Pengikut

Khamis, 13 Disember 2012

Abang King Control Ke? - Bab 11




Irdina keluar dari rumahnya dan mengunci pintu. Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke kereta Razif. Razif meneliti wajah Irdina yang tidak bersolek malah bedak pun tiada di wajahnya. Pakaian Irdina juga amat sederhana. Dia hanya memakai seluar jeans, baju T labuh berwarna merah jambu dan hitam serta bertudung putih. Razif melihat Irdina berkasut sukan putih berbelang merah jambu.
“Awak ni memang sukakan warna pink ke?” tanya Razif.
“Ya, kenapa?” tanya Irdina kembali.
Pink lady yang gedik,” kutuk Razif sambil ketawa, sengaja untuk menyakitkan hati Irdina.
“Yang awak tu tentu suka hitam. Baju hitam, seluar hitam, kereta pun hitam. Hati awak hitam tak?” balas Irdina untuk menyakitkan hati Razif juga. Radang hatinya kerana asyik digelar gedik. Perkataan yang dibencinya.
“Abang ni luaran saja suka hitam tapi di dalam tetap putih macam manggis. Kulitnya hitam tapi isinya putih.”
Irdina mencebikkan bibirnya.
“Sayang tak percaya? Ambil kapak belahlah dada. Lihatlah isinya,” ujar Razif sambil menunjukkan aksinya sekali.
Ketika Razif berkata begitu, Mak Cik Sopiah telah berada betul-betul di belakang Razif tanpa disedari oleh Razif. Irdina yang terperasan kehadiran Mak Cik Sopiah hanya mampu tersenyum.
“Belakang mak, bersayang-sayang. Tapi bila mak suruh kahwin kenapa tolak? Kalau betul sukakan Irdina, mak boleh masuk meminang. Jangan dipermainkan perasaan orang.”
Razif menoleh ke belakang dan terkejut dengan kata-kata ibunya. Dia memandang wajah Irdina sambil mulutnya berkumat kamit memarahi diri sendiri. Salah faham ibunya makin bertambah. Razif cuba memberi isyarat agar Irdina membantunya.
“Betul tu mak cik. Tengah malam tadi ketika semua orang dah tidur, Abang Razif telefon saya, merayu-rayu dan menggoda. Kata tak boleh lena jika tak dapat tengok muka saya. Tapi bila siang, dia nafikan pula.” Irdina memberikan senyum paling manis untuk menambah sakit hati Razif. Malah dia berharap agar Mak Cik Sopiah memarahi Razif lagi.
Hati Razif membengkak. Mana janji Irdina untuk menjelaskan hal sebenar kepada ibunya? Dia menyumpah seranah Irdina dalam diam.
“Razif! Betul Razif telefon Irdina tengah malam tadi?” tanya Mak Cik Sopiah, makin geram.
“Betul, tapi Razif tak goda dia pun.”
“Apa tujuan Razif telefon dia waktu orang lain dah tidur? Tentu Razif ada niat nak ganggu dia. Kalau dah tak sabar sangat, kahwin saja. Mak pun senang hati.”
“Mak, Razif akui telefon dia tapi Razif nak minta dia jelaskan perkara sebenar apa yang berlaku petang kelmarin kepada mak. Razif tak mahu terikat dengan dia.”
“Baguslah tu! Dah rosakkan anak orang, tak mahu bertanggungjawab pula. Razif jangan buat mak susah hati. Razif kena kahwin juga dengan dia.” Mak Cik Sopiah bertegas.
“Razif tak rosakkan dia pun. Semua tu salah faham saja. Takkan kerana telefon, mak nak paksa Razif kawin dengan dia?”
“Masih nak bohong lagi? Mak tak sangka Razif sanggup buat mak begini? Razif sengaja nak malukan mak ke?” Mak Cik Sopiah menangis.
Razif tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Irdina, tolonglah. Janganlah kusutkan lagi keadaan. Tolong jelaskan pada mak, ini semua salah faham saja. Takkan awak nak kahwin dengan abang?”
Timbul rasa kasihan di hati Irdina apabila melihat air mata Mak Cik Sopiah. Dia perlu membetulkan keadaan sebelum terlambat.
“Mak cik, apa yang Abang Razif cakap tu adalah benar. Tak ada apa-apa yang berlaku antara kami. Ini semua salah faham saja. Jadi tak ada sebab untuk kami kahwin.”
“Tak! Ini tentu Razif dah ugut Irdina. Mana boleh salah faham sedangkan mak cik lihat sendiri kamu berdua dalam bilik dan Irdina menangis. Tadi pun mak cik dengar Razif panggil sayang pada Irdina. Dia pun bahasakan diri abang malah Irdina sendiri pun panggil dia abang sayang. Kalau tak ada apa-apa hubungan, apa bendanya tu?” Mak Cik Sopiah tetap tidak percaya.
“Mak cik, Abang Razif tak bohong. Memang benar saya datang semula setelah pulang untuk cari telefon. Saya tak tahu Abang Razif ada di bilik air ketika saya masuk ke bilik tu. Semua ni hanya salah faham. Abang Razif panggil sayang pun bukan betul, hanya main-main. Saya panggil abang sayang pun sekadar nak sakitkan hati dia,” ujar Irdina dengan wajah yang risau. Takut juga dia jika dipaksa berkahwin dengan Razif sedangkan dia telah jatuh cinta dengan Ustaz Azmi.
“Ini tak boleh jadi. Mak cik tak percaya apa pun alasan yang diberi. Irdina tolong beri nombor telefon mak Irdina. Mak cik nak telefon maklumkan hal meminang Irdina.”
“Apa?? Jangan begitu mak cik. Saya tak nak kahwin dengan Abang Razif. Saya dah ada pilihan sendiri.” Irdina mulai gelabah dan risau.
“Jangan buat alasan. Kalau betul, siapa pilihan Irdina?” tanya Mak Cik Sopiah.
Teragak-agak Irdina untuk memberitahu nama Ustaz Azmi. Dia baru kenal Ustaz Azmi dan Ustaz Azmi pun belum memberi kata putus bila hendak meminangnya. Malah pada ibu bapanya sendiri tidak diberitahu hal tersebut, apatah lagi hendak beritahu orang lain. Akhirnya lidahnya menjadi kelu tanpa sebarang nama yang mampu disebutnya.
“Mak cik tahu, Irdina hanya berdalih sebab Razif ugut Irdina. Irdina jangan takut. Mak cik akan pastikan Razif milik Irdina.”
“Tak…Abang Razif tak ugut Irdina pun.” Irdina makin cemas dan mula menggelabah.
“Jangan bohong! Mak cik tak mahu dengar sebarang alasan lagi,” sergah Mak Cik Sopiah, garang.
Irdina terdiam dan tidak mampu berkata apa-apa. Sudah menjadi sifat semula jadinya mudah menggelabah dan tidak mampu berfikir panjang jika terlalu takut. Pucat mukanya ketika itu. Dia hanya memandang Razif dengan wajah kebingungan. Hatinya menjadi semakin resah tetapi dia sendiri tidak tahu untuk menjelaskan keadaan yang sebenarnya. Hanya air mata yang mengalir di pipi. Segala kata-kata mereka tidak dipercayai oleh Mak Cik Sopiah lagi.
Irdina terfikir untuk menyerah kepada takdir sahaja apabila melihat Razif juga menikus. Razif tahu, jika emaknya benar-benar marah tiada apa yang boleh diperbuatnya. Hanya mampu membiarkan emaknya sejuk sendiri. Dia merancang untuk menjelaskan duduk perkara sebenar, lain kali.
Mak Cik Sopiah memandang Razif dan Irdina berulangkali. Kedua-dua mereka tunduk menatap lantai tanpa kata. Mak Cik Sopiah cuba menenangkan diri dan setelah itu mengajak mereka pergi ke pasar. Irdina terpaksa mengikut ajakan Mak Cik Sopiah dengan berat hati.
Sepanjang perjalanan ke pasar, mereka masih mendiamkan diri. Ketika memasuki pasar, Mak Cik Sopiah memegang tangan Irdina. Dia menerangkan jenis-jenis ikan yang disukai oleh Razif kepada Irdina dengan gembira.
“Mak cik, saya nak ke tandas sekejap.”
Irdina memberi alasan untuk mengelak diri mendengar omelan Mak Cik Sopiah tentang makanan kegemaran Razif. Hatinya memberontak. Tidak suka apa yang berlaku ketika itu. Tetapi lidahnya seakan kelu apabila melihat wajah gembira Mak Cik Sopiah. Terbayang kebaikan Mak Cik Sopiah terhadapnya. Adakah patut dia melukakan hati Mak Cik Sopiah? Hatinya berbelah bagi.
Irdina melangkah menuju ke tandas yang terletak di bangunan yang berasingan daripada pasar. Melalui ekor matanya, dia dapat melihat Razif mengekorinya. Segera dia menoleh ke belakang.
“Irdina! Kita kena berbincang.”
“Baiklah.”
“Mari kita ke sana.” Razif menunjukkan arah pokok yang rimbun dan redup.
Mereka berdua melangkah ke tempat dimaksudkan.
“Macam mana nak jelaskan pada mak cik? Apa pun penerangan kita mak cik tak terima,” ujar Irdina, risau.
“Ini semua salah awak. Jika awak berterus terang kelmarin semua ni tak timbul,” ujar Razif, geram.
“Jadi, awak nak salahkan saya seorang? Awak tak salah?” Irdina meninggikan suaranya.
“Kalau awak tak burukkan keadaan, mak akan percaya. Abang hairan kenapa awak tak berterus terang kelmarin. Jangan-jangan awak sengaja buat begitu supaya dapat kahwin dengan abang. Ramai perempuan yang nak hidup senang, jadi pasang perangkap pada lelaki yang dirasanya boleh beri kemewahan,” tuduh Razif, sesuka hatinya.
“Jangan awak tuduh sebarangan. Saya tak sehina itu, tau tak! Saya pun ada maruah dan harga diri. Tak mungkin saya perangkap awak sedangkan saya dah ada pilihan sendiri.”
“Pilihan sendiri? Tadi kenapa tak mahu beritahu mak siapa pilihan awak? Jangan-jangan awak berangan yang bekas tunang akan kembali kepada awak.”
“Awak ni memang menyakitkan hati. Bekas tunang saya dah lama hilangkan diri. Tak mungkin saya terima dia lagi setelah apa yang dia buat. Saya memang ada pilihan hati. Tapi kami baru berkenalan. Jadi ambil masa sikit untuk perkenalkan dia pada ibu bapa saya. Bila ibu bapa saya dah kenal, baru saya akan beritahu orang lain,” terang Irdina bersungguh-sungguh.
“Betul? Siapalah lelaki tu, ya? Teringin saya nak jumpa dan ucapkan tahniah pada dia. Kalau boleh suruh dia pinang awak cepat-cepat supaya saya tak terjerat dengan awak,” tegas Razif, kemudian melangkah meninggalkan Irdina.
Irdina turut melangkah menuju ke arah pasar. Dia memilih beberapa jenis sayur, ikan dan juga ayam. Setelah selesai membeli dia mencari-cari Mak Cik Sopiah. Irdina ternampak Mak Cik Sopiah sedang berbual dengan seorang perempuan lalu menghampiri mereka.
“Irdina, mari mak cik kenalkan dengan Mak Lang Esah.” Mak Cik Sopiah memperkenalkan Irdina.
Irdina menyuakan tangannya untuk bersalaman dengan Mak Lang Esah. Mak Lang Esah menanyakan khabar Irdina dan berbual-bual ringan dengan Irdina. Razif menghampiri mereka setelah lama menunggu di kereta. Dia ingin mengajak mereka pulang. Tidak betah dia berada di situ dengan lebih lama.
“Tak sangka ya, Razif. Diam-diam dah ada pilihan hati,” tegur Mak Lang Esah.
“Pilihan hati?” tanya Razif, hairan.
“Buat tanya pula. Dah ada depan mata mak lang, jangan nak berdalih lagi. Bila nak langsung? Tak sabar mak lang nak rasa nasi minyak Razif.”
“Langsung apanya mak lang? Kalau nak makan nasi minyak, nanti Razif belikan.”
“Pandailah nak berdalih. Jangan lama-lama, benda baik patut cepatkan,” kata Mak Lang Esah sebelum meminta diri.
Razif hanya mampu melihat emak saudaranya berlalu pergi. Dia tahu selepas ini, pasti lebih ramai sanak saudaranya akan bertanyakan hal tersebut kepadanya. Irdina hanya melihat wajah kelat Razif dan dia dapat mengagak maksud percakapan Mak Lang Esah tadi. Hatinya juga dipagut risau.
“Awak! Mak lang tu pun dah salah anggap. Nak buat macam mana ni?” tanya Irdina separuh berbisik kepada Razif yang berdiri berhampirannya.
“Nak buat macam mana? Tentu heboh sekampung ni. Mak lang tu bukan boleh simpan rahsia. Lepas ni tentu lebih ramai yang akan tanya soal ni pada abang,” bisik Razif pula.
Mak Cik Sopiah terperasan perbuatan Irdina dan Razif yang sedang berbisik.
“Ha! Bisik-bisik apa? Tadi bukan main nafikan, sekarang berbisik-bisik pula. Kamu berdua ni memang memeningkan kepala mak saja. Marilah kita balik,” ujar Mak Cik Sopiah lalu melangkah menuju ke kereta.
Razif membawa barang yang dibeli oleh ibunya di kedua-dua tangannya.
“Irdina! Tolong ambil bungkusan yang nak terjatuh ni.” Razif memanggil Irdina yang berjalan di hadapannya.
Irdina menoleh dan menghampiri Razif. Dia cuba mengambil bungkusan yang dimaksudkan oleh Razif, tetapi gagal kerana bungkusan itu tersangkut di celah bungkusan lain.
“Awak letaklah dulu semua bungkusan tu.”
Razif mengikut saranan Irdina dan kemudian memasukkan satu per satu tangkai beg plastik di jarinya.
“Tolong sangkutkan plastik tu di jari abang,” Razif menunjukkan bungkusan yang masih terdapat di lantai.
Irdina mengambil bungkusan yang dimaksudkan dan cuba menyangkutkannya di jari Razif tetapi gagal. “Biar saya bawa bungkusan ni. Dah penuh jari awak kesemuanya.”
“Kalau beritahu daripada awal, tak payahlah kita duduk di tengah panas ni.”
“Orang dah tolong, tak nak ucap terima kasih. Merungut pula,” marah Irdina sambil melangkah ke kereta.
Razif meletakkan bungkusan di tangannya. Dia mengambil kunci kereta dan membukanya. Mak Cik Sopiah masuk ke dalam kereta tanpa mahu menolong Razif. Razif membuka but keretanya dan memasukkan bungkusan ke dalam but. Irdina turut meletakkan barangnya bersebelahan barang-barang yang dibeli oleh Mak Cik Sopiah.
“Awak pandai masak ke yang beli banyak-banyak ni?” tanya Razif.
“Jangan tengok orang tak ada mata. Saya memang boleh masak.”
“Kalau setakat masak nasi, abang pun boleh buat.”
“Kalau nasi minyak boleh ke?”
“Yang tu lagi boleh. Berkawah-kawah pun boleh.”
“Betul? Tak percayalah.”
“Memanglah boleh… boleh tengok sajalah,” kata Razif sambil ketawa.
Irdina juga turut ketawa dengan gurauan Razif. Mereka masuk ke kereta dengan sisa tawa yang masih ada.
“Mak hairanlah dengan kamu berdua. Sekejap nampak mesra, sekejap nampak macam musuh saja,” komen Mak Cik Sopiah.
Razif hanya mendiamkan diri dan memandu keluar daripada kawasan itu. Sesekali dia mencuri pandang ke arah Irdina yang duduk di belakang kereta. Irdina asyik menulis mesej kepada Ustaz Azmi. Ada ketika dia tersenyum sendiri melihat mesej daripada Ustaz Azmi. Razif asyik memerhati lesung pipit di pipi Irdina ketika tersenyum.
“Razif! Kucing tu,” jerit Mak Cik Sopiah menyebabkan Razif menekan brek dengan mengejut.
Irdina terdorong ke hadapan dan mukanya terhempas ke kerusi Mak Cik Sopiah. Telefon di tangannya terlepas ke kaki Razif. Mak Cik Sopiah mengucap sambil mengurut dadanya.
“Razif! Mata ke mana? Asyik tengok Irdina sampai tak nampak yang lain,” tegur Mak Cik Sopiah.
“Maaf mak. Razif tak sengaja.” Razif sempat melihat Irdina yang memegang mulut sambil menangis.
“Kenapa Irdina? Awak cedera ke?” tanya Razif risau.
Irdina tidak menjawab pertanyaan itu. Razif mengubah keretanya ke tepi jalan agar tidak mengganggu lalu lintas. Mak Cik Sopiah turut menoleh ke belakang untuk melihat Irdina.
“Irdina!” panggil Mak Cik Sopiah, cemas.
Irdina mengangkat wajahnya dan kelihatan darah di tepi bibir Irdina. Razif membuka pintu belakang dan menyuruh Irdina berpusing ke arahnya. Razif agak terkejut apabila melihat darah yang mengalir. Segera dia mengambil kotak pertolongan cemas yang terdapat di dalam but kereta.
“Maafkan abang. Abang tak sengaja,” Razif memeriksa luka di hujung bibir Irdina dan bahagian dalam mulut. Bahagian dalam mulut Irdina terkoyak akibat terkena gigi semasa hentakan kuat itu.
Irdina mendiamkan diri manakala Mak Cik Sopiah memerhati dengan risau di hati. Ketika Razif menyapu antiseptik di luka, Irdina mengadui dan spontan tangannya menolak tangan Razif.
“Sakitlah!” marah Irdina.
“Tahanlah sikit. Biar abang cuci luka ni dulu.”
Irdina membiarkan Razif merawat lukanya. Razif mendekatkan wajahnya ke wajah Irdina untuk melihat luka Irdina dengan lebih jelas. Darah masih mengalir walaupun beberapa kali Razif mengelap. Irdina dapat merasakan hembusan nafas Razif yang begitu hampir ke mukanya. Dia memejam mata untuk tidak melihat wajah Razif. Ada debaran yang menggila di dadanya. Kenapa dia perlu berperasaan begitu sedangkan Razif musuhnya?
“Irdina, luka dalam mulut ni kena jahit. Abang akan bawa awak ke klinik abang.”
Irdina membuka matanya. Bola matanya bertentang dengan bola mata Razif. Razif terpegun seketika. Bangkit gelora di jiwanya. Seolah terkena panahan asmara. Sedaya mungkin dia mengawal diri. Tidak mahu rasa yang bertamu itu mengharu birukan hidupnya kelak.
“Teruk ke luka tu?” tanya Irdina, mengusir lamunan Razif.
“Taklah teruk sangat tapi kena jahit sebab terkoyak.”
“Kalau tak jahit tak boleh ke?”
 Risau hati Irdina mendengar perkataan ‘jahit’. Bahagian dalam mulut pula. Terbayang pelbagai bayangan buruk. Buatnya Razif tersalah jahit atau sengaja membalas dendam, macam mana dia hendak makan? Paling teruk jika mulutnya sumbing. Jatuh sahamnya kalau sumbing.
“Jangan risaulah. Kalau pilihan hati awak tolak awak sebab mulut awak sumbing, biar abang yang pinang awak.” Razif ketawa kecil. Dia sekadar bercanda.
Irdina menjeling. Dia cuba memegang bahagian yang luka itu.
“Jangan pegang. Nanti abang tutup sementara luka ni.”
 Razif mengambil kapas dan pelekat lalu dia menutup luka di bahagian luar bibir Irdina. Irdina membetulkan duduknya setelah Razif memasuki tempat memandu.
“Mak, Razif nak bawa Irdina ke klinik dulu. Luka dia nak kena jahit.”
“Baiklah. Bawalah kereta berhati-hati. Jangan asyik renung Irdina saja.”  
Razif tersenyum dan meneruskan pemanduannya. Irdina menyandarkan kepalanya yang terasa pening. Dia sebenarnya mudah mabuk jika melihat darah.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

nak tanya sikit ya cik, cerita ini akan hbis di blog atau di bukukan?

Tanpa Nama berkata...

benar2 buntu ya irdina! Tp sebenarnya razif it calon yg baik, memenui pakej, cuma kelihatan cemburunya agak besar, n pasti suka mengatur irdina, tak nak dhj kalahkan kehendaknya! Tp mudah2 an jika irdina bisa berlembt padanya, akan berbalik jadi irdina yg king control? bgaimana ya dngan ustaz azmi??? Kena ikuti blog,akak terus ni.....diana.

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Tanpa nama,

Tengok keadaan dan mood. Buat masa skrg di blog.

Diana,
Ya, Razif baik sebenarnya, cuma agak tegas. Terus ikuti kisah ni, ya.

misza berkata...

Suka dengan watak Razif ni, lelaki memangla ego. Tapi dia caring...