Pengikut

Jumaat, 7 Disember 2012

Abang King Control Ke? - Bab 10




Razif memasuki kedai makan berhampiran kliniknya. Dia telah berjanji dengan Ustaz Azmi untuk makan di situ. Ustaz Azmi telah berada di meja dan sedang menunggu kehadirannya.
“Kau dah pesan makanan belum?” tanya Razif.
“Dah. Cuma air saja aku tak pesan untuk kau lagi,” beritahu Ustaz Azmi.
Razif memberitahu pelayan air yang diingininya. Seketika kemudian makanan yang dipesan oleh Ustaz Azmi pun tiba. Pelayan meletakkan nasi goreng daging merah di hadapan Razif dan Ustaz Azmi.
“Razif, aku rasa aku dah jumpa calon isteri aku,” ujar Ustaz Azmi setelah menyisip airnya.
“Siapa? Aku kenal tak?”
“Buat masa sekarang, aku tak mahu beritahu siapa dia. Nanti bila aku nak pergi meminang dia, aku nak bawa kau sekali.”
“Baiklah. Tak sabar nak lihat bakal isteri kau. Tentu lawa orangnya.”
“Lawa tu memang lawa. Tapi aku sukakan kelembutan budi bahasa dan senyuman manis dia. Sejuk hati bila tengok dia tersenyum.”
“Kalau dah angau, semua nampak elok.” Razif mengambil air yang diletakkan oleh pelayan.
“Aku pasti dia wanita yang aku idamkan selama ini. Wanita solehah.”
“Macam mana nak nilai calon isteri yang solehah dan bertakwa?” soal Razif.
“Kita jangan terlalu meletakkan nilaian yang tinggi untuk calon isteri. Sifat solehah dan takwa boleh dibina secara berterusan. Mungkin sebelum kahwin kita lihat nilaiannya rendah sikit, tapi dengan pimpinan suami tahap solehah dan ketakwaannya boleh meningkat.”
“Kalau isteri tu dah cukup mantap ketakwaannya tentu lebih mudah dengar kata dan setia kepada suami,” hujah Razif pula.
“Sampai bila kita nak cari perempuan yang mantap ketakwaannya? Nak guna ukuran apa untuk nilai tahap keimanan dan ketakwaan seseorang? Kebanyakan lelaki meletakkan nilai dirinya dengan ukuran soleh yang rendah. Tetapi untuk calon isteri dinilai dengan tahap solehah yang tinggi. Ini tak patut terjadi.”
“Jadi apa harus kita buat?”
 “Jadikan dulu diri kita suami yang soleh jika nak isteri yang solehah. Kena ada ciri suami soleh dalam diri kita. Lelaki akan jadi pemimpin rumah tangga jadi letakkan ukuran yang tinggi untuk diri sendiri. Tapi untuk calon isteri, biarlah ukuran rendah supaya senang nak bentuk diri dia bila dah jadi isteri sendiri.”
“Aku rasa pendapat kau ni ada benarnya. Tapi kalau kita dapat perempuan yang solehah, lebih memudahkan kerja kita.”
“Kalau nak rumah tangga bahagia, perlu ada kesedaran dan tanggungjawab antara suami isteri. Kena bertolak ansur. Tahu hak dan tanggungjawab masing-masing serta batas dan tugas yang harus dilakukan untuk kebaikan bersama,” terang Ustaz Azmi.
“Aku harap aku pun akan jumpa seorang wanita yang mampu menjadi isteri yang solehah.”
“Insya ALLAH. Mudah-mudahan ALLAH memperkenankan doa kau.”
Mereka terus berbual dan seketika kemudian Razif membayar harga makanan sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing. Razif tiba di rumah dan memasuki biliknya. Emak dan adiknya telah pun tidur ketika dia pulang. Razif keluar ke balkoni biliknya yang menghadap ke arah rumah Irdina. Dia mendapati bilik hadapan rumah itu masih terang dengan cahaya lampu.
‘Kalau tak silap, bilik Irdina sebelah hadapan. Tentu dia tak tidur lagi. Ni peluang aku nak main-mainkan dia.’
Razif mengeluarkan telefonnya lalu mendail nombor Irdina.
“Helo, sayang! Tak tidur lagi? Tentu sayang ingatkan abangkan?”
“Siapa awak? Mana awak dapat nombor telefon ni?”
“Hai! Dah lupa pada abang ke? Dah seharian kita bersama, sayang dah lupakan abang?” Razif bersuara lembut. Hatinya menggeletek untuk ketawa. Tetapi dikawalnya.
“Awak jangan main-main. Siapa awak yang sebenarnya?” Tanya Irdina dengan marah.
“Janganlah marah sayang. Cuba sayang buka tingkap dan lihat ke atas.”
Irdina membuka sedikit tingkap biliknya dan mendongakkan kepalanya ke atas. Dia dapat melihat Razif melambaikan tangan ke arahnya. Segera dia menutup kembali tingkapnya itu.
“Awak nak apa?” tanya Irdina, kasar.
“Saya nak awak.” Razif ketawa besar. Masih ingin bergurau.
“Janganlah main-main. Kalau tak ada hal penting, saya nak terus membaca.”
“Baca apa sampai lewat malam? Novel cinta?”
“Ikut suka sayalah nak baca apa.”
“Seeloknya bacalah bahan bacaan yang berfaedah dan sesuatu yang boleh memajukan diri. Elakkanlah bacaan yang menjurus kepada fitnah ataupun yang boleh melalaikan diri. Macam baca novel cinta. Asyik menggedik dan syok sendiri saja,” kutuk Razif.
‘Dia mula dah,’ bisik hati Irdina.
“Boleh tak kalau awak tak ganggu saya malam-malam begini?” Irdina mulai geram.
“Abang bukan nak ganggu Irdina. Cuma nak nasihat.”
“Simpanlah nasihat awak untuk isteri awak. Saya tak perlukan nasihat awak sebab suami saya nanti boleh nasihatkan saya.”
“Siapalah lelaki malang yang akan berkahwin dengan awak? Teringin juga saya nak tahu.” Razif ketawa mengejek. Sakit hati Irdina bila Razif berkata begitu.
“Jangan celupar sangat mulut tu. Siapa pun lelaki pilihan saya, sudah tentu bernasib baik kerana saya akan taat dan setia untuknya seumur hidup saya. Saya rasa awaklah yang malang sebab masih gagal mencari isteri idaman hati,” marah Irdina.
Razif terdiam seketika dengan kata-kata Irdina. “Maafkan abang. Abang tak berniat nak lukakan hati Irdina. Cuma abang harap kita saling memaafkan dan tolong jelaskan pada mak abang situasi sebenar yang berlaku petang tadi.” Pinta Razif, serius.
“Baiklah. Saya pun nak minta maaf sebab dah berkasar dengan awak. Insya ALLAH saya akan jelaskan hal sebenar kepada Mak Cik Sopiah, esok,” janji Irdina.
“Terima kasih.”
“Er… mana awak dapat nombor saya? Awak buka telefon saya ke?” tanya Irdina setelah terperasan akan hal itu.
“Ya, saya buka dan lihat nombor telefon awak. Yang lain saya tak tengok.” Razif berterus terang.
“Awak tak sepatutnya lihat dan ambil nombor saya tanpa izin. Entah-entah habis gambar saya, awak tengok. Cakap terus terang awak tengok tak?” tanya Irdina cemas. Di dalam telefon itu terdapat gambarnya yang tidak menutup aurat.
“Gambar mana yang awak maksudkan?” tanya Razif hairan.
“Jadi awak dah lihat gambar sayalah?”
“Beritahu gambar yang mana satu?” tanya Razif sekadar menduga.
 “Tapi gambar saya tak ada yang keterlaluan.”
“Walaupun tak keterlaluan, awak mahu ke gambar aurat awak jadi tontonan ramai?”
“Tak.”
“Kalau tak mahu, padamkan semua gambar-gambar tu. Kalau nak simpan gambar, biar yang lengkap pakaian awak,” nasihat Razif.
“Nasihat orang konon. Yang awak tengok gambar saya siapa suruh? Ada saya izinkan awak buka telefon saya? Awak terang-terang menceroboh hak peribadi saya.” Irdina masih meragui Razif.
“Abang tak tengok pun. Janganlah risau.”
“Bohong! Awak ni lelaki hipokrit. Depan orang tunjuk baik tapi belakang entah apa-apa awak buat. Saya benci awak!”
“Percayalah, abang tak bohong.”
“Susah saya nak percayakan awak lagi. Lepas ni jangan hubungi saya dan tolong padam nombor saya daripada telefon awak. Selamat malam,” Irdina memutuskan talian telefonnya.
Razif hanya termangu-mangu mendengar kata-kata Irdina. Dia dapat melihat bilik Irdina yang gelap ketika itu. Irdina telah menutup suis lampunya untuk tidur. Razif mengunci pintu balkoni dan kemudian bergerak ke almari untuk menyalin pakaiannya. Setelah itu, dia menutup lampu dan membaringkan badannya di katil.

Pagi itu setelah Laila dan Balkis ke tempat kerja, Mak Cik Sopiah telah berkunjung ke rumah Irdina. Dia mengajak Irdina ke rumahnya untuk bersarapan walaupun berkali-kali Irdina menolak dengan alasan sudah bersarapan.
“Makan roti bukannya kenyang. Marilah ke rumah mak cik. Mak cik ada buatkan nasi lemak pagi ni.”
“Terima kasihlah mak cik. Saya tak mahu menyusahkan mak cik.”
“Tak ada susahnya, malah mak cik suka jika Irdina dapat temankan mak cik bersarapan.”
“Doktorkan ada. Dia boleh temankan mak cik.”
“Dia dah keluar awal pagi tadi. Sekarang ni, tak ada sesiapa di rumah mak cik. Cepatlah siap, mak cik tunggu di sini.”
Walaupun berat hati Irdina untuk pergi tetapi dia tidak sampai hati mengecewakan Mak Cik Sopiah. Akhirnya dia mengekori Mak Cik Sopiah dan masuk ke dalam rumah banglo itu. Mak Cik Sopiah mengambil pinggan untuk Irdina dan mengajak Irdina duduk di meja.
“Duduklah dulu, mak cik nak bancuh air.”
“Tak mengapa mak cik. Kali ni biar saya yang bancuhkan air. Mak cik beritahu saja, air apa yang nak dibancuh.”
“Kalau begitu, Irdina bancuhkan kopi untuk mak cik. Kalau Irdina nak air lain ada di rak barang.”
“Saya pun minum kopi. Biar kita minum air yang sama.”
“Kalau begitu, bancuh dalam teko kopi tu.”
Irdina menuruti suruhan Mak Cik Sopiah dan kemudiannya meletakkan air di meja. Dia mengambil cawan untuk Mak Cik Sopiah dan juga dirinya.
“Pandai Irdina bancuh air. Sedap!”
Irdina hanya tersenyum menerima pujian itu. Sedang asyik mereka berbual, Razif masuk ke ruang makan.
“Wah! Ada tetamu lagi rupanya hari ni.” Sapaan Razif membuatkan Irdina yang sedang menyendukkan nasi, terkejut.
“Ha! Dari mana Razif? Awal pagi dah keluar. Masuk pun tak beri salam,” tegur Mak Cik Sopiah.
“Razif pergi jogging. Tadi dah beri salam, mungkin mak tak dengar sebab asyik layan tetamu kita ni,” ujar Razif sambil mengerling Irdina.
Irdina tidak senang hati. Terasa seperti Razif menyindirnya. Razif duduk di sebelah emaknya dan menghadap Irdina.
“Irdina tolong ambilkan pinggan dan cawan untuk Razif,” pinta Mak Cik Sopiah.
Irdina terpaksa mengambil pinggan dan cawan di dapur untuk Razif. Dalam hatinya mengutuk diri sendiri kerana menerima pelawaan Mak Cik Sopiah. Dia tahu, Razif pasti akan mengenakannya lagi. Bukan setakat mengambil pinggan dan cawan, Irdina juga terpaksa menyendukkan nasi dan menuang air untuk Razif. Semuanya atas pemintaan Mak Cik Sopiah.
“Mak, kenapa air ni rasa lain sikit hari ni?” tanya Razif.
“Lain macam mana?” tanya Mak Cik Sopiah sambil matanya menatap wajah Irdina.
Irdina hanya menundukkan kepalanya. Rasa malu mulai menebal.
“Rasa manis sikit. Tapi sedap,” komen Razif.
“Anak dara bancuh, mestilah manis.” Mak Cik Sopiah ketawa kecil.
“Maksud mak, Irdina yang bancuh? Patutlah tak sedap,” Razif menjauhkan cawan dari dirinya.
Irdina yang melihat perlakuan Razif terasa hati. Dia hanya mendiamkan diri sambil merenung nasi di pinggan.
“Makanlah Irdina, kenapa menung pula?” tanya Mak Cik Sopiah yang perasan perubahan wajah Irdina yang tiba-tiba muram setelah melihat Razif.
Razif tidak memperdulikan Irdina. Dia mengambil sambal ikan bilis dan timun lalu dimasukkan ke dalam pinggannya. Tangannya ingin mencapai botol kicap dan ketika itu Irdina ingin mengambil juga. Razif terpegang tangan Irdina yang terlebih dahulu singgah di botol kicap itu. Irdina terkejut dan terus memandang wajah Razif.
“Lepaskan tangan awak,” arah Irdina.
“Awak yang patut lepaskan,” Razif enggan mengalah.
“Saya pegang botol kicap ni dulu.” Irdina juga tidak mahu mengalah.
“Mana boleh! Ini kicap abang. Abang yang patut ambil dulu.”
Mak Cik Sopiah hanya menggelengkan kepalanya melihat perebutan mereka berdua.
“Kalau dua-dua tak mahu beralah, masalah tak akan selesai,” ujar Mak Cik Sopiah.
Mereka serentak melepaskan botol kicap.
“Awak ambillah dulu,” pelawa Razif.
“Tak mengapa. Awaklah dulu,” balas Irdina.
Mereka saling bertolak menyebabkan Mak Cik Sopiah bangun dan mengambil botol kicap itu. Dia meletakkan sedikit kicap di dalam nasi Razif dan kemudiannya ke dalam nasi Irdina.
“Ha! Dua-dua dah ada kicap. Makan sekarang!” perintah Mak Cik Sopiah.
Mak Cik Sopiah ketawa di dalam hati melihat telatah mereka berdua. Razif dan Irdina makan tanpa kata hingga selesai. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
“Razif, mak nak ke pasar sebentar lagi. Boleh tolong bawa mak tak?”
“Baiklah. Pagi ni pun Razif tak ke klinik. Amran minta Razif pergi sebelah petang hingga malam,” Razif memberitahu jadual kerjanya.
Irdina hanya menelan liur. Dia perlu mencari alasan untuk tidak berlama-lama di rumah itu. Dia tidak mahu berada bersama-sama Razif sepanjang hari.
 “Mak cik, saya nak minta diri dulu.”
“Jangan pergi lagi. Di rumah Irdina bukan ada sesiapa. Ikutlah mak cik ke pasar. Bolehlah Irdina beli barang dapur sekali.”
“Saya boleh pergi sendiri nanti.” Irdina cuba mengelak.
“Nak pergi dengan apa? Kereta Irdina tak ada.”
“Bila Balkis balik, saya pergilah.”
“Kalau tunggu Balkis tentu lewat petang atau malam baru boleh beli. Marilah temankan mak cik. Bukan selalu Irdina dapat berjalan-jalan dengan mak cik.”
Lama Irdina memikirkannya. Dia akhirnya bersetuju dengan saranan Mak Cik Sopiah. Irdina meminta diri untuk pulang mengambil beg tangannya serta menyalin pakaian. Mak Cik Sopiah naik ke tingkat atas untuk bersiap-siap. Razif turut menyalin baju dan seluarnya, kemudian keluar ke halaman rumah. Razif melihat ke arah rumah Irdina dan mendapati Irdina masih belum keluar. Dia mengeluarkan telefonnya dan mendail nombor Irdina.
“Cepatlah sayang, apa lagi yang sayang buat? Abang dah tak larat menunggu lama sangat.” Razif sengaja mengusik Irdina.
“Boleh tak awak jangan panggil saya begitu? Depan mak awak sopan bukan main, belakang macam-macam awak kata pada saya.”
“Janganlah marah sayang. Nanti tak ada yang nak meminang.”
“Meminang atau tak, bukan urusan awak. Saya rasa awak ni hanya berani di belakang saja. Maklumlah jenis hipokrit. Suka bermuka-muka.”
“Siapa yang hipokrit? Abang atau sayang?”
“Awak ni sengaja nak buat saya marah. Saya cabar awak panggil sayang depan mak awak. Tentu awak tak beranikan? Maklumlah mak awak nak paksa awak kahwin. Entah-entah awak ni jenis yang suka kaum awak saja, sebab tu tak kahwin-kahwin.” Tuduh Irdina, radang.
“Jangan tuduh sebarangan. Abang lelaki sejati, bukan pondan tau. Berani awak cabar abang, ya? Awak lihat saja, abang akan kenakan awak cukup-cukup hari ni.”
“Tak takut!” balas Irdina.
“Cepatlah keluar! Mak dah siap tu. Takkan awak bersolek tebal untuk ke pasar? Ikan-ikan takkan tergoda dengan solekan awak. Apatah lagi orang!” Razif ketawa terkekeh-kekeh.
“Bencilah awak ni,” ujar Irdina sambil menutup telefonnya.

10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tak marah abang sayang , cuma kasian kat idrina ngan ustad azmy, mcam mana kelak jadinya ya???? Nany

Tanpa Nama berkata...

from ,¤ nadia ¤alamak macam mana ni? Benar kena kahwin lah mereka,,sebenarnya ziqkri pun ada hati kan ngan idrina? Jika tidak apasal dia perlu kecewa sbt idrina sebut,cintakan ustad..ah pusing2 macam mana ya lanjutanya?

Tanpa Nama berkata...

dah jodoh ya mungkin??

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Nany,
Ya kasihan Irdina n ust Azmi. Nk tahu apa tindakan Irdina, ikuti cerita ni di lain siaran..

Nadia,
Bukan ziqkri tp Razif. Ya, Razif pun dh jatuh hati pd Irdina. Nk tahu hubungan dia dan ust tu putus atau tak, kena ikuti cerita ni lagi.. tunggu, ya.

Tanpa nama,
Jodoh tak ke mana. Itu sbb org tua ckp kalau suka bergaduh, last2 itulah jodohnya.

Tanpa Nama berkata...

kenapa irdina/razif x nak bg th hal yg sebenar je??klau x confirm x jd mcm ni..hoho ^_^

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Mrk dh cuba bg tahu sebelum ke pasar tp mak razif tak percaya (boleh baca balik part tu). Irdina jenis yg tak boleh disergah, terus takut dan diam. Razif sengaja tak nk ckp sbb dia suka Irdina...;)

Tanpa Nama berkata...

tak sangka razif, rajin siap cuci ikan,sinki,lgi.best suami idaman q ini. Mia

Tanpa Nama berkata...

¤nadia ¤ so benar lah saya rasa ni, razif memang sukakan irdina,,,huh dasar razif dlu kata tak nak ngan irdina,,cakap kasian n menderita ,malang pula mamad yg berkahwin ngan irdina, la skarang razif ndri termakan kata2 nya..

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Mia,
Razif jenis anak yg sayang mak dia, sbb tu rajin. Lgpun dia ikut sunnah Nabi yg rajin membantu di dapur.

nadia,
Gitulah, dulu tak nak tapi sekarang dah teringin..hi..hi.

ajifunky.com.my berkata...

Huhu...akak bila nak sambung ...cite nie gempaklah...;)