Pengikut

Jumaat, 30 November 2012

I LOVE YOU CIKGU - Bab 11

Sara Raihana mengambil pakaian malam dan pakaian untuk bekerja sebelum bertolak ke rumah Mak Zainab. Malam itu buat pertama kalinya dia tidur di rumah ibu mentuanya. Rumah Mak Zainab agak besar dan mempunyai lima bilik tidur termasuk bilik tetamu. Mak Cik Rohaya dan Pak Majid diberi bilik tetamu pada malam itu manakala Sara Raihana diberi bilik Izzat Hafis.

Hati Sara Raihana menjadi hiba apabila dia memasuki bilik tersebut. Matanya memerhati keseluruhan bilik yang telah dikemas rapi. Terdapat gambar Izzat Hafis yang tersenyum sambil memakai jubah graduan. Dia mengambil gambar tersebut dan mendakapnya erat. Air matanya berjuraian di pipi. Rindunya pada Izzat Hafis tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kenangan bersama-sama Izzat Hafis berputar satu per satu di minda.
Riak-riak air di tasik kelihatan seolah-olah bergerak apabila ditiup angin. Udara sungguh nyaman dan redup kerana banyak pokok-pokok besar terdapat di situ sehinggakan bentuk pokok-pokok itu seolah-olah payung besar yang memayungi jalan di tepi tasik tersebut. Taman Tasik Taiping merupakan tempat yang cantik dengan taman semula jadi untuk pelbagai aktiviti riadah.
“Cuba lihat di sana.” Izzat Hafis menunjukkan ke arah sepasang pengantin berpakaian sedondon berwarna merah yang sedang mencari posisi untuk mengambil gambar. Sara Raihana turut memandang pasangan tersebut dengan senyuman di bibir.
“Kenapa? Abang pun nak ambil gambar macam tu nanti ke?” tanya Sara Raihana menduga.
“Kalau Sara mahu, kita ke Cameron Highland dan ambil gambar di sana. Kita pakai baju pengantin di tengah-tengah ladang teh. Tentu cantikkan?” Izzat Hafis tersenyum membayangkannya.
“Hish! Tak naklah tangkap gambar dengan pakai baju pengantin. Malulah orang tengok,” kata Sara Raihana sambil mencuit hidung Izzat Hafis.
“Cuba tengok couple tu, tak malu pun. Siap posing baring-baring lagi,” kata Izzat Hafis sambil matanya memandang pasangan pengantin yang sedang baring mengiring di atas rumput. Betul-betul macam cerita Hindustan. Mungkin sudah menjadi trend, pengantin Melayu pun bergambar ala-ala pengantin Cina.
“Tak nak lah posing macam tu. Tapi kalau macam couple yang pakai baju ungu tu, okey lah. Nampak sopan,” kata Sara Raihana sambil jarinya ditunjukkan ke arah satu lagi pasangan pengantin yang berada di lokasi bertentangan dengan pasangan pertama. Pasangan tersebut hanya mengambil gambar secara duduk dan berdiri sahaja.
“Macam tu tak best lah. Macam tiang je, tak ada perasaan. Abang suka kalau nampak lebih natural dan santai. Tak adalah nampak macam kahwin paksa saja,” sahut Izzat Hafis sambil ketawa.
Sara Raihana mencubit sayang pinggang Izzat Hafis dan menyebabkan Izzat Hafis makin galak mengusiknya. Saat itu terasa sungguh bahagia, bagaikan dunia milik mereka berdua sahaja.
“Abang, lepas hari ini jika Sara lalu ikut kawasan ini untuk pergi ke sekolah pasti Sara akan ingatkan abang dan janji abang untuk bawa Sara ambil gambar di Cameron Highland.”
“Baguslah kalau Sara ingatkan abang. Jangan ingat orang lain pula.”
“Hish… abang ni. Nak ingatkan siapa pula? Dalam hati Sara hanya ada abang seorang,” jawab Sara Raihana pura-pura merajuk.
“Manalah abang tahu. Jangan-jangan Sara ingatkan couple yang macam pak pacak tu je,” usik Izzat Hafis sambil menarik hujung selendang Sara Raihana.
“Tak kuasa nak ingatkan mereka.” Sara Raihana menarik kembali hujung selendangnya yang terselit di jari Izzat Hafis. Dia membetulkan kedudukan selendang yang telah senget akibat ditarik.
Izzat Hafis hanya ketawa gembira. Tinggal beberapa hari sahaja lagi persekolahan akan bermula dan keluarganya telah membantu Sara Raihana mencari rumah sewa. Hari itu Sara Raihana telah datang untuk melihat rumah tersebut dan sekali gus membayar wang pendahuluan. Setelah selesai segala urusan di rumah sewa tersebut, Izzat Hafis membawa tunangnya, Sara Raihana bersiar-siar di Taman Tasik. Lokasi kegemaran pasangan bercinta.
“Bila abang nak bertolak ke Muar?” tanya Sara Raihana setelah diam seketika.
“Esok pagi. Kenapa? Sara nak ikut ye?” Izzat Hafis masih mahu bercanda.
“Kalau boleh Sara nak ikut abang. Ke mana saja abang pergi Sara akan ikut asalkan ada abang.” Jawapan Sara Raihana cukup membahagiakan Izzat Hafis.
“Nanti bila dah dapat surat nikah, Sara isi borang pertukaran. Ikut abang tinggal di Muar. Lepas beberapa tahun kita sama-sama minta balik ke sini.”
“Kenapa balik ke sini? Kenapa tak balik Penang saja?”
“Ha… tadi kata ke mana saja abang pergi, Sara akan ikut. Ni belum apa-apa dah nak ke tempat lain, tak nak ikut abang.”
“Okey… okey… Sara silap. Sorry ya. Kalau Sara dah jadi isteri abang, Insya Allah Sara akan ikut abang.”
“Ikut abang, janji?”
“Janji!”
“Jadi, kalau abang ke tandas pun Sara akan ikutlah, ya?” kata Izzat Hafis sambil mengenyit mata, nakal.
“Abang ni…” Sara Raihana ingin memukul lengan Izzat Hafis tetapi Izzat Hafis segera bangun dan mengelak pukulan tersebut. Sara Raihana yang tidak berpuas hati kerana telah dipermainkan oleh tunangnya itu cuba untuk memukulnya lagi. Mereka berpusing-pusing di sekitar bangku batu yang menjadi tempat duduk mereka sedari tadi.
“Okey… okey… Abang menyerah,” kata Izzat Hafis sambil duduk kembali di bangku tersebut. Sara Raihana duduk di sebelah Izzat Hafis. Masih bersisa ketawanya. Terasa malu seketika kerana perbuatan mereka tadi telah menjadi tontonan beberapa pengunjung di situ.
 “Pukullah.” Izzat Hafis menyuakan lengannya.
“Tak nak.” Sara Raihana menolak lembut lengan Izzat Hafis.
“Betul tak nak? Lepas kita kahwin Sara mana boleh pukul abang lagi. Rugi kalau tak pukul sekarang.”
“Siapa kata tak boleh pukul lagi?”
“Kalau Sara pukul abang, abang balas balik, tapi di sini.”  Tangannya menunjukkan ke arah bibir Sara Raihana sambil memberikan ciuman di udara.
“Abang ni saja je nak kenakan Sara.” Wajah Sara Raihana merona merah kerana malu.
“Sara ni kalau merajuk nampak makin comel.”
“Ada-ada saja abang ni.” Sara Raihana ketawa sambil matanya memandang pasangan pengantin yang masih bergambar di seberang tasik.
Air mata yang mengalir dibiarkan menitis sehinggakan beberapa titisannya mengenai gambar Izzat Hafis yang masih ditatapnya. Perlahan-lahan air yang terkena gambar itu dilap dengan jari-jarinya yang masih berinai.
“Sara, mari makan nak. Mak dah hidangkan nasi.” Terdengar suara Mak Zainab memanggilnya, mematikan semua lamunan. Air matanya diseka dengan lengan baju dan gambar Izzat Hafis diletakkan kembali di atas meja. Perlahan-lahan dia melangkah ke luar pintu.
“Maafkan mak, Sara. Mak bukan sengaja nak buat Sara sedih dengan menyuruh Sara tidur di bilik Izzat. Bilik tetamu rumah ni hanya ada satu. Jadi bilik Izzat sajalah yang paling sesuai untuk Sara,” kata Mak Zainab yang kelihatan serba salah bila dia melihat masih ada kesan menangis di wajah menantunya itu.
“Tak apalah mak. Sara tak kisah tidur di bilik Izzat malah berterima kasih kerana mak sudi beri Sara peluang berada di sini,” jawab Sara Raihana perlahan.
“Janganlah Sara anggap Sara sebagai tetamu, tetapi Sara adalah menantu mak. Sama tarafnya dengan anak mak sendiri.” Jawapan Mak Zainab membuatkan Sara Raihana menangis dan memeluknya. Terasa hangatnya pelukan tersebut sehangat pelukan sewaktu majlis Akad Nikah yang lalu.
“Sudahlah Sara. Mari kita makan. Mak dan abah Sara dah menunggu di sana,” kata Mak Zainab sambil memegang tangan Sara Raihana untuk dibawa ke meja makan.
Sara Raihana mengambil tempat bersebelahan Mak Zainab dan bertentangan dengan ibunya Mak Cik Rohaya. Mereka makan sambil sesekali berbual ringan. Sara Raihana merenung nasi yang terhidang di hadapannya. Mak Zainab melayannya bagaikan puteri dengan mencedok lauk ke pinggannya dan menuangkan air. Sara Raihana terharu dengan layanan tersebut dan sebab itulah dia menggagahi untuk makan agar tidak mengecewakan hati ibu mentuanya.
 Mak Cik Rohaya tersenyum puas kerana hari ini Sara Raihana makan walaupun hanya beberapa mulut. Dia berharap agar kesedihan Sara Raihana terubat jua. Tadi sengaja dia membiarkan Mak Zainab mengajak Sara Raihana makan kerana dia tahu Sara Raihana akan menolak jika dia yang memanggil seperti yang selalu dilakukan oleh Sara Raihana sewaktu di rumah mereka di Bukit Mertajam.
Malam itu Sara Raihana tidur di atas katil yang menjadi pembaringan suaminya selama ini. Bantal suaminya dicium untuk mendapatkan bau Izzat Hafis. Tapi dia hampa kerana sarung bantal dan cadar tersebut hanya berbau pewangi kain sahaja. Dia menepuk-nepuk bantal itu beberapa kali dan berharap agar dapat bertemu Izzat Hafis di dalam mimpi. Tetapi matanya begitu payah untuk dilelapkan walaupun dia berusaha untuk lena. Hampir setiap malam Sara Raihana berkeadaan begitu, kesukaran untuk tidur atau insomnia. Dialihkan badannya sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Bantal Izzat Hafis dipeluk bagai memeluk suaminya. Masih gagal untuk lena. Akhirnya dia berzikir di dalam hati dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Lama kelamaan dia tertidur ketika waktu telah merangkak pagi.
 gambar dari google
baca sambungan di http://buku.karangkraf.com/ilham/

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kasian

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Ujian Allah, bagi memantapkan iman.

Deasana Iraki berkata...

Best sangat novel ni. Agak2 Izzat Hafis hensem macam siapa ye? Hehe :)