Pengikut

Jumaat, 16 November 2012

I LOVE YOU CIKGU - Bab 7

Rumah teres dua tingkat itu terasa sunyi dan sepi walaupun terdapat 3 orang penghuni di dalamnya. Mereka membuat hal sendiri di dalam bilik masing-masing. Chan Lee Fong asyik mengadap komputernya sambil mendengar muzik manakala Chan Chee Hong sedang melakukan solat Isyak. Papa mereka Chan Koon Cheng yang berada di bilik tingkat bawah, asyik meneguk arak di dalam tin. Bagaikan satu rutin keluarga itu bila matahari melabuhkan tirainya. 
            Walaupun kedua-dua adik beradik tersebut belajar di sekolah berasrama penuh dan hanya berada di rumah tersebut apabila cuti sekolah tetapi papa mereka tetap dengan aktiviti ‘mabuknya’ tanpa menghiraukan kehadiran mereka. Kadangkala mereka merasa terpinggir dan seperti tidak disayangi oleh papa mereka walaupun hakikatnya tidak sebegitu. Bagi Chan Chee Hong, keadaan ini amat melegakan kerana dia bebas melakukan solat tanpa dapat dikesan oleh kedua-dua ahli keluarganya itu. Ada hikmah di sebalik semua kejadian. Walaupun papanya sering mabuk di waktu malam, tetapi dia tidak pernah mengabaikan kerja dan juga tanggungjawab kepada anak-anaknya.

Chan Chee Hong yang baru selesai melakukan Solat Isyak terkejut dengan ketukan di pintu biliknya. Dia segera bangun dan mengangkat kain selimut yang dijadikan alas untuk bersolat lalu bergerak ke pintu. Demi terbukanya pintu bilik, adik perempuannya terus meluru masuk. Dia sememangnya akrab dengan abangnya dan sering bertanya apa sahaja perkara yang tidak difahaminya.
“Abang, saya nak tanya sesuatu boleh tak?” tanya Chan Lee Fong sambil tangannya mencapai buku bertajuk ‘Panduan Bersolat’ yang terletak di atas katil abangnya.
“Tanya apa?” jawab Chan Chee Hong sambil tangannya merampas buku tersebut dari tangan adiknya. Buku bertukar tangan.
“Sebelum tu, kenapa abang baca buku ni?”
“Saja nak tahu pasal ibadah orang Islam, tak boleh?” Chan Chee Hong cuba berhelah.
“ Boleh, tak ada salahnya. Abang, saya hairanlah dengan orang Melayu.”
“Kenapa?”
“Kawan sebilik saya orang Melayu tapi selalu tak solat sedangkan dalam Islam, solat adalah tiang agama. Bila saya tanya dia marah-marah dan kata semua orang Islam akan masuk Syurga juga bukan macam kau masuk Neraka walaupun kau baik.” Chan Lee Fong cuba mengajuk sebagaimana percakapan kawannya itu.  Chan Lee Fong sebenarnya belajar di Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, Kedah di dalam tingkatan tiga. Dia juga turut belajar Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di sekolah.
“Lee Fong, awak tak perlu risau. Kawan awak tu sebenarnya boleh digolongkan dalam kategori orang yang fasik. Orang fasik ialah orang yang imannya nipis dan sering melakukan perbuatan mungkar, maksiat dan dosa.” Chan Chee Hong menerangkan berdasarkan apa yang telah dipelajari sewaktu pelajaran Pendidikan Islam di sekolah.
“Tapi kenapa kita tidak boleh masuk Syurga walaupun kita baik. Sedangkan orang fasik pun boleh masuk Syurga jugak akhirnya?”
“Baik aje belum cukup untuk masuk Syurga. Seseorang tu kena beriman kepada Allah, mengimani bahawa hanya Allah Tuhan semesta alam dan tidak ada satu pun sekutu bagi-Nya,” terang Chan Chee Hong.
 “Tunggu sekejap! Abang ambilkan buku tentang beriman kepada Allah.” Chan Chee Hong mencari buku yang dimaksudkan.
Adiknya hanya memandang penuh minat. Setelah mengambil buku yang dimaksudkan, dia lantas membuka muka surat yang terkandung petikan terjemahan Al-Quran.
“Tengok ni, keimanan pada sifat rububiyah Allah telah diakui kaum Musyrikin pada zaman Nabi Muhammad s.a.w lagi tapi mereka masih engkar akan kebenaran itu, sebagaimana dalam Firman-Nya dalam surah Al Mu’minun  ayat 23,” ujar Chan Chee Hong.
“Abang pernah tak terfikir apa yang kita anuti sekarang adalah menyimpang jauh dari kebenaran?”
Chan Chee Hong hanya mengangguk. Adakah adiknya turut mendapat hidayah dari Allah? Hatinya cuba meneka. Lama mereka terdiam dan tunduk memikirkan sesuatu. Tiba-tiba terdengar kaca jatuh berderai. Mereka berdua segera lari menuju ke arah bunyi tersebut yang datangnya dari tingkat bawah. Dari atas tangga mereka dapat melihat papa mereka sedang marah-marah dan pasu bunga yang pecah berderai bertaburan memenuhi ruang hadapan rumah. Di hadapan pintu masuk kelihatan seorang perempuan berumur pertengahan 30-an sedang berdiri ketakutan.
“Kenapa kau nak kacau lagi hidup kami? Anak-anak tu hak aku, bukan hak kau. Bila kau dah ikut jantan lain dan tinggalkan aku bermakna kau dah tak ada dalam kamus hidup kami. Pergi! Jangan sampai aku bunuh kau nanti!” jerit Chan Koon Cheng.
Mereka yang hanya memerhati dari tadi terkejut dengan apa yang dilihat. Siapa perempuan yang sedang dimarahi oleh papanya itu? Mereka tidak pernah melihat perempuan itu sebelum ini. Sedang mereka mencari jawapan di dalam minda, tiba-tiba papanya berpaling ke arah mereka dan mengarahkan mereka naik semula ke atas.
“Papa kata pergi naik!” jerkah papa mereka apabila mereka masih teragak-agak untuk naik. Mereka segera berlari ke atas kerana takut dan terkejut.
“Abang, kenapa papa marah sangat kat perempuan tadi? Siapa dia?” tanya Chan Lee Fong.
“Entah, abang pun tak kenal,” jawab Chan Chee Hong ragu-ragu.
Siapa perempuan tu? Rasanya macam pernah lihat sebelum ni, bisik hati Chan Chee Hong. Tetapi dia membiarkan sahaja persoalan itu dan mereka masuk ke bilik masing-masing.
Chan Chee Hong segera ke mejanya dan mengambil sekeping kad lalu ditulis suatu ucapan ringkas untuk Cikgu Sara Raihana. Kad itu dilekatkan di atas hadiah yang telah siap berbalut. Hadiah itu akan diberi esok, sewaktu dia menghadiri majlis perkahwinan Cikgu Sara Raihana.
Bagaimanakah keadaan Cikgu Sara Raihana sekarang? Tentu sedang gembira dan bahagia, bisik hatinya.

 Sara Raihana tiba di wad kecemasan Hospital Taiping dan dia melihat beberapa orang ahli keluarga Izzat Hafis berkumpul di situ dengan wajah yang sugul. Segera dia mendapatkan emak mentuanya yang sedang duduk di sebelah Rosliana, isteri Khairul Hafis. Airmata menitis kembali bersama sendu apabila emak mentuanya memeluk erat tubuhnya. Seketika kemudian pelukan dileraikan. Mak Zainab memandang wajah menantunya yang mulai sembab kesan menangis terlalu lama. Ada pilu yang mendalam di dalam hatinya tetapi sedaya upaya dia menahan kepiluan itu.
           “Mak, macam mana keadaan Abang Izzat?” tanya Sara Raihana dalam sendu.
           Mak Zainab cuba mengawal perasaannya. Dia masih berharap agar keadaan Izzat Hafis akan bertambah baik.
“Sara, sabar ya, nak. Kita doakan agar Izzat dan Imran selamat,” pujuk Mak Zainab sambil mengesat air mata Sara Raihana dengan tangannya.
Sara Raihana hanya mengangguk lemah. Keluarga Sara Raihana yang datang turut kelihatan sugul.
“Macam mana yang lain?” tanya Mak Cik Rohaya setelah dia tidak melihat kelibat beberapa orang lain yang turut berada di rumahnya petang tadi.
“Ayah, pak ngah dan Harris sudah meninggal,” terang Rosliana di dalam tangisan yang masih bersisa. Sesekali dia mengelap air mata dengan lengan baju.
 Mak Ngah Milah telah pengsan ketika mengetahui kematian suami dan anaknya sedang dirawat di dalam bilik rawatan. Izzat Hafis mengalami kecederaan yang serius dan sedang koma manakala adiknya Imran Hafis tidak mengalami kecederaan yang parah. Khairul Hafis dan anak-anak Pak Ngah Salim yang lain sedang menguruskan tuntutan jenazah untuk dibawa pulang. 
Sara Raihana berdoa di dalam hati tidak berhenti-henti dan sesekali matanya memandang ke pintu bilik kecemasan tersebut. Berharap agar ada berita tentang suami dan adik iparnya. Tiba-tiba bahunya disentuh seseorang. Dia berpaling dan terpandang Cikgu Maimunah. Segera dia bangun dan memeluk Cikgu Maimunah. Sebenarnya Sara Raihana telah  menghantar mesej kepada Cikgu Maimunah memberitahu keadaan Izzat Hafis sewaktu berada di dalam perjalanan ke hospital tersebut.
 “Kak Mai! Izzat masih kat dalam.” Sara Raihana berkata dalam tangisan.
“Bersabarlah Sara. Semoga Izzat selamat,” ujar Cikgu Maimunah cuba menenangkan Sara Raihana dan mengusap-usap lembut belakang Sara Raihana. Hatinya turut sedih dan tanpa dipinta air matanya mengalir jua.
Pintu bilik kecemasan dibuka dan wajah sugul seorang Pegawai Perubatan kelihatan. Semua mata tertumpu ke arahnya.
 “Maaf, boleh saya jumpa orang yang paling hampir dengan Izzat Hafis bin Abdul Razak, sama ada isteri atau ibunya?” Mendatar suara Pegawai Perubatan itu.
Mak Zainab dan Sara Raihana segera mendapatkan Pegawai Perubatan manakala yang lain turut berada di belakang mereka.
 “Sabarlah mak cik, puan. Kami sudah sedaya upaya menyelamatkan nyawanya tapi Allah lebih sayangkannya.”
Izzat Hafis sudah menyahut panggilan Ilahi. Pergi meninggalkan semua yang dicintai.
“Ya Allah, anakku,” teriak Mak Zainab dan serentak dengan itu tubuh Mak Zainab melorot ke bawah walaupun tubuhnya masih dipeluk oleh Rosliana.
Sara Raihana terpaku tanpa kata dengan wajah yang amat terkejut. Kemudiannya tubuh itu perlahan-lahan jatuh terkulai, pengsan. Mak Cik Rohaya yang sememangnya berada di sisi Sara Raihana segera menyambut tubuh anaknya agar tidak terhempas ke lantai.
“Sara… Sara…” panggil Mak Cik Rohaya, cuba menyedarkan Sara Raihana tetapi gagal.
Air matanya makin lebat menuruni pipinya. Matanya dapat melihat tubuh lesu Mak Zainab yang dipapah oleh Rosliana untuk duduk di kerusi. Kepiluan mencengkam hatinya apabila terpandang wajah pucat anaknya yang berada dipangkuannya.
Sara, tak sampai sehari Sara dah jadi janda. Macam mana nasib Sara nanti? Hebat sungguh dugaan Allah buat Sara. Ibu harap Sara akan tabah dan kuat untuk tempoh ujian ini, bisik hati Mak Cik Rohaya pedih dan penuh simpati.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam...betul laa kalau kita baca ikut rasa hati..kita akan rasa macam mane perasaan bila di tingalkan dalam seklip mata..huhu...betul-betul terasa sangat-sangat...~,~

Imanisa riana @ sarimah berkata...

waalaikumusalam.
:)

Tanpa Nama berkata...

Iyaa .. sangat sedih.. n ni klu d buat filem sya pasti akan laku la huhu