Pengikut

Khamis, 8 November 2012

I LOVE YOU CIKGU - Bab 5

Tolong komen tentang cover buku saya ni.. Terima kasih. cover buku

Suasana di rumah Sara Raihana pada petang Jumaat itu sungguh meriah. Pengantin lelaki tiba dengan membawa barang hantaran yang dihias cantik. Izzat Hafis amat segak berpakaian Melayu asli berwarna putih dan bersampin putih untuk upacara akad nikah. Rombongan tersebut disambut oleh pihak pengantin perempuan. Sara Raihana telah didandan cantik, siap berpakaian pengantin daripada kain kaftan serba putih berhias labuci dan manik. Sebelum akad nikah dijalankan, wang belanja, mas kahwin dan barang-barang hantaran dihitung dan diperiksa oleh Tuan Kadi bersama dua orang yang dilantik sebagai saksi bagi mewakili pihak perempuan.
Setelah selesai adat penerimaan wang dan barang-barang tersebut, Izzat Hafis kemudiannya diminta duduk di atas sebidang tikar sila khas yang dihias indah untuk upacara akad nikah. Tuan Kadi memulakan majlis dengan mendaftarkan nama Izzat Hafis terlebih dahulu, diikuti dengan menyatakan dan menyemak segala syarat-syarat yang dikehendaki dan akhir sekali membaca khutbah nikah di dalam Bahasa Arab.
Tuan Kadi memanggil dua orang yang telah dipilih sebagai saksi untuk mendengar dan menyaksikan pengakuan lafaz nikah daripada Tuan Kadi kepada Izzat Hafis. Tangan Izzat Hafis digoncang oleh Tuan Kadi dan dalam satu nafas sebutan, lafaz nikahnya disahkan oleh mereka yang mendengarnya. Maka dengan rasminya Izzat Hafis menjadi suami kepada Sara Raihana.
Bacaan doa dibaca sebagai tanda kesyukuran dan diaminkan oleh semua yang hadir. Mak Zainab ibu Izzat Hafis mengalirkan air mata kegembiraan. Dia amat bersyukur kerana anak lelaki keduanya selamat diijab kabulkan. Selepas akad nikah, Izzat Hafis diiringi oleh Mak Zainab memasuki bilik Sara Raihana untuk melakukan upacara menyarung cincin.
Izzat Hafis menyarungkan cincin kepada isterinya, Sara Raihana dan serentak dengan itu sinaran lampu kamera berkelipan ke arah mereka. Sara Raihana tunduk menciumi tangan Izzat Hafis tanda menghormatinya sebagai ketua keluarga. Adat ini dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan. Sekali lagi sinaran lampu kamera memenuhi ruang bilik tersebut. Sara Raihana turut menyalami ibu mertuanya sebelum tubuhnya itu dipeluk erat dan kedua-dua pipinya dicium mesra. Mereka terus bergambar dalam pelbagai posisi mengikut arahan jurugambar.
 “Jemput semua, kita makan kat depan sana. Mari Nab kita pergi makan dulu,” jemput ibu Sara Raihana iaitu Mak Cik Rohaya.
Kesemua mereka yang berada di dalam bilik tersebut segera melangkah mengikuti Mak Cik Rohaya untuk menikmati hidangan. Tinggal Izzat Hafis dan Sara Raihana sahaja di dalam bilik tersebut.
“Abang, terima kasih kerana sudi terima Sara sebagai teman hidup abang,” ucap Sara Raihana sambil tangan Izzat Hafis digenggam erat.
“ Abang pun nak ucapkan terima kasih pada Sara kerana memilih abang. Abang rasa sangat bahagia kini dan kalau abang mati pun dah rasa puas,” kata Izzat Hafis sambil tersenyum lebar.
“Apalah abang ni. Janganlah disebut tentang mati. Sara tak sukalah.” Sara Raihana mempamerkan wajah merajuk.
“Janganlah merajuk, sayang. Bukan apa-apa, cuma abang rasa sangat puas hati segalanya telah selesai dan Sara dah jadi milik abang,” pujuk Izzat Hafis.
Wajah Sara Raihana kembali ceria dan menghadiahkan ciuman di pipi suaminya. Terlekat sedikit kesan gincu di pipi tersebut, lantas jari jemari Sara Raihana mengelap kesan tersebut sambil tertawa manja. Tiba-tiba tangannya digenggam erat oleh Izzat Hafis. Izzat Hafis merenung ke dalam mata Sara Raihana yang sememangnya cantik. Terpesona memandang mata tersebut dan tanpa sedar bibirnya makin hampir ke bibir Sara Raihana. Sara Raihana memejamkan matanya, tetapi belum sempat kedua-dua bibir bertemu mereka dikejutkan oleh suara Kak Haida.
“Hoi! Simpanlah dulu untuk esok. Jom makan,” kata Kak Haida sambil tersengih-sengih.
Sara Raihana yang tersedar dari alunan asmara yang membuainya, segera bangun. Rona mukanya berubah kemerahan kerana malu dan terkejut.
 “Kacau daunlah Kak Haida ni. Kasi can la pada kami,” ujar Izzat Hafis selamba
 Kata-kata itu membuatkan Sara Raihana mencubit manja di lengan suaminya lalu kedua-duanya tertawa mesra. Mereka segera keluar mengikuti langkah Kak Haida untuk menikmati hidangan yang telah disediakan. Majlis akad nikah itu hanya disertai oleh ahli keluarga dan jiran-jiran terdekat. Oleh itu mereka hanya makan di dalam rumah walaupun khemah telah siap dipasang di luar. Selesai menjamu selera, rombongan pengantin meminta diri untuk pulang.
“Abang Majid, kami mintak diri dulu,” kata Pak Razak, ayah Izzat Hafis.
“Tak kan nak balik dah? Awal lagi ni,” balas Pak Cik Majid pula. “Tengok budak-budak berdua tu pun macam tak boleh nak berenggang dah,” sambil mulutnya dimuncungkan arah pasangan pengantin baru yang sedang berdiri berpegangan tangan di hujung beranda.
“Kalau ikut mereka berdua, tak balik-baliklah kami nanti,” Pak Razak berseloroh.
“Izzat, jadi-jadilah. Esok kita datang lagi. Jom balik dulu. Asar dah tak panjang ni,” Mak Zainab pula bersuara menyebabkan mereka semua ketawa.
“Solat kat sini ajelah Nab, boleh rehat-rehat dulu,” sampuk Mak Cik Rohaya pula.
“Tak apalah, kami nak ke rumah Kak Hawa dulu. Rumah dia pun tak jauh dari sini. Kami rehat kat sana, lepas Maghrib baru bertolak balik Taiping,” jawab Mak Zainab.
“Baiklah kalau begitu,” kata Mak Cik Rohaya lagi.
Mereka semua bersalaman sebelum memasuki kereta.
“Maafkan abang, Sara. Abang mintak diri dulu. Jaga diri baik-baik,” kata Izzat Hafis sambil memandang Sara Raihana.
Wajahnya yang ceria telah berubah menjadi muram. Sara Raihana tunduk bersalaman dan menciumi tangan suaminya. Apabila kepalanya dipanggung, Izzat Hafis menghadiahkan sebuah ciuman di dahinya. Hangat terasa ciuman itu dan cukup untuk mengetarkan hatinya. Sebak terasa di dada apabila melihat suaminya melangkah masuk ke dalam kereta.
Sara Raihana melambai-lambai. Lambaian itu dibalas Izzat Hafis dan di hujung lambaian itu Izzat Hafis melayangkan flying kiss. Sara Raihana hanya tersenyum dan memandang kereta yang membawa suaminya itu sehingga hilang daripada pandangannya. Sara Raihana masuk ke dalam bilik dan telinganya dapat menangkap bunyi telefon. Tangannya segera menekan butang menjawab setelah nama Cikgu Maimunah tertera di skrin.
“Assalamualaikum. Maafkan Kak Mai sebab tak dapat pergi ke majlis akad nikah Sara.”
“Waalaikumussalam. Tak apa Kak Mai. Esok Kak Mai datanglah, ya”
“Insya Allah. Dah selesai ke majlis?”
“Dah selesai. Izzat pun dah balik.”
“Oh! ya, ke? Tahniahlah, Sara. Kak Mai tumpang gembira. Insya Allah, esok Kak Mai datang satu bas,” kata Kak Maimunah bergurau.
“Itu sudah bagus! Datanglah, Sara tunggu dengan senang hati.” Sara Raihana tertawa kecil.
“Okey lah Sara. Kak Mai mintak diri dulu. Jumpa lagi esok.”
“Insya Allah.”
Talian dimatikan. Sara Raihana melihat jam di dinding menunjukkan jam 6.15 petang. Baru dia sedar yang dia belum menunaikan Solat Asar. Terburu-buru dia menanggalkan tudung yang masih melengkari kepalanya sambil mencapai tuala kecil sebelum memasuki bilik air. Dia perlu membersihkan make-up yang dikenakan oleh Kak Emma sebelum menunaikan solat. Jika tidak kerana majlis perkahwinannya ini dia tidak mungkin mengenakan make-up sebegitu rupa. Selesai menunaikan Solat Asar, dia melihat jam telah menunjukkan jam 6.45 petang. Lewat benar solatnya sehinggakan tinggal setengah jam saja lagi Maghrib akan tiba. Maghrib nanti dia berazam akan menunaikan solat seawal waktunya.
  gambar dr google
Cincin disarung dijari manis Sara Raihana oleh Izzat Hafis.

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bagus ,terlihat cool,

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Dah cecah 210 org yg like cover ni di page Buku Prima.
Cover ni, jauh dr yg saya cadang. hu..hu..hu.(tak suka hitam)

Tanpa Nama berkata...

Nape tak suka hitam..Ok ape! Cover untk tarikan atie si pembaca..He..He..He.. I like cover ni..~,~

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Yg tak suka hitam, Irdina dlm Abg King Control ke? Saje je nk kait2...hi..hi..hi.
Tp serius saya terkejut tgk cover ni.. terlalu remaja sedangkan novel tu sesuai utk DEWASA sj. Bawah 18 tak sesuai.

Tanpa Nama berkata...

Tpi boleh ubahkan lagi.. Tak kisah janji ada di pasaran..So nk cover mcm ner ek..Jgan risau pembace mmg suka cri cover mcm itu..Mcm ceria aje bila melihat..~,~

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Ilustrasi ditentukan penerbit. Ramai yg suka, kira oklah wlpn tak ikut cdgn. Apapun Alhamdulillah dh nk terbit lps setahun menunggu.

Tanpa Nama berkata...

Ape2 pun..Terbaek dri sya..Huhu..Lame jugak ek! Menunggu novel di terbitkan.. ~,~