Irdina
keluar dari rumahnya dan mengunci pintu. Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke
kereta Razif. Razif meneliti wajah Irdina yang tidak bersolek malah bedak pun
tiada di wajahnya. Pakaian Irdina juga amat sederhana. Dia hanya memakai seluar
jeans, baju T labuh berwarna merah jambu dan hitam serta bertudung putih. Razif
melihat Irdina berkasut sukan putih berbelang merah jambu.
“Awak
ni memang sukakan warna pink ke?”
tanya Razif.
“Ya,
kenapa?” tanya Irdina kembali.
“Pink lady yang gedik,” kutuk Razif
sambil ketawa, sengaja untuk menyakitkan hati Irdina.
“Yang
awak tu tentu suka hitam. Baju hitam, seluar hitam, kereta pun hitam. Hati awak
hitam tak?” balas Irdina untuk menyakitkan hati Razif juga. Radang hatinya
kerana asyik digelar gedik. Perkataan yang dibencinya.
“Abang
ni luaran saja suka hitam tapi di dalam tetap putih macam manggis. Kulitnya
hitam tapi isinya putih.”
Irdina
mencebikkan bibirnya.
“Sayang
tak percaya? Ambil kapak belahlah dada. Lihatlah isinya,” ujar Razif sambil menunjukkan
aksinya sekali.
Ketika
Razif berkata begitu, Mak Cik Sopiah telah berada betul-betul di belakang Razif
tanpa disedari oleh Razif. Irdina yang terperasan kehadiran Mak Cik Sopiah
hanya mampu tersenyum.
“Belakang
mak, bersayang-sayang. Tapi bila mak suruh kahwin kenapa tolak? Kalau betul
sukakan Irdina, mak boleh masuk meminang. Jangan dipermainkan perasaan orang.”
Razif
menoleh ke belakang dan terkejut dengan kata-kata ibunya. Dia memandang wajah
Irdina sambil mulutnya berkumat kamit memarahi diri sendiri. Salah faham ibunya
makin bertambah. Razif cuba memberi isyarat agar Irdina membantunya.
“Betul
tu mak cik. Tengah malam tadi ketika semua orang dah tidur, Abang Razif telefon
saya, merayu-rayu dan menggoda. Kata tak boleh lena jika tak dapat tengok muka
saya. Tapi bila siang, dia nafikan pula.” Irdina memberikan senyum paling manis
untuk menambah sakit hati Razif. Malah dia berharap agar Mak Cik Sopiah
memarahi Razif lagi.
Hati
Razif membengkak. Mana janji Irdina untuk menjelaskan hal sebenar kepada
ibunya? Dia menyumpah seranah Irdina dalam diam.
“Razif!
Betul Razif telefon Irdina tengah malam tadi?” tanya Mak Cik Sopiah, makin
geram.
“Betul,
tapi Razif tak goda dia pun.”
“Apa
tujuan Razif telefon dia waktu orang lain dah tidur? Tentu Razif ada niat nak
ganggu dia. Kalau dah tak sabar sangat, kahwin saja. Mak pun senang hati.”
“Mak,
Razif akui telefon dia tapi Razif nak minta dia jelaskan perkara sebenar apa
yang berlaku petang kelmarin kepada mak. Razif tak mahu terikat dengan dia.”
“Baguslah
tu! Dah rosakkan anak orang, tak mahu bertanggungjawab pula. Razif jangan buat
mak susah hati. Razif kena kahwin juga dengan dia.” Mak Cik Sopiah bertegas.
“Razif
tak rosakkan dia pun. Semua tu salah faham saja. Takkan kerana telefon, mak nak
paksa Razif kawin dengan dia?”
“Masih
nak bohong lagi? Mak tak sangka Razif sanggup buat mak begini? Razif sengaja
nak malukan mak ke?” Mak Cik Sopiah menangis.
Razif
tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Irdina, tolonglah. Janganlah kusutkan
lagi keadaan. Tolong jelaskan pada mak, ini semua salah faham saja. Takkan awak
nak kahwin dengan abang?”
Timbul
rasa kasihan di hati Irdina apabila melihat air mata Mak Cik Sopiah. Dia perlu
membetulkan keadaan sebelum terlambat.
“Mak
cik, apa yang Abang Razif cakap tu adalah benar. Tak ada apa-apa yang berlaku
antara kami. Ini semua salah faham saja. Jadi tak ada sebab untuk kami kahwin.”
“Tak!
Ini tentu Razif dah ugut Irdina. Mana boleh salah faham sedangkan mak cik lihat
sendiri kamu berdua dalam bilik dan Irdina menangis. Tadi pun mak cik dengar
Razif panggil sayang pada Irdina. Dia pun bahasakan diri abang malah Irdina
sendiri pun panggil dia abang sayang. Kalau tak ada apa-apa hubungan, apa
bendanya tu?” Mak Cik Sopiah tetap tidak percaya.
“Mak
cik, Abang Razif tak bohong. Memang benar saya datang semula setelah pulang
untuk cari telefon. Saya tak tahu Abang Razif ada di bilik air ketika saya
masuk ke bilik tu. Semua ni hanya salah faham. Abang Razif panggil sayang pun
bukan betul, hanya main-main. Saya panggil abang sayang pun sekadar nak
sakitkan hati dia,” ujar Irdina dengan wajah yang risau. Takut juga dia jika
dipaksa berkahwin dengan Razif sedangkan dia telah jatuh cinta dengan Ustaz
Azmi.
“Ini
tak boleh jadi. Mak cik tak percaya apa pun alasan yang diberi. Irdina tolong
beri nombor telefon mak Irdina. Mak cik nak telefon maklumkan hal meminang
Irdina.”
“Apa??
Jangan begitu mak cik. Saya tak nak kahwin dengan Abang Razif. Saya dah ada
pilihan sendiri.” Irdina mulai gelabah dan risau.
“Jangan
buat alasan. Kalau betul, siapa pilihan Irdina?” tanya Mak Cik Sopiah.
Teragak-agak
Irdina untuk memberitahu nama Ustaz Azmi. Dia baru kenal Ustaz Azmi dan Ustaz
Azmi pun belum memberi kata putus bila hendak meminangnya. Malah pada ibu
bapanya sendiri tidak diberitahu hal tersebut, apatah lagi hendak beritahu
orang lain. Akhirnya lidahnya menjadi kelu tanpa sebarang nama yang mampu
disebutnya.
“Mak
cik tahu, Irdina hanya berdalih sebab Razif ugut Irdina. Irdina jangan takut.
Mak cik akan pastikan Razif milik Irdina.”
“Tak…Abang
Razif tak ugut Irdina pun.” Irdina makin cemas dan mula menggelabah.
“Jangan
bohong! Mak cik tak mahu dengar sebarang alasan lagi,” sergah Mak Cik Sopiah,
garang.
Irdina
terdiam dan tidak mampu berkata apa-apa. Sudah menjadi sifat semula jadinya
mudah menggelabah dan tidak mampu berfikir panjang jika terlalu takut. Pucat
mukanya ketika itu. Dia hanya memandang Razif dengan wajah kebingungan. Hatinya
menjadi semakin resah tetapi dia sendiri tidak tahu untuk menjelaskan keadaan
yang sebenarnya. Hanya air mata yang mengalir di pipi. Segala kata-kata mereka
tidak dipercayai oleh Mak Cik Sopiah lagi.
Irdina
terfikir untuk menyerah kepada takdir sahaja apabila melihat Razif juga
menikus. Razif tahu, jika emaknya benar-benar marah tiada apa yang boleh
diperbuatnya. Hanya mampu membiarkan emaknya sejuk sendiri. Dia merancang untuk
menjelaskan duduk perkara sebenar, lain kali.
Mak
Cik Sopiah memandang Razif dan Irdina berulangkali. Kedua-dua mereka tunduk
menatap lantai tanpa kata. Mak Cik Sopiah cuba menenangkan diri dan setelah itu
mengajak mereka pergi ke pasar. Irdina terpaksa mengikut ajakan Mak Cik Sopiah
dengan berat hati.
Sepanjang
perjalanan ke pasar, mereka masih mendiamkan diri. Ketika memasuki pasar, Mak
Cik Sopiah memegang tangan Irdina. Dia menerangkan jenis-jenis ikan yang
disukai oleh Razif kepada Irdina dengan gembira.
“Mak
cik, saya nak ke tandas sekejap.”
Irdina
memberi alasan untuk mengelak diri mendengar omelan Mak Cik Sopiah tentang makanan
kegemaran Razif. Hatinya memberontak. Tidak suka apa yang berlaku ketika itu.
Tetapi lidahnya seakan kelu apabila melihat wajah gembira Mak Cik Sopiah.
Terbayang kebaikan Mak Cik Sopiah terhadapnya. Adakah patut dia melukakan hati
Mak Cik Sopiah? Hatinya berbelah bagi.
Irdina
melangkah menuju ke tandas yang terletak di bangunan yang berasingan daripada
pasar. Melalui ekor matanya, dia dapat melihat Razif mengekorinya. Segera dia
menoleh ke belakang.
“Irdina!
Kita kena berbincang.”
“Baiklah.”
“Mari
kita ke sana.” Razif menunjukkan arah pokok yang rimbun dan redup.
Mereka
berdua melangkah ke tempat dimaksudkan.
“Macam
mana nak jelaskan pada mak cik? Apa pun penerangan kita mak cik tak terima,”
ujar Irdina, risau.
“Ini
semua salah awak. Jika awak berterus terang kelmarin semua ni tak timbul,” ujar
Razif, geram.
“Jadi,
awak nak salahkan saya seorang? Awak tak salah?” Irdina meninggikan suaranya.
“Kalau
awak tak burukkan keadaan, mak akan percaya. Abang hairan kenapa awak tak
berterus terang kelmarin. Jangan-jangan awak sengaja buat begitu supaya dapat
kahwin dengan abang. Ramai perempuan yang nak hidup senang, jadi pasang
perangkap pada lelaki yang dirasanya boleh beri kemewahan,” tuduh Razif, sesuka
hatinya.
“Jangan
awak tuduh sebarangan. Saya tak sehina itu, tau tak! Saya pun ada maruah dan harga
diri. Tak mungkin saya perangkap awak sedangkan saya dah ada pilihan sendiri.”
“Pilihan
sendiri? Tadi kenapa tak mahu beritahu mak siapa pilihan awak? Jangan-jangan
awak berangan yang bekas tunang akan kembali kepada awak.”
“Awak
ni memang menyakitkan hati. Bekas tunang saya dah lama hilangkan diri. Tak
mungkin saya terima dia lagi setelah apa yang dia buat. Saya memang ada pilihan
hati. Tapi kami baru berkenalan. Jadi ambil masa sikit untuk perkenalkan dia
pada ibu bapa saya. Bila ibu bapa saya dah kenal, baru saya akan beritahu orang
lain,” terang Irdina bersungguh-sungguh.
“Betul?
Siapalah lelaki tu, ya? Teringin saya nak jumpa dan ucapkan tahniah pada dia.
Kalau boleh suruh dia pinang awak cepat-cepat supaya saya tak terjerat dengan
awak,” tegas Razif, kemudian melangkah meninggalkan Irdina.
Irdina
turut melangkah menuju ke arah pasar. Dia memilih beberapa jenis sayur, ikan
dan juga ayam. Setelah selesai membeli dia mencari-cari Mak Cik Sopiah. Irdina
ternampak Mak Cik Sopiah sedang berbual dengan seorang perempuan lalu menghampiri
mereka.
“Irdina,
mari mak cik kenalkan dengan Mak Lang Esah.” Mak Cik Sopiah memperkenalkan
Irdina.
Irdina
menyuakan tangannya untuk bersalaman dengan Mak Lang Esah. Mak Lang Esah
menanyakan khabar Irdina dan berbual-bual ringan dengan Irdina. Razif
menghampiri mereka setelah lama menunggu di kereta. Dia ingin mengajak mereka
pulang. Tidak betah dia berada di situ dengan lebih lama.
“Tak
sangka ya, Razif. Diam-diam dah ada pilihan hati,” tegur Mak Lang Esah.
“Pilihan
hati?” tanya Razif, hairan.
“Buat
tanya pula. Dah ada depan mata mak lang, jangan nak berdalih lagi. Bila nak
langsung? Tak sabar mak lang nak rasa nasi minyak Razif.”
“Langsung
apanya mak lang? Kalau nak makan nasi minyak, nanti Razif belikan.”
“Pandailah
nak berdalih. Jangan lama-lama, benda baik patut cepatkan,” kata Mak Lang Esah
sebelum meminta diri.
Razif
hanya mampu melihat emak saudaranya berlalu pergi. Dia tahu selepas ini, pasti
lebih ramai sanak saudaranya akan bertanyakan hal tersebut kepadanya. Irdina
hanya melihat wajah kelat Razif dan dia dapat mengagak maksud percakapan Mak
Lang Esah tadi. Hatinya juga dipagut risau.
“Awak!
Mak lang tu pun dah salah anggap. Nak buat macam mana ni?” tanya Irdina separuh
berbisik kepada Razif yang berdiri berhampirannya.
“Nak
buat macam mana? Tentu heboh sekampung ni. Mak lang tu bukan boleh simpan
rahsia. Lepas ni tentu lebih ramai yang akan tanya soal ni pada abang,” bisik
Razif pula.
Mak
Cik Sopiah terperasan perbuatan Irdina dan Razif yang sedang berbisik.
“Ha!
Bisik-bisik apa? Tadi bukan main nafikan, sekarang berbisik-bisik pula. Kamu
berdua ni memang memeningkan kepala mak saja. Marilah kita balik,” ujar Mak Cik
Sopiah lalu melangkah menuju ke kereta.
Razif
membawa barang yang dibeli oleh ibunya di kedua-dua tangannya.
“Irdina!
Tolong ambil bungkusan yang nak terjatuh ni.” Razif memanggil Irdina yang
berjalan di hadapannya.
Irdina
menoleh dan menghampiri Razif. Dia cuba mengambil bungkusan yang dimaksudkan
oleh Razif, tetapi gagal kerana bungkusan itu tersangkut di celah bungkusan
lain.
“Awak
letaklah dulu semua bungkusan tu.”
Razif
mengikut saranan Irdina dan kemudian memasukkan satu per satu tangkai beg
plastik di jarinya.
“Tolong
sangkutkan plastik tu di jari abang,” Razif menunjukkan bungkusan yang masih
terdapat di lantai.
Irdina
mengambil bungkusan yang dimaksudkan dan cuba menyangkutkannya di jari Razif
tetapi gagal. “Biar saya bawa bungkusan ni. Dah penuh jari awak kesemuanya.”
“Kalau
beritahu daripada awal, tak payahlah kita duduk di tengah panas ni.”
“Orang
dah tolong, tak nak ucap terima kasih. Merungut pula,” marah Irdina sambil
melangkah ke kereta.
Razif
meletakkan bungkusan di tangannya. Dia mengambil kunci kereta dan membukanya.
Mak Cik Sopiah masuk ke dalam kereta tanpa mahu menolong Razif. Razif membuka
but keretanya dan memasukkan bungkusan ke dalam but. Irdina turut meletakkan
barangnya bersebelahan barang-barang yang dibeli oleh Mak Cik Sopiah.
“Awak
pandai masak ke yang beli banyak-banyak ni?” tanya Razif.
“Jangan
tengok orang tak ada mata. Saya memang boleh masak.”
“Kalau
setakat masak nasi, abang pun boleh buat.”
“Kalau
nasi minyak boleh ke?”
“Yang
tu lagi boleh. Berkawah-kawah pun boleh.”
“Betul?
Tak percayalah.”
“Memanglah
boleh… boleh tengok sajalah,” kata Razif sambil ketawa.
Irdina
juga turut ketawa dengan gurauan Razif. Mereka masuk ke kereta dengan sisa tawa
yang masih ada.
“Mak
hairanlah dengan kamu berdua. Sekejap nampak mesra, sekejap nampak macam musuh
saja,” komen Mak Cik Sopiah.
Razif
hanya mendiamkan diri dan memandu keluar daripada kawasan itu. Sesekali dia
mencuri pandang ke arah Irdina yang duduk di belakang kereta. Irdina asyik
menulis mesej kepada Ustaz Azmi. Ada ketika dia tersenyum sendiri melihat mesej
daripada Ustaz Azmi. Razif asyik memerhati lesung pipit di pipi Irdina ketika
tersenyum.
“Razif!
Kucing tu,” jerit Mak Cik Sopiah menyebabkan Razif menekan brek dengan
mengejut.
Irdina
terdorong ke hadapan dan mukanya terhempas ke kerusi Mak Cik Sopiah. Telefon di
tangannya terlepas ke kaki Razif. Mak Cik Sopiah mengucap sambil mengurut
dadanya.
“Razif!
Mata ke mana? Asyik tengok Irdina sampai tak nampak yang lain,” tegur Mak Cik
Sopiah.
“Maaf
mak. Razif tak sengaja.” Razif sempat melihat Irdina yang memegang mulut sambil
menangis.
“Kenapa
Irdina? Awak cedera ke?” tanya Razif risau.
Irdina
tidak menjawab pertanyaan itu. Razif mengubah keretanya ke tepi jalan agar
tidak mengganggu lalu lintas. Mak Cik Sopiah turut menoleh ke belakang untuk
melihat Irdina.
“Irdina!”
panggil Mak Cik Sopiah, cemas.
Irdina
mengangkat wajahnya dan kelihatan darah di tepi bibir Irdina. Razif membuka
pintu belakang dan menyuruh Irdina berpusing ke arahnya. Razif agak terkejut
apabila melihat darah yang mengalir. Segera dia mengambil kotak pertolongan
cemas yang terdapat di dalam but kereta.
“Maafkan
abang. Abang tak sengaja,” Razif memeriksa luka di hujung bibir Irdina dan
bahagian dalam mulut. Bahagian dalam mulut Irdina terkoyak akibat terkena gigi
semasa hentakan kuat itu.
Irdina
mendiamkan diri manakala Mak Cik Sopiah memerhati dengan risau di hati. Ketika
Razif menyapu antiseptik di luka, Irdina mengadui dan spontan tangannya menolak
tangan Razif.
“Sakitlah!”
marah Irdina.
“Tahanlah
sikit. Biar abang cuci luka ni dulu.”
Irdina
membiarkan Razif merawat lukanya. Razif mendekatkan wajahnya ke wajah Irdina
untuk melihat luka Irdina dengan lebih jelas. Darah masih mengalir walaupun
beberapa kali Razif mengelap. Irdina dapat merasakan hembusan nafas Razif yang
begitu hampir ke mukanya. Dia memejam mata untuk tidak melihat wajah Razif. Ada
debaran yang menggila di dadanya. Kenapa dia perlu berperasaan begitu sedangkan
Razif musuhnya?
“Irdina,
luka dalam mulut ni kena jahit. Abang akan bawa awak ke klinik abang.”
Irdina
membuka matanya. Bola matanya bertentang dengan bola mata Razif. Razif terpegun
seketika. Bangkit gelora di jiwanya. Seolah terkena panahan asmara. Sedaya
mungkin dia mengawal diri. Tidak mahu rasa yang bertamu itu mengharu birukan
hidupnya kelak.
“Teruk
ke luka tu?” tanya Irdina, mengusir lamunan Razif.
“Taklah
teruk sangat tapi kena jahit sebab terkoyak.”
“Kalau
tak jahit tak boleh ke?”
Risau hati Irdina mendengar perkataan ‘jahit’.
Bahagian dalam mulut pula. Terbayang pelbagai bayangan buruk. Buatnya Razif
tersalah jahit atau sengaja membalas dendam, macam mana dia hendak makan?
Paling teruk jika mulutnya sumbing. Jatuh sahamnya kalau sumbing.
“Jangan
risaulah. Kalau pilihan hati awak tolak awak sebab mulut awak sumbing, biar
abang yang pinang awak.” Razif ketawa kecil. Dia sekadar bercanda.
Irdina
menjeling. Dia cuba memegang bahagian yang luka itu.
“Jangan
pegang. Nanti abang tutup sementara luka ni.”
Razif mengambil kapas dan pelekat lalu dia menutup
luka di bahagian luar bibir Irdina. Irdina membetulkan duduknya setelah Razif
memasuki tempat memandu.
“Mak,
Razif nak bawa Irdina ke klinik dulu. Luka dia nak kena jahit.”
“Baiklah.
Bawalah kereta berhati-hati. Jangan asyik renung Irdina saja.”
Razif
tersenyum dan meneruskan pemanduannya. Irdina menyandarkan kepalanya yang
terasa pening. Dia sebenarnya mudah mabuk jika melihat darah.
4 ulasan:
nak tanya sikit ya cik, cerita ini akan hbis di blog atau di bukukan?
benar2 buntu ya irdina! Tp sebenarnya razif it calon yg baik, memenui pakej, cuma kelihatan cemburunya agak besar, n pasti suka mengatur irdina, tak nak dhj kalahkan kehendaknya! Tp mudah2 an jika irdina bisa berlembt padanya, akan berbalik jadi irdina yg king control? bgaimana ya dngan ustaz azmi??? Kena ikuti blog,akak terus ni.....diana.
Tanpa nama,
Tengok keadaan dan mood. Buat masa skrg di blog.
Diana,
Ya, Razif baik sebenarnya, cuma agak tegas. Terus ikuti kisah ni, ya.
Suka dengan watak Razif ni, lelaki memangla ego. Tapi dia caring...
Catat Ulasan