“Sayang,
bangun. Dah pagi ni.” Suara Iskandar lembut mengejutkan aku daripada tidur. Aku
mengeliat kecil sambil membuka mata. Iskandar tersenyum memandangku. Haruman badan
lelaki terbau di hidungku. Pasti Iskandar telah mandi dan menunaikan solat.
Aku bangun dan duduk bersandar di kepala katil.
Selimut kutarik bagi menutup tubuhku. Aku cuba mengingati apa yang terjadi
malam tadi. Tidak pasti perasaan sendiri, sama ada suka atau tidak. Tetapi apa
yang terjadi adalah atas kerelaanku. Iskandar duduk di sebelahku. Aku hanya
menjeling ke arahnya sekilas. Rambutku yang agak kusut, kubetulkan.
“Pukul berapa dah sekarang?” soalku sambil mengikat
rambut dengan getah pengikat.
“Dah pukul tujuh setengah pagi. Pergilah mandi. Nanti
boleh kita sarapan bersama-sama.” Iskandar menggosok-gosok pahaku.
Terasa meremang bulu romaku. Pantas aku memegang
tangannya bimbang dia terus-terusan menggodaku. Cukup sekali. Aku berazam tak
akan mengulangi. Cik hati! Jangan jatuh lagi.
“Abang tak rasa salahkah apa yang kita buat
semalam?”
Aku menyoal
setelah melihat Iskandar seperti tidak kisah apa yang terjadi. Seolah dia tidak
berdosa melakukannya. Malah boleh solat dan menghadap ALLAH seperti biasa.
Sedangkan di hatiku terasa berdosa.
“Kenapa? Sha menyesal? Bukankah Sha pun rela?” soal
Iskandar tanpa mahu menjawab soalanku.
“Ya, Sha rela. Tapi Sha hairan. Abang masih bersolat
sedangkan abang dah buat dosa. Adakah dengan solat, dosa akan hilang?”
“Melalui solat kita dapat memohon keampunan atas
dosa-dosa yang kita lakukan. Ketika solat, kita hampir dengan ALLAH. Waktu kita
sujud, kita sebenarnya merendahkan diri dengan kebesaran ALLAH. Pintalah ampun
dengan seikhlas hati, nescaya ALLAH Maha Mendengar apa yang kita pinta.
Termasuklah pengampunan dosa-dosa kita selagi mana kita tidak menyekutukan
ALLAH dengan sesuatu yang lain,” jelas Iskandar, panjang lebar.
“Maksud abang, lepas kita buat dosa kita minta ampun
pada ALLAH. Lepas ALLAH ampun, kita boleh buat dosa semula?”
“Itu namanya tak ikhlas meminta ampun. Keampunan
sebenarnya milik ALLAH. Kita hanya perlu meminta. Manusia memang sering membuat
dosa. Disebabkan itulah ALLAH buka pintu taubat selagi tidak terbitnya matahari
di sebelah barat.”
“Matahari terbit sebelah barat? Apa maksud abang?
Sha makin keliru.”
Aku berterus terang kerana apa yang dikatakan oleh
Iskandar amat baru pada pendengaranku. Iskandar hanya tersenyum dan menarikku
ke dalam pelukannya. Dia mencium pipiku setelah aku membiarkan perlakuannya
itu. Terus terang aku amat menyenangi berada di dalam pelukan Iskandar. Terasa
selamat dan dilindungi. Jiwaku turut rasa tenteram.
“Sha, nanti-nantilah abang terangkan pada Sha
tentang kebesaran ALLAH. Insya-ALLAH di tempat yang kita nak pergi ni, Sha boleh
belajar agama. Sha boleh tanyakan apa sahaja persoalan tentang agama yang Sha
tak faham. Sekarang ni abang nak Sha pergi mandi sebab Sha dah berbau busuk.”
“Busuk-busuk pun abang nak peluk.”
Iskandar menarik hidungku sambil ketawa. Aku
menampar manja lengannya. Cik hati dah jatuh tergolek. Tak boleh ditarik balik.
“Sha tahu mandi wajib?” soal Iskandar ketika aku
bangun untuk mengambil tuala.
Aku tidak tahu kenapa aku membiarkan Iskandar
melihat tubuhku seolah aku milik mutlaknya. Tiada rasa bersalah di hatiku. Aku
membalut tubuh dengan tuala dan berdiri di hadapannya.
“Mandi apa?” soalku sambil mengerutkan dahi.
“Sayang tak pernah mandi wajibkah selama ni?” soal
Iskandar, hairan.
Aku sudah mula selesa dipanggil sayang.
“Hari-hari Sha mandi.” Aku makin hairan.
“Takkan hari-hari sayang berhadas besar?” soalnya
dengan nada lembut.
“Hadas besar pula? Terus teranglah abang. Sha tak
faham apa yang abang maksudkan.”
“Mula-mula abang nak tahu, sayang faham tak apa itu mandi
wajib?”
“Tak.”
Iskandar menarik tanganku agar duduk di sebelahnya.
Aku duduk dan memerhati wajahnya. Hati melonjak ingin mengetahui apa yang akan
dikatakan kepadaku.
“Ada beberapa perkara yang menyebabkan seseorang itu
wajib mandi antaranya sebab haid, nifas, wiladah, keluar air mani dan berjimak.
Jika sayang lepas haid atau lepas berjimak, sayang kena mandi. Mandi ni pula
bukan macam mandi biasa tapi dengan rukunnya. Rukun tu ada tiga sahaja iaitu
niat, menghilangkan najis di badan dan meratakan air ke seluruh badan yang
zahir. Air hendaklah sampai ke dalam rambut dan pangkalnya.”
“Err... Sha tak pernah buat macam tu. Abang tolong ajarkan,
boleh?”
“Baiklah. Tapi sebelum sayang keluar, pakai baju
jangan berkemban macam ni. Abang tak mahu ada orang lain yang tengok tubuh
sayang.”
Aku tersenyum dan mencapai baju T di hujung katil.
Dia menjaga dan menegurku seolah aku isterinya. Tetapi aku suka dia berbuat
begitu. Terasa diriku miliknya dan dia milikku. Setelah berpakaian, aku
mengikutnya keluar daripada bilik.
“Tak nampak Mak Cik Melur pun. Dia tak bangun lagi?”
tanyaku selepas melepasi ruang dapur.
“Mak Cik Melur dah ke rumah jirannya di hujung
jalan. Dia kata ada pakatan kenduri, kena tolong sediakan makan. Tapi tadi dia
dah sediakan kita nasi lemak,” jelas Iskandar sambil membantuku menuruni anak
tangga.
“Patutlah abang setuju nak ajar Sha mandi wajib.
Rupanya Mak Cik Melur tak ada.”
“Kalau ada Mak Cik Melur pun abang tetap akan ajar
Sha. Perkara ni asas fardu ain dan juga kebersihan. Abang tak nak Sha sentiasa
berada dalam keadaan hadas besar. Untuk pengetahuan Sha, mandi ni dapat
mencegah daripada serangan penyakit serta mengembalikan kekuatan yang hilang.
Pendek kata suci jasad, suci jiwa.”
Aku sekadar mengangguk dan memasuki bilik air.
Iskandar menerangkan kepadaku perkara-perkara yang perlu aku lakukan ketika
mandi wajib. Dia membacakan lafaz niat dan aku mengikutinya. Terasa begitu
bodohnya diriku. Aku memiliki segulung ijazah luar Negara tetapi perkara asas
dalam bersuci pun aku tidak tahu. Jika aku tidak bersih daripada hadas,
bagaimana aku hendak lakukan ibadat yang lain?
Terasa segar dan jiwaku turut damai setelah selesai
mandi wajib. Mungkin betul apa yang Iskandar katakan tadi. Suci jasad, suci
juga jiwa. Aku berpakaian dan kemudian menyertai Iskandar di meja makan. Dia
telah menyediakan air untuk kami berdua. Nasi yang terhidang begitu
menyelerakan tekakku. Aku makan hingga habis padahal sebelum ini aku tidak suka
memakan nasi di sebelah pagi.
“Sedaplah nasi yang Mak Cik Melur masak. Isi ikan tongkol
tu pun rasa sedap macam makan stik ikan,” ujarku sambil membasuh tanganku di
singki.
“Sha suka stik ikan?” tanya Iskandar yang turut
membasuh tangannya.
“Kalau di luar Negara, Sha selalu makan stik ikan
salmon. Stik daging pun Sha suka,” jawabku sambil mengelap tangan.
“Err... Sha jangan marah kalau abang tanya.”
Aku panggung muka melihat wajah Iskandar. Matanya
tepat memandangku seolah ada sesuatu yang dimusykilkannya.
“Tanyalah, Sha tak marah.”
“Kalau abang tanya, Sha jangan salah faham. Abang
cuma nak kepastian bukan nak salahkan Sha. Mana yang tak betul, kita
perbetulkan.”
“Baiklah. Abang jangan risau. Apa sahaja kesalahan
dan perbuatan Sha yang tak betul daripada segi agama, abang boleh tegur. Sha
memang tak tahu hukum hakam. Sha jahil.”
“Selain arak, Sha makan tak apa yang kawan-kawan bukan
Islam Sha makan?”
Aku mengangguk. Memang benar sebelum ini aku tidak
memperdulikan sangat tentang halal haram sesuatu makanan. Aku tidak mengambil
kira soal sembelihan. Asalkan ikan dan daging lembu, aku makan. Tetapi aku
tidak makan daging babi dan makanan yang pelik-pelik.
“Tak mengapalah. Barang dah lepas. Sha kena
bertaubat dan jangan ulangi perbuatan lalu. Makanan yang kita makan sebenarnya akan
jadi darah daging kita. Kalau kita makan makanan haram, hati jadi keras dan sukar
menerima hidayah. Jiwa pun tak tenteram.”
Aku diam dan mengikut langkah Iskandar ke hadapan.
Iskandar melabuhkan punggungnya di sofa dan aku duduk di sebelahnya.
“Adakah ALLAH akan terima taubat Sha?” tanyaku,
perlahan.
“Insya-ALLAH, sayang. Asalkan sayang benar-benar
bertaubat dan tinggalkan segala kemungkaran. Lakukan apa yang ALLAH perintah
dan banyakkan beristighfar memohon keampunan ALLAH.”
“Dosa Sha
terlalu banyak. Dulu masa di sekolah Sha tak ambil berat apa yang ustaz ajar.
Ketika di universiti pun, Sha jauhi kumpulan yang nak dakwah Sha. Sha jadikan
mereka musuh dan Sha benci sesiapa bertudung. Pada Sha, mereka ni hipokrit.
Paling Sha benci, Puteri Arysa.”
Aku ketap bibir mengingati wajah perempuan yang
telah merampas kekasih hatiku suatu ketika dahulu. Apa lebihnya Puteri Arysa
hingga Raja Azrin melepaskan kasih antara kami yang bertaut sekian lama? Raja
Azrin tega menghancur leburkan hatiku setelah memperoleh apa yang diingini daripadaku.
Iskandar meraih tanganku dan menggenggamnya. Senyuman tetap mekar di bibirnya.
“Boleh abang tahu siapa Puteri Arysa?” tanya
Iskandar.
Aku kerutkan dahi berfikir sejenak.
“Abang kata semua rahsia Sha dalam poket abang? Bonda
tak ceritakan pada abang tentang Raja Azrin Shah dan Puteri Arysa?” soalku
hairan.
Tiba-tiba
terasa cuak pada Iskandar. Betulkah dia pernah bekerja dengan ayahanda dan
bonda? Persoalan itu kembali menerpa.
“Bonda tak cerita secara detail tentang Raja Azrin. Malah nama Puteri Arysa pun tak pernah
disebutnya,” ujar Iskandar, nampak jujur.
“Apa yang bonda cerita pada abang?” soalku, menguji
setakat mana yang Iskandar tahu.
“Bonda beritahu Sha pernah putus cinta dengan Raja
Azrin setelah setahun berkawan. Sha kecewa dan lepas tu Sha bawa diri ke luar
Negara. Raja Azrin kahwin dengan orang lain. Err... Puteri Arysa kan?” tanya
Iskandar teragak-agak.
Aku mengangguk lemah.
“Maafkan abang sebab dah buat Sha sedih.” Genggaman
di tanganku makin dieratkan.
“Tak mengapa, perkara dah lepas. Cuma Sha kesal, benci
buat diri Sha makin jauh daripada agama. Sha salahkan semua termasuk ALLAH. Sha
bodohkan? Lelaki tu hidup bahagia sedangkan Sha pilih jalan berduka.”
Aku ketawa
kecil bagi menutup riak duka di wajahku. Aku tidak mahu memanjangkan soal itu lagi.
Bimbang, luka lama berdarah kembali. Hingga ke saat ini, aku masih mengingati
Raja Azrin Shah walaupun aku tahu dia tidak akan berpatah balik kepadaku. Iskandar
menarikku ke dalam pelukannya. Aku membiarkan kerana aku memang mengharapkan
sokongannya ketika hatiku terasa sedih.
“Sha jangan sedih. Abang ada untuk rawat segala duka
Sha. Abangkan lagi handsome daripada
Raja Azrin. Jadi, Sha tak rugi dapat abang,” kata Iskandar sambil mencuit
hidungku.
Aku tergelak dengan kenyataannya kerana aku tahu
Raja Azrin lebih kacak daripada Iskandar. Tetapi Iskandar mempunyai
keistimewaan tersendiri dan aku mulai menyukai keistimewaan itu.
“Adakah Raja
Azrin yang pertama?” soal Iskandar setelah lama kami mendiamkan diri.
“Maksud abang?” soalku kembali. Aku mendongak
memandang wajahnya.
“Abang bukan yang pertamakan?” bisiknya rapat di
telingaku.
Berderau darahku dibuatnya. Aku mulai faham maksud
soalannya itu. Apa tujuan dia menyoalku? Adakah dia pun seperti Raja Azrin Shah
yang akan pergi meninggalkanku setelah memperoleh diriku?
Aku meleraikan pelukannya dan bingkas bangun. Terasa
diri begitu bodoh membiarkan sejarah lama berulang kembali. Cuma kali ini
bersama Iskandar. Aku kesal kerana mudah tewas dengan godaan lelaki. Padahal
aku baru sahaja kenal dia. Lelaki Melayu pula tu!
Aku berlari memasuki bilik dan menutup pintu.
Sebelum sempat aku menguncinya, Iskandar menolak dan meloloskan diri. Cepat
rupanya dia mengejarku. Aku mengundur ke belakang apabila Iskandar cuba meraih
tanganku.
“Sayang, kenapa lari daripada abang? Abang tak
bermaksud yang lain ketika abang tanyakan tu. Abang cuma nak Sha berterus
terang. Abang tak nak ada salah faham antara kita. Kalau boleh Sha terangkan
apa yang Raja Azrin dah buat pada Sha. Kenapa sampai Sha simpan rasa benci pada
lelaki Melayu?”
Aku menggeleng-gelengkan kepala. Telingaku tekup
dengan kedua-dua tangan. Tidak mahu mendengar nama Raja Azrin dan sejarah
lamaku dibangkitkan semula. Aku bencikan dia. Aku benci terseksa sekian lama. Aku
benci perasaan ini. Mencintai tetapi dikhianati. Kenapa perasaan ini datang
lagi?
“Sayang...”
“Agghh! Pergii!”
Aku menjerit sekuat hati apabila Iskandar menyentuh
tanganku. Bagaikan terkena histeria, aku menangis semahunya dan cuba melarikan
diri. Iskandar pantas menarik tubuhku ke dalam pelukannya. Dia cuba menenangkan
diriku yang sedang meronta-ronta. Kedua-dua tanganku menumbuk dadanya. Iskandar
pantas mengunci pergerakanku menyebabkan aku terkaku.
“Sha, jangan bertindak begini. Ingatkan ALLAH
banyak-banyak. Istighfar Sha, istighfar!”
Iskandar mulai beristighfar dan aku mengikut
sebutannya. Lama kelamaan aku kembali tenang. Iskandar melepaskan tangannya
yang mengunci kaki dan tanganku. Aku menggosok-gosok tangan yang terasa sakit.
Iskandar menarikku ke dalam pelukannya. Dia menguak rambutku dan memberikan
ciuman di dahiku.
“Sayang
jangan mengamuk lagi. Abang janji tak akan tanya hal ni lagi. Abang minta maaf.”
Aku diam tanpa reaksi. Tak pasti apa yang kurasa
ketika ini. Luka dan duka bersatu. Pedih dan pilu membelenggu. Marah dan sakit
mengganggu. Cinta dan benci berpadu.
“Sayang, abang tak bermaksud nak lukakan hati sayang
atau persoal diri sayang. Mungkin cara abang tadi tak kena. Sebenarnya, abang terima
sayang seadanya. Abang cintakan sayang. Maafkan abang, sayang.”
Iskandar terus memelukku, menyalurkan kekuatan buat
diriku. Sesekali tangannya mengusap lembut belakangku. Memujuk dan memberi
kata-kata semangat.
“Abang, jangan tinggalkan Sha.”
Aku bersuara lemah setelah lama mendiamkan diri. Tubuhku
terasa amat letih. Untuk mengangkat tangan pun terasa begitu payah. Seolah
sistem badanku gagal berfungsi dengan baik ketika itu.
“Abang takkan tinggalkan Sha.”
“Janji?” soalku antara dengar dan tidak.
“Ya, abang
janji.”
Segaris senyum terukir di bibirku sambil memejamkan
mata. Hati mulai terasa tenang. Entah kenapa, aku yakin dengan janji Iskandar.
Aku dapat merasakan tubuhku diangkat dan diletakkan di atas katil. Terasa
hangat ciuman selamat malam yang diberikannya di dahiku.
Mobile - Ilham Grup Buku Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan