang
buru Ku Sha. Tengokkan, mereka sedia bantu kita dengan beritahu jalan lain.”
Aku diam memikirkan kata-katanya.
“Marilah kita cari tempat untuk tidur. Kita perlu
rehat secukupnya.”
Aku menurut langkahnya perlahan-lahan. Is membuka
pagar kecil yang terdapat di kaki lima masjid. Kami berdua masuk ke ruang itu.
Aku duduk bersandar di dinding masjid. Kami tidak dapat memasuki ruang dalam
masjid disebabkan masjid tersebut berkunci. Mahu tidak mahu, kami terpaksa
memilih kaki lima masjid sebagai tempat berehat. Is bersandar di sebelahku.
Aku melihat jaket yang telah berlubang masih
tersarung di badanku. Tanganku menarik buka zip jaket. Aku menanggalkan jaket
dan dapat melihat baju T yang kupakai turut berlubang.
“Cuba buka baju T dan vest tu. Saya nak lihat sama
ada peluru tadi dah lukakan kulit awak atau tidak.” Is memberi saranan.
“Nak ambil
kesempatanlah tu.” Mataku bulat merenung wajahnya.
“Apa pula? Saya cuma nak pastikan awak tak terluka.
Bukan ada maksud lain. Cepat buka vest tu.”
“Saya boleh buka. Tapi awak jangan tengok.”
“Awak isteri saya. Apa salah kalau saya tengok?” Dia
berkata sambil tersenyum sumbing.
“Bila masa pula saya kahwin dengan awak? Mengaku
isteri bukan bermakna saya isteri awak. Jangan nak cemarkan maruah saya.”
Mukaku memerah kerana marah. Senang-senang dia nak
lihat tubuhku. Memang lelaki Melayu jenis gatal!
“Okeylah kalau awak tak nak saya tengok. Awak
bukalah vest tu dan lihat sendiri. Saya nak pergi ambil wuduk. Nak solat
sekejap. Awak jangan ke mana-mana pula dan jangan telefon sesiapa.” Pesan Is
sambil bangun meninggalkan aku.
Aku menyelak baju T dan meneliti vest kalis peluru
yang mempunyai kesan berlubang dengan peluru terbenam di dalamnya. Aku
menanggalkan baju T agar memudahkan aku menanggalkan vest itu. Aku pusingkan
kepala untuk melihat Is. Dia sedang membuka pili di tepi dinding tanpa melihat
ke arahku.
Butang vest kalis peluru aku buka satu per satu. Sekali
lagi aku memusingkan kepala ke arahnya. Dia sedang membasuh tangan. Setelah
yakin dia tidak melihatku, aku menanggalkan vest kalis peluru itu. Tubuh yang
hanya dibaluti pakaian dalam, aku teliti. Tiada sebarang luka. Aku tersenyum
tetapi rasa tidak enak menerpa ke hatiku.
Ekor mataku dapat melihat Is sedang melihat ke
arahku. Tentu dia seronok meneroka kecantikan tubuh badanku walaupun dari arah
tepi. Tayangan percuma, tentu dia tengok. Aku tahu dia sengaja
melambat-lambatkan berwuduk. Aku cepat-cepat mencapai baju T lalu kusarungkan semula.
Ada dua lubang di baju T. Satu di dada dan satu di perut.
Tak kisahlah, janji Is tidak dapat melihat tayangan
percuma lagi.
Is melakukan solat sunat dan kemudian merebahkan
badan di atas sejadah yang terdapat di situ. Dia turut membentangkan sejadah
untuk diriku tidak jauh darinya. Aku mengambil sejadah tersebut dan menjarakkan
diriku daripadanya. Bukan boleh percaya lelaki Melayu. Gatal dan suka mengambil
kesempatan. Beg sandang, aku jadikan alas kepala. Aku berbaring dan perlahan-lahan
mataku tertutup.
Telefonku berbunyi, mengejutkan Is yang telah
terlelap. Aku segera bangun dan membuka beg sandangku untuk mengeluarkan
telefon itu. Sebelum sempat aku menekan butang jawab, Is merampas telefon itu lalu
dibuangnya ke dalam kolah masjid.
“Plup!” telefon selamat mendarat di dalam air.
Aku yang berang terus menyerang Is. Tanganku memukul
lengan dan dada Is tanpa henti.
“Kenapa kau buang telefon tu, hah? Macam mana Ayah
Bad nak tahu keselamatan aku?” tempikku, marah.
Is memegang kedua-dua tanganku bagi menghentikan
tumbukanku. Tentu dia sakit, sebab aku menggunakan sepenuh tenaga ketika itu. Aku
cuba meronta dan Is terus memeluk kemas tubuhku bagi mengelakkan aku terus
mengamuk. Is cuba mententeramkan aku. Bimbang jika ada yang mendengar suaraku yang
agak kuat.
“Ku Sha, tenang! Dengar dulu penjelasan saya.”
Aku makin hebat meronta. Is cuba mengelak tendangan
kakiku. Tiba-tiba Is tidak dapat mengimbangkan badan lalu kami berdua terjatuh.
Bahagian belakang aku terhempas ke lantai dan Is betul-betul berada di atasku.
“Aduh!!” Aku terjerit sakit.
Aku cuba menolak tubuhnya. Ketika aku ingin
menghamburkan kemarahanku, Is menutup mulutku dengan tangan. Segera dia menekan
badanku agar tetap diam.
“Diam Ku Sha! Tindakan awak boleh membahayakan nyawa
kita. Ingat, orang-orang yang buru kita masih berlegar-legar di luar sana. Saya
tak mahu menarik perhatian mereka atau pun penduduk kampung ni. Awak faham
tak?” Kata Is agak keras sambil merenung tajam ke mataku. Pastinya dia marah.
Aku mengangguk faham. Is melepaskan tangan dan
bangun daripada tubuhku. Is membantu aku untuk bangun. Aku memegang bahagian
belakangku yang sakit.
“Kenapa? Sakitkah? Mari saya tengok.” Pantas tangan Is
menyelak bajuku.
Aku menepis tangan Is dan memandang mukanya dengan
marah.
“Awak memang sengaja nak ambil kesempatankan? Asyik
nak tengok badan saya aje.”
“Saya nak pastikan awak tak cedera. Itu aje, bukan
ada niat lain. Lagi pun kalau saya tengok bukan nak luak. Sebelum ni pun dah
ramai lelaki yang tengok badan awak.”
Mencerlung mataku memandang Is.
“Awak jangan fitnah saya! Bila masa saya bagi lelaki
tengok badan saya?”
“Oh! Boleh buat-buat lupa pula, ya? Bukankah awak
pernah berbikini sewaktu di England? Berjemur dan main di pantai dengan seluar
dan baju yang cukup kecil. Boleh dikira separuh bogel tu. Awak tak malu ke
pakai macam tu? Mengalahkan orang kulit putih pula.”
Terkejut beruk aku dibuatnya. Bulat mataku memandang
Is yang kelihatan sinis.
“Macam mana awak tahu saya ada di England? Awak
ekori saya selama ni? Cakap terus terang, siapa awak sebenarnya?” Hatiku mulai
gusar. Mungkinkah Is merupakan penjahat sebenar?
“Ku Sha, dengar sini baik-baik. Jangan cepat marah
dan bertindak melulu. Saya sebenarnya telah diamanahkan oleh Tengku Kamarul
untuk jaga awak sejak di England lagi. Saya selalu awasi awak dari jauh dan
segala tindak tanduk awak, dalam kocek saya.” Is mengangkat kening sedikit.
Ala-ala orang jahat bercakap.
Mulut aku terlopong mendengar pengakuan Is. Terkejut
kerana Is pasti tahu segala aktiviti sosialku yang sering mabuk dan berkepit
dengan lelaki kacak. Walaupun begitu, aku tidak pernah membawa pulang lelaki ke
rumahku malah aku tidak pernah menginap di rumah mana-mana lelaki. Aku tetap
menjaga diri daripada melakukan hubungan terlarang.
“Suka atau tidak, awak kena dengar cakap saya jika
nak selamat. Saya akan jaga awak dengan nyawa sendiri. Jadi, jangan pernah awak
ragui tindakan saya.”
“Tapi kenapa awak buang telefon tu? Macam mana nak
beritahu Ayah Bad yang saya selamat?”
“Awak ni bodoh juga, ya. Cuba awak ingat kembali.
Dah dua kali awak beritahu lokasi awak pada dia. Apa jadi lepas tu? Awak
diserang, bukan? Jadi saya rasa dia sengaja nak lihat sama ada awak selamat
atau tidak dalam serangan tadi. Jika awak jawab telefon tu tadi, bermakna dia
tahu awak tak mati. Orang-orang dia akan datang dan cari awak lagi. Faham,
tak?”
“Macam mana awak tahu dah dua kali saya cakap dengan
dia? Di kedai tu memang saya beritahu awak. Tapi masa dalam kereta, awak tak
ada.” Aku merenung Is dengan pandangan yang pelik.
“Masa awak cakap dengan dia, saya tengah cakap
dengan Azni. Azni yang beritahu saya. Sebenarnya saya beritahu Azni yang saya
akan datang ambil awak di perjalanan bagi mengaburi musuh. Semuanya tak menjadi
bila orang upahan mereka dapat kesan kedudukan awak terlebih dahulu.”
“Tak mungkin Ayah Bad sebab dia yang syorkan kawalan
keselamatan ni. Mungkin orang lain.” Aku cuba menafikan. Wajahku bertukar
keruh.
“Memang dia syorkan tapi tak bermakna dia tak
terlibat. Awak jangan takut. Walaupun Tengku Kamarul dah tak ada, amanah dia
tetap saya pegang. Tengku Bad tak kenal saya, malah tak tahu Azni dan saya dah
berpakat. Pada dia, awak dalam pengawasan Azni sepenuhnya.”
Aku memandang tepat ke wajah Is. Ingin mencari kebenaran
di dalam kata-katanya. Terasa beban perasaan yang berat merantai hatiku. Aku
sangat sedih dan kecewa. Tetapi aku tidak dapat menerima semua ini.
“Ku Sha, kita perlu berhati-hati. Tengku Kamarul
syak orang terdekat dalam keluarga akan bertindak merampas syarikat dan harta
bendanya. Tapi dia tak tahu siapa dan bagaimana orang itu akan bertindak. Kami
cuba siasat tapi orang tu cukup licik. Bukti yang dapat tak cukup untuk kaitkan
mereka. Saya tak sangka mereka sanggup membunuh semata-mata untuk dapatkan
harta. Yang saya kesal, saya tak ada waktu kejadian tu berlaku. Maafkan saya
kerana tak dapat selamatkan ayahanda dan bonda awak. Nasib awak baik sebab tak
pulang malam tu. Jika tak, saya akan menyesal seumur hidup.” Is tertunduk
menahan sebak di dada.
“Saya tak rasa nasib saya baik. Saya lebih rela mati
bersama-sama ayahanda dan bonda malam tu daripada menjadi pelarian begini.
Alangkah baiknya, jika saya tak mabuk dan tertidur di rumah Jenny. Saya anak
derhaka kerana bantah larangan ayahanda dan bonda. Ayahanda minta saya
bertaubat dan tinggalkan semua benda haram yang saya buat. Tapi saya marah ayahanda.
Saya tengking dia. Saya tak perduli tangisan bonda. Malah malam tu sengaja saya
tak mahu balik. Saya minum sepuas-puasnya dan tak hiraukan panggilan telefon ayahanda.
Rupanya itulah panggilan terakhirnya. Saya menyesal, awak. Sangat menyesal.” Air
mata membasahi pipiku.
Is meraih tanganku. Mungkin dia tahu, aku sedih
kerana dia telah menyentuh kejadian malang yang menyebabkan aku menjadi yatim
piatu. Is menarik tubuhku ke dalam pelukannya. Tanpa malu, aku turut memeluk
tubuh Is sambil melepaskan tangisan.
“Bonda... ayahanda...Sha rindu. Rindu sangat-sangat.
Tak pernah Sha rasa rindu begini. Kenapa bonda dan ayahanda pergi tinggalkan
Sha? Sha sunyi. Sha takut, bonda. Sha dah tak ada sesiapa sekarang ni. Tak ada
orang yang nak nasihat dan sayangkan Sha lagi.” Tangisanku kedengaran begitu
sayu dan pilu. Hatiku sarat dengan kelukaan dan kecewa.
“Menangislah, Ku Sha. Menangislah. Jika itu dapat
meredakan semua rasa yang terbelenggu di jiwa. Abang janji abang akan jaga Ku Sha
sebaiknya,” bisik Is.
Aku terperasan yang dia membahasakan dirinya abang semula
dan aku membiarkan sahaja. Is membelai rambutku yang masih berada di dalam
pelukannya. Dia mencium lembut ubun-ubunku. Aku yang karam dalam kesedihan,
tidak menghiraukan perlakuannya. Sentuhan lembut Is sedikit sebanyak
mendamaikan jiwaku. Terasa diri dilindungi dan disayangi. Suatu perasaan lembut
meresap ke hati.
Aku menyandarkan kepala ke dada Is. Mataku pejam
untuk mengundang lena. Sebelum ini aku alami kesukaran untuk tidur. Mungkin
kerana keletihan yang amat sangat menyebabkan mataku mulai memberat dan
akhirnya aku terlena. Is menyandarkan badannya ke dinding masjid. Dia turut
memejamkan matanya sambil tangannya memeluk erat tubuhku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan