Razif
mengambil telefon Irdina dan juga bungkusan ubat. Kemudian dia melihat nombor
telefon Irdina lalu memindahkan nombor tersebut ke telefonnya. Dia merancang
untuk menelefon Irdina dan bersemuka kemudian nanti. Razif melihat Irdina
keluar dari bilik tamu dan dia mendapatkan Irdina.
“Ni
telefon dan ubat awak. Harap awak tak buat alasan untuk ke sini lagi,” ujar
Razif sambil menghulurkan telefon dan bungkusan ubat.
Irdina
menyambut huluran Razif. Hatinya terfikir untuk menyakitkan hati Razif lagi.
‘Alang-alang
mak dia dah salah faham, biar aku buat dia kena marah kaw-kaw. Biar padan muka
dia.’
Mak Cik Sopiah hanya memerhati mereka berdua.
“Terima
kasih, abang sayang. Lain kali kita jumpa lagi.” Irdina bersuara manja sambil
tersenyum penuh gedik.
Radang
hati Razif makin bertambah. Mukanya masam mencuka. Kalau ikutkan hati, hendak
di tampar mulut itu tetapi akalnya masih waras. Dia perlu bersabar. Lagi pun
tak mancho lelaki yang menampar
perempuan.
“Mak
cik, saya ucapkan berbanyak terima kasih dan minta maaf jika kelakuan saya
menyinggung perasaan mak cik. Budi baik mak cik tidak akan saya lupakan.”
Irdina bersalaman dengan Mak Cik Sopiah.
“Baiklah.
Mak cik pun minta maaf pada Irdina. Harap Irdina pertimbangkan cadangan mak cik
untuk kahwinkan Irdina dengan Razif.” Mak Cik Sopiah benar-benar berharap.
Irdina
hanya tersenyum dan menggeleng-geleng kepalanya. Dia kemudian meminta diri
untuk pulang. Mak Cik Sopiah menuruti langkahnya hingga keluar rumah.
“Eh!
Ustaz tak balik lagi?” tegur Irdina, ramah.
“Tak.
Saya tunggu Razif. Dia kata nak tunjukkan sesuatu kepada saya,” terang Ustaz
Azmi.
“Saya
minta diri dulu.”
“Awak
tak takut kalau-kalau Abang Burn kacau lagi?”
“Bakar
ganggu Irdina ke?” tanya Mak Cik Sopiah, hairan.
“Ya,
dia ganggu Irdina tadi. Tapi disebabkan saya tegur dia, dia terus balik.”
“Balkis
dan Laila dah balik belum?”
“Belum.
Mungkin lewat sedikit,” jawab Irdina.
“Jika
begitu, Irdina jangan balik lagi. Tunggu sehingga mereka balik.” Risau Mak Cik
Sopiah, tidak mahu bakal menantunya menjadi mangsa Bakar.
“Mak
cik jangan risau. Saya tahu jaga diri. Insya ALLAH tak apa-apa. Abang Burn
tentu tak berani nak buat sebarangan lagi.”
“Tapi
mak cik rasa elok Irdina tinggal di sini dulu. Kalau apa-apa terjadi pada
Irdina, mak cik tak akan maafkan diri sendiri.”
“Mak
cik, saya nak balik sebab dah seharian saya tak mandi.”
“Kalau
begitu, mandi saja di sini.”
“Mak
cik, kalau mak cik risau sangat suruhlah Rosnah temankan saya sebentar.” Irdina memberi cadangan.
“Rosnah
nak ke kelas tambahan malam ni. Kalau begitu, biar mak cik saja yang temankan
Irdina.”
“Baiklah.
Mana-mana pun tak mengapa, janji saya boleh balik dan mandi.”
“Tunggu
sebentar, mak cik nak ambil barang mak cik.”
Irdina
terpaksa menunggu Mak Cik Sopiah.
“Patutlah
ada bau kambing. Rupanya awak tak mandi seharian,” usik Ustaz Azmi sambil
ketawa kecil.
“Kambing
pun ada bodyguard tau.” Irdina
membalas gurauan Ustaz Azmi.
“Itu
tandanya kambing tu amat berharga. Kalau saya pun, saya nak jadi bodyguard kambing tu.”
“Kalau
ustaz sudi, kambing tu tentu gembira.” Irdina tersenyum penuh makna.
“Agak-agak
kambing tu ada nombor telefon tak? Bolehlah saya nak berjumpa dengan gembalanya
untuk menentukan harganya. Rasanya saya ingin memiliki kambing tu,” Ustaz Azmi
berkias.
“Betul?
Ustaz tak main-main?” tanya Irdina. Faham maksud tersirat Ustaz Azmi.
“Insya
ALLAH. Saya tak main-main. Kalau awak sudi, berilah nombor telefon awak.”
Irdina
memberikan nombor telefonnya kepada Ustaz Azmi. Ustaz Azmi mengucapkan terima
kasih kepada Irdina. Dia memang berhajat untuk meminang Irdina kerana hatinya
telah terpikat dengan kelembutan dan keperibadian Irdina. Mak Cik Sopiah keluar
dan kemudian mengajak Irdina pulang. Irdina sempat melambaikan sedikit
tangannya kepada Ustaz Azmi. Ustaz Azmi memandang Irdina dengan senyum meleret.
Dia tahu, dia tidak bertepuk sebelah tangan.
“Hai!
Tengok Irdina sampai tak berkelip mata tu,” tegur Razif.
“Tak
adalah Razif. Aku cuma kasihankan dia.” Ustaz Azmi memberi alasan.
“Kasihan
atau kasih?” tanya Razif menduga.
“Ada-ada
saja kau ni. Mana barang yang kau nak tunjuk pada aku?” Ustaz Azmi mengubah
topik perbualan.
“Ni…
cuba kau tengok.” Razif menunjukkan duit syiling lama.
Ustaz
Azmi meneliti duit yang mempunyai bentuk orang tua yang bongkok sambil memegang
tongkat dan di sebelah muka lagi berbentuk rama-rama.
“Ini
duit yang dijadikan azimat untuk pelaris. Kau guna pelaris untuk klinik kau?”
tanya Ustaz Azmi.
“Taklah.
Ada orang beri pada aku. Sebab tu aku nak tahu.”
“Guna
pelaris dalam berjual beli adalah berdosa. Ini kerana ia bercanggah dengan
akidah dan boleh membawa kepada syirik kepada ALLAH. Berdasarkan kepada hadis
Nabi s.a.w. yang bermaksud ‘sesungguhnya jampi, tangkal, azimat dan ubat
guna-guna adalah syirik.’ Oleh itu, jauhkanlah diri daripada perbuatan yang
sedemikian,” terang Ustaz Azmi.
“Ya,
aku tahu. Sebab tu aku nak minta pendapat kau. Adakah patut aku simpan benda ni
atau buangkan saja?”
“Sebaiknya
kau buangkan saja. Benda ni ada jin yang berdamping dengannya.”
“Tak
memudaratkan diri aku ke kalau buang?”
“Insya
ALLAH tak. Jangan simpan sebab hukumnya haram.”
“Baiklah.
Aku akan buang di sungai sewaktu aku nak ke klinik nanti.”
“Aku
nak minta diri dulu. Dah lama aku berada di sini.” Ustaz Azmi bangun dan
bersalaman dengan Razif.
Razif
hanya melihat Ustaz Azmi menaiki kereta Proton Wira. Setelah Ustaz Azmi berlalu
pergi, Bakar menghampiri Razif.
“Razif!
Irdina dah balik ke belum?” tanya Bakar.
“Yang
Abang Burn sibuk tanya dia, kenapa? Dia bukan isteri Abang Burn.”
“Aku
nak tahulah. Kalau dia mahu, aku nak ambil dia jadi isteri kedua.”
“Jangan
beranganlah Abang Burn. Dia tu tak suka lelaki tua. Dengan saya, padanlah.”
Razif sengaja menyakitkan hati Bakar.
“Kau
jangan ingat aku tak mampu pikat dia. Ini Abang Burnlah. Sekali aku ayat, cair
dia.” Bakar mendabik dada.
“Jangan
takbur sangat. Ingat sama yang Abang Burn tu ada isteri dan anak-anak. Jangan
sebab seorang perempuan rumah tangga Abang Burn kacau bilau.”
“Kau
tahu apa? Isteri pun kau tak ada. Orang perempuan ni nampak saja macam garang.
Tapi kalau kena gayanya, boleh melutut di kaki kita.”
“Wow!
Hebatnya Abang Burn. Saya pun nak belajarlah dari Abang Burn.” Sengaja Razif
memuji untuk melihat reaksi Bakar.
“Kalau
kau nak belajar, tolong aku minta nombor telefon Irdina. Melalui telefon aku
boleh ayatkan dia. Nanti kau tengok dia datang berlutut di kaki aku.”
“Betul?
Saya pun nak ayatkan dia supaya dia pun boleh berlutut depan saya.”
“Kau
janganlah berebut dengan Abang Burn. Kau pikatlah Balkis tu.”
“Tapi
saya suka Irdina. Senyuman dia manis dengan lesung pipit di pipi.” Razif
sengaja menambah bara di hati Bakar.
“Kau
jangan nak cari pasal dengan aku. Dia hak aku.”
Razif
hanya ketawa mendengar kata-kata Bakar. Padanya Bakar hanyalah berangan-angan
dan tak mungkin berjaya memikat Irdina.
“Kenapa
kau ketawa?” tanya Bakar.
“Sengaja
nak lihat siapalah yang malang dapat berkahwin dengan Irdina,” kata Razif
sambil melangkah masuk ke rumahnya.
Bakar
hanya mencebikkan mulutnya. Dia rasa terhina dengan kata-kata Razif. “Jaga kau
Razif. Satu hari aku akan ajar kau cukup-cukup,” ujar Bakar yang masih
berdendam dengan Razif.
Bakar
melangkah pulang ke rumahnya apabila mendengar azan maghrib berkumandang di
udara. Dia melihat rumah Irdina yang terang benderang dengan cahaya lampu.
Tahulah dia bahawa Irdina telah pulang ke rumah. Ada senyuman di bibirnya.
Mak
Cik Sopiah mengambil wuduk dan kemudiannya menunaikan solat berjemaah dengan
Irdina. Mereka berdoa bersama-sama dan kemudiannya duduk membaca Surah Yassin.
Irdina merasa tenang setelah selesai membaca Yassin. Dia bersalaman dengan Mak
Cik Sopiah dan mencium tangannya.
“Irdina,
marilah ke rumah mak cik. Di rumah ni tentu tak ada makanan,” ajak Mak Cik
Sopiah.
“Saya
seganlah mak cik. Nanti Abang Razif kata apa pula. Tadi pun dia dah marahkan
saya.”
“Tak
mengapa. Dia tak maksudkan apa yang dia kata tu.”
“Biarlah
mak cik. Saya boleh beritahu Balkis untuk belikan saya makanan.” Irdina cuba
menolak pelawaan Mak Cik Sopiah.
“Buat
apa nak beli sedangkan dah ada makanan di rumah mak cik? Nanti ajak sekali
Balkis makan di rumah mak cik.”
“Tapi,
saya tak mahu jumpa Abang Razif lagi. Malu rasanya.”
Mak
Cik Sopiah hanya tersenyum. “Dia pun tentu dah ke klinik sekarang ni. Rosnah
pun mungkin dah ke kelas tambahan. Tak ada siapa di rumah mak cik waktu
sekarang.”
Irdina
tidak mampu menolak pelawaan Mak Cik Sopiah. Akhirnya dia bersetuju. Irdina
menelefon Balkis untuk mengajaknya makan di rumah Mak Cik Sopiah. Balkis
menyetujuinya dan dia di dalam perjalanan pulang.
“Mak
cik selalu tinggal seorang diri waktu begini?” tanya Irdina.
“Tak
juga. Cuma hari Selasa bila Rosnah ke kelas tambahan. Malam-malam lain, Rosnah
ada. Kadang-kadang Razif tak ke klinik waktu malam bila dia kerja dari pagi.”
Irdina
hanya mendiamkan dirinya mendengar kata-kata Mak Cik Sopiah. Mak Cik Sopiah
memanaskan sup untuk Irdina. Dia menyuruh Irdina menunggu di sofa dan tidak
membenarkan Irdina menolong di dapur. Mak Cik Sopiah tahu yang Irdina masih
lemah walaupun demamnya sudah berkurangan. Irdina melihat siaran televisyen
sementara menanti ketibaan Balkis.
“Kak
Irdina!” panggil Balkis yang berada di pintu hadapan.
Irdina
bangun untuk membuka kunci dan membiarkan Balkis masuk.
“Laila
tak balik lagi ke?” tanya Balkis.
“Dia
kata mungkin lewat sikit.”
“Jumpa
tunang dialah, sebab tu lewat.” Balkis meneka.
“Entahlah.
Aku dulu pun ada tunang tapi jarang jumpa.”
“Bekas
tunang Kak Irdina duduk jauh, tu yang jarang jumpa. Tunang Laila kerja di
sini.”
Irdina
duduk semula di sofa. Balkis memerhati sekitar rumah itu mencari-cari Mak Cik
Sopiah.
“Kenapa
Kak Irdina tak tolong Mak Cik Sopiah?”
“Mak
Cik yang tak beri aku tolong.”
Balkis
melangkah ke dapur untuk menolong Mak Cik Sopiah. Dia membiarkan Irdina
keseorangan di ruang menonton. Irdina meneruskan tontonannya. Tiba-tiba telefon
Irdina berbunyi. Irdina melihat di skrin tertera nombor yang tidak dikenalinya.
Dia menjawab panggilan itu untuk mengetahui siapa yang memanggil. Irdina
menjawab salam yang diberi.
“
Irdina, ini Abang Azmi.”
“Oh!
Ustaz rupanya.”
“Janganlah
panggil ustaz. Panggillah abang.”
“Baiklah,
abang.” Lebar senyuman Irdina.
“Irdina
ada di rumah ke?”
“Tak,
Irdina ada di rumah Mak Cik Sopiah. Dia ajak Irdina dan Balkis makan di sini.”
“Baguslah
tu. Risau juga abang jika Abang Burn kacau Irdina lagi.”
“Tak
mengapa. Balkis pun dah balik.”
“Alhamdulillah.
Kalau ada apa-apa masalah, Irdina telefonlah abang. Insya ALLAH abang akan
datang.”
“Terima
kasih. Abang, boleh tak Irdina nak tanya sikit.”
“Tanyalah,
apa dia?”
“Kalau
boleh, Irdina nak tahu sikit sebanyak latar belakang abang. Nanti kalau emak bapak
Irdina tanya, senang nak cerita.”
“Baguslah
begitu. Irdina beritahu mereka yang umur abang 32 tahun. Anak sulung daripada
empat orang adik beradik. Abang sajalah anak lelaki dan tiga lagi, perempuan.
Bapa abang dah meninggal dunia. Abang tinggal dengan mak dan dua orang adik.
Seorang adik abang dah kahwin. Seorang masih belajar di universiti dan yang
bongsu masih di sekolah rendah. Irdina pula macam mana? Abang pun nak tahu
latar belakang Irdina. Nanti senang nak beritahu mak abang.”
“Irdina
anak kedua daripada tiga orang adik beradik. Abang Irdina dah kahwin dan adik
Irdina masih belajar di UniMAP. Mak dan bapak Irdina masih ada. Dulu, Irdina
pernah bertunang. Tapi bekas tunang Irdina lesap, lepas buat pinjaman. Irdina jadi
penjamin dia. Hingga sekarang Irdina masih tanggung hutang dia.” Irdina
berterus terang.
“Sungguh
tak bertanggungjawab lelaki begitu. Berapa tahun lagi baru habis nak bayar pinjaman
tu?” tanya Ustaz Azmi. Ada rasa simpati dengan nasib Irdina.
“Ada
setahun lagi.”
“Abang
simpati dengan Irdina. Insya ALLAH abang tak akan sia-siakan Irdina bila kita
telah bersatu. Abang harap Irdina dapat bersabar dan tunggu pinangan abang.
Abang akan minta izin mak abang terlebih dahulu.”
“Insya
ALLAH, Irdina akan tunggu. Bila abang dah dapat persetujuan mak abang, beritahu
Irdina, ya.”
“Ya,
abang akan beritahu dengan segera.” Ceria kedengaran suara Ustaz Azmi.
Rasa
gembira menyelubungi hati Irdina. Ciri-ciri lelaki idamannya ada pada Ustaz
Azmi. Itu yang membuatkannya terpaut hati. Malah sikap Ustaz Azmi yang berterus
terang ingin menghalalkan hubungan mereka walaupun baru mengenalinya
membuatkannya makin menghormati Ustaz Azmi. Bagi Irdina, bercinta sesudah kahwin
lebih kukuh dan manis berbanding cinta sebelum halal. Irdina mendengar Mak Cik
Sopiah memanggil namanya. Dia kemudiannya meminta diri dan memutuskan talian
telefon.
“Hai!
Sembang dengan siapa? Siap berabang-abang lagi.” Balkis mengusik Irdina.
“Adalah.
Takkan semua nak kena lapor pada kau,” ujar Irdina sambil tersenyum.
Mak
Cik Sopiah mendengar perbualan itu hanya tersenyum. Dia menyangka Irdina
berbual dengan Razif. Rasa sejuk hatinya melihat wajah ceria Irdina.
“Makanlah Irdina,” ujar Mak Cik Sopiah ketika
melihat Irdina masih tidak menjamah makanannya.
Irdina
memasukkan sedikit nasi ke mulutnya. Selera makannya masih belum pulih
sepenuhnya. Mak Cik Sopiah bangun untuk mengambil kicap untuk Irdina. Dia
menyangka Irdina tidak berselera makan kerana tiada kicap.
“Ini
kicap kegemaran Irdina.” Mak Cik Sopiah menghulurkan kicap kepada Irdina.
Irdina
hanya tersenyum melihat Mak Cik Sopiah. Dia terharu dengan kebaikan Mak Cik
Sopiah. Perlahan-lahan tangannya menuang kicap ke atas nasi. Irdina mengagahkan
diri menghabiskan nasi di pinggan.
“Tambah
lagi Irdina,” pelawa Mak Cik Sopiah.
“Dah
kenyanglah mak cik. Malam-malam saya tak makan banyak dan kadangkala saya tak
makan pun.” Irdina memberitahu tabiat makannya.
“Patutlah
badan Irdina kurus,” Mak Cik Sopiah tersenyum.
Irdina
bangun untuk membasuh pinggannya.
“Tinggalkanlah
di situ, Irdina.”
“Tak
apalah mak cik. Bukannya banyak pun.” Irdina membasuh pinggan dan gelasnya.
Setelah
mereka selesai makan dan mengemaskan meja, Mak Cik Sopiah mengajak mereka duduk
di ruang hadapan.
“Esok
Irdina cuti lagikan?” tanya Mak Cik Sopiah.
“Ya.
Kenapa mak cik?”
“Esok
Irdina nak makan apa? Nanti mak cik buatkan.”
“Tak
perlulah mak cik. Kalau saya dah sihat, saya boleh buat sendiri.”
“Kak
Irdina nak masak apa? Barang-barang dapur, kebanyakannya dah habis.” Balkis
kehairanan.
Irdina
menjegilkan matanya kepada Balkis. Hatinya terasa geram kerana Balkis telah
memberitahu perkara sebenar. Sebolehnya dia tidak mahu menyusahkan Mak Cik
Sopiah dan yang penting tidak mahu berjumpa Razif lagi.
“Jadi
tak ada apa-apa di rumah Balkis?” tanya Mak Cik Sopiah.
“Setakat
sardin dan mee segera adalah. Di dalam peti ais hanya ada buah-buahan dan air
saja,” ujar Balkis berterus terang.
“Kami
minta diri dulu, mak cik. Saya rasa dah mengantuk.” Irdina memberi alasan.
Geram dengan pengakuan Balkis. Tetapi bukan salah Balkis kerana Balkis tidak
mengetahui masalahnya.
“Awal
pula Kak Irdina mengantuk. Selalunya hampir pukul dua belas baru nak tidur.”
“Kali
ni aku demam. Nak tidur awal.” Irdina semakin geram dengan sikap terus terang
Balkis.
“Baiklah.
Jom kita balik.” Tanpa mengetahui niat sebenar Irdina, Balkis bangun dan
bersalaman dengan Mak Cik Sopiah.
Balkis
dan Irdina berjalan beriringan pulang ke rumah. Mak Cik Sopiah hanya melihat dari
muka pintu langkah mereka berdua. Dia menutup pintu setelah melihat Irdina dan
Balkis memasuki rumah mereka.
“Kenapa
kau pecah lubang tadi?” tanya Irdina sambil merenung wajah Balkis. Geramnya
masih bersisa.
“Pecah
lubang apa?” tanya Balkis. Berkerut dahinya melihat perlakuan Irdina yang
dirasakan pelik.
“Kau
beritahu yang kita tak ada bahan untuk masak dan pasal aku tidur lewat. Kau dah
menyusahkan aku. Esok tentu Mak Cik Sopiah panggil aku makan di rumah dia lagi.
Aku nak lari ke mana?”
“Nak
lari buat apa? Kak Irdina pergilah rumah dia. Kalau aku, orang ajak makan aku
tak tolak.”
“Kau
tak tahu apa yang jadi hari ni. Aku rasa serik dan malu nak ke rumah Mak Cik
Sopiah.”
“Kenapa?”
Irdina
menceritakan keseluruhan kisah yang berlaku terhadapnya sepanjang hari itu.
Cuma yang tidak diceritakan hubungannya dengan Ustaz Azmi. Hal itu sengaja
dirahsiakan daripada pengetahuan Balkis. Takut Balkis akan menghebahkan
perhubungannya dengan Ustaz Azmi kepada orang lain. Dia bukan tidak tahu sikap
Balkis yang kadangkala terlebih ramah.
“Aku
rasa elok Kak Irdina jelaskan perkara sebenar pada Mak Cik Sopiah. Takut nanti
dia mengharap Kak Irdina jadi menantu dia sedangkan Kak Irdina dan doktor tu
bermusuhan.”
“Aku
pun rasa begitu. Esok aku akan jelaskan kepada Mak Cik Sopiah dan minta maaf
pada doktor tu. Aku tak mahu memanjangkan permusuhan kami. Kita hidup berjiran,
tak elok jika bermasam muka.”
“Eloklah
tu. Aku nak pergi mandi. Dah melekit badan aku ni,” ujar Balkis.
“Okey.
Aku pun nak makan ubat dulu. Kepala aku dah mula rasa pusing.” Irdina melangkah
ke dapur untuk mengambil ubatnya.
Walaupun
Irdina tidak menyukai ubat, tetapi dia terpaksa menelannya juga. Berkali-kali
dia meminum air untuk melancarkan perjalanan ubat itu. Dalam kepayahan,
akhirnya dia berjaya juga menelan kesemua ubat itu. Irdina kemudiannya memasuki
bilik tidurnya lalu ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dia menunaikan solat isyak.
Setelah selesai dia melabuhkan badannya di atas katil. Walaupun dia cuba untuk
melelapkan matanya, tetapi masih tidak berjaya.
5 ulasan:
kasian kat irdina, , tpi lucu kisah mereka ni,, , memang best crita ni saya suka sangaat2 suka, tiap tiap hari buka block cik riana cri n3 king control. Cepat2 sambung ya cik
akhirnya ada abang sayang lagi. Rindu sangat2 kat dia,,best cerita nya ! ! Ada rasa geram,sengal,dan ntah apa ,bila baca sambungan2 dri abang sayang ni,,di tunggu episode selanjutnya ya kak. By nany
Terima kasih krn suka. Cerita ni tak habis karang lg. Jd sambungannya akan di upload bila dh ok.
Nany,
Mcm rojak rasanyakan, bercampur baur perasaan. Lps ni nk bg rasa pedas sikit, tp jgn marah abang sayang tu.
cerita ni best sesangat dan lain daripada yang lain sebab Ustaz Azmi dengan Irdina saling menyukai. Tapi, mak cik sopiah pula suruh Razif nikah dengan Irdina.
Heheh kak bestlaah cite nie...tergelak2 saya bace...
:)
Catat Ulasan