Hati
Sara Raihana menjadi hiba apabila dia memasuki bilik tersebut. Matanya
memerhati keseluruhan bilik yang telah dikemas rapi. Terdapat gambar Izzat
Hafis yang tersenyum sambil memakai jubah graduan. Dia mengambil gambar tersebut
dan mendakapnya erat. Air matanya berjuraian di pipi. Rindunya pada Izzat Hafis
tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kenangan bersama-sama Izzat Hafis
berputar satu per satu di minda.
Riak-riak
air di tasik kelihatan seolah-olah bergerak apabila ditiup angin. Udara sungguh
nyaman dan redup kerana banyak pokok-pokok besar terdapat di situ sehinggakan
bentuk pokok-pokok itu seolah-olah payung besar yang memayungi jalan di tepi
tasik tersebut. Taman Tasik Taiping merupakan tempat yang cantik dengan taman
semula jadi untuk pelbagai aktiviti riadah.
“Cuba
lihat di sana.” Izzat Hafis menunjukkan ke arah sepasang pengantin berpakaian
sedondon berwarna merah yang sedang mencari posisi untuk mengambil gambar. Sara
Raihana turut memandang pasangan tersebut dengan senyuman di bibir.
“Kenapa?
Abang pun nak ambil gambar macam tu nanti ke?” tanya Sara Raihana menduga.
“Kalau
Sara mahu, kita ke Cameron Highland dan ambil gambar di sana. Kita pakai baju
pengantin di tengah-tengah ladang teh. Tentu cantikkan?” Izzat Hafis tersenyum
membayangkannya.
“Hish!
Tak naklah tangkap gambar dengan pakai baju pengantin. Malulah orang tengok,” kata
Sara Raihana sambil mencuit hidung Izzat Hafis.
“Cuba
tengok couple tu, tak malu pun. Siap posing baring-baring lagi,” kata Izzat
Hafis sambil matanya memandang pasangan pengantin yang sedang baring mengiring
di atas rumput. Betul-betul macam cerita Hindustan. Mungkin sudah menjadi
trend, pengantin Melayu pun bergambar ala-ala pengantin Cina.
“Tak
nak lah posing macam tu. Tapi kalau
macam couple yang pakai baju ungu tu,
okey lah. Nampak sopan,” kata Sara Raihana sambil jarinya ditunjukkan ke arah
satu lagi pasangan pengantin yang berada di lokasi bertentangan dengan pasangan
pertama. Pasangan tersebut hanya mengambil gambar secara duduk dan berdiri
sahaja.
“Macam
tu tak best lah. Macam tiang je, tak
ada perasaan. Abang suka kalau nampak lebih natural
dan santai. Tak adalah nampak macam kahwin paksa saja,” sahut Izzat Hafis
sambil ketawa.
Sara
Raihana mencubit sayang pinggang Izzat Hafis dan menyebabkan Izzat Hafis makin
galak mengusiknya. Saat itu terasa sungguh bahagia, bagaikan dunia milik mereka
berdua sahaja.
“Abang,
lepas hari ini jika Sara lalu ikut kawasan ini untuk pergi ke sekolah pasti
Sara akan ingatkan abang dan janji abang untuk bawa Sara ambil gambar di
Cameron Highland.”
“Baguslah
kalau Sara ingatkan abang. Jangan ingat orang lain pula.”
“Hish…
abang ni. Nak ingatkan siapa pula? Dalam hati Sara hanya ada abang seorang,” jawab
Sara Raihana pura-pura merajuk.
“Manalah
abang tahu. Jangan-jangan Sara ingatkan couple
yang macam pak pacak tu je,” usik Izzat Hafis sambil menarik hujung selendang
Sara Raihana.
“Tak
kuasa nak ingatkan mereka.” Sara Raihana menarik kembali hujung selendangnya
yang terselit di jari Izzat Hafis. Dia membetulkan kedudukan selendang yang telah
senget akibat ditarik.
Izzat
Hafis hanya ketawa gembira. Tinggal beberapa hari sahaja lagi persekolahan akan
bermula dan keluarganya telah membantu Sara Raihana mencari rumah sewa. Hari
itu Sara Raihana telah datang untuk melihat rumah tersebut dan sekali gus
membayar wang pendahuluan. Setelah selesai segala urusan di rumah sewa
tersebut, Izzat Hafis membawa tunangnya, Sara Raihana bersiar-siar di Taman
Tasik. Lokasi kegemaran pasangan bercinta.
“Bila
abang nak bertolak ke Muar?” tanya Sara Raihana setelah diam seketika.
“Esok
pagi. Kenapa? Sara nak ikut ye?” Izzat Hafis masih mahu bercanda.
“Kalau
boleh Sara nak ikut abang. Ke mana saja abang pergi Sara akan ikut asalkan ada
abang.” Jawapan Sara Raihana cukup membahagiakan Izzat Hafis.
“Nanti
bila dah dapat surat nikah, Sara isi borang pertukaran. Ikut abang tinggal di
Muar. Lepas beberapa tahun kita sama-sama minta balik ke sini.”
“Kenapa
balik ke sini? Kenapa tak balik Penang saja?”
“Ha…
tadi kata ke mana saja abang pergi, Sara akan ikut. Ni belum apa-apa dah nak ke
tempat lain, tak nak ikut abang.”
“Okey…
okey… Sara silap. Sorry ya. Kalau
Sara dah jadi isteri abang, Insya Allah Sara akan ikut abang.”
“Ikut
abang, janji?”
“Janji!”
“Jadi,
kalau abang ke tandas pun Sara akan ikutlah, ya?” kata Izzat Hafis sambil
mengenyit mata, nakal.
“Abang
ni…” Sara Raihana ingin memukul lengan Izzat Hafis tetapi Izzat Hafis segera
bangun dan mengelak pukulan tersebut. Sara Raihana yang tidak berpuas hati
kerana telah dipermainkan oleh tunangnya itu cuba untuk memukulnya lagi. Mereka
berpusing-pusing di sekitar bangku batu yang menjadi tempat duduk mereka sedari
tadi.
“Okey…
okey… Abang menyerah,” kata Izzat Hafis sambil duduk kembali di bangku
tersebut. Sara Raihana duduk di sebelah Izzat Hafis. Masih bersisa ketawanya.
Terasa malu seketika kerana perbuatan mereka tadi telah menjadi tontonan
beberapa pengunjung di situ.
“Pukullah.” Izzat Hafis menyuakan lengannya.
“Tak
nak.” Sara Raihana menolak lembut lengan Izzat Hafis.
“Betul
tak nak? Lepas kita kahwin Sara mana boleh pukul abang lagi. Rugi kalau tak
pukul sekarang.”
“Siapa
kata tak boleh pukul lagi?”
“Kalau
Sara pukul abang, abang balas balik, tapi di sini.” Tangannya menunjukkan ke arah bibir Sara
Raihana sambil memberikan ciuman di udara.
“Abang
ni saja je nak kenakan Sara.” Wajah Sara Raihana merona merah kerana malu.
“Sara
ni kalau merajuk nampak makin comel.”
“Ada-ada
saja abang ni.” Sara Raihana ketawa sambil matanya memandang pasangan pengantin
yang masih bergambar di seberang tasik.
Air
mata yang mengalir dibiarkan menitis sehinggakan beberapa titisannya mengenai
gambar Izzat Hafis yang masih ditatapnya. Perlahan-lahan air yang terkena
gambar itu dilap dengan jari-jarinya yang masih berinai.
“Sara,
mari makan nak. Mak dah hidangkan nasi.” Terdengar suara Mak Zainab
memanggilnya, mematikan semua lamunan. Air matanya diseka dengan lengan baju
dan gambar Izzat Hafis diletakkan kembali di atas meja. Perlahan-lahan dia
melangkah ke luar pintu.
“Maafkan
mak, Sara. Mak bukan sengaja nak buat Sara sedih dengan menyuruh Sara tidur di
bilik Izzat. Bilik tetamu rumah ni hanya ada satu. Jadi bilik Izzat sajalah
yang paling sesuai untuk Sara,” kata Mak Zainab yang kelihatan serba salah bila
dia melihat masih ada kesan menangis di wajah menantunya itu.
“Tak
apalah mak. Sara tak kisah tidur di bilik Izzat malah berterima kasih kerana
mak sudi beri Sara peluang berada di sini,” jawab Sara Raihana perlahan.
“Janganlah
Sara anggap Sara sebagai tetamu, tetapi Sara adalah menantu mak. Sama tarafnya
dengan anak mak sendiri.” Jawapan Mak Zainab membuatkan Sara Raihana menangis
dan memeluknya. Terasa hangatnya pelukan tersebut sehangat pelukan sewaktu
majlis Akad Nikah yang lalu.
“Sudahlah
Sara. Mari kita makan. Mak dan abah Sara dah menunggu di sana,” kata Mak Zainab
sambil memegang tangan Sara Raihana untuk dibawa ke meja makan.
Sara
Raihana mengambil tempat bersebelahan Mak Zainab dan bertentangan dengan ibunya
Mak Cik Rohaya. Mereka makan sambil sesekali berbual ringan. Sara Raihana merenung
nasi yang terhidang di hadapannya. Mak Zainab melayannya bagaikan puteri dengan
mencedok lauk ke pinggannya dan menuangkan air. Sara Raihana terharu dengan
layanan tersebut dan sebab itulah dia menggagahi untuk makan agar tidak
mengecewakan hati ibu mentuanya.
Mak Cik Rohaya tersenyum puas kerana hari ini
Sara Raihana makan walaupun hanya beberapa mulut. Dia berharap agar kesedihan
Sara Raihana terubat jua. Tadi sengaja dia membiarkan Mak Zainab mengajak Sara
Raihana makan kerana dia tahu Sara Raihana akan menolak jika dia yang memanggil
seperti yang selalu dilakukan oleh Sara Raihana sewaktu di rumah mereka di Bukit
Mertajam.
Malam
itu Sara Raihana tidur di atas katil yang menjadi pembaringan suaminya selama
ini. Bantal suaminya dicium untuk mendapatkan bau Izzat Hafis. Tapi dia hampa
kerana sarung bantal dan cadar tersebut hanya berbau pewangi kain sahaja. Dia
menepuk-nepuk bantal itu beberapa kali dan berharap agar dapat bertemu Izzat
Hafis di dalam mimpi. Tetapi matanya begitu payah untuk dilelapkan walaupun dia
berusaha untuk lena. Hampir setiap malam Sara Raihana berkeadaan begitu,
kesukaran untuk tidur atau insomnia. Dialihkan badannya sekejap ke kanan dan
sekejap ke kiri. Bantal Izzat Hafis dipeluk bagai memeluk suaminya. Masih gagal
untuk lena. Akhirnya dia berzikir di dalam hati dan membaca ayat-ayat suci
Al-Quran. Lama kelamaan dia tertidur ketika waktu telah merangkak pagi.
gambar dari google
baca sambungan di http://buku.karangkraf.com/ilham/
gambar dari google
baca sambungan di http://buku.karangkraf.com/ilham/
3 ulasan:
kasian
Ujian Allah, bagi memantapkan iman.
Best sangat novel ni. Agak2 Izzat Hafis hensem macam siapa ye? Hehe :)
Catat Ulasan