Walaupun kedua-dua adik beradik tersebut belajar di sekolah berasrama penuh dan hanya berada di rumah tersebut apabila cuti sekolah tetapi papa mereka tetap dengan aktiviti ‘mabuknya’ tanpa menghiraukan kehadiran mereka. Kadangkala mereka merasa terpinggir dan seperti tidak disayangi oleh papa mereka walaupun hakikatnya tidak sebegitu. Bagi Chan Chee Hong, keadaan ini amat melegakan kerana dia bebas melakukan solat tanpa dapat dikesan oleh kedua-dua ahli keluarganya itu. Ada hikmah di sebalik semua kejadian. Walaupun papanya sering mabuk di waktu malam, tetapi dia tidak pernah mengabaikan kerja dan juga tanggungjawab kepada anak-anaknya.
Chan
Chee Hong yang baru selesai melakukan Solat Isyak terkejut dengan ketukan di
pintu biliknya. Dia segera bangun dan mengangkat kain selimut yang dijadikan
alas untuk bersolat lalu bergerak ke pintu. Demi terbukanya pintu bilik, adik
perempuannya terus meluru masuk. Dia sememangnya akrab dengan abangnya dan
sering bertanya apa sahaja perkara yang tidak difahaminya.
“Abang,
saya nak tanya sesuatu boleh tak?” tanya Chan Lee Fong sambil tangannya
mencapai buku bertajuk ‘Panduan Bersolat’ yang terletak di atas katil abangnya.
“Tanya
apa?” jawab Chan Chee Hong sambil tangannya merampas buku tersebut dari tangan
adiknya. Buku bertukar tangan.
“Sebelum
tu, kenapa abang baca buku ni?”
“Saja
nak tahu pasal ibadah orang Islam, tak boleh?” Chan Chee Hong cuba berhelah.
“
Boleh, tak ada salahnya. Abang, saya hairanlah dengan orang Melayu.”
“Kenapa?”
“Kawan
sebilik saya orang Melayu tapi selalu tak solat sedangkan dalam Islam, solat
adalah tiang agama. Bila saya tanya dia marah-marah dan kata semua orang Islam
akan masuk Syurga juga bukan macam kau masuk Neraka walaupun kau baik.” Chan
Lee Fong cuba mengajuk sebagaimana percakapan kawannya itu. Chan Lee Fong sebenarnya belajar di Sekolah
Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, Kedah di dalam tingkatan tiga. Dia juga
turut belajar Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di sekolah.
“Lee
Fong, awak tak perlu risau. Kawan awak tu sebenarnya boleh digolongkan dalam
kategori orang yang fasik. Orang fasik ialah orang yang imannya nipis dan sering melakukan perbuatan
mungkar, maksiat dan dosa.” Chan Chee Hong menerangkan berdasarkan apa yang
telah dipelajari sewaktu pelajaran Pendidikan Islam di sekolah.
“Tapi
kenapa kita tidak boleh masuk Syurga walaupun kita baik. Sedangkan orang fasik
pun boleh masuk Syurga jugak akhirnya?”
“Baik
aje belum cukup untuk masuk Syurga. Seseorang tu kena beriman kepada Allah, mengimani
bahawa hanya Allah Tuhan semesta alam dan tidak ada satu pun sekutu bagi-Nya,”
terang Chan Chee Hong.
“Tunggu sekejap! Abang ambilkan buku tentang
beriman kepada Allah.” Chan Chee Hong mencari buku yang
dimaksudkan.
Adiknya
hanya memandang penuh minat. Setelah mengambil buku yang dimaksudkan, dia
lantas membuka muka surat yang terkandung petikan terjemahan Al-Quran.
“Tengok
ni, keimanan pada sifat rububiyah Allah telah diakui kaum Musyrikin pada zaman
Nabi Muhammad s.a.w lagi tapi mereka masih engkar akan kebenaran itu,
sebagaimana dalam Firman-Nya dalam surah Al Mu’minun ayat 23,” ujar Chan Chee Hong.
“Abang
pernah tak terfikir apa yang kita anuti sekarang adalah menyimpang jauh dari
kebenaran?”
Chan
Chee Hong hanya mengangguk. Adakah adiknya turut mendapat hidayah dari Allah? Hatinya
cuba meneka. Lama mereka terdiam dan tunduk memikirkan sesuatu. Tiba-tiba
terdengar kaca jatuh berderai. Mereka berdua segera lari menuju ke arah bunyi
tersebut yang datangnya dari tingkat bawah. Dari atas tangga mereka dapat
melihat papa mereka sedang marah-marah dan pasu bunga yang pecah berderai
bertaburan memenuhi ruang hadapan rumah. Di hadapan pintu masuk kelihatan
seorang perempuan berumur pertengahan 30-an sedang berdiri ketakutan.
“Kenapa
kau nak kacau lagi hidup kami? Anak-anak tu hak aku, bukan hak kau. Bila kau
dah ikut jantan lain dan tinggalkan aku bermakna kau dah tak ada dalam kamus
hidup kami. Pergi! Jangan sampai aku bunuh kau nanti!” jerit Chan
Koon Cheng.
Mereka
yang hanya memerhati dari tadi terkejut dengan apa yang dilihat. Siapa
perempuan yang sedang dimarahi oleh papanya itu? Mereka tidak pernah melihat
perempuan itu sebelum ini. Sedang mereka mencari jawapan di dalam minda,
tiba-tiba papanya berpaling ke arah mereka dan mengarahkan mereka naik semula
ke atas.
“Papa
kata pergi naik!” jerkah papa mereka apabila mereka masih teragak-agak untuk
naik. Mereka segera berlari ke atas kerana takut dan terkejut.
“Abang,
kenapa papa marah sangat kat perempuan tadi? Siapa dia?” tanya Chan Lee Fong.
“Entah,
abang pun tak kenal,” jawab Chan Chee Hong ragu-ragu.
Siapa
perempuan tu? Rasanya macam pernah lihat sebelum ni, bisik hati Chan Chee Hong.
Tetapi dia membiarkan sahaja persoalan itu dan mereka masuk ke bilik
masing-masing.
Chan
Chee Hong segera ke mejanya dan mengambil sekeping kad lalu ditulis suatu
ucapan ringkas untuk Cikgu Sara Raihana. Kad itu dilekatkan di atas hadiah yang
telah siap berbalut. Hadiah itu akan diberi esok, sewaktu dia menghadiri majlis
perkahwinan Cikgu Sara Raihana.
Bagaimanakah
keadaan Cikgu Sara Raihana sekarang? Tentu sedang gembira dan bahagia, bisik
hatinya.
Sara Raihana tiba di wad kecemasan Hospital
Taiping dan dia melihat beberapa orang ahli keluarga Izzat Hafis berkumpul di
situ dengan wajah yang sugul. Segera dia mendapatkan emak mentuanya yang sedang
duduk di sebelah Rosliana, isteri Khairul Hafis. Airmata menitis kembali bersama
sendu apabila emak mentuanya memeluk erat tubuhnya. Seketika kemudian pelukan
dileraikan. Mak Zainab memandang wajah menantunya yang mulai sembab kesan
menangis terlalu lama. Ada pilu yang mendalam di dalam hatinya tetapi sedaya
upaya dia menahan kepiluan itu.
“Mak, macam mana keadaan Abang
Izzat?” tanya Sara Raihana dalam sendu.
Mak Zainab cuba mengawal perasaannya.
Dia masih berharap agar keadaan Izzat Hafis akan bertambah baik.
“Sara,
sabar ya, nak. Kita doakan agar Izzat dan Imran selamat,” pujuk Mak Zainab
sambil mengesat air mata Sara Raihana dengan tangannya.
Sara
Raihana hanya mengangguk lemah. Keluarga Sara Raihana yang datang turut
kelihatan sugul.
“Macam
mana yang lain?” tanya Mak Cik Rohaya setelah dia tidak melihat kelibat
beberapa orang lain yang turut berada di rumahnya petang tadi.
“Ayah,
pak ngah dan Harris sudah meninggal,” terang Rosliana di dalam tangisan yang
masih bersisa. Sesekali dia mengelap air mata dengan lengan baju.
Mak Ngah Milah telah pengsan ketika mengetahui
kematian suami dan anaknya sedang dirawat di dalam bilik rawatan. Izzat Hafis
mengalami kecederaan yang serius dan sedang koma manakala adiknya Imran Hafis
tidak mengalami kecederaan yang parah. Khairul Hafis dan anak-anak Pak Ngah Salim
yang lain sedang menguruskan tuntutan jenazah untuk dibawa pulang.
Sara
Raihana berdoa di dalam hati tidak berhenti-henti dan sesekali matanya
memandang ke pintu bilik kecemasan tersebut. Berharap agar ada berita tentang
suami dan adik iparnya. Tiba-tiba bahunya disentuh seseorang. Dia berpaling dan
terpandang Cikgu Maimunah. Segera dia bangun dan memeluk Cikgu Maimunah. Sebenarnya
Sara Raihana telah menghantar mesej
kepada Cikgu Maimunah memberitahu keadaan Izzat Hafis sewaktu berada di dalam
perjalanan ke hospital tersebut.
“Kak Mai! Izzat masih kat dalam.” Sara Raihana
berkata dalam tangisan.
“Bersabarlah
Sara. Semoga Izzat selamat,” ujar Cikgu Maimunah cuba menenangkan Sara Raihana
dan mengusap-usap lembut belakang Sara Raihana. Hatinya turut sedih dan tanpa
dipinta air matanya mengalir jua.
Pintu
bilik kecemasan dibuka dan wajah sugul seorang Pegawai Perubatan kelihatan.
Semua mata tertumpu ke arahnya.
“Maaf, boleh saya jumpa orang yang paling
hampir dengan Izzat Hafis bin Abdul Razak, sama ada isteri atau ibunya?” Mendatar
suara Pegawai Perubatan itu.
Mak
Zainab dan Sara Raihana segera mendapatkan Pegawai Perubatan manakala yang lain
turut berada di belakang mereka.
“Sabarlah mak cik, puan. Kami sudah sedaya
upaya menyelamatkan nyawanya tapi Allah lebih sayangkannya.”
Izzat
Hafis sudah menyahut panggilan Ilahi. Pergi meninggalkan semua yang dicintai.
“Ya
Allah, anakku,” teriak Mak Zainab dan serentak dengan itu tubuh Mak Zainab
melorot ke bawah walaupun tubuhnya masih dipeluk oleh Rosliana.
Sara
Raihana terpaku tanpa kata dengan wajah yang amat terkejut. Kemudiannya tubuh
itu perlahan-lahan jatuh terkulai, pengsan. Mak Cik Rohaya yang sememangnya berada
di sisi Sara Raihana segera menyambut tubuh anaknya agar tidak terhempas ke
lantai.
“Sara…
Sara…” panggil Mak Cik Rohaya, cuba menyedarkan Sara Raihana tetapi gagal.
Air
matanya makin lebat menuruni pipinya. Matanya dapat melihat tubuh lesu Mak
Zainab yang dipapah oleh Rosliana untuk duduk di kerusi. Kepiluan mencengkam
hatinya apabila terpandang wajah pucat anaknya yang berada dipangkuannya.
Sara,
tak sampai sehari Sara dah jadi janda. Macam mana nasib Sara nanti? Hebat
sungguh dugaan Allah buat Sara. Ibu harap Sara akan tabah dan kuat untuk tempoh
ujian ini, bisik hati Mak Cik Rohaya pedih dan penuh simpati.
3 ulasan:
salam...betul laa kalau kita baca ikut rasa hati..kita akan rasa macam mane perasaan bila di tingalkan dalam seklip mata..huhu...betul-betul terasa sangat-sangat...~,~
waalaikumusalam.
:)
Iyaa .. sangat sedih.. n ni klu d buat filem sya pasti akan laku la huhu
Catat Ulasan