Pengikut

Ahad, 23 Disember 2012

Abang King Control Ke? - Bab 13




Irdina tersedar daripada tidur dan memegang kepalanya yang masih pening. Dia mendengar bunyi ketukan di pintu lalu bangun untuk melihat. Irdina membuka pintu dan dia terkejut apabila Razif yang meluru masuk dan mengunci pintu.
“Kenapa awak masuk ke sini?” tanya Irdina kehairanan.
“Kita ada masalah,” ujar Razif sambil memerhati Irdina. Ada kelainan pada diri Irdina. Matanya asyik memerhati wajah itu buat seketika. Jiwanya rasa bergelora lagi. Kali ini lebih hebat. Kemudian baru dia terperasan yang Irdina tidak bertudung. Segera dia memusingkan badannya untuk tidak melihat Irdina lagi.
“Masalah apa?” tanya Irdina. Rasa pening membuatkan dia duduk di katil.
“Boleh tak awak pakai tudung dulu.”
Irdina beristighfar dan kemudian memakai tudungnya.
“Kenapa awak masuk sedangkan awak tahu saya ada di sini? Kalau mak cik tahu, tentu dia paksa kita kahwin,” Irdina cemas.
“Tadi abang dah telefon awak, tapi awak tak angkat telefon.” Razif memusingkan badannya menghadap Irdina.
“Mungkin saya tak dengar. Apa masalahnya sampai awak tak boleh tunggu saya bangun?”
“Tadi ibu awak telefon dan mak abang dah jawab panggilan tu. Lepas mereka berbincang, ibu awak nak suruh abang awak datang petang ni. Mak abang kata nak bincang soal perkahwinan kita dengan dia. Mereka nak segerakan akad nikah kita,” terang Razif.
“Apa??” Irdina benar-benar terkejut.
“Shhh! Pelahankan sikit suara tu. Nanti mak dengar pula,” ujar Razif sambil menunjukkan isyarat jari di bibirnya.
“Macam mana nak buat sekarang? Kalau Abang Ihsan yang datang tentu susah jadinya,” Irdina mulai gelabah.
“Kenapa?”
“Abang Ihsan tu garang dan tegas. Saya takut dengan dia. Selama ni kalau dia bersuara, saya tak berani nak bantah,” beritahu Irdina dengan wajah yang pucat.
Razif terdiam seketika.
“Abang Ihsan tinggal di mana?” tanya Razif.
“Cheras Perdana.”
“Alamak! Dekat pula tu,” Razif menepuk dahinya.
“Macam mana ni? Awak tolonglah fikirkan jalan. Saya tak mahu kahwin dengan awak. Saya tak cintakan awak dan sebenarnya saya dah jatuh cinta dengan Ustaz Azmi.” Akui Irdina.
“Apa?” terkejut Razif dengan kenyataan itu.
“Shh! Perlahankanlah suara awak,” tegur Irdina.
“Patutlah dia asyik pertahankan awak. Rupa-rupanya dia ada hati pada awak,” ujar Razif, lemah. Ada rasa kecewa di hati Razif dengan kenyataan itu.
Tiba-tiba terdengar bunyi ketukan di pintu bilik itu. Razif menjadi tidak tentu arah. Dia tercari-cari tempat yang sesuai untuk menyorok.
“Sana,” Irdina menunjukkan bilik air.
“Nanti mak masuk ke situ tentu dia nampak,” bantah Razif.
Irdina melihat sekeliling dan kemudiannya menyuruh Razif menyorok di bawah katil. Razif segera masuk ke situ dan cuba menahan nafas kerana di bawah katil itu terdapat banyak habuk. Irdina melangkah ke pintu dan membukanya.
“Mak cik terdengar macam Irdina berbual dengan seseorang. Razif ke? Tadi mak cik cari dia tak ada pun,” soal Mak Cik Sopiah.
“Err… tak. Mungkin saya bercakap di telefon tadi.” Irdina terpaksa berbohong.
“Kenapa Irdina pakai tudung sedangkan tadi pening kepala?” Mak Cik Sopiah, hairan.
Irdina tidak dapat memberi alasan dan hanya berdiri kaku. Wajahnya yang cemas membuatkan Mak Cik Sopiah mensyaki sesuatu.
“Kenapa Irdina nampak gugup dan cemas?”
“Tak ada apa-apa. Mungkin saya dahaga sebab tu gugup sikit.” Irdina memberi alasan lagi.
“Betul? Jangan bohong Irdina. Mak Cik tahu Irdina sembunyikan sesuatu.”
Irdina hanya mendiamkan diri. Peluh sejuk terasa mengalir di badannya. Mak Cik Sopiah menolak pintu bilik air tetapi tidak berjumpa dengan apa yang dicarinya. Dia kemudiannya duduk di hujung katil dan membuatkan Irdina bertambah panik.
“Mak cik, saya nak minum,” Irdina cuba menarik perhatian Mak Cik Sopiah.
“Baiklah. Mari kita keluar,” Mak Cik Sopiah bangun dari katil.
Ketika mereka hampir di muka pintu, tiba-tiba Razif terbersin. Mak Cik Sopiah menoleh ke arah bunyi itu.
“Bunyi apa tu Irdina?” tanya Mak Cik Sopiah.
Irdina tidak menjawab tetapi matanya tetap memandang ke arah katil dengan cemas dan takut. Mak Cik Sopiah melangkah ke katil dan menyelak cadar yang menutupi bahagian bawah katil. Alangkah terkejutnya Mak Cik Sopiah ketika melihat Razif di situ.
“Anak bertuah! Depan mata mak, kamu berdua buat maksiat.” Mak Cik Sopiah menarik telinga Razif.
“Aduh mak! Sakit.”
“Keluar!” Mak Cik Sopiah benar-benar meradang.
Razif terpaksa keluar dari bawah katil dan kemudian berdiri menghadap ibunya. Dia mengibas habuk yang melekat di badannya.
“Irdina! Mari sini,” panggil Mak Cik Sopiah, garang.
Irdina yang ketakutan melangkah menghampiri Mak Cik Sopiah. Hatinya menjadi kecut melihat wajah Mak Cik Sopiah yang benar-benar marah. Beberapa kali dia menelan air liur kelat.
“Kenapa bohong tadi?” tanya Mak Cik Sopiah.
Irdina hanya mendiamkan diri. Perasaan takut menguasai seluruh jiwanya. Terketar-ketar tubuhnya ketika itu.
“Cakaplah! Kenapa diam?” jerkah Mak Cik Sopiah.
“Abang Razif!” tutur Irdina spontan kerana terkejut. Dia kemudiannya menangis teresak-esak.
“Razif?”
Razif tidak dapat berkata apa-apa. Dia hanya mampu memandang Irdina. Dia tahu, mereka tidak mungkin terlepas kini. Ibunya tidak akan bertolak ansur dengan mereka lagi. Dia berdiri tegak seperti pesalah yang menunggu hukuman dijatuhkan.
“Mak betul-betul kecewa dengan kamu berdua. Cara halal ada tapi kamu masih nak pilih jalan yang haram. Apa pun alasan kamu berdua, mak tak mahu dengar. Mak nak kamu berdua kahwin segera. Mak tak mahu dapat cucu haram.”
Razif terkebil-kebil memandang ibunya. Dia tak mampu bersuara kini.
“Razif! Mak tak faham apa yang Razif nak. Selama ni asyik beri alasan nak cari perempuan solehah dan bertakwa. Bila mak suruh kahwin banyak sangat alasan. Dah buat maksiat pun masih tak mahu kahwin. Razif nak jadi apa?” tanya Mak Cik Sopiah sambil menangis.
“Mak, maafkan Razif mak! Razif dah kecewakan mak.” Razif memeluk kaki ibunya sambil menangis.
Mak Cik Sopiah yang masih tegak berdiri hanya membiarkan Razif meminta maaf.
“Mak, Razif minta ampun pada mak. Razif akan ikut apa kata mak asalkan mak ampunkan Razif dan Irdina,” Razif terus merayu ibunya.
“Baiklah. Mak sebenarnya suka jika Razif kahwin dengan Irdina tapi apa yang mak marah, sikap Razif. Lepas ni, mak nak kamu berdua hentikan perbuatan maksiat. Mak akan bincang dengan keluarga Irdina supaya segerakan tarikh akad nikah kamu berdua,” kata Mak Cik Sopiah sambil memegang tangan Razif.
Razif bangun dan memeluk ibunya. Dia hanya mampu memandang Irdina yang sedang menangis sambil menundukkan kepalanya dengan rasa simpati. Mak Cik Sopiah melepaskan pelukannya.
“Irdina, mari sini,” panggil Mak Cik Sopiah.
Irdina menghampiri Mak Cik Sopiah perlahan-lahan. Mak Cik Sopiah memeluk Irdina lalu meminta maaf.
“Irdina, mak cik minta maaf atas apa yang berlaku. Irdina jangan takut. Lepas ni semua masalah akan selesai. Sekarang Irdina telefon abang Irdina dan beritahu yang mak cik nak jumpa dia segera.”
Perlahan-lahan Irdina mengambil beg tangannya lalu mengeluarkan telefon. Dia mendail nombor Ihsan dan seketika kemudian Ihsan menjawab.
“Abang, Mak Cik Sopiah nak jumpa abang segera,” ujar Irdina, lemah.
“Kenapa? Baru tadi mak suruh abang datang petang ni. Tapi petang ni abang ada kerja. Ingat tadi nak telefon beritahu Irdina,” terang Ihsan.
“Maafkan Irdina, abang.” ujar Irdina sambil menangis. Hatinya tiba-tiba menjadi sebak ketika bercakap dengan abangnya.
“Irdina! Kenapa menangis?” tanya Ihsan, hairan.
“Irdina, bagi mak cik cakap dengan abang Irdina,” pinta Mak Cik Sopiah.
Irdina memberikan telefonnya kepada Mak Cik Sopiah dan Mak Cik Sopiah menjelaskan kenapa dia memanggil Ihsan dengan segera. Apabila Ihsan mendengar cerita Mak Cik Sopiah, hatinya menjadi marah. Segera dia membatalkan mesyuarat yang perlu dihadiri dan meminta pembantunya menggantikan tempatnya. Dia ingin segera bertemu adiknya.
Ihsan tiba di rumah Mak Cik Sopiah tidak lama kemudian. Mak Cik Sopiah menyambut kedatangan Ihsan dan menjemputnya masuk. Ihsan memandang Irdina dengan marah. Irdina cuba untuk menyalami abangnya.
“Abang, Irdina minta maaf.”
Pangg!! Pipi Irdina dihadiahkan sebuah penampar oleh Ihsan. Terduduk Irdina di lantai. Irdina menangis menahan kesakitan. Tambahan pula Ihsan menampar pada bahagian lukanya.
“Abang tak suka Irdina buat benda tak senonoh macam ni. Kalau dah nak kahwin kenapa tak bagitau ibu? Selama ni kami ikut cakap Irdina yang tak mahu kahwin walaupun dah banyak kali orang minta. Kenapa nak menconteng arang ke muka kami?” terjojol mata Ihsan merenung Irdina. Begitu marah dia saat itu.
“Cukuplah tu. Kalau dipukul sampai patah pun tak akan menyelesaikan masalah. Sebaiknya kita berbincang untuk segerakan akad nikah mereka berdua,” tahan Mak Cik Sopiah, takut Ihsan terus mengasari Irdina.
“Maafkan saya mak cik. Hati saya tengah marah,” ujar Ihsan lalu memegang bahu Irdina. Dia kemudiannya memeluk Irdina yang sedang menangis teresak-esak.
“Abang minta maaf sebab tak dapat bersabar tadi.” Ihsan menyeka air mata Irdina.  Dia terperasan bibir Irdina yang berdarah.
“Maafkan abang,” ujar Ihsan sambil mengelap darah yang mengalir di bibir Irdina.
Mak Cik Sopiah yang melihat keadaan Irdina menyuruh Razif merawat luka Irdina. Razif segera mengambil kotak ubat dan meletakkannya di hadapan Irdina.
“Aduh!” Irdina mengaduh ketika Razif menyentuh lukanya.
“Tahan sikit.” Razif mencuci darah di hujung bibir Irdina.
“Buka mulut Irdina,” arah Razif. Razif memeriksa bahagian dalam pipi Irdina.
“Nasib baik jahitan dalam mulut ni tak apa-apa. Takut juga kalau terbuka semula.”
Pipi dan sebahagian bibir Irdina menjadi kebiruan. Razif segera melangkah ke dapur untuk mengambil ketulan ais. Seketika kemudian Razif kembali dengan membawa bungkusan berisi ais untuk di tuam di bahagian yang lebam. Razif duduk di sebelah Irdina sambil mendemah pipi dan bibir Irdina. 
“Minumlah Ihsan.” Mak Cik Sopiah menghidangkan air untuk Ihsan.
Ihsan meminum air yang dihidangkan dan kemudian meletakkan kembali di meja. “Mak cik, apa cadangan mak cik?” tanya Ihsan.
“Beginilah. Kita buat majlis akad nikah dalam minggu terdekat ni bila segala urusan pendaftaran dan hal yang berkaitan selesai. Soal kenduri boleh buat kemudian,” cadang Mak Cik Sopiah.
“Saya rasa itulah yang sebaiknya. Ibu dan abah pun sependapat dengan mak cik,” kata Ihsan.
“Irdina boleh ambil cuti tak lagi?” tanya Mak Cik Sopiah.
“Cuti saya banyak lagi,” jawab Irdina, lemah.
“Baguslah kalau begitu. Nanti Irdina balik ke kampung dan uruskan pendaftaran perkahwinan.”
“Lusa Irdina ambil cuti. Kita balik kampung,” arah Ihsan.
Irdina terpaksa bersetuju dengan abangnya. Setelah selesai berbincang soal wang hantaran dan sebagainya, Mak Cik Sopiah mengajak mereka semua untuk makan tengah hari. Irdina duduk bersebelahan abangnya dan menghadap Razif. Sepanjang berada di meja makan, dia hanya menjamah sedikit sajian yang terhidang.
“Kenapa makan sedikit sangat? Masih sakit ke mulut Irdina?” tanya Mak Cik Sopiah.
Irdina mengangguk lemah. Dia tidak berselera untuk makan selepas apa yang terjadi sebentar tadi. Segala harapannya untuk mengahwini Ustaz Azmi kini hancur berkecai. Hatinya berlagu sendu. Razif mengerti isi hati Irdina yang sengsara ketika itu. Walaupun sejuta alasan yang diberikan tidak mampu menghalang keputusan yang dibuat oleh emaknya dan abang Irdina. Di hatinya timbul rasa bersalah terhadap Ustaz Azmi, kawan baiknya sendiri.
“Nanti mak cik buatkan bubur untuk Irdina. Sementara tu, pergilah ke bilik untuk berehat,” ujar Mak Cik Sopiah. Ada rasa simpati di hatinya terhadap bakal menantunya itu.
Irdina meminta diri sebelum melangkah masuk ke bilik tamu. Irdina merebahkan dirinya di atas katil lalu menangis semahu-mahunya. Ada kekesalan di hatinya kerana menerima ajakan Mak Cik Sopiah untuk bersarapan di situ. Dia menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku.
Telefon Irdina berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Irdina mencapai telefonnya dan melihat mesej tersebut. Ustaz Azmi menyatakan bahawa ibunya telah bersetuju untuk melamar Irdina dan Ustaz Azmi berharap Irdina memberitahu keluarganya. Irdina tidak membalas mesej Ustaz Azmi kerana hatinya menjadi sebak. Ustaz Azmi sudah terlambat. Irdina karam dalam kesedihan.

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

alamak pasti ustaz azmy ya! Ah kacau kacau,,mcam mana ni???

Tanpa Nama berkata...

kelihatanya irdina sudah mulai sukakan razif ye?? Bagaimana akad nikah mereka sukses tak?bagaimana razif menghadapi ustad azmi setelah ini?bagaimana rumah tangga mereka? Kena ikuti kelanjutanya ABANG KING CONTROL, Nany.

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Tanpa nama,
Sama-sama kita tunggu episod akan datang..tp pastinya kecoh. :)

Nany,
Ya, dia dh mula belajar suka. Terus ikuti kisah mereka. ^_^

Tanpa Nama berkata...

hahahah..chayok2..truskan usaha anda..

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Rasa mcm nak stop dulu cerita ni sbb tak sempat nak edit. Cerita ni ada dlm simpanan lama sebenarnya.

Tanpa Nama berkata...

sis klu bleh smbung lha cerita nyhh,,cta ny best :D

Imanisa riana @ sarimah berkata...

InsyaAllah kalau sempat saya edit, akan diupload lg. Tunggu..