IMAN dan Sara Raihana meminta izin untuk pergi membeli-belah setelah
menyatakan persetujuan untuk tidur di rumah Pak Cik Majid pada malam itu.
“Hari apa Iman masuk kerja semula?” tanya Sara Raihana bila berada
di dalam kereta.
“Hari Isnin ni. Kenapa?”
“Kalau Iman nak balik ke Taiping dulu, baliklah. Nanti Sara balik
naik bas.”
“No way! Esok kita balik. Iman yang bawak Sara, jadi Iman akan
hantar balik.”
“Tak apa. Sara boleh balik naik bas. Bolehlah Sara tinggal kat
sini sampai hari Ahad.”
“Boleh tak dengar cakap Iman? Iman hantar Sara balik esok.”
“Belum apa-apa dah nak mengarah. Bencilah!” marah Sara Raihana
menarik muka masam.
“Iman mintak maaf, bukan maksud Iman nak mengarah. Kalau Sara nak
balik hari Ahad, Iman akan tunggu dan hantar Sara. Lepas hantar Sara, Iman
terus balik Kuantan. Sempat lagi sebelum hari Isnin,” kata Iman, memujuk.
“Iman balik naik apa?” Ada keraguan di hati Sara Raihana.
“Naik kereta nilah.”
“Berapa jam baru sampai
Kuantan?” soal Sara Raihana.
Dia sememangnya tidak pernah memandu ke Pahang, jadi dia tidak
dapat mengagak berapa lama diperlukan untuk tiba di sana.
“Kalau dari Taiping, paling kurang lapan jam jugak.”
Sara Raihana mencongak di dalam kepala berapa jam diperlukan Iman
untuk sampai ke Kuantan. Kalau Iman memandu dari Bukit Mertajam ke Taiping dan
kemudian ke Kuantan, paling kurang Iman memerlukan hampir sembilan jam sebelum
tiba di sana. Bermakna Iman terpaksa memandu pada waktu malam. Sesuatu yang
paling digeruninya malah telah menjadi fobia baginya. Dia tidak mahu kejadian
yang menimpa Izzat Hafis berlaku pula kepada Iman pada saat-saat pernikahannya.
Dia tidak mahu dianggap pembawa malang atau sial seperti tanggapan Mak Ngah
Milah terhadapnya.
“Okey, kita balik esok. Hari Ahad Iman boleh balik waktu siang,
jangan balik waktu malam,” kata Sara Raihana setelah lama berfikir. Kerisauan
di wajahnya jelas terbayang.
Iman hanya tersenyum kerana dia tahu Sara Raihana tentu tidak mahu
dia memandu pada waktu malam. Dia maklum kerana sewaktu zaman persekolahannya
dulu ketika dia ke rumah Sara Raihana dengan adiknya, Sara Raihana hampir-hampir
menitiskan air mata melarangnya pulang pada waktu malam. Kehilangan Izzat Hafis sewaktu kemalangan pada waktu malam
amat terkesan dalam jiwanya.
Mereka tiba di Queensbay, destinasi pertama untuk membeli-belah.
Setelah meletakkan kenderaan dan mengambil kupon di mesin yang disediakan,
mereka mulai menjelajah ke ruang-ruang kedai yang terdapat di situ. Beberapa
barang keperluan dibeli dan kemudian mereka singgah di kedai kasut. Sara
Raihana memilih dan mencuba beberapa pasang kasut sambil Iman memberi komen
apabila ditanya pendapatnya. Akhirnya Sara Raihana memilih kasut berwarna
putih, bercorak moden dan mempunyai ketinggian sederhana.
Ketika Iman memilih kasut untuk dirinya, Sara Raihana terpandang
susuk manusia yang amat dikenalinya sedang berjalan-jalan berpegangan tangan
menuju ke arah kedai itu. Segera dia mencelah di hadapan Iman bagi
menyembunyikan dirinya daripada kedua-dua orang itu. Susuk tubuh Iman yang tegap
dan tinggi memudahkan Sara Raihana bersembunyi di hadapannya. Iman yang
terkejut dengan tindakan spontan Sara Raihana terus bertanya.
“Kenapa? Sara sembunyi daripada siapa?”
“Iman jangan berpaling. Lina dengan Farid sedang menuju ke sini.
Sara tak nak mereka nampak Sara,” jawab Sara Raihana, agak cemas.
“Okey. Tapi siapa mereka? Nama Farid tu macam pernah dengar, tapi
kalau Lina rasanya belum pernah dengar,” ujar Iman memberi komen.
“Nanti Sara cerita. Iman buat-buatlah pilih kasut.”
Terus bahagian belakang badannya dirapatkan ke dada Iman dan
wajahnya memandang ke arah kasut-kasut yang tersusun rapi di rak.
“Rapat-rapat ni, tak takut Iman ambil kesempatan ke?” tanya Iman
separuh berbisik di telinga Sara Raihana.
“Please, Iman. Jadilah pelindung Sara.” Ada nada cemas di dalam
suara itu.
“Okey. Tenang, Sara. Iman akan pastikan mereka tak nampak Sara,”
ujar Iman sambil memilih kasut.
Aroma minyak wangi yang dipakai Sara Raihana dapat dicium Iman.
Posisi tubuh Sara Raihana yang betul-betul di hadapannya sedikit
sebanyak
membangkitkan keghairahannya. Tetapi sedaya mungkin dia melawan rasa
yang
bertandang itu dengan beristighfar. Bila lelaki dan perempuan yang bukan
mahram berdekatan, syaitan mudah menyelinap. Rasulullah SAW pernah
bersabda, ‘Tidak ada fitnah yang lebih
besarbagi kaum lelaki sesudah peninggalanku kelak selain daripada wanita.’
“Iman, cuba perhatikan sama ada mereka tu masih ada atau tak,” bisik
Sara Raihana.
Dia tidak selesa berada di dalam keadaan begitu untuk beberapa
ketika. Jantungnya bagaikan hendak tercabut apabila tangan Iman yang tegap
seolah-olah memeluknya ketika memilih kasut. Iman sememangnya seorang ahli
sukan sejak zaman persekolahannya lagi dan dia terlibat di dalam pasukan ragbi
sekolah. Sekarang pun Iman masih bersukan walaupun tidak menyertai mana-mana
pertandingan.
“Yang mana satu?” tanya Iman sambil matanya mencari-cari pasangan
yang dimaksudkan Sara Raihana. Terdapat beberapa pasangan di situ termasuk yang
mempunyai anak kecil.
“Lelaki tu pakai baju warna merah, rambut skinhead dan yang perempuan pakai baju-T lengan pendek warna
merah dan tudung warna hitam,” terang Sara Raihana tanpa berganjak daripada
posisinya.
“Tak nampak pun,” jawab Iman sambil melihat sekitar ruang kedai
itu.
“Betul tak nampak?” tanya Sara Raihana ingin kepastian.
“Kalau Sara tak percaya, tengoklah sendiri,” jawab Iman.
Sara Raihana memusingkan badan menghadap Iman dan masih mahu
menggunakan tubuh Iman untuk berlindung. Dia meninjau melalui sisi badan Iman
untuk melihat pasangan tadi. Setelah dia pasti mereka tiada di situ, barulah
dia menjauhkan diri daripada Iman.
“Iman dah habis pilih kasut? Kalau dah, jom kita ke tempat lain.”
“Okey. Iman ambil yang ni.”
Iman memberikan kasut itu kepada pembantu kedai dan kemudian
membayar harga kedua-dua kasut itu. Mereka terus menuju ke tempat letak kereta
dan keluar dari situ.
“Iman laparlah. Jom kita pergi makan dulu.”
“Nak makan kat mana?” tanya
Sara Raihana.
“Apa kata kita pergi Padang Kota Lama. Orang kata pasembor kat
situ sedap. Kita cuba nak?” ujar Iman memberi cadangan.
“Okey jugak. Dah lama tak makan pasembor,” jawab Sara Raihana
kembali ceria.
Mereka tiba di Padang Kota Lama dan melihat ramai orang bersantai
di tepi tebing pantai itu. Agak sukar untuk mencari parkir dan mereka bernasib
baik apabila terdapat pengunjung yang keluar. Mereka berdua menuju ke Kompleks Makanan
Medan Renong Padang Kota Lama. Medan makan ini terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian peniaga bukan Muslim
dan peniaga Muslim. Mereka memilih ke bahagian peniaga Muslim dan memilih menu
yang sama iaitu pasembor dan cendol. Sementara menanti pesanan tiba, mereka
memerhati pemandangan indah pantai pada waktu petang.
“Sara, kalau tak keberatan boleh tak ceritakan pada Iman siapa
Farid dan Lina? Kenapa Sara takut sangat tadi?” tanya Iman setelah separuh
daripada pasembor dimakannya. Dia cuba mengetahui rahsia ketakutan Sara Raihana
tadi.
“Lina tu sepupu Izzat, anak Mak Ngah Milah dan Pak Ngah Salim yang
turut terkorban semasa kemalangan dengan Izzat dulu,” kata Sara Raihana sambil
mencapai tisu untuk mengelap bibir.
“Mak ngah nak jodohkan Izzat dengan Lina tetapi Mak Zainab enggan
terima Lina. Bila Izzat kahwin dengan Sara, Mak ngah dan Lina sangat marah.
Pada hari pernikahan Sara, Lina tak ikut tetapi mak ngah pergi bersama-sama pak
ngah dan Harris, anak bongsu mereka. Takdir telah menentukan yang pak ngah dan
Harris meninggal bersama-sama Izzat dan ayah. Disebabkan tu, mak ngah tuduh
Sara sebagai pembawa sial.”
Sara Raihana terdiam seketika. Ada kesedihan di wajah Sara Raihana
bila dia mengingati peristiwa yang telah membuatkannya menjadi janda berhias.
Dia tunduk menahan sebak di dada.
“Kalau Sara rasa sedih, Iman mintak maaf. Lain kali bila Sara dah
sedia, baru Sara cerita ya,” pujuk Iman bila dilihatnya air mata Sara Raihana
mulai mengalir di pipi.Takut pelbagai sangkaan orang lain terhadapnya jika tiba-tiba
tangisan Sara Raihana tidak terkawal. Tambahan pula mereka berada di tempat
awam yang ramai pengunjung. Pujukan Iman termakan di hati Sara Raihana.
Cepat-cepat dia mengelap air mata yang keluar tanpa dapat ditahannya.
“Maafkan Sara. Insya-ALLAH bila Sara dah sedia, Sara akan ceritakan
semuanya,” janji Sara Raihana sambil tersenyum memandang Iman.
Peribadi Iman yang amat memahami menyenangkan hatinya. Dia akui
walaupun umur Iman lebih muda daripadanya tetapi pemikirannya nampak matang dan
tindakannya meyakinkan hati Sara Raihana.
Mereka terus menyambung makan dan kemudian duduk di tepi tebing
sehinggalah rembang senja menjelang. Apabila hampir masuk waktu Maghrib, mereka
mencari masjid terdekat bagi menunaikan solat. Seusai solat mereka bergerak pulang
ke Bukit Mertajam. Alunan nasyid memenuhi ruang dalam kereta Satria Neo kepunyaan Iman. Mereka hanya menghayati
seni kata lagu nasyid bertajuk ‘For The Rest Of My Life’ nyanyian Maher Zain. Seni
kata lagu itu benar-benar menyentuh hati Sara
Raihana dan lebih-lebih lagi Iman pun turut menyanyikannya. Sesekali
dipalingkan wajahnya ke arah Sara Raihana sambil tersenyum penuh bermakna.
“Iman tujukan lagu tadi untuk Sara. Terima kasih kerana sudi
terima Iman,” ucap Iman setelah selesai lagu itu dimainkan di radio. Sara
Raihana hanya tersenyum.
5 ulasan:
kenapa nampak farid mesti sembunyi? Pernah buat salahkah?
Nak tahu kenapa Sara takutkan Farid, kena dapatkan buku ni dipasaran..^_^
Cerita ni lengkap ke ? Penuh satu buku ?
Cerita ni lengkap ke ? Penuh satu buku ?
sofea, cerita ni lengkap dlm buku. Di sini dan juga di ruang Ilham hanya di letakkan sebahagian sahaja.
Catat Ulasan