Tiga tahun berlalu...
KRING...kring...kring! Bunyi jam loceng mengejutkan Sara Raihana
daripada lena. Dicapainya jam loceng itu lalu dimatikan penggeranya. Matanya
masih berat untuk dibuka. Mungkin kesan keletihan
akibat perjalanan pulang dari berkursus di Kuala Lumpur.
“Sara...Sara...”
Terdengar suara memanggil namanya diikuti ketukan di pintu secara
bertalu-talu. Matanya segera terbuka dan sepantas kilat dia melompat turun dari
katil dan bergerak ke pintu. Bila pintu dibuka, dilihat Mak Zainab sedang
berdiri memandangnya dengan kehairanan.
“Sara tak siap lagi? Dah dekat pukul 7.00 pagi, nanti lewat pulak
ke sekolah,” kata Mak Zainab.
“Ya, ALLAH. Terlajak tidur pulak,” kata Sara Raihana sambil
tergopoh-gapah berlari ke bilik air.
Mak Zainab terus ke dapur dan memasukkan sarapan ke dalam bekas
untuk Sara Raihana. Dia tahu Sara Raihana tak mungkin sempat makan seperti
selalu. Sejak Sara Raihana tinggal dengannya dua bulan lepas, kehidupan Mak
Zainab bertambah ceria. Dia tidak perlu risau akan keselamatan Sara Raihana yang tinggal menyewa seorang diri semenjak Norita
berkahwin. Dia sememangnya menyayangi Sara Raihana seperti anaknya sendiri.
Sara Raihana muncul dengan pakaian kerjanya dan dengan kelam-kabut
mencapai kunci kereta barunya, Honda Jazz model 2005. Mak Zainab mengiringi
langkah Sara Raihana ke kereta. Bekal makanan yang disediakan diambil Sara
Raihana tanpa soal. Dia sudah terlewat dan hanya ada 15 minit sebelum masuk waktu bekerja.
“Mak, Sara pergi dulu,” kata Sara Raihana sambil mencium tangan
Mak Zainab.
“Ya, hati-hati bawak kereta,” jawab Mak Zainab sambil memerhatikan
Sara Raihana yang sedang mengundurkan kereta dari garaj.
Kereta yang diundur tidak bergerak jauh dan tayarnya mengeluarkan
bunyi seperti telah kempis. Segera Sara Raihana keluar dari kereta dan menuju
ke tayar belakang. Mak Zainab turut mengekori langkah Sara Raihana.
“Kenapa tayar ni pancit waktu-waktu begini?” kata Sara Raihana
separuh menyebal. Dalam hati ada kehairanan kerana keretanya baru dibeli tidak
sampai dua bulan.
“Teruk pancit ni, Sara,” kata Mak Zainab sambil memeriksa tayar
itu seolah-olah mekanik lagaknya.
“Sara dah lambat. Nak buat macam mana ni?” soal Sara Raihana yang
seperti cacing kepanasan.
“Cuba telefon Ita atau sesiapa. Mintak tolong ambil Sara,” ujar
Mak Zainab memberi cadangan.
Sara Raihana mencapai telefon bimbit sambil mendail nombor Norita
tetapi tidak diangkat walaupun dia mendail berkali-kali. Dia mencuba pula
nombor Cikgu Maimunah, pun tidak dijawab. Dia tahu waktu-waktu begini
masing-masing akan sibuk sama ada baru sampai ke sekolah atau masih di dalam perjalanan dan kemungkinan untuk tidak mendengar panggilan
adalah besar.
“Kenapa, mak cik? Ada masalah ke?” tanya jiran sebelah mereka,
Farid. Farid baru berpindah masuk setelah Alif Ajmal berkahwin dengan
Norita dan berpindah keluar.
“Tayar kereta anak mak cik pancit. Dia dah lambat nak pergi
kerja,” jawab Mak Zainab sambil menunjukkan ke arah tayar kereta.
“Saya pun sebenarnya nak ke tempat kerja. Kalau tak keberatan
bolehlah saya hantarkan,” pelawa Farid dengan senyuman manis.
“Tak menyusahkan Farid ke?” tanya Mak Zainab. Terasa lega kerana
saat-saat kecemasan seperti itu ada orang sanggup membantu.
“Tak. Marilah saya hantarkan,” pelawa Farid lagi.
“Sara, biarlah Farid yang hantar Sara. Nanti terlewat sampai Sara
susah pulak,” kata Mak Zainab bila dia melihat Sara Raihana tidak berkata
apa-apa.
Sara Raihana hanya mengangguk dan mengeluarkan semua barang yang
perlu dibawa dari keretanya dan kemudian memasukkan ke kereta Farid yang telah
menunggu. Mereka terus berlalu dari situ. Jalan agak sibuk di hadapan sekolah-sekolah
yang dilintasi mereka. Sara Raihana kegelisahan kerana dia tidak pernah selewat
itu ke tempat kerja.
“Dah lama ke awak mengajar kat sekolah tu?” tanya Farid setelah
dia melihat Sara Raihana hanya mendiamkan diri.
“Nak masuk tiga tahun,” jawab Sara Raihana. Kemudian dia bertanya
setelah terperasan uniform yang dipakai Farid.
“Awak warden penjara ke?”
“Ya dan lepas ni jika awak nak tumpang, beritahulah sebab kita
sejalan,” jawab Farid sambil memberhentikan keretanya di lampu isyarat
berhampiran penjara, jalan ke sekolah Sara Raihana.
“Terima kasih ajelah. Saya boleh drive sendiri,” jawab Sara Raihana.
“Baiklah. Tapi bila-bila
perlu jangan segan-segan beritahu.”
Sara Raihana hanya mengangguk sambil tersenyum. Apabila lampu
isyarat bertukar hijau, Farid membelokkan kereta menuju jalan ke sekolah itu.
“Sara, nanti petang saya tolong tukarkan tayar kereta awak tu. Ada
tayar spare tak?”
“Ada. Tak menyusahkan awak ke? Tadi saya fikir nak panggil mekanik
aje.”
“Tak perlu panggil mekanik. Tak menyusahkan pun. Lagipun kita
hidup berjiran kena tolong-menolong.”
Sara Raihana tidak terkata apa-apa. Setelah tiba di sekolah, Sara
Raihana mengucapkan terima kasih atas pertolongan Farid. Dia terburu-buru ke
pejabat sekolah untuk menanda kedatangannya hari itu.
“Sara, kau telefon aku ke tadi?” tanya Norita setelah Sara Raihana
meletakkan beg di atas meja.
“Ya. Aku telefon berkali-kali, kau tak angkat,” jawab Sara Raihana
sambil menarik kerusi untuk duduk.
“Sorrylah. Aku buat mod silent semalam,
lupa nak tukar semula. Rupa-rupanya banyak missed call dan
mesej masuk,” kata Norita sambil melihat skrin telefon.
“Kenapa kau telefon? Ada masalah apa?” tanya Norita lagi.
“Tadi tayar kereta aku pancit. Nak mintak tolong kau ambil aku.
Tapi nasib baik ada jiran baru yang hantar aku. Kalau tak lambatlah aku hari
ni.”
“Jiran baru? Perempuan ke lelaki?”
“Lelakilah. Bukan kau tak tahu rumah sewa sebelah rumah mak tu
hanya untuk penyewa lelaki. Alif pun pernah tinggal kat situ.”
“Ini sudah bagus,” ujar Norita mengangkat kening.
“Bagus apa?” soal Sara Raihana pura-pura tidak tahu maksud Norita
padahal dia cukup faham perangai Norita yang sering memadankannya dengan
mana-mana lelaki yang dirasakan sesuai dengannya.
“Bolehlah kau berkenalan kemudian bercinta dan kemudian kahwin,
macam aku dengan Alif.”
“Eh, ke situ pulak. Dia tolong dengan ikhlaslah.”
“Yalah tu. Tolong ya? Tolong ada makna tu. Tapi kalau dah jodoh
kau, alhamdulillah.”
“Banyaklah kau punya jodoh. Kalau dengar kau berceloteh tak masuk
kelas pulak nanti. Aku pergi dulu,” kata Sara Raihana sambil mengambil buku dan
beg tangan untuk ke kelas.
Norita hanya memandang Sara Raihana sambil tersenyum. Norita tidak
tinggal lagi dengan Sara Raihana setelah berkahwin dengan Alif Ajmal tiga bulan
lepas. Walaupun keluarganya menentang keras pada mulanya tetapi berkat
kesabaran dan kesungguhan Alif Ajmal yang sanggup menuruti semua syarat yang
diberikan keluarganya, barulah mereka disatukan.
“Ita, Sara cerita apa kat kau?” tanya Hajar yang tiba-tiba muncul
di sebelahnya.
“Cerita apa?” tanya Norita walaupun dia tahu Hajar ingin mengorek
rahsia Sara Raihana. Dia cukup masak dengan perangai Hajar yang suka menjaga
tepi kain orang.
“Cerita pasal orang yang hantar dia tadi,” jawab Hajar cuba
memancing cerita.
“Mana Kak Hajar tahu ada orang yang hantar Sara? Kak Hajar pakai
jin ke apa?”
“Hisy kau ni, cakap tak bertapis. Aku tengok dengan mata aku
sendiri. Orangnya boleh tahan, warden penjara,” kata Hajar lagi.
“Warden penjara? Mana Kak Hajar tahu?”
“Aku nampak dia pakai uniform jabatan penjara. Tentu warden
penjara. Siapa dia tu? Boyfriend baru
Sara ke?”
“Entahlah. Mana saya tahu.”
“Tak mungkin kau tak tahu.
Kau kawan baik dia.”
“Memanglah saya kawan baik dia tapi saya taklah menyibuk segala
urusan peribadi dia,” kata Norita sambil mencapai beg tangan dan terus berlalu
dari situ. Dia ingin mengelakkan diri daripada terus berbicara dengan Hajar.
Hajar sekadar menjuih bibir melihat Norita berlalu pergi.
PETANG itu Farid menolong Sara Raihana menukar tayar kereta seperti yang
dijanjikan. Berpeluh-peluh badannya membuka tayar yang pancit dan menukarkannya
dengan tayar ganti. Sara Raihana hanya memerhati kerja-kerja Farid. Mak Zainab
keluar dengan sedulang minuman dan diletakkan di meja taman. Setelah selesai kerja-kerja menukar tayar, Farid
duduk menikmati minum petang dengan ditemani Sara Raihana dan Mak Zainab.
“Terima kasih Farid kerana telah banyak menolong hari ni,” ucap
Mak Zainab.
“Tak apa, mak cik. Dah jadi kewajipan saya sebagai jiran. Hari ni
Sara susah, esok-esok mana tahu giliran saya pulak,” kata Farid bermanis mulut.
“Mak cik tinggal berdua aje dengan Sara? Mak cik tak ada anak yang
lain?” tanya Farid ingin tahu.
“Sebenarnya Sara ni menantu mak cik. Dia kahwin dengan anak mak
cik, Izzat Hafis tapi dia dah meninggal dunia tiga tahun yang lalu,” kata Mak
Zainab sambil memegang tangan Sara Raihana.
“Mak cik anggap dia sebagai anak sendiri. Anak sulung mak cik
kerja kat TLDM Lumut dan yang bongsu baru darjah enam,” cerita Mak Zainab
berterus terang.
“Maafkan saya kerana membuat mak cik dan Sara sedih,” ucap Farid.
Takut Sara Raihana terasa hati.
“Tak apa, Sara dah boleh terima pemergiannya,” jawab Sara Raihana.
“Sara tentu seorang yang tabah dan setia. Dah tiga tahun suami
Sara meninggal tapi Sara masih tak bersuami semula.”
Sara Raihana tersenyum mendengar komen Farid. Dia akui hatinya
masih tidak terbuka untuk mencari pengganti Izzat Hafis. Baginya, hidupnya
tetap bahagia dengan perhatian dan kasih sayang daripada Mak Zainab sekeluarga.
“Mak cik suka kalau Sara berkahwin semula tapi Sara ni sentiasa
mengelak jika dibangkitkan soal tu. Mak cik ni bukan apa. Mak cik nak lihat
Sara gembira dan bahagia. Kalau Sara kahwin tentu ada orang yang akan
menjaganya,” ujar Mak Zainab sambil tersenyum penuh makna.
“Mak, walau Sara tak kahwin semula, Sara tetap gembira. Mak dah
buat Sara rasa bahagia dan selamat.”
“Sara masih muda dan perlu kehidupan yang lebih baik. Sara patut
ada keluarga, suami dan anak-anak yang akan menjaga Sara. Mak harap suatu hari
nanti Sara akan berkahwin semula,” ujar Mak Zainab mengharap sambil
mengusap-usap lembut tangan Sara Raihana. Dia benar-benar maksudkan apa yang
diucapnya itu.
Sara Raihana menggeleng-geleng. Farid hanya diam melihat mereka
berdua. Bibirnya mengorak senyuman melihat Sara Raihana.
“Betul apa yang mak cik kata. Sara perlu mencari kebahagiaan
sendiri. Saya harap Sara sudi membuka ruang hati untuk menerima lelaki yang
bergelar suami suatu hari nanti.” Farid bersuara.
“Entahlah, Farid. Buat masa sekarang, Sara tak nak fikir soal tu.
Tapi jika suatu hari nanti ada jodoh Sara, Sara akan berkahwin jugak.”
“Baguslah jika begitu. Saya harap Sara akan menemui jodoh yang
sesuai.”
Mak Zainab tersenyum lebar mendengar kata-kata Farid. Hatinya
berdoa agar Sara Raihana mendapat jodoh yang baik dan bertanggungjawab.
“Saya mintak diri dulu mak cik, Sara. Nak bersiap-siap pergi ke
masjid,” kata Farid dengan sopan.
“Baiklah. Farid rajin solat berjemaah kat masjid ya? Tak ramai dah
anak muda yang rajin ke masjid sekarang,” kata Mak Zainab. Dalam hati mula
mengagumi Farid.
“Bila lapang baru saya pergi,” kata Farid. Dia melangkah pulang ke
rumah setelah memberi salam.
Sara Raihana dan Mak Zainab menjawab salam itu. Mereka kemudian
mengangkat cawan dan pinggan yang terdapat di meja taman masuk ke rumah.
3 ulasan:
bila ita kahwin ni? Eh cepatnya 3 tahun, so imam/chan skarang kat mana ye? ¥emy comel$
ana,,,jodoh sara chan or farid ni??
emy comel,
Ita kawin 3 bulan sebelum perkenalan Farid dan sara. Dah 3 tahun, tp hubungan Iman n sara tetap sbg kakak angkat dan adik angkat. Nk tahu Iman ada di mana, tunggu bab 23.
Ana,
Nak tahu jodohnya dgn siapa, kena baca beberapa bab lagi..;)
Catat Ulasan