Pengikut

Sabtu, 15 Disember 2012

I LOVE YOU CIKGU - Bab 29

IMAN dan Sara Raihana meminta izin untuk pergi membeli-belah setelah menyatakan persetujuan untuk tidur di rumah Pak Cik Majid pada malam itu.
“Hari apa Iman masuk kerja semula?” tanya Sara Raihana bila berada di dalam kereta.
“Hari Isnin ni. Kenapa?”
“Kalau Iman nak balik ke Taiping dulu, baliklah. Nanti Sara balik naik bas.”
No way! Esok kita balik. Iman yang bawak Sara, jadi Iman akan hantar balik.”
“Tak apa. Sara boleh balik naik bas. Bolehlah Sara tinggal kat sini sampai hari Ahad.”
“Boleh tak dengar cakap Iman? Iman hantar Sara balik esok.”
“Belum apa-apa dah nak mengarah. Bencilah!” marah Sara Raihana menarik muka masam.
“Iman mintak maaf, bukan maksud Iman nak mengarah. Kalau Sara nak balik hari Ahad, Iman akan tunggu dan hantar Sara. Lepas hantar Sara, Iman terus balik Kuantan. Sempat lagi sebelum hari Isnin,” kata Iman, memujuk.
“Iman balik naik apa?” Ada keraguan di hati Sara Raihana.
“Naik kereta nilah.”
“Berapa jam baru sampai Kuantan?” soal Sara Raihana.
Dia sememangnya tidak pernah memandu ke Pahang, jadi dia tidak dapat mengagak berapa lama diperlukan untuk tiba di sana.
“Kalau dari Taiping, paling kurang lapan jam jugak.”

Sara Raihana mencongak di dalam kepala berapa jam diperlukan Iman untuk sampai ke Kuantan. Kalau Iman memandu dari Bukit Mertajam ke Taiping dan kemudian ke Kuantan, paling kurang Iman memerlukan hampir sembilan jam sebelum tiba di sana. Bermakna Iman terpaksa memandu pada waktu malam. Sesuatu yang paling digeruninya malah telah menjadi fobia baginya. Dia tidak mahu kejadian yang menimpa Izzat Hafis berlaku pula kepada Iman pada saat-saat pernikahannya. Dia tidak mahu dianggap pembawa malang atau sial seperti tanggapan Mak Ngah Milah terhadapnya.

“Okey, kita balik esok. Hari Ahad Iman boleh balik waktu siang, jangan balik waktu malam,” kata Sara Raihana setelah lama berfikir. Kerisauan di wajahnya jelas terbayang.
Iman hanya tersenyum kerana dia tahu Sara Raihana tentu tidak mahu dia memandu pada waktu malam. Dia maklum kerana sewaktu zaman persekolahannya dulu ketika dia ke rumah Sara Raihana dengan adiknya, Sara Raihana hampir-hampir menitiskan air mata melarangnya pulang pada waktu malam. Kehilangan Izzat Hafis sewaktu kemalangan pada waktu malam amat terkesan dalam jiwanya.

Mereka tiba di Queensbay, destinasi pertama untuk membeli-belah. Setelah meletakkan kenderaan dan mengambil kupon di mesin yang disediakan, mereka mulai menjelajah ke ruang-ruang kedai yang terdapat di situ. Beberapa barang keperluan dibeli dan kemudian mereka singgah di kedai kasut. Sara Raihana memilih dan mencuba beberapa pasang kasut sambil Iman memberi komen apabila ditanya pendapatnya. Akhirnya Sara Raihana memilih kasut berwarna putih, bercorak moden dan mempunyai ketinggian sederhana.

Ketika Iman memilih kasut untuk dirinya, Sara Raihana terpandang susuk manusia yang amat dikenalinya sedang berjalan-jalan berpegangan tangan menuju ke arah kedai itu. Segera dia mencelah di hadapan Iman bagi menyembunyikan dirinya daripada kedua-dua orang itu. Susuk tubuh Iman yang tegap dan tinggi memudahkan Sara Raihana bersembunyi di hadapannya. Iman yang terkejut dengan tindakan spontan Sara Raihana terus bertanya.

“Kenapa? Sara sembunyi daripada siapa?”
“Iman jangan berpaling. Lina dengan Farid sedang menuju ke sini. Sara tak nak mereka nampak Sara,” jawab Sara Raihana, agak cemas.
“Okey. Tapi siapa mereka? Nama Farid tu macam pernah dengar, tapi kalau Lina rasanya belum pernah dengar,” ujar Iman memberi komen.
“Nanti Sara cerita. Iman buat-buatlah pilih kasut.”
Terus bahagian belakang badannya dirapatkan ke dada Iman dan wajahnya memandang ke arah kasut-kasut yang tersusun rapi di rak.
“Rapat-rapat ni, tak takut Iman ambil kesempatan ke?” tanya Iman separuh berbisik di telinga Sara Raihana.
Please, Iman. Jadilah pelindung Sara.” Ada nada cemas di dalam suara itu.
“Okey. Tenang, Sara. Iman akan pastikan mereka tak nampak Sara,” ujar Iman sambil memilih kasut.

Aroma minyak wangi yang dipakai Sara Raihana dapat dicium Iman. Posisi tubuh Sara Raihana yang betul-betul di hadapannya sedikit sebanyak membangkitkan keghairahannya. Tetapi sedaya mungkin dia melawan rasa yang bertandang itu dengan beristighfar. Bila lelaki dan perempuan yang bukan mahram berdekatan, syaitan mudah menyelinap. Rasulullah SAW pernah bersabda, ‘Tidak ada fitnah yang lebih besarbagi kaum lelaki sesudah peninggalanku kelak selain daripada wanita.’
 
“Iman, cuba perhatikan sama ada mereka tu masih ada atau tak,” bisik Sara Raihana.
Dia tidak selesa berada di dalam keadaan begitu untuk beberapa ketika. Jantungnya bagaikan hendak tercabut apabila tangan Iman yang tegap seolah-olah memeluknya ketika memilih kasut. Iman sememangnya seorang ahli sukan sejak zaman persekolahannya lagi dan dia terlibat di dalam pasukan ragbi sekolah. Sekarang pun Iman masih bersukan walaupun tidak menyertai mana-mana pertandingan.

“Yang mana satu?” tanya Iman sambil matanya mencari-cari pasangan yang dimaksudkan Sara Raihana. Terdapat beberapa pasangan di situ termasuk yang mempunyai anak kecil.
“Lelaki tu pakai baju warna merah, rambut skinhead dan yang perempuan pakai baju-T lengan pendek warna merah dan tudung warna hitam,” terang Sara Raihana tanpa berganjak daripada posisinya.
“Tak nampak pun,” jawab Iman sambil melihat sekitar ruang kedai itu.
“Betul tak nampak?” tanya Sara Raihana ingin kepastian.
“Kalau Sara tak percaya, tengoklah sendiri,” jawab Iman.

Sara Raihana memusingkan badan menghadap Iman dan masih mahu menggunakan tubuh Iman untuk berlindung. Dia meninjau melalui sisi badan Iman untuk melihat pasangan tadi. Setelah dia pasti mereka tiada di situ, barulah dia menjauhkan diri daripada Iman.
“Iman dah habis pilih kasut? Kalau dah, jom kita ke tempat lain.”
“Okey. Iman ambil yang ni.”
Iman memberikan kasut itu kepada pembantu kedai dan kemudian membayar harga kedua-dua kasut itu. Mereka terus menuju ke tempat letak kereta dan keluar dari situ.
“Iman laparlah. Jom kita pergi makan dulu.”
“Nak makan kat mana?” tanya Sara Raihana.
“Apa kata kita pergi Padang Kota Lama. Orang kata pasembor kat situ sedap. Kita cuba nak?” ujar Iman memberi cadangan.
“Okey jugak. Dah lama tak makan pasembor,” jawab Sara Raihana kembali ceria.

Mereka tiba di Padang Kota Lama dan melihat ramai orang bersantai di tepi tebing pantai itu. Agak sukar untuk mencari parkir dan mereka bernasib baik apabila terdapat pengunjung yang keluar. Mereka berdua menuju ke Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama. Medan makan ini terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian peniaga bukan Muslim dan peniaga Muslim. Mereka memilih ke bahagian peniaga Muslim dan memilih menu yang sama iaitu pasembor dan cendol. Sementara menanti pesanan tiba, mereka memerhati pemandangan indah pantai pada waktu petang.

“Sara, kalau tak keberatan boleh tak ceritakan pada Iman siapa Farid dan Lina? Kenapa Sara takut sangat tadi?” tanya Iman setelah separuh daripada pasembor dimakannya. Dia cuba mengetahui rahsia ketakutan Sara Raihana tadi.
“Lina tu sepupu Izzat, anak Mak Ngah Milah dan Pak Ngah Salim yang turut terkorban semasa kemalangan dengan Izzat dulu,” kata Sara Raihana sambil mencapai tisu untuk mengelap bibir.
“Mak ngah nak jodohkan Izzat dengan Lina tetapi Mak Zainab enggan terima Lina. Bila Izzat kahwin dengan Sara, Mak ngah dan Lina sangat marah. Pada hari pernikahan Sara, Lina tak ikut tetapi mak ngah pergi bersama-sama pak ngah dan Harris, anak bongsu mereka. Takdir telah menentukan yang pak ngah dan Harris meninggal bersama-sama Izzat dan ayah. Disebabkan tu, mak ngah tuduh Sara sebagai pembawa sial.”

Sara Raihana terdiam seketika. Ada kesedihan di wajah Sara Raihana bila dia mengingati peristiwa yang telah membuatkannya menjadi janda berhias. Dia tunduk menahan sebak di dada.
“Kalau Sara rasa sedih, Iman mintak maaf. Lain kali bila Sara dah sedia, baru Sara cerita ya,” pujuk Iman bila dilihatnya air mata Sara Raihana mulai mengalir di pipi.Takut pelbagai sangkaan orang lain terhadapnya jika tiba-tiba tangisan Sara Raihana tidak terkawal. Tambahan pula mereka berada di tempat awam yang ramai pengunjung. Pujukan Iman termakan di hati Sara Raihana. Cepat-cepat dia mengelap air mata yang keluar tanpa dapat ditahannya.

“Maafkan Sara. Insya-ALLAH bila Sara dah sedia, Sara akan ceritakan semuanya,” janji Sara Raihana sambil tersenyum memandang Iman.
Peribadi Iman yang amat memahami menyenangkan hatinya. Dia akui walaupun umur Iman lebih muda daripadanya tetapi pemikirannya nampak matang dan tindakannya meyakinkan hati Sara Raihana.

Mereka terus menyambung makan dan kemudian duduk di tepi tebing sehinggalah rembang senja menjelang. Apabila hampir masuk waktu Maghrib, mereka mencari masjid terdekat bagi menunaikan solat. Seusai solat mereka bergerak pulang ke Bukit Mertajam. Alunan nasyid memenuhi ruang dalam kereta Satria Neo kepunyaan Iman. Mereka hanya menghayati seni kata lagu nasyid bertajuk ‘For The Rest Of My Life’ nyanyian Maher Zain. Seni kata lagu itu benar-benar menyentuh hati Sara
Raihana dan lebih-lebih lagi Iman pun turut menyanyikannya. Sesekali dipalingkan wajahnya ke arah Sara Raihana sambil tersenyum penuh bermakna.

“Iman tujukan lagu tadi untuk Sara. Terima kasih kerana sudi terima Iman,” ucap Iman setelah selesai lagu itu dimainkan di radio. Sara Raihana hanya tersenyum.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kenapa nampak farid mesti sembunyi? Pernah buat salahkah?

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Nak tahu kenapa Sara takutkan Farid, kena dapatkan buku ni dipasaran..^_^

sofea berkata...

Cerita ni lengkap ke ? Penuh satu buku ?

sofea berkata...

Cerita ni lengkap ke ? Penuh satu buku ?

Imanisa riana @ sarimah berkata...

sofea, cerita ni lengkap dlm buku. Di sini dan juga di ruang Ilham hanya di letakkan sebahagian sahaja.