Aku
tersedar daripada lena dan memandang sekeliling. Sunyi sepi tanpa kelibat
Iskandar di situ. Aku bangun dan bersandar di kepala katil. Mengingati kembali
apa yang terjadi sebelum ini, membuat aku termenung sendiri.
Adakah apa yang aku buat ini betul? Hatiku memang
mengharapkan dia sentiasa ada untukku. Menegur dan membimbingku ke jalan ALLAH.
Tapi jika tiada ikatan antara aku dan dia, tidakkah itu mengundang dosa?
Bagaimana nak mensucikan diri jika dalam waktu yang sama diri bergelumang dosa?
Aku dah janji nak berubah tapi aku masih ulang kesalahan yang sama, aku
bermonolog sendiri.
Cincin di jari kutatap lama. Cuba mencari maksud di
sebalik pemberian Iskandar itu. Adakah Iskandar juga seperti Dennis dan Nancy
kawanku yang berkahwin bulan lepas? Tetapi sebelum berkahwin secara rasmi,
mereka berdua duduk bersama dan saling bertukar cincin. Mereka menganggap
pemberian cincin itu melambangkan perkahwinan mereka. Mendaftarkan perkahwinan,
sekadar memenuhi syarat sahaja.
Bolehkah di dalam agama Islam berbuat seperti Dennis
dan Nancy? Hatiku berbelah bagi. Sejahil-jahil aku, rasanya perkara itu tidak
dibolehkan. Setahu aku, seorang perempuan perlu menyatakan persetujuan jika
ingin mengahwini seseorang lelaki. Malah lelaki itu perlu melafazkan akad.
Tetapi aku tidak menjalani sebarang upacara tersebut. Jadi jelas dan nyata, aku
bukan isteri Iskandar.
Pintu bilikku dibuka dan Iskandar terjengul di
pintu. Dia tersenyum sambil menghampiriku.
“Sayang dah bangun rupanya. Macam mana sekarang? Dah
okey?” tanya Iskandar sambil duduk di sebelahku.
Aku tersenyum dan mengangguk. Aku membiarkan
Iskandar memegang dan mencium tanganku. Rasa bahagia diperlakukan begitu.
Tetapi tidakkah perbuatan ini juga berdosa?
“Abang, tidakkah perbuatan kita ni berdosa? Sha nak
bertaubat tapi abang buat dosa Sha makin bertambah. Bukankah kita dah lakukan
dosa besar kerana berzina dan hidup macam suami isteri tanpa ikatan yang sah?”
ujarku meluahkan apa yang terbuku di hati.
Wajah Iskandar jelas terkejut. Tubuhku dipusing bagi
menghadap dirinya. Matanya tajam melihat ke bola mataku. Berdesup rasanya
hingga ke jantungku.
“Siapa kata kita berdosa? Sha isteri abang dan
hubungan kita halal. Tiada istilah zina tapi apa yang kita lakukan adalah
ibadah. Sha dapat pahala sebab layan abang dengan baik. Bagaimana Sha boleh
fikir yang kita tiada ikatan?” soal Iskandar, tegas.
“Tapi Sha tak tahu pun bila akad nikah kita? Serasanya
Sha tak pernah bersetuju nak kahwin dengan abang. Kenal abang pun tak.” Aku
mulai keliru.
“Ayahanda kata, Sha sendiri yang setuju dan Sha
tandatangan surat beri izin ayahanda jalankan akad nikah bagi pihak Sha. Takkan
Sha dah lupa?” ujar Iskandar dengan dahi berkerut. Mungkin hairan kerana aku
tidak mengetahuinya.
“Bila masa Sha bersetuju? Ayahanda tak beri apa-apa
surat pun untuk Sha tandatangan. Abang tengok tak surat tu?” soalku masih tidak
berpuas hati.
“Abang tengok sendiri surat tu. Memang tandatangan Sha
pun. Takkan Sha tak baca masa tandatangan?”
“Masalahnya, Sha tak tahu pun surat tu wujud. Kebiasaannya
Sha akan baca terlebih dahulu sebelum turunkan tandatangan pada mana-mana
dokumen.”
Iskandar garu kepala yang tidak gatal. Aku merenungnya
untuk mencari jawapan. Jika benar aku isterinya, aku amat bersyukur. Jika
tidak, aku ingin halalkan hubungan kami.
“Itu abang tak tahu. Apa yang pasti, memang Sha dah
setuju. Ayahanda dan bonda yang sahkannya. Sha jangan risau, akad nikah kita
sah dan menepati hukum syarak. Ayahanda wakil dan wali Sha. Jadi tanpa
kehadiran Sha pun akad nikah tetap sah.”
Berkerut dahiku memikirkan kata-kata Iskandar.
Sebahagian hatiku menerima dan sebahagian lagi menolak.
“Kalau kita dah kahwin, tentu ada surat nikahnya.
Mana? Tunjukkan pada Sha.”
“Surat tu abang tertinggal di rumah sewa abang di
Kuala Lumpur. Surat nikah Sha tak adakah? Ayahanda kata nak serahkan sendiri
pada Sha bersama-sama duit mas kahwin dan hantaran. Abang dah beri cek RM10,000
pada ayahanda.”
“Sha tak tahu sama ada surat nikah dan cek tu ada
atau tidak. Ayahanda tak kata apa-apa pun tentang perkahwinan Sha. Bonda pun
tak cakap apa-apa sedangkan bonda selalunya beritahu Sha apa aje yang berlaku
dalam keluarga. Bila tarikh akad nikah kita?”
“Tiga minggu lepas, iaitu hari Khamis 15 Mac.
Mungkin bonda dan ayahanda tak sempat nak beritahu Sha atau mungkin juga mereka
nak beri kejutan pada Sha. Kalau ikut perancangan, dua bulan lagi baru majlis
resepsi kita akan dibuat.”
Aku terdiam memikirkan kata-kata Iskandar. Jika
benar kata Iskandar, bagaimana ayahanda atau bonda mendapatkan tandatanganku?
Adakah aku menandatangai surat itu sewaktu mabuk atau khayal? Seingat aku, aku
tidak pernah pulang ke rumah jika mabuk dan aku tidak pernah mengambil pil
khayal. Ketika di rumah, aku sentiasa memastikan diriku waras dan normal
dipandangan mata bonda dan ayahanda. Aku
hanya akan minum ketika di kelab malam atau di parti kawanku. Di tempat lain,
aku elakkan berbuat begitu.
“Abang, Sha lapar. Ada apa-apa tak untuk dimakan?”
Aku sengaja mencari alasan untuk elakkan diri daripada
terus memikirkan masalah ini. Apa yang aku hadapi sekarang terlalu berat untuk diselesaikan
dalam masa yang singkat. Buat masa sekarang, aku terima segala kata-kata
Iskandar. Tetapi bila ada peluang, aku akan siasat kebenarannya. Aku perlu
mendapatkan telefon untuk menghubungi Shila, sepupu merangkap pembantu
peribadiku.
“Marilah ke dapur. Tadi Adli datang hantar makanan
tengah hari. Abang tunggu Sha bangun untuk makan bersama,” ujar Iskandar dengan
wajah ceria.
Aku bangun dan menuruti langkah Iskandar ke dapur.
Suasana rumah begitu sunyi dan kelibat Mak Cik Melur juga tiada.
“Mak Cik Melur tak balik lagi?” soalku sambil
mencuci tangan di singki.
Aku turut
membasuh sedikit wajahku. Takut jika ada tahi mata yang bertempek. Maklumlah
aku baru bangun tidur.
“Dia dah balik. Tadi dia kata nak ikut Adli ke Bandar.
Nak beli barang dapur,” jawab Iskandar sambil menarik kerusi untukku.
Aku duduk di kerusi dan memandang lauk di hadapanku.
Selera makanku seolah tertutup melihat ayam goreng bersalut tepung. Ayam
sebegitu mengingatkan aku makanan kegemaran Raja Azrin Shah. Telah lama aku
tidak menjamah ayam goreng bagi mengelakkan diri mengingatinya. Tetapi kerap
kali aku gagal. Ternyata hatiku masih merinduinya.
Iskandar menyendukkan nasi untukku. Dia meletakkan
daging masak hitam ke dalam pingganku. Aku membiarkan dan mengambil sedikit
sayur. Apabila Iskandar ingin meletakkan ayam goreng, aku menghalang.
“Sha tak makan ayam goreng.” Aku memberi alasan.
“Oh! Maaf, abang tak tahu.”
“Tak mengapa,” jawabku lemah.
Mataku labuhkan ke pinggan nasi. Aku gagahkan diri
menyuap nasi ke mulut. Bau ayam goreng yang dimakan oleh Iskandar benar-benar
mengganggu ketenanganku. Terlayar di minda wajah Raja Azrin yang menyaup
cebisan ayam goreng ke mulutnya. Ketika itu kami berada di restoran makanan
segera kegemaran Raja Azrin.
“Rain, kita kahwin,” ujarku setelah lama memerhati
wajah Raja Azrin.
“Kenapa?” soalnya acuh tak acuh.
“Takkan kita nak terus begini? You tak rasa
berdosakah?”
“I ingat you tak kisah soal dosa.”
“I cintakan you sepenuh hati. Sebab tu I masih
terima you walaupun you dah nodai I. I nak you kotakan janji you dan bertanggungjawab
atas apa yang you buat pada I. Kita kahwin
dan I akan maafkan semua kesalahan you.”
Aku merayu
untuk ke sekian kalinya. Telah banyak kali Raja Azrin Shah cuba mengelak jika
soal kahwin dibangkitkan. Pelbagai alasan diberikan. Khabar angin yang kudengar
tentang hubungannya dengan Puteri Arysa benar-benar merungsingkanku.
“I tak minta, tapi you sendiri yang serahkan body you. You ingat dengan serah body, you dah boleh ikat I? Sorry, family I dah tetapkan jodoh I. I
kena ikut pilihan family. I harap you
faham dan hubungan kita setakat ini aje.”
“Apa maksud you sebenarnya? You bawa I ke rumah you
dan masukkan pil khayal dalam minuman I. Bila I tak sedar, you rogol I. Itu
yang you kata I serahkan body pada you?
Pandai you pujuk I supaya tak ambil tindakan terhadap you. You kata nak
bertanggungjawab tapi sekarang you nak putuskan hubungan kita?” suaraku lantang
bagaikan panahan petir.
Aku tidak memperdulikan banyak mata yang melihat
adegan spontan yang kami paparkan.
“Ya! Kita putus. Bagi I, perempuan macam you tak
layak dijadikan isteri. Belum apa-apa dah serah body pada lelaki. Entah
berapa jantan sebelum ni pun I tak tahu. You sengaja ikut I balik ke rumah dan
goda I. Itu perangkap you untuk kahwin dengan I kan? I tak nak kutip sisa
orang. I nak isteri yang masih suci macam Arysa.”
Berdesing telingaku mendengar kata-katanya. Akukah
yang bersalah dalam soal ini? Setelah dia merosakkan diriku dengan mudah dia
memutuskan hubungan kami. Mana pergi janji manisnya selama ini? Janji akan mencintai
dan membahagiakanku selamanya. Bodohnya aku kerana mempercayai janji seorang
‘buaya’.
“Baru sekarang you kata I tak layak jadi isteri you.
Masa you nakkan tubuh I, macam-macam taktik you guna. Tak dapat cara baik, you
guna cara keji. Beribu janji you tabur, pujuk rayu semanis madu semuanya palsu
belaka. I tak perduli apa alasan you. I nak you bertanggungjawab atas apa yang
you dah buat pada I. I mengandungkan anak you, tahu tak?” Lava kemarahanku kian menggelegak melihatkan
wajah Raja Azrin yang bersahaja.
“You
mengandung? So, you ingat jika you
mengandung, I akan kahwin dengan you? I tak rasa itu anak I. Mungkin jantan
lain yang buntingkan you dan you senang-senang nak perangkap I.”
“Ini anak you! I tak ada hubungan dengan orang lain.
Sama ada you suka atau tidak, you kena bertanggungjawab.”
“Hey! Kiesha. You dengar baik-baik apa yang I nak
kata. I tak boleh terima you walau apa pun alasan you. I cadangkan you carilah
jantan lain yang rela jadi pak sanggup atau you gugurkan aje kandungan you tu,”
ujar Raja Azrin Shah dengan senyum sinisnya.
Aku tidak dapat menerima kata-katanya. Begitu hina
sekali dia perlakukan diriku. Setelah maruahku dicarik-carik, begitu mudah dia
berlepas tangan. Habis madu sepah di buang. Aku merenung Raja Azrin, marah.
Tanganku mencapai gelas berisi air oren di
hadapanku. Marah yang membahang membuat aku menyimbah air ke muka lelaki yang
sedang leka mengunyah ayam goreng. Jelas terlihat di mataku rupanya yang
terkejut. Bulat matanya merenungku.
“Sayang, kenapa ni?” soalnya kehairanan.
Mendengar suaranya membuatkan aku kembali ke alam
nyata. Terlopong mulutku melihat wajah Iskandar yang basah bermandikan air
oren. Segera aku bangun dan menghampirinya. Serba salah aku dibuatnya. Pantas
jari jemariku mengesat wajahnya tanpa menyedari aku belum membasuh tangan.
“Ahh!” terjerit Iskandar apabila jari jemariku yang
masih terlekat cili mengenai matanya.
“Maafkan Sha. Sha tak sengaja.”
Aku makin panik melihat Iskandar menutup matanya
yang kepedihan.
“Sha, bawa abang ke singki,” arah Iskandar sambil
tangannya terawang-awang cuba mencapai tanganku.
Aku memaut tubuh Iskandar dan membawanya ke singki.
Paip air kubuka dan dia mulai membasuh mukanya. Aku turut membasuh tanganku.
“Abang, Sha minta maaf. Abang tak apa-apakah?”
Aku mulai risau dan membelek wajahnya bagi
memastikan dia tidak tercedera. Iskandar membuka matanya dan merenung wajahku
penuh tanda tanya.
“Kenapa Sha mandikan abang dengan air oren?”
“Err... Sha minta maaf. Tadi terbawa-bawa. Rasa
macam Raja Azrin yang ada depan Sha. Sha marahkan dia dan Sha pernah curahkan
air ke wajah dia,” terangku takut-takut.
Aku gigit bibir. Berdebar menanti kata-kata daripada
Iskandar. Iskandar tersenyum dan menarikku ke dalam pelukannya.
“Eee...abang basah.” Aku menahan diri daripada
dipeluk.
“Sha yang buat abang basah. Abang tak kira, abang
nak peluk Sha juga.”
Iskandar cuba mencapai tubuhku tetapi aku cepat
melarikan diri ke ruang hadapan. Dia mengejarku menyebabkan aku
terpusing-pusing sekeliling sofa bagi mengelakkan diri.
“Sha tak larat dah. Maafkan Sha.”
Aku berhenti setelah penat berpusing-pusing beberapa
kali. Iskandar menarikku ke dalam pelukannya dan aku hanya menurut. Habis basah
bajuku apabila terkena tubuh Iskandar yang basah dan melekit. Iskandar ketawa
dan aku turut ketawa bersama-samanya.
Mobile - Ilham Grup Buku Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan